Saturday, November 30, 2013

Amaran Keras KPN kepada free Malaysia Today


Prof. Dr. Mohd Harun Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Musa Aman sambil disaksikan Khalid Abu Bakar (kanan) dalam Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (Sekam) 2013 di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, semalam. - MINGGUAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin 

KOTA KINABALU 30 Nov. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan portal berita propembangkang, Free Malaysia Today dan penulis artikelnya, Mariam Mokhtar supaya tidak bermain api dengan mengaitkan antara pengganas komunis, Chin Peng dengan Siti Aishah Abdul Wahab yang dijadikan hamba di London.

Beliau menegaskan, perbuatan itu yang disiarkan menerusi satu artikel baru-baru ini, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 dan sekiranya perlu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurutnya, kesalahan yang dilakukan oleh Chin Peng adalah terlalu besar kerana menzalimi dan membunuh rakyat negara ini, manakala Siti Aishah pula hanya mempercayai ideologi tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan menggunakan akal yang waras dan berhati-hati memberi pendapat kerana dua perkara ini adalah jelas dan nyata berbeza.

"Orang biasa pun boleh menilai dan membezakan perkara itu dengan baik. Oleh itu, saya memberi amaran keras kepada Free Malaysia Today dan Mariam (penulis artikel) agar tidak membuat kenyataan yang boleh menghasut rakyat serta mengancam keselamatan negara," katanya.

Khalid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (Sekam) 2013 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Khalid mengulas artikel ditulis oleh Mariam Mokhtar dalam Free Malaysia Today bertajuk Satu ideoklogi, dua tindak balas semalam, yang mempersoalkan larangan untuk membawa masuk abu mayat pengganas komunis, Chin Peng ke negara ini sedangkan Siti Aishah dibenar pula menjejakkan kaki di Malaysia.

Khalid seterusnya menasihatkan Mariam agar lebih berhati-hati dalam memberi ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan kontroversi atau bakal berhadapan tindakan tegas.

Beliau turut mengingatkan Mariam agar tidak menimbulkan isu perkauman dengan menyatakan terdapat dwistandard antara kaum Cina dan Melayu.

"Saya ingin tegaskan kepada Mariam agar dia lebih berhati-hati atau akan didakwa di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan atau dituduh di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," ujarnya.

Abdul Gani turut menyatakan pendapat sama bahawa terdapat perbezaan antara kes Siti Aishah dengan keganasan dilakukan oleh Chin Peng terhadap rakyat di negara ini berdasarkan kesan yang diterima oleh negara serta kesengsaraan rakyat ketika zaman komunis.

Jelasnya, kes melibatkan Siti Aishah adalah jelas berhubung kait dengan ideologi, malah perkara tersebut juga berlaku di negara luar dan tidak memberi kesan secara langsung kepada orang ramai di negara ini.(Utusan online- Jenayah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.Blogspot.com.at 13420 hrs on Disember 01,2013.

Batu Putih : Malaysia,Singapura tubuh jawatankuasa kecil

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil baharu bagi membincangkan penandaan sempadan maritim Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin - kelompok batu yang muncul di laut kedua-dua negara.

Datuk Seri Anifah Aman
Ini dipersetujui pada Mesyuarat ketujuh Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia- Singapura (MSJTC) berhubung pelaksanaan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Putih, Terumbu Karang Tengah, dan Terumbu Karang Selataan, di Singapura selama dua hari mulai Khamis.

Perkara ini terkandung dalam kenyataan bersama oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Singapura, K. Shanmugam, yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan itu menerangkan mesyuarat itu juga mengadakan rundingan tidak formal tentang penubuhan jawatankuasa kecil itu, yang dibentuk berikutan persetujuan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong semasa Permukiman Pemimpin-pemimpin itu di Singapura Februari lepas. - BERNAMA (Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.53 am on Disember 01,2013.

Bendong bocor rahsia

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA KINABALU 30 Nov. - Peruntukan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk membendung kegiatan membocorkan rahsia negara atau tindakan individu yang cuba menyebar maklumat dalam negara kepada pihak luar.
Tan Sri Abdul Gani Patail

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, ketegasan negara dalam menuduh pesalah yang cuba melakukan aktiviti tidak bermaruah itu telah dilaksanakan sejak dahulu lagi dan terbaharu adalah melibatkan seorang anggota polis yang menyebarkan rahsia negara kepada pengganas Kiram pada awal tahun ini. 

Katanya, tindakan anggota berpangkat koperal itu menyalurkan maklumat kepada pengganas Kiram ketika kejadian pencerobohan di Lahad Datu merupakan bukti kukuh kerajaan bertindak tegas terhadap individu yang cuba membocorkan rahsia negara menerusi undang-undang sedia ada.

"Saya tidak berasa bimbang dengan keupayaan negara menangani kes pembocoran maklumat atau rahsia yang cuba dilakukan oleh pihak atau individu tidak bertanggungjawab dengan baik.

"Malah, menerusi peruntukan undang-undang sedia ada serta kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pihak polis, perkara seumpama ini akan dapat dibendung dan diatasi sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (Sekam) 2013 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Mengulas lanjut, Abdul Gani berkata, kegiatan cuba menyebar maklumat negara bukan satu perkara baharu kerana kejadian sama pernah berlaku pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an.

Namun begitu katanya, tindakan pantas pihak keselamatan negara serta peruntukan undang-undang sedia ada telah membolehkan perkara itu ditangani dengan sebaiknya.(Utujsan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.45 am on Disember 01,2013.

Naik gaji,elaun: Selangor menunjuk-nunjuk?

Datuk Harun Taib
 KUALA TERENGGANU 30 Nov. - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat, kenaikan gaji dan elaun Menteri Besar Selangor serta anggota pentadbiran negeri itu dibuat seolah-olah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Beliau berkata, kenaikan itu memberi gambaran bahawa kerajaan negeri berkenaan memiliki kekayaan sehingga mampu membayar gaji serta elaun dengan kenaikan berlipat kali ganda.

Dalam masa sama, Harun tidak menolak kemungkinan kelulusan menaikkan gaji serta kadar elaun tersebut adalah didorong oleh lebihan bajet (budget surplus) yang diumumkan kerajaan negeri Selangor sebelum ini. 

Bagaimanapun katanya, terserah kepada kerajaan negeri itu yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskannya.

"Saya tak mahu campur urusan mereka (kerajaan Selangor), biarlah dan ikut pandai dialah nak naik banyak mana pun gaji atau elaun.

"Tak salah kalau dia banyak duit, nak act (menunjuk-nunjuk) lah tu. Mungkin dia dapat dari bajet surplus negeri Selangor 2014, jadi biarlah dia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar NInggal.blogspot.com.at 12.21 am On Disember 01,2013.

Friday, November 29, 2013

Akta Hasutan : Tian Chua gagal rayuan batal pertuduhan

PUTRAJAYA 29 Nov. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.
Tian Chua
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Lim Yee Lan memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu. 

Para peguamnya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas keputusan itu memberitahu, mereka akan berbincang sama ada untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan atau meneruskan perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 September lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan tersebut. 

Terdahulu, Amer Hamzah berhujah agar pertuduhan terhadap Tian Chua dibatalkan atas alasan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap anak guamnya merupakan pendakwaan terpilih.

Peguam bela menghujahkan, pihaknya bukan mempertikaikan budi bicara Peguam Negara untuk mendakwa tetapi terdapat beberapa individu lain yang melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan tetapi tidak dituduh di mahkamah.

Ketika menjelaskannya dengan lebih lanjut di luar mahkamah, Amer Hamzah menyatakan, perkara ini bukan secara kebetulan kerana terbukti mereka yang didakwa di mahkamah terdiri daripada pemimpin-pemimpin pembangkang dan penyokong-penyokongnya termasuk peguam dan golongan penuntut universiti. 

Sehubungan itu ujarnya, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menghentikan pendakwaan terpilih kerana tindakan sedemikian jelas merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya,

Yusaini Amer Abdul Karim berhujah agar rayuan itu ditolak atas alasan kuasa menentukan pendakwaan adalah di tangan Peguam Negara dan hujah yang menyatakan beliau menjalankan pendakwaan terpilih merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Pada 14 Mac lalu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di ibu negara. Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemimpin parti pembangkang itu dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan yang antaranya menyatakan serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.( Utusan online-Mahkamah ).Posted  by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.50 am on November 30,2013.

Sembilan ahli MT lantikan Presiden Umno di umumkan.

Oleh HAKIMI ISMAIL 
Tan Sri Prof.Dr.Ibrahim Abu Shah,
Mantan Naib Canselor Universiti 
( UiTM) di Shah Alam. 

PUTRAJAYA 29 Nov. Sembilan individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dipilih oleh Presiden UMNO, Datuk Seri -Najib Tun Abdul Razak bagi melengkapkan barisan ahli Majlis Tertinggi (MT) yang baharu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perlantikan tersebut dibuat atas kuasa yang dimiliki oleh presiden parti seperti mana yang terkandung dalam Fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO.

Berikut adalah sembilan nama ahli MT yang baru dilantik: 


1. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz 
2. Datuk Hamzah Zainudin 
3. Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin 
4. Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin 
5. Datuk Irmohizam Ibrahim 
6. Datuk Johari Abdul Ghani 
7. Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah 
8. Dr. Asyraf Wajdi Dasuki 
9. Mohammad Kazim Elias - 
(UTUSAN ONLINE-POLITIK).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com. at 10.57 am on November 30,2013. 

"KUCING KURAP" : ADUN ,EXCO PULAU PINANG BIDAS JEFF OOI

GEORGETOWN 29 Nov. - Beberapa anggota dewan undangan negeri termasuk exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membidas tindakan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun yang melabel pegawai rendah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai ’kucing kurap’.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kasim (PKR-Batu Maung) berkata ayat seumpama itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang anggota parlimen yang mempunyai banyak saluran untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap MPPP.

"Sebagai anggota Parlimen, beliau mempunyai pelbagai saluran untuk berhubung dengan kerajaan negeri, Ketua Menteri mahupun Yang Dipertua MPPP. Kalau orang lain yang tidak ada access boleh la dia frustrated (kecewa).

"Saya pun tidak tahu kenapa beliau tidak berpuas hati dengan MPPP, perkhidmatan MPPP. Ini bukan kali pertama beliau melahirkan ketidakpuasan terhadap MPPP," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang memberi label ’kucing kurap’ kepada beberapa pegawai MPPP Sabtu lalu, apabila mereka tidak membawa perangkaan terkini mengenai kedudukan penjaja di Jelutong dalam mesyuarat yang dianjurnya selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) pula berkata kerajaan negeri mengamalkan dasar polisi terbuka dan bersedia menerima kritikan dan cadangan melalui saluran yang disediakan.

"Kita mempunyai saluran untuk membuat aduan dan kritikan, beliau seharusnya menggunakan saluran yang betul jika mempunyai masalah dengan mana-mana pihak," katanya.

Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) pula menggesa rakyat di negeri itu untuk menilai semula sama ada pemimpin seperti Ooi perlu dipilih pada masa depan bagi memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat. 

"Inikah pemimpin yang perlu mereka sokong? Adakah dengan cara ini boleh membangunkan negeri dan Malaysia... Ini bukan caranya. Beliau hanya pandai menuding jari terhadap kesalahan orang sahaja," katanya. - BERNAMA ( Utusan onliner-politik).Posteed by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com at 10.46 am on November 30,2013.

Ngo Islam sedia jadi perantara muzakarah Umno-PAS

DR. Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) mengadakan sidang akbar dalam Majlis Pertemuan Khas NGO-NGO Islam berkenaan Muzakarah UMNO-Pas Perpaduan Nasional di Kuala Lumpur, semalam. 

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersedia menjadi perantara serta penyelaras usaha muzakarah antara UMNO dan Pas bagi memastikan kelangsungan perpaduan Melayu Islam di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemimpin NGO Islam di negara ini menyambut baik idea dan hasrat kedua-dua parti terbesar Melayu itu untuk mengadakan muzakarah berkenaan.

Menurutnya, NGO-NGO Islam sebagai golongan yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik telah bersetuju untuk menjadi penyelaras muzakarah terbabit demi mencari titik persamaan antara kedua-dua parti berkenaan. “

Titik persamaan tersebut tentulah menyentuh kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan negara ini sendiri.

Jadi penting muzakarah ini untuk segera dilaksanakan. “Begitu didambakan agar pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas dapat bersama meletakkan kepentingan Islam, Melayu dan negara ini lebih tinggi berbanding untuk mendapatkan kuasa politik, sebab itu NGO-NGO Islam ini yang juga mewakili masyarakat Islam terutama di akar umbi bersedia menjadi penyelaras pertemuan muzakarah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas dengan kepemimpinan kira-kira 32 NGO Islam di Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar parti itu baru-baru ini menyatakan kesediaan mereka untuk bermuzakarah dengan UMNO dalam usaha pelaksanaan pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Hasrat Abdul Hadi itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menyifatkan UMNO bersikap terbuka dengan hasrat Pas tersebut, namun meminta penjelasan lanjut berhubung skop muzakarah dimaksudkan.

Tambah Asyraf Wajdi, hasil pertemuan bersama NGO-NGO Islam juga telah dipersetujui untuk menganjurkan wacana khas melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu Islam dan golongan cendekiawan dalam masa terdekat ini.

“Wacana khas ini bertujuan memastikan muzakarah UMNO dan Pas itu nanti akan lebih konkrit, bermakna dan konstruktif antara kedua buah parti terbabit," katanya.

NGO-NGO Islam terbabit juga bersetuju untuk menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri sempena Perhimpunan Agung UMNO minggu depan mengenai komposisi ahli dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang telah dilancarkan baru-baru ini.

“Kami sentiasa menyokong idea perpaduan nasional demi menjamin kestabilan negara ini, namun perpaduan ini tidak boleh dipisahkan daripada asas-asas kenegaraan yang berpandukan Perlembagaan terutama menyentuh Islam sebagai agama Persekutuan. “

"Kami bimbang kerana sebahagian komposisi dalam MKPN adalah mereka yang mendukung Comango, LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta membawa idea-idea asing daripada kerangka Perlembagaan negara. Mereka ini yang seolah-olah mahu mempertikaikan kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa, usaha muzakarah menampakkan perkembangan positif lebih-lebih lagi selepas pertemuan antara Najib dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob semalam. ( Utusan online-politik).Posted b y abnmulya ./Bakar NInggal.blogspot.com.at 10.36 am on November 30,2013.

MB Nafi bayar Anwar RM15 juta

Oleh ABDUL YAZID ALIAS dan 
MAISARAH SHEIKH RAHIM pengarang@utusan.com.my 

SHAH ALAM 29 Nov. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan kerajaan negeri terpaksa menggunakan wang rakyat berjumlah RM15 juta untuk membayar tuntutan elaun Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.

\"Perkara itu tidak betul," katanya ringkas kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sebuah laman blog, http:// santauberapi. blogspot.com/ hari ini yang mendakwa Anwar sebenarnya menerima gaji lebih daripada RM1 sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Berdasarkan artikel dalam blog tersebut yang bertajuk 'Takkan Pas Selangor Masih Nak Lindungi Pembohongan Anwar Ibrahim?' itu, Anwar didakwa menerima lebih RM1 juta setiap bulan berdasarkan tuntutan yang dibuatnya.

Blog itu mendakwa, sepanjang tahun lepas sahaja, Anwar menerima sebanyak RM15 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk pelbagai kos termasuk tuntutan elaun perjalanan ke luar negara.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan Abdul Khalid ada mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut selain turut menafikan disiarkan dalam portal rasmi Menteri Besar Selangor.

Sebaliknya, jurucakap itu tidak menolak kemungkinan dakwaan terbabit dibuat bagi mengeruhkan keadaan susulan isu kenaikan gaji Menteri Besar dan anggota pentadbiran negeri berkenaan yang diputuskan DUN baru-baru ini.

Sebelum itu, beberapa blog lain turut melaporkan dakwaan pembayaran membabitkan elaun perjalanan, elaun keraian dan beberapa lagi elaun lain untuk Ketua Pembangkang berkenaan.

Blog-blog berkenaan membuat laporan tersebut dengan mendakwa ia dipetik daripada portal berita, Selangor Kini melalui maklumat yang diperoleh daripada Pejabat Menteri Besar Selangor.

Walau bagaimanapun, petikan laporan tuntutan itu ditarik semula blog-blog tersebut selepas penafian Menteri Besar berhubung perkara berkenaan.(Utuan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com .at 10.21 am on November 30,2013.

Isu intipan,Singapura terrus berteka-teki

SINGAPURA 29 Nov. - Singapura hari ini enggan mengesahkan atau menolak dakwaan bahawa negara ini merupakan sebahagian daripada jaringan pengintipan elektronik diketuai Amerika Syarikat (AS) di Asia. 

Menteri Luarnya, K. Shanmugam sebaliknya berkata, Indonesia dan Malaysia yang memanggil duta Singapura pada minggu ini berhubung dakwaan tersebut, sedar bahawa republik ini tidak mempunyai niat untuk merosakkan hubungan antara negara.

"Anda tidak boleh menyatakan dakwaan ini adalah lima peratus atau 95 peratus benar, bahawa kami bekerjasama dengan AS dan Australia berhubung aktiviti pengintipan yang dilakukan untuk memerangi keganasan.

"Sebarang kenyataan Singapura berhubung isu terperinci perisikan tidak akan berakhir,'' katanya yang dipetik oleh laman web akhbar Straits Times.

Beliau berkata, ketika ini, Indonesia dan Malaysia tahu negara ini tidak akan melakukan apa-apa yang akan mengancam kepentingan mereka.

Singapura yang menganggap negaranya menjadi sasaran utama kumpulan ekstremis, bekerjasama dengan semua negara jiran dan negara Barat dalam memerangi keganasan.

Kenyataan itu merupakan yang pertama daripada seorang menteri Kabinet Singapura sejak akhbar Sydney Morning Herald melaporkan republik ini dan Korea Selatan memainkan peranan sokongan utama dalam operasi pengintipan dikenali sebagai Five Eyes melibatkan AS, Britain, Australia, Kanada dan New Zealand pada awal minggu ini.

Apabila ditanya sama ada laporan itu mengancam hubungan dengan Malaysia dan Indonesia, Shanmugam berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana 'apa yang kami buat diketahui oleh semua pihak terbabit'. - AFP(Utusan online-Luar Negara).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com .at10.11am on NOvember 30,2013.

Thursday, November 28, 2013

Gaji Abdul Khalid dua kali ganda tinggi daripada MB Kelantan,KM P.Pinang

KOTA BHARU 28 Nov. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima gaji dua kali ganda lebih tinggi iaitu sehingga 134 peratus daripada yang diterima Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berikutan kenaikan terbaharu yang berkuat kuasa 1 Januari depan.

Abdul Khalid akan menerima RM29,250 sebulan sementara Ahmad hanya memperolehi RM12,500 iaitu nilai yang sama sejak 2008 dan Guan Eng pula RM14,175.15. Gaji yang bakal dinikmati Exco kerajaan negeri Selangor pula adalah 227 peratus atau tiga kali ganda lebih tinggi berbanding yang diterima rakan sejawatan di Kelantan dan Pulau Pinang.

Gaji Exco kerajaan negeri Kelantan sejak lima tahun lalu dan Exco kerajaan Pulau Pinang hanya RM6,109.29 sebulan berbanding yang bakal diterima Exco kerajaan negeri Selangor iaitu RM20,250. 

Tangga gaji Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang sebelum ini RM6,109.29 dan dinaikkan sebanyak RM22,500 pada Januari ini juga jauh lebih tinggi berbanding gaji Speaker DUN Kelantan dan Pulau Pinang iaitu masing-masing RM6,109.29.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan pula, mereka hanya memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM8,650 iaitu jauh berbeza dengan gaji yang bakal diterima ADUN Selangor iaitu sebanyak RM11,250.

ADUN Pulau Pinang pula menerima elaun sebanyak RM4,112.79 sebulan Sementara itu menurut sumber, selain memperolehi gaji bulanan, Menteri Besar Kelantan, Exco dan Speaker DUN Kelantan turut memperolehi pelbagai elaun lain.

Katanya, bagi Menteri Besar, antara elaun yang diterima adalah elaun ADUN, Exco, keraian, khas, kediaman, perjalanan, kakitangan dan isi rumah serta lain-lain membabitkan jumlah kira-kira RM17,000. 

"Exco pula menerima elaun yang sama yang jumlahnya sekitar RM11,000 manakala Speaker pula hampir RM10,000. Gaji Timbalan Speaker pula sebanyak RM12,500," katanya.

Sidang DUN Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 ADUN berkuat kuasa 1 Januari depan dengan Timbalan Speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi iaitu sebanyak 373.3 peratus.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.37 am on November 29,2013.

Wednesday, November 27, 2013

Khalid Samad diperintahkan bayar Hasan Ali ganti rugi RM300,000-00

Datuk Dr.Hasan Ali
SHAH ALAM 27 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad membayar ganti rugi RM300,000 kepada Datuk Dr. Hasan Ali setelah didapati memfitnah Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati) itu.

Hakim Datuk Yaacob Md. Sam turut menetapkan kos sebanyak RM20,000 perlu dibayar oleh Khalid kepada Hasan pada prosiding bagi menetapkan jumlah ganti rugi dan kos dalam kes saman fitnah membabitkan kedua-dua individu terbabit.

Pada 31 Oktober lalu, mahkamah tersebut memutuskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dalam satu sidang akhbar pada 24 Februari tahun lalu bukanlah satu pembelaan terhadap isu 'pemimpin parasit' yang ditimbulkan oleh Hasan.

Hasan memfailkan saman tersebut pada 12 April tahun lalu selepas Khalid mengeluarkan dakwaan bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Bhd. sebagai penaja kepada Hasan dan juga Jati.

Khalid dalam pernyataan pembelaannya menyatakan, kenyataannya dalam sidang akhbar itu adalah bagi menjawab 'serangan' Hasan yang menggelarnya sebagai pengkhianat dan pemimpin parasit.

Dalam prosiding hari ini, Hasan diwakili peguam Hasnal Rezua Merican manakala Khalid diwakili peguam, Azhana Mohd. Khairudin.

Selain menetapkan ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi teladan RM100,000, Hakim Yaacob turut menetapkan kadar faedah sebanyak lima peratus dikenakan ke atas jumlah ganti rugi bermula dari tarikh penghakiman sehingga pembayaran penuh.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.Com.at 1342 hrs on November 28,2013.

Perdana Menteri terima kun jungan hormat MB Kelantan

PERDANA Menteri, Najib Razak bersalaman dengan Ahmad Yaacob ketika menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan itu di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya hari ini. - BERNAMA 

PUTRAJAYA 28 Nov. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya di Perdana Putra di sini.

Ahmad yang ditemui sejurus selepas perjumpaan selama kira-kira 45 minit itu berkata ia merupakan kunjungan hormat beliau selaku menteri besar Kelantan yang baru dilantik.

Beliau berkata antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berkaitan dengan pelbagai bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

"...contohnya berkaitan dengan infrastruktur dan juga hal-hal lain untuk kebajikan rakyat," katanya dan menambah, isu berkaitan politik tidak dibincangkan dalam pertemuan itu.

Ahmad tiba di bangunan Perdana Putra pada kira-kira pukul 9 pagi bersama beberapa anggota exco kerajaan negeri Kelantan, dan beliau diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika memasuki pejabat perdana menteri.

Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan pada 6 Mei lepas, menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyandang jawatan menteri besar selama 23 tahun. - BERNAMA(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1317 hrs on November 28,2013.

Singaoura perlu kemuka bukti jika tak intip

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Singapura perlu mengemukakan bukti dan maklumat yang jelas sekiranya negara itu tidak terlibat dengan kegiatan pengintipan terhadap Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memandang serius dakwaan tersebut memandangkan Singapura adalah jiran baik yang mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia. 

"Apa pun maklumat yang kita dapat berkaitan dengan pengintipan melibatkan negara kita, kerajaan tidak pandang ringan.

"Jika Singapura kata mereka tidak terlibat, maka kena kemuka bukti dan maklumat yang jelas kepada kita bahawa itu (dakwaan) tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-MAYA 5) dan pelancaran Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 24 di sini hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman semalam berkata, kerajaan sedang menyiasat laporan terbaharu akhbar mengenai dakwaan pembabitan negara lain khususnya Singapura dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sama ada dakwaan itu benar atau tidak berasas, kerajaan perlu menyiasat terlebih dahulu.

 "Menteri Luar telah memanggil wakil Singapura untuk dapatkan maklumat. Ini menunjukkan kita pandang serius terhadap perkara ini," katanya.(Utusan online-Dalam Negerri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 2338 hrs on November 27,2013.

Perhimpunan desak Jeff O0i mohon maaf

Oleh MOHD. ALIF ALIAS 
pengarang@utusan.com.my 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Satu himpunan bantahan akan diadakan di Pulau Pinang dalam masa terdekat bagi menuntut Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi memohon maaf atas tindakan biadab menggelar penjawat awam sebagai ‘kucing kurap’. 

Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Azih Muda berkata, tindakan tersebut akan dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman. 

“Mesyuarat tersebut akan membincangkan tindakan sewajarnya yang harus diambil untuk memberi tekanan kepada Ahli Parlimen Jelutong itu dan satu memorandum bantahan akan turut dibuat.

“Memorandum tersebut seterusnya akan dihantar kepada pejabat pentadbiran kerajaan negeri dan Jeff Ooi sendiri,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang kakitangan awam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang ‘menyerang’ Jeff Ooi di Pasar Awam Jelutong semalam kerana tidak berpuas hati dengan perkataan ‘kucing kurap’ yang digunakan oleh wakil rakyat DAP itu bagi merujuk kepada golongan penjawat awam di negeri ini.

Azih berkata, tindakan Jeff Ooi itu menimbulkan kemarahan banyak pihak terutamanya mereka yang bekerja sebagai penjawat awam.

“Rakyat Malaysia kesal dan kecewa dengan kenyataan Jeff Ooi. Seharusnya dia berani tampil membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka atas kesalahan dilakukan," katanya.(Utusna online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Nin ggal.blogspot.com.at 2326 hrs on November 27,2013.

Sunday, November 24, 2013

PAS Akui sokongan Melayu masih kepada UMNO

SHAH ALAM 24 Nov. - Pas mengakui sokongan pengundi wanita dan golongan muda Melayu masih berpihak kepada UMNO pada pilihan raya umum lalu sekali gus menyumbang kepada kegagalan pembangkang menawan Putrajaya.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli (gambar atas)berkata, pada pilihan raya umum lalu Pas hanya memperoleh antara 30 hingga 35 peratus sokongan pengundi wanita dan 45 hingga 46 peratus sokongan golongan muda Melayu.

Tambahnya secara keseluruhan pula, sokongan orang Melayu kepada Pas merosot sebanyak dua peratus menjadi 40 peratus dan jika berhasrat mahu mengalahkan Barisan Nasional (BN) jelas beliau, parti itu perlu meraih sekurang-kurangnya 44 peratus.

Bagaimanapun Mohd. Hatta langsung tidak menyebut bahawa antara punca kemerosotan sokongan Melayu adalah disebabkan label sebagai alat DAP sebagaimana disimpulkan banyak pihak, sebaliknya berkata, isu tempatan menjadi faktor utama.

"Sokongan pengundi Melayu kepada kita merosot dua peratus. Kita hanya dapat 40 peratus. Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengalami kemerosotan tujuh peratus tetapi DAP pula meraih peningkatan sokongan Melayu sebanyak dua peratus.

"Jadi segmen yang mesti kita beri tumpuan ialah tingkatkan sokongan pengundi wanita dan golongan orang muda jika mahu menawan Putrajaya," katanya semasa menggulung perbahasan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di sini hari ini.(Utusan online-politik0.Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.15 am on Novemeber 25,2013.

Polis,Jabatan Peguam Negara perlu ambil tindakan

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Pihak polis dan Jabatan Peguam Negara perlu menyiasat laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan pembangkang kononnya suruhanjaya tersebut membawa masuk sebanyak 40,000 pengundi warga asing dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengheretnya ke muka pengadilan memandangkan tuduhan beliau tidak berasas dan tiada bukti yang dikemukakan. 

Jelasnya, tindakan Anwar itu bukan sahaja berbau fitnah tetapi sikap beliau yang sering kali membuat 'pusingan 360' untuk menyelamatkan diri sendiri serta penipuan yang diuar-uarkannya boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan yang memerintah.

"Kita sudah lali dengan perangai Anwar yang amat berminat bermain pusingan U, apatah lagi sandiwara dan drama-dramanya," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Khas Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang itu menuduh SPR mendaftar 40,000 pengundi Bangladesh namun selepas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menafikan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan pembangkang itu dalam pilihan raya umum lalu, Anwar menuding jari kepada penulis pro-UMNO kononnya memanipulasikan isu itu.

Muhammad Zahid menambah, Anwar sudah lama meninggalkan sifat malu untuk berbohong selagi impiannya untuk menjadi pemimpin negara tidak tercapai.

"Saya mohon selepas terbongkarnya satu lagi penipuan Anwar ini, rakyat wajib menolak Ketua Pembangkang itu. Tiada satu pun sifat dalam diri beliau yang boleh diangkat sebagai pemimpin," katanya. 

Pada majlis itu juga, TIBAI merasmikan Tabung Pembelaan Presiden Perkasa sebagai sokongan kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 pada 19 November lalu.

Katanya, tabung itu dilancarkan sebagai tanda hormat, persahabatan dan setia kawan terhadap Presiden Perkasa berkenaan. Ibrahim dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah menghina mahkamah berhubung penyiaran satu artikel berkaitan seorang hakim dalam laman web Perkasa. (Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.08 am on November 25,2013.

PM Selar penafiaan Anwar

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM 
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak membidas sikap pembangkang yang kini membuat pusingan U dengan menafikan mereka pernah membuat kenyataan sebanyak 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh cuba mengelak apabila tidak mahu mengakui membuat tuduhan itu kerana banyak sumber telah memetik ucapan Ketua Pembangkang itu termasuk turut dilaporkan oleh media milik mereka sendiri.

‘‘Apabila saya kata 40,000 warga Bangladesh itu tidak betul, tidak ada bukti, Perdana Menteri Bangladesh pun kata (tuduhan) itu tidak mungkin, dia (Anwar) pusing kata bahawa dia tidak kata begitu.

‘‘Tetapi muka depan akhbar Suara Keadilan ada (tulis) tentang 40,000 Bangladesh itu, ucapan dia (Anwar) juga sindir kepada kita bahawa rakyat tidak sokong kita, yang sokong adalah rakyat Bangladesh dan Filipina. ‘‘

Saya dengar ucapan dia, saya banyak sumber yang dengar ucapan dia, (tetapi sekarang ini) dia nak nafikan pula,’’ katanya ketika berucap merasmikan seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional kali pertama di auditorium Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Anwar dikatakan membuat pusingan U baru-baru ini apabila cuba menafikan pernah membuat tuduhan itu, sebaliknya hanya menyentuh tentang dakwaan membawa pengundi dari luar pada hari mengundi.

Penafian Anwar itu dibuat selepas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menidakkan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan kononnya 40,000 rakyat negara itu mengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut menyelar sikap pembangkang yang membuat tuduhan tidak berasas dengan mengaitkan pembaziran penggunaan elektrik di kediaman rasmi Perdana Menteri yang didakwa dibelanjakan sehingga RM250 untuk bil elektrik dalam tempoh satu jam.

Beliau berkata, kediaman rasmi Perdana Menteri adalah milik rakyat yang mempunyai bilik penganjuran sesuatu majlis demi meraikan tetamu kerajaan. ‘‘

Kediaman rasmi Perdana Menteri itu rakyat punya, ada bilik majlis, kalau ketua kerajaan datang, adakah kita nak makan dalam gelap?

Kalau Presiden China datang, kita nak makan secara ‘candle light dinner’, dan saya akan kata pada dia, ini romantik.

‘‘Ini milik rakyat, saya tumpang sahaja, saya penghuni ketiga, saya banyak hari duduk di rumah sendiri, maka jimat belanja rumah kediaman rasmi.

‘‘Kita boleh berjimat tetapi jangan tuduh benda tidak realistik, keterlaluan seolah-olah 1,000 kebaikan yang kita buat dilupakan, kelemahan diperbesarkan, ini bukan pertimbangan yang adil,’’ katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.02 am on November 25,2013.

Gerakan desak Anwar mohon maaf

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak agar segera meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana mendakwa seramai 40,000 warga Bangladesh telah dibawa masuk untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Mei lepas.

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata, dakwaan Anwar itu telah menyebabkan berlaku kekeliruan sehingga memberi kesan kepada pengundi tertentu untuk mengundi pada PRU-13 kerana dianggap sebagai warga Bangladesh.

"Dakwaan seperti ini mempengaruhi ramai orang dan ramai rakyat Malaysia dilayan secara tidak adil pada hari pengundian. Mereka dimarahi hanya kerana warna kulit mereka lebih gelap dan mereka dituduh sebagai warga Bangladesh.

"Anwar sebagai pemimpin pembangkang yang bertanggungjawab perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana dakwaan seperti ini telah menjejaskan keputusan pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di sini semalam.

Setelah membuat dakwaan itu, Anwar baru-baru ini membuat pusingan U pula apabila menafikan membuat tuduhan bahawa kerajaan ada membawa masuk sebanyak 40,000 warga Bangladesh sebagai pengundi hantu.

Sebaliknya, Anwar menuding jari kepada penulis pro-UMNO kononnya memanipulasi isu itu. Siew Keong berkata, pembohongan Anwar itu sama seperti episod yang berlaku pada 2008 apabila Anwar menuduh bahawa ramai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan menyertai pakatan pembangkang dan bakal membentuk kerajaan baharu pada 16 September.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ningal.blogspot.com at 9i.52 am on Novemebr 25,2013.

Minta jelaskan persediaan laksana Hudud

KOTA BHARU 24 Nov. - Pas didesak supaya tidak lagi beretorik, sebaliknya menjelaskan kedudukan sebenar dari segi persediaan mereka untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini selepas perkara itu diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1993.

Aktivis Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan, Mohd. Zawawi Awang berkata, penjelasan itu penting bagi mengelak sebarang keraguan yang timbul dalam kalangan rakyat berikutan kegagalan mereka melaksanakan hukum Islam itu setelah lebih 20 tahun memerintah negeri ini.

Beliau berkata, rakyat berhak untuk mengetahui kedudukan sebenar dan persediaan Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum itu kerana sehingga kini mereka hanya bercakap kosong.

"Setakat mana atau apa persediaan (kelengkapan) yang telah dilakukan Kerajaan Pas Kelantan dalam usaha mereka untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini?

"Sebelum ini mereka pernah menyatakan mempunyai kelengkapan untuk laksanakan hudud tetapi sampai sekarang masih belum terlaksana. Mana mungkin terpaksa mengambil masa terlalu lama sedangkan enakmen berkaitan telah diluluskan sejak 1993," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Polemik hudud Pas Kelantan kembali tercetus apabila Jabatan Kehakiman Syariah negeri dilapor sudah bersedia selain mempunyai kemudahan mencukupi sekiranya Kerajaan Pas Kelantan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dalam masa terdekat.

Hudud antara janji utama Pas yang pernah dicanangkan kepada rakyat, malah turut dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 1990.

Walau bagaimanapun, hukum itu masih gagal dilaksanakan hingga kini dengan pelbagai alasan dan helah termasuk kononnya mendapat tentangan Kerajaan Pusat yang diterajui UMNO.

Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam tetap optimis hukum hudud yang diperjuangkan Pas akan dapat dilaksanakan di negeri ini. Mohd. Zawawi yang juga pendakwah bebas menyifatkan, istilah optimis, serius dan tidak boleh tergesa-gesa merupakan alasan lapuk Pas untuk mengaburi rakyat setiap kali isu itu dibangkitkan semula.

"Manakala alasan Kerajaan Pusat yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum tersebut hanya helah bagi mengalih persepsi rakyat kononnya UMNO menolak hudud," katanya. Jelasnya, kerajaan Pas Kelantan tidak patut meletakkan kesalahan kepada pihak lain atas kegagalan mereka melaksanakan hukum Islam itu memandangkan undang-undang syariah terletak di bawah kuasa mutlak kerajaan negeri.

Katanya, Kelantan boleh laksanakan hukuman hudud tanpa kebenaran Kerajaan Pusat atau Parlimen mengikut Kaedah 76 (1) (9) Perlembagaan negara.

"Perkara 76 (1) (9) Perlembagaan negara jelas menunjukkan campur tangan Parlimen hanya apabila diminta untuk menyelaras undang-undang Islam antara beberapa buah negeri. Maknanya kerajaan negeri boleh melaksanakan hukum ini tanpa kebenaran Kerajaan Pusat atau kelulusan Parlimen," katanya.( Urtusan online-politik).Posted b y ab nmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 9,27 am on November 25,2013.

Laksana hudud hak PAS

Abdul Hadi Awang menyampaikan amanat penutup pada Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam. 

SHAH ALAM 24 Nov. - Pas menegaskan langkah untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan adalah hak mutlak parti itu walaupun mendapat bantahan daripada sekutunya DAP.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada dalam perjanjian dengan pakatan bahawa Pas perlu mendapat persetujuan DAP terlebih dahulu untuk melaksanakan hudud.

"Hak dia untuk bersuara. Hak kita untuk melaksanakan apa yang kita perjuangkan. Itu (persetujuan DAP) tiada dalam perjanjian. Masing-masing ada ideologi masing-masing.

"Kita (hanya) berkerjasama dalam perkara yang ada persamaan," katanya pada sidang akhbar selepas selesai Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam yang meminta Pas jangan melaksanakan hudud di Kelantan kerana didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Karpal dipetik sebagai berkata:

"Objektif politik tertakluk kepada undang-undang. Penasihat undang-undang Kelantan perlu menasihat Pas agar tidak melaksanakan hudud''.

Berhubung gesaan Wakil Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad agar pucuk pimpinan menangani persepsi Pas barua DAP dan pembonceng dalam pakatan, Abdul Hadi berkata, perkara itu gimik yang dibuat pihak lain.

Malah beliau mendakwa, Pas di Pulau Pinang walaupun hanya mempunyai satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi memiliki peranan besar dalam hal ehwal agama Islam.

"Pemuda menyebut pihak lain yang membuat persepsi. Hakikat pilihan raya amat terserlah di mana pakatan pembangkang mengiktiraf peranan Pas termasuk di Pulau Pinang," katanya.

Abdul Hadi turut menafikan dakwaan golongan ulama semakin terpinggir dalam Pas pada pemilihan kali ini dengan menyatakan seramai sembilan tokoh ulama terpilih di peringkat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. 

"Bagi kami yang penting bukan bilangan tetapi peranan yang dijayakan itu lebih utama. Kalau ramai pun tapi tiada peranan dalam parti tiada guna juga," jelasnya.

Sementara itu dalam ucapan penggulungannya, Abdul Hadi berkata, Pas bersedia bermuzakarah dengan UMNO dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

"Kalau dia (UMNO) kata nak laksanakan Islam dengan bersungguh-sungguh, mari kita muzakarah. Pas bersedia untuk bermuzakarah dengan UMNO dalam usaha pelaksanaan Islam. Media, siar perkara ini. 

"Insya-Allah ulama-ulama kita akan turun. Kita ramai ahli-ahli (pelbagai bidang), dia (UMNO) hendak yang tua pun ada, muda pun ada," katanya.

Jelas Abdul Hadi, kesediaan Pas bermuzakarah itu dizahirkan dari kepakaran dan pemimpin mereka yang menguasai pelbagai bidang profesional seperti undang-undang, ekonomi dan penguatkuasaan.

"(Marilah) Kita bersatu atas Islam, satu bahtera, kiblat kita satu, tidak banyak kiblat kita, kiblat kita kiblat Islam dalam masyarakat majmuk," katanya.

Abdul Hadi dalam pada itu mendakwa UMNO, bagi mendapatkan kuasa memerintah, sanggup menumpukan strategi bagi mendapatkan dan menguasai undi Melayu semata-mata dan bukannya cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Menurutnya, UMNO mengambil pendekatan menabur semangat kebangsaan bercampur aduk dengan assobiyah (kekitaan) kebangsaan bagi mendapatkan sokongan Melayu.(UTUSAN ONLINE-POLITIK).Postee by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.15 am on No
vember 25,2013.

PAS mahu Hadi jadi PM

SEBAHAGIAN anggota muslimat mendengar para pemimpin Pas menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM, 24 Nov. — Pas mahu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri negara ini, kata Naib Presiden Datuk Husam Musa hari ini. 

Beliau memberitahu Muktamar Pas Ke-59 di sini bahawa itulah yang seharusnya menjadi agenda perjuangan parti dan perlu dibincang oleh seluruh saf kepimpinan untuk direalisasikan.

"Saya nak tengok Ustaz Hadi jadi Perdana Menteri sebelum dia mati, walaupun cuma satu hari. "Kata-kata (perwakilan) konon Pas akan tinggalkan agenda untuk tawan Putrajaya sepatutnya tidak patut diucapkan.

Kita sepatutnya susun strategi untuk memastikan kemenangan diperolehi," katanya pada sesi penggulungan muktamar itu di sini.

Kata-kata Husam mendapat tepukan gemuruh perwakilan sekali gus menjadi isyarat bahawa Pas tidak mahu Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat,

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seperti cakap-cakap sebelum ini. Husam berkata, dengan menjayakan agenda itu, semua anggota Pas pastinya senada dan tidak akan berselisih faham dalam memilih perdana menteri. - BERNAMA(Utusan online-politik).Posted b y abnmulya /Bakar Ningal.blogspot.com.at 9.02 am on November 2013.

Isu Comango :Hasan hairan pendirian Hadi

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) dipersoal kerana pada masa yang sama beliau juga mengagumi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hasan Malek berkata, Abdul Hadi seakan-akan tidak sedar bahawa rakan sekutunya itu turut terlibat dalam tuntutan yang dibuat oleh Comango.

"Saya cuma hairan apabila beliau seakan tidak sedar ataupun tidak perasan bahawa ramai orang menganggap Comango merupakan kawan baik atau sekutu Anwar.

"Tetapi Abdul Hadi pula menganggap Anwar sebagai pemimpin agung, ini yang saya rasa agak pelik sedikit," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Ke-59 yang menggesa kerajaan tidak menandatangani sebarang persetujuan yang bercanggah dengan Islam melalui sesi pendengaran Proses Semakan Berkala Majlis Hak Asasi Manusia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hasan berkata, tindakan Pas yang menggesa kerajaan menolak sebarang usaha untuk membawa rakyat dalam negara ini mengamalkan gaya hidup bebas songsang yang terbabas daripada tabii kehidupan penciptaan manusia, harus dipuji.

Menurutnya, tindakan Presiden Pas itu yang meminta kerajaan tidak tunduk pada tuntutan Comango sangat dihargai.

"Kita amat menghargai apabila Abdul Hadi meminta kerajaan tidak tunduk kepada tuntutan Comango yang mahu menghalalkan amalan kehidupan songsang, seks bebas serta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Sebagai orang Islam, semua pihak bertanggungjawab mempertahankan hukum Allah yang tidak mengizinkan perkahwinan sejenis," ujarnya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar NInggal.blogspot.com. at 8.55 am on November 25,2013.

PAS akui sokongan Melayu menurun

SHAH ALAM 23 Nov. - Seorang perwakilan mengakui pakatan pembangkang yang dianggotai Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP gagal menguasai kumpulan pengundi Melayu sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Perwakilan Pas Perak, Dr. Mohd. Nuri al-Amin berkata, pada pilihan raya tersebut pakatan pembangkang kehilangan kira-kira lima peratus pengundi Melayu dan keadaan itu telah menyebabkan jumlahnya yang menyokong pihak pakatan menurun.

Sehubungan itu, beliau meminta Pas merangka beberapa strategi dalam usaha meraih semula sokongan pengundi Melayu terutama sebagai persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang. 

"Hakikatnya, kita belum berjaya dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi teras kita iaitu pengundi Melayu," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati disini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Mohd. Nuri berkata, sekiranya Pas berjaya mendapatkan semula lima peratus undi orang Melayu yang hilang itu tidak mustahil negeri seperti Perak akan jatuh semula kepada pakatan pembangkang.

Sementara itu, wakil Kedah, Mohd.Nasir Zakaria berkata, Pas gagal memenangi sepenuhnya sokongan orang Melayu kerana hanya memiliki dua ciri daripada lima ciri yang dimiliki oleh UMNO.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Badan Profesional Berkaitan Kehendak Orang Melayu, keutamaan masyarakat Melayu antaranya adalah hak Melayu, raja-raja Melayu dan agama Islam dipertahankan.

"Pas memiliki dua ciri iaitu integriti dan Islam tetapi tidak seperti UMNO, Pas tidak dilihat membela institusi raja, tidak membela rakyat dan tiada tokoh masyarakat," katanya. Beliau juga mengingatkan lebih banyak kerusi parti itu bakal tumbang jika masalah dalaman Pas tidak diselesaikan (Utusan online-politik0.Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.13 am 0n November 25,2013.

Pas umpama barua DAP

Kamaruzaman Mohamad

SHAH ALAM 23 Nov. - Seorang perwakilan hari ini menarik perhatian Muktamar Tahunan Pas Ke- 59 apabila beliau membangkitkan isu berhubung Pas sebagai barua DAP dan pembonceng kepada pakatan pembangkang.

Ketika membangkitkan isu itu wakil Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad mendesak barisan kepimpinan parti wajar menangani kedua-dua isu tersebut dengan segera.

Jika perkara itu tidak dilakukan beliau berkata, ahli-ahli Pas berhak menukar kepimpinan yang sedia ada. 

"Kedua-dua isu ini sangat kritikal dan sangat besar kesannya. Oleh itu jika Pas gagal selesaikannya menjelang Pilihan Raya ke 14 (PRU-14) kita akan gagal ke Putrajaya, " katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Stadium Malawati di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Kamaruzaman turut mengingatkan kepada semua perwakilan bahawa Pas tidak boleh meninggalkan asas perjuangannya iaitu menegakkan syariat Islam.

"Jangan kita lupakan perjuangan menegakkan Islam hanya semata-mata kita mahu ke Putrajaya. Jangan kita tinggalkan syariat Islam di pintu pagar ke Putrajaya.

"Kita sebenarnya amat bertanggungjawab dalam menegakkan Islam di tengah-tengah masyarakat. Kita juga bertanggungjawab menunjukkan keadilan Islam kepada setiap rakyat," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Pas bukan sebuah parti yang berjuang atas sebab isu tetapi berdasarkan kepada perintah agama.

Sementara itu, wakil Pulau Pinang, Mohd. Nor Haron berkata, segala jasa dan pengorbanan Pas Pulau Pinang telah diketepikan begitu sahaja oleh rakan pakatan pembangkang sebaik sahaja negeri itu dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Malah tegas beliau, kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP telah meletakkan Pas sebagai rakan kongsi utama pakatan dalam kedudukan lebih rendah dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Mohd. Nor, pihaknya tidak berhasrat membawa perkara itu kepada media namun segala saluran rasmi yang digunakan langsung tidak diendahkan oleh kerajaan negeri.

"Pas hanya diberi kerusi sebagai ahli majlis PBT (pihak berkuasa tempatan) tetapi empat kerusi diberikan NGO, adakah ini batu nisan yang hendak diberikan kepada Pas?," katanya.

Tegasnya, sebagai rakan kongsi utama pakatan, Pas sewajarnya diberi peranan besar sebagai pembuat dasar bersama tetapi yang berlaku adalah sikap 'double standard' kerajaan negeri dan berlakunya campur tangan.

"Tetapi bila hendak hampir PRU-13, mereka berjumpa kita terangkan manifesto, tetapi bila berdepan dengan kemenangan, kita disingkirkan, apakah Pas telah menjadi musuh lagi besar daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at2358 hrs on NOvember 24,.2013.

Friday, November 22, 2013

Malu besar...PAS Terpaksa buat semula pemilihan AJK Pusat

JUMAAT, 22 NOVEMBER 2013 22:54
WARTAWAN AGENDADAILY 


Boleh bayangkan macam mana perasaan ADUN PAS Selat Klang Dr Halimah Ali Sabtu pagi... kerana Jumaat pagi, ketika gambar ini diambil, beliau baik punya posing... ini kerana beliau merupakan orang pertama yang mengundi dalam pemilihan Muktamar PAS di Stadium Melawati Shah Alam Selangor. 

ADUN-ADUN di Selangor mengundi awal sebab hendak menghadiri Sidang DUN. Selepas baik punya posing...sekali Sabtu kena mengundi balik...

Mungkin ini petunjuk Allah SWT kepada PAS yang selama ini bukan main sibuk dok perlekeh SPR dengan macam-macam dakwaan mengenai pengendalian pilihanraya.

SPR kendali pilihanraya libatkan lebih 13 juta pemilih, manakala PAS yang buat pemilihan hanya libat 1,129 orang perwakilan boleh kelam-kabut. Peribahasa Melayu sebut mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih...

Lebih memalukan, kesilapan cetak kertas undi melibatkan 61 nama untuk mengisi 18 tempat kosong Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Dengar khabar ada beberapa nama tercicir, kejadian itu disedari selepas kira-kira setengah jam berlangsung pengundian selepas solat Jumaat tadi.

Antara nama yang disebut-sebut tak ada dalam senarai adalan Nasaruddin Hasan, bekas Ketua Pemuda PAS yang tak pertahan jawatan dan Ahli Parlimen Temerloh. Pihak Jabatan Pilihanraya PAS yang mengendalikan proses pemilihan itu mengumumkan penangguhan pengundian untuk jawatan AJK Pusat.

Bagaimana pengundian untuk jawatan timbalan dan naib presiden diteruskan. Penangguhan ini juga menyebabkan mood perwakilan terjejas kerana terpaksa mengundi semula esok jam 8.15 pagi.

Pengerusi Pemilihan PAS Pusat Asmuni Awi ketika mengumumkan perkara itu berkata pemilihan pada Jumaat hanya akan dijalankan bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Asmawi berkata perwakilan yang sudah pun mengundi perlu mengundi semula Sabtu. 

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu, proses pengundian untuk jawatan AJK PAS Pusat dijangka selesai dalam tempoh dua jam.

Katanya, pengundian untuk memilih 18 AJK PAS Pusat itu akan bermula pukul 8.15 pagi. "Paling awal keputusan akan diumumkan pukul 12 tengah hari tetapi kita menjangka proses pengiraan undi akan mengambil sedikit masa, jadi mungkin keputusan penuh diumumkan pukul 2 petang," katanya.

Bagi pemilihan hari ini, penyandang Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan berdepan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah bagi jawatan nombor dua parti.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula kekal sebagai Presiden PAS tanpa dicabar. Sementara ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub ditentang oleh Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat Datuk Abu Bakar Chik.

Dari mood perwakilan tadi, ramai yang menjangkakan Mohamad Sabu akan tewas dalam perebutan tempat nombor dua parti itu. Manakala bagi kerusi Naib, dua calon Ulama, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abu Bakar Chik dijangka menang.-22/11/2013(Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 10.49 am on November 23,2013.

Wan Ahmad nafi terlibat Projek IC

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) hari ini menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau terlibat dalam ‘Projek IC’ dan memegang jawatan sebagai Pengerusi SPR Sabah sebagaimana yang dinyatakan dalam dua artikel terbitan akhbar Harakah pada Februari lalu.

Ini kerana, menurutnya, beliau bukan sahaja tidak terlibat secara langsung atau sebaliknya malah, tidak pernah berkhidmat di negeri itu.

Namun, ekoran daripada penerbitan artikel bertajuk, ‘Wan Ahmad tak boleh dipercayai’ dan ‘Ragu peranan SPR-Wan Ahmad Omar mesti letak jawatan’ dalam Edisi Jumaat bertarikh 1-3 Februari 2013 itu, Wan Ahmad mendakwa, reputasi dan kredibilitinya telah terjejas dengan teruk bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan malahan juga di luar negara.

Beliau juga menyatakan, pernah diaibkan seorang penonton yang menuduhnya sebagai tidak bertanggungjawab dan didesak meletakkan jawatan dalam rancangan ‘Hello Malaysia’ yang ketika itu disiarkan secara langsung di televisyen.

Selain itu, Wan Ahmad, 65, memberitahu, adalah mustahil untuk menganggap Wan Ahmad Wan Omar yang dinyatakan dalam artikel terbitan akhbar lidah rasmi Pas itu sebagai individu yang berlainan kerana terdapat seorang sahaja yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi SPR Malaysia atas nama itu iaitu diri beliau. 

Wan Ahmad berkata demikian dalam pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman fitnahnya yang difailkan atas kapasiti persendirian terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, yang bermula hari ini. 

Turut dinamakan dalam saman yang difailkan pada 5 Mac lalu ialah Setiausaha Agung Pas dan pemegang permit Harakah, Datuk Mustafa Ali; syarikat percetakan Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman serta wartawan Harakah, Aziz Muda sebagai defendan kedua hingga kelima.
Sewaktu disoal balas oleh peguam defendan, Mohamed Hanipa Maidin, Wan Ahmad tidak bersetuju bahawa kredibiliti sebagai Timbalan Pengerusi SPR sememangnya telah dipersoal sebelum penerbitan artikel tersebut.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.37 am on November 23,2013.

Keputusan Kes Saman Harakah 30 Disember

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Kes saman fitnah oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan lidah rasmi Pas, Harakah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk keputusan pada 30 Disember ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong menetapkan tarikh tersebut selepas peguam Azhana Mohd. Khairudin memaklumkan bahawa pihak defendan menutup kes mereka setelah Mohamad yang merupakan saksi tunggal mereka selesai memberi keterangan.

Terdahulu, Mohamad, 59, atau Mat Sabu melalui pernyataan saksinya memberitahu, kenyataan yang diberikannya kepada Harakah dibuat dengan niat baik (bona fide) demi kepentingan awam.

Oleh itu, beliau yang berkecimpung dalam dunia politik sejak kecil lagi menyatakan, segala kenyataannya dalam dua artikel bertajuk, Wan Ahmad tak boleh dipercayai dan Ragu peranan SPR-Wan Ahmad Omar mesti letak jawatan yang disiarkan dalam Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013 bukan suatu fitnah.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Wan Ahmad selaku pihak plaintif atas kapasiti persendirian.

Selain Mohamad, plaintif menamakan Setiausaha Agung Pas dan pemegang permit Harakah, Datuk Mustafa Ali; syarikat percetakan Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman serta wartawannya, Aziz Muda sebagai defendan kedua hingga kelima.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Wan Ahmad, Mohamad mengakui bahawa pada waktu 'Projek IC' berlaku di Sabah, Wan Ahmad bukanlah Pengerusi SPR di negeri terbabit tetapi seorang individu bernama Wan Ahmad Wan Yusof.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa segala dakwaan yang dibuat ke atas Wan Ahmad Wan Omar adalah berlandaskan jawatan plaintif ketika itu iaitu Setiausaha SPR Malaysia.

Mohamad turut mengakui beliau tidak pernah membuat sebarang siasatan berhubung dakwaan Wan Ahmad Wan Omar terlibat dalam 'Projek IC' yang memberikan kad pengenalan biru kepada pendatang asing. 

Defendan pertama itu juga bersetuju dengan cadangan Wan Azmir bahawa sekiranya dakwaannya itu tidak benar, artikel yang telah diterbitkan oleh Harakah itu telah memalukan plaintif.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.29 am on November 23,2013.

Hakim Mohtarudin tarik diri dengar rayuan Anwar



Mohtarudin Baki
PUTRAJAYA 22 Nov. - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wira Mohtarudin Baki hari ini menarik diri daripada panel tiga anggota mahkamah itu bagi mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan dua pertuduhan dihadapinya mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu menyertai perhimpunan Bersih 3.0 tahun lepas.

Hakim Mohtarudin berkata, beliau dan Anwar 'berkongsi besan' dan berikutan hubungan peribadi itu, mereka pasti akan bertemu dalam mana-mana kenduri.

''Saya berasa tidak selesa untuk mendengar rayuan ini. Saya ingin menarik diri,'' kata beliau.

Panel yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dijadual mendengar rayuan Ketua Pembangkang itu hari ini tetapi pendengaran itu dijadualkan semula ke 5 Februari tahun depan selepas Hakim Mohtarudin menarik diri.

Seorang lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Rohana Yusuf. Hakim Balia berkata rayuan itu akan didengar panel baharu Mahkamah Rayuan.

Anwar, 66, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan yang dihadapinya mengikut Akta Perhimpunan Aman. 

Pada 22 Mei tahun lalu, Anwar dituduh telah melanggar perintah mahkamah dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April tahun lepas.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dan Ketua PKR Cawangan Rembau, Badrul Hisham Shaharin turut menghadapi pertuduhan sama.

Mereka juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat dengan tiga individu melanggar perintah mahkamah yang melarang sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka pada hari berkenaan, dengan mereka didakwa menghasut R. Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim. - Bernama(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10,.21 am on November 23,2013.

Sperma: Keputusan batal saman warga Bosnia 31 Dis


Chung Shun Yee, Ervin Ahbabovic
KUALA LUMPUR 22 Nov. - Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini menetapkan 31 Disember ini keputusan permohonan seorang wanita untuk membatalkan saman bekas kekasihnya warga Bosnia berhubung dakwaan mempergunakan sperma lelaki itu untuk mendapatkan anak daripada genetik orang Eropah yang dikatakan berkualiti tinggi.

Hakim Timothy Finlyson Joel memutuskan demikian setelah mendengar hujahan peguam James Ee Kah Fuk yang mewakili Chung Shun Yee, 29, dan peguam Nasir Yusof yang mewakili lelaki Bosnia itu, Ervin Ahbabovic, 41, selama lebih dua jam di kamar hakim petang ini.

James yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihaknya memfailkan permohonan membatalkan saman itu kerana kes terlibat tidak mempunyai sebab tindakan dan tiada kes undang-undang.

Walau bagaimanapun Nasir berkata, kes yang sama telah wujud di negara Komanwel seperti Kanada pada tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, Shun Yee dan Ahbabovic tidak hadir di mahkamah. Pada 3 September lalu, Ahbabovic mengemukakan saman untuk menuntut ganti rugi RM600,000 terhadap Shun Yee yang didakwa telah mempergunakannya untuk mendapat sperma bagi memperoleh anak daripada genetik yang lebih baik dan cantik.

Ahbabovic selaku plaintif mendakwa, Shun Yee beranggapan genetik orang Eropah mempunyai kualiti yang tiada tandingan berbanding hasil daripada benih warga tempatan.

Lelaki itu juga mendakwa, keinginan seksualiti teman wanitanya melangkaui kadar biasa malah sering ingin melakukan seks enam kali sehari yang mana setiap sesi mencapai tempoh sejam.

Warga Bosnia itu mendakwa telah menjalinkan hubungan dengan wanita terbabit sejak 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun namun dia kemudian dihalau oleh Shun Yee dari rumah. 

Dakwanya, bekas kekasihnya itu turut menafikan hak untuk mendapatkan wang simpanan mereka yang disimpan oleh wanita itu.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM600,000 bagi penggunaan sperma secara salah, selain memohon disahkan dan didaftarkan sebagai bapa dalam sijil kelahiran anak serta memohon diperakui dan dihargai kewujudannya selaku bapa kepada anak melalui penyiaran iklan di tiga surat khabar arus perdana berlainan bahasa.

Namun pada 1 Oktober lalu, Shun Yee dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, dia telah diugut bunuh beberapa kali sekiranya tidak mengikut arahan plaintif selain lelaki itu turut mengugut membunuh anggota keluarganya.

Dia mendakwa berasa tertekan dengan tindakan lelaki itu yang sering meminta wang untuk kegunaan peribadinya kerana tidak mempunyai pekerjaan.

Shun Yee mendakwa, Ahbabovic mempunyai beberapa rekod jenayah lampau di mahkamah antaranya memandu dalam keadaan mabuk, kesalahan cabul dan kes perceraian dengan bekas isterinya.

Menurutnya, dakwaan Ahbabovic terhadapnya mengenai pengunaan spermanya adalah dakwaan yang sangat tidak bermoral, menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan polisi awam. (Utusan online-Mahkjamah).Posted by aabnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com. at 10.07 am on November 23,2013.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang langgar disiplin parti?

BUTTERWORTH 22 Nov. - Penafian Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man berhubung wujud campur tangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam urusan hal ehwal agama Islam di negeri ini dianggap sebagai satu tamparan kepada ahli akar umbi Pas.

Sambil mempersoalkan tindakan Mohd. Salleh yang dianggap pelik dan menongkah arus, aktivis Pas, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, perbuatan itu boleh diibaratkan sebagai ‘memukul’ ahli-ahli Pas dari belakang yang sebelum ini telah menyuarakan pendirian mereka demi maruah dan masa depan parti. 

“Apa sebenarnya niat Mohd. Salleh mengeluarkan kenyataan yang bercanggah? Perkara yang dibangkitkan dalam sidang akhbar oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas, Muhammad Fauzi Yusoff merupakan suara ahli akar umbi Pas negeri dalam mesyuarat cawangan pada 14 November lalu.

"“Mengapa beliau mempertahankan DAP dan adakah kerana mahu jadi ahli parti itu? Bagi saya penafian yang dibuat tidak bermaruah," katanya di sini hari ini.

Mohamed Hafiz berkata demikian sebagai mengulas penafian Mohd. Salleh bahawa wujud kemelut yang melanda Pas dengan pentadbiran kerajaan negeri malah akan mengkaji secara teknikal untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang melaporkan perkara berkenaan.

Selain meminta supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran hal ehwal agama Islam, Pas negeri juga memohon supaya bilangan ahli dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai bagi kuota Pas ditambah, kuasa penuh untuk melantik Jawatankuasa Kerja Kampung di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ditandingi Pas serta kuota ahli lembaga pengarah dalam anak-anak syarikat milik kerajaan negeri selain mengancam akan menolak semua jawatan sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Mengulas lanjut Mohamed Hafiz berkata, penafian tersebut menunjukkan Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir telah melanggar disiplin parti kerana membuat kenyataan mengelirukan.

“Selama ini beliau bercakap tentang disiplin tetapi saya berasa pelik kenapa sanggup menafikan pendapat dan suara akar umbi dan pendirian Pas negeri?

Saya harap beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada Pas Pusat," katanya. Mohamed Hafiz turut berkata, beliau menyokong pendirian Dewan Ulama Pas dalam muktamar Pas yang mahu menyemak semula konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan DAP dan PKR dari semasa ke semasa.

“Mengambil kira perkembangan yang berlaku di negeri ini, keputusan untuk semak semula perlu. Ini kerana perjuangan Pas berasaskan Islam dan jika mereka terus bersekongkol dengan DAP dan PKR, agenda perjuangan Islam akan terbengkalai.

Sementara itu, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamed Nordin Mohd. Nor berkata, Pas tidak akan berasa dipinggirkan seperti sekarang jika mereka tidak memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR sebelum ini.

“Kerjasama itu telah merosakkan perjuangan Islam yang dibawa Pas selama ini. Yang lebih dibimbangkan ialah kini Pas dirosakkan dari dalam.

“Kita lihat sekarang hanya berapa orang ulama berada dalam kepimpinan Pas Pusat sedangkan yang lain merupakan individu atau pemimpin yang telah diatur dan mahu meneruskan agenda pihak tertentu dari luar parti," katanya.(Utusan online-politikj).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 9.34 am on November 23,2013.

Shafee Abdullah tetap ketuai team pendakwa rayuan kes liwat Anwar

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
KHAMIS, 21 NOVEMBER 2013.Peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tetap akan muncul sebagai ketua team pendakwa dalam rayuan terhadap pembebasan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan Saiful Bukhari Azlan.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan Khamis menolak rayuan Anwar yang mempertikai kelayakan Shafee tangani kes rayuan terhadapnya.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya akan mendengar kes rayuan berkenaan pada 11 dan 12 Disember ini. 

Dalam penghakimannya, Md Raus yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordi, berkata tidak ada alasan yang munasabah bagi melucutkan kelayakan Muhammad Shafee daripada tampil sebagai pendakwa raya dalam kes itu.

Md Raus berkata isu yang dibangkitkan peguam Karpal Singh bahawa Muhammad Shafee tidak boleh tampil sebagai pendakwa raya kerana merupakan saksi penting pada perbicaraan kes liwat Anwar, bukan isu kerana pihak pendakwaan dan pembelaan telahpun memutuskan beliau bukanlah seorang saksi yang relevan.

Md Raus juga berkata hujah Karpal Singh bahawa pelantikan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya adalah terbatal kerana Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah tidak lagi terpakai, tidak mempunyai merit. 

Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara secara ‘fiat’ untuk mengetuai pendakwaan mengikut Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah serta Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. 

Surat pelantikan beliau ditandatangani Peguam Negara pada 2 Julai tahun ini. Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar, 66, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang memutuskan terdapat penetrasi zakar namun fakta itu tidak disokong bukti lain.

Oleh itu, Mohamad Diah berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang kewibawaan sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana ia mungkin diganggu sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.(Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1636 hrs on November 22,2013.

Thursday, November 21, 2013

Alvin,Vivian gagal ketepi pertuduhan

ALVIN Tan (depan) dan Vivian Lee (kanan) bersama peguambela mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RIDUAN RIZAL AHMAD

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan bahawa mereka menyebabkan timbulnya perasaan permusuhan dalam kalangan masyarakat berlainan agama.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian setelah mendapati tiada merit dalam permohonan Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, dan Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah terpakai untuk semua penganut agama lain.

"Sepintas lalu membaca peruntukan berkenaan amat jelas sejelas gelas kristal bahawa peruntukan tersebut langsung tidak menyebut secara khusus bahawa peruntukan itu dituju khas kepada penganut beragama Islam.

"Perkataan-perkataan yang digunakan professing the same or different religions (menganut agama yang sama atau berlainan) menunjukkan peruntukan itu terpakai bukan sahaja kepada penganut agama Islam malahan terpakai kepada penganut agama-agama atau kepercayaan yang lain juga,'' kata beliau.

Kata hakim berkenaan lagi, seksyen tersebut adalah undang-undang yang baik (good law) dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak wajar dibatalkan di bawah Perkara 4(1) perlembagaan itu.

"Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan itu adalah terpakai, sah dan berkuat kuasa secara sejagat tanpa mengira bangsa, keturunan ataupun agama yang dianuti oleh seseorang dan terpakai terhadap pemohon-pemohon ini (Alvin dan Vivian),'' katanya.

Pada 21 Ogos lalu, pasangan itu memfailkan permohonan untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi mereka kerana mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka, dengan alasan sekiranya pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai ke atas orang Islam.

Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini pada pukul 10.48 malam, 7 Julai lalu.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Hafizza Jemali manakala pasangan itu diwakili peguam, Chong Joo Tian.

Sementara itu di luar mahkamah, Alvin yang ditemani Vivian membuat permohonan maaf sekali lagi terhadap perbuatan mereka itu selain rasa kesal terhadap perbuatan tersebut dan tidak berniat untuk menyakiti hati mana-mana pihak.

"Kami ingin memohon maaf sekali lagi dan kami pasti tidak akan melakukan lagi perbuatan itu,'' katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Joo Tian memberitahu akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dan akan mengemukakan surat representasi kepada Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan. 

Pasangan penulis blog itu turut menghadapi pertuduhan menerbitkan penerbitan sama yang didakwa menghasut dalam Facebook di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Perbicaraan terhadap pasangan itu telah ditetapkan pada 5 dan 6 Disember ini di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

(Utusan online-Mahkamah).Posted b y abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 1535 hrs on November 22,2013.

PAS parti tidak berpendirian kerana gagal tetapkan prinsip

Mohd Syamsul Mohd Yusoff
KOTA BHARU 21 Nov. - Pas terus dilihat sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai pendirian apabila pemimpinnya gagal menetapkan prinsip serta dasar perjuangan mereka.

Pengerusi Biro Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, perkara itu terbukti apabila Dewan Muslimat Pas mempertahankan tahaluf siyasi meskipun Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Harun Taib sebelum ini menggesa supaya konsep itu dikaji semula.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan Pas lebih mengutamakan kedudukan politik berbanding agama dan kesejahteraan umat Islam sejagat.

"Jika Pas benar-benar ikhlas memperjuangkan agama, mereka seharusnya lebih beretika dan tegas dengan prinsip-prinsip perjuangannya.

"Mungkin mereka boleh mengatakan tahaluf siyasi itu mengukuhkan parti tetapi bagaimana pula kesannya terhadap agama dan bangsa, sedangkan pimpinan Pas sendiri akui sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu merosot pada pilihan raya umum lalu.

"Dalam aspek agama pula, apa yang boleh mereka buktikan kepada rakyat sepanjang bertahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang. Apa yang jelas sekutunya (DAP) tetap tidak menerima dasar Islam dibawa Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd. Yusoff menerusi ucaptamanya sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Pusat semalam menganggap konsep tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang semakin mengukuhkan kedudukan Pas dalam landskap politik negara.

Sebelum ini, Harun pernah mencadangkan agar konsep tersebut dikaji semula berikutan sokongan pengundi Melayu terhadap Pas merosot dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Harun sekali lagi mengulangi gesaannya supaya parti itu menilai konsep tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang ekoran kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya pendaftaran parti Islam tersebut dibatalkan.

Mengulas lanjut, Mohd. Syamsul berkata, Pas seolah-olah masih ingin mempertahankan DAP biarpun Karpal telah beberapa kali mencetuskan kontroversi yang mengaitkan Pas, selain menyentuh sensitiviti agama.

Beliau berkata, Pas seakan-akan lupa akan perintah Allah di dalam al-Quran mengenai ciri-ciri orang munafik yang mengambil orang bukan Islam kalangan harbi sebagai teman rapat atau penasihat dan meninggalkan orang beriman.

Mohd. Syamsul tidak menafikan Islam tidak pernah menghalang konsep tahaluf siyasi dilaksanakan bersama bukan Islam asalkan tidak bercanggah dengan lunas-lunas Islam sebenar. "Allah ada menyebut di dalam al-Quran iaitu

"Kamu jangan duduk bersama dengan mereka (bekerjasama) sehingga membicarakan hal-hal yang lain, sekiranya kamu duduk juga dengan mereka maka kamu adalah sama seperti mereka.

"Maknanya, selagi mereka (bukan Islam) tidak menyentuh sensitiviti agama kita boleh bekerjasama, tetapi kalau sebaliknya kita wajib mufarakah tahaluf siyasi itu," katanya.(Utuisan online-politik).Posted  by7 abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1459 hrs on No
vember 22,2013.

Wednesday, November 20, 2013

Ketua pembangkang seperti cacing kepanasan

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini diibaratkan seperti 'cacing kepanasan' setelah tidak dapat membuktikan dakwaan pembangkang berhubung pembabitan sebanyak 40,000 warga asing yang mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Ketua Pemuda UMNO,Khairy Jamaluddin(gambar kiri) berkata, atas sebab itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan terpaksa menafikan dakwaan berniat jahat berkenaan sambil menuding jari kepada pihak lain. 

"Apa asas dia menafikannya apabila lidah rasmi PKR, Suara Keadilan turut menyiarkan gambar yang seolah-olah cuba mengaitkan warga Bangladeshdengan pilihan raya umum di negara ini?

"Mereka kata kononnya warga Bangladesh itu tidak tahu menyanyi lagu Negaraku dan sebagainya tetapi akhirnya mereka malu apabila 'Bangla' yang dituduh mereka itu adalah ahli mereka sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mempersoal taktik politik Anwar yang gemar melakukan tuduhan-tuduhan tanpa sebarang bukti berasas.

Katanya, rakyat perlu berwaspada terhadap permainan politik kotor yang ingin diwujudkan pembangkang terutama dalam mencipta pelbagai persepsi negatif berhubung kerajaan demi kepentingan mereka semata-mata.

"Soal warganegara mana tidak penting, yang penting adalah pembuktian. Adakah mereka dapat membuktikan tuduhan itu? Tidak, mereka hanya memanipulasikan isu, itu sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mencabar Anwar supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan BN membawa masuk sebanyak 40,000 warga asing untuk mengundi. 

Katanya, jika enggan, Anwar perlu menafikan dakwaan yang dibuat pembangkang tersebut. "Sekiranya Anwar mahu menafikan dakwaan pembangkang sebelum ini, maka saya menggesa beliau membuat laporan polis berhubung perkara ini.

"Saya ingin penjelasan daripada Anwar sama ada beliau mahu menafikan tuduhan pembangkang sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 12.42 am on November 21,2013.