Sunday, October 14, 2012

PM penuhi undangan Presiden Filipina

Oleh Ramli Abd. Karim

NAJIB Tun Razak melintasi barisan kehormat Tentera Udara Filipina sejurus tiba di Pangkalan Udara Villamor, Bulwagang Kalayaan, Manila bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Filipina, semalam. 

MANILA 14 Okt. - Perdana Menteri tiba di sini petang ini bagi lawatan rasmi pertamanya selama tiga hari ke negara ini dan memenuhi undangan Presiden Benigno Aquino III untuk bersama-sama menyaksikan upacara menandatangani rangka kerja perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) esok.

Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Pangkalan Udara Villamor di sini pukul 4.10 petang ini.

Mereka disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Setiausaha Luar Filipina, Albert F. Del Rosario; Duta Filipina ke Malaysia, J. Eduardo Malaya; dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di sini, Zakaria Nasir.

Esok, Perdana Menteri akan mempunyai jadual ketat bermula dengan mengunjungi Tugu Peringatan Rizal di Taman Luneta sebelum diberi sambutan rasmi di pekarangan Istana Malacanang, diikuti pertemuan empat mata dengan Presiden Aquino III di Dewan Presiden di istana itu.

Kedua-dua ketua kerajaan akan menghadiri mesyuarat hubungan dua hala bersama-sama delegasi termasuk Anifah; Ahmad Zahid; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Musa.

Najib dan Presiden Aquino III kemudian akan mengeluarkan kenyataan bersama berkaitan hubungan kedua-dua negara sebelum Presiden Filipina itu meraikan Perdana Menteri dan delegasi dalam satu majlis makan tengah hari. Pada kira-kira pukul 1.30 petang,

Perdana Menteri dan Presiden Aquino III akan ke Dewan Rizal di istana yang sama untuk menyaksikan upacara menandatangani rangka kerja penjanjian damai antara kerajaan Filipina dan MILF.

Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam Antarabangsa (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu dijadual turut menyaksikan upacara bersejarah itu.

Sementara itu, Anifah yang ditemui wartawan Malaysia di sini berkata, peranan Malaysia sebagai pengantara adil dalam perundingan antara kerajaan Filipina dan MILF selepas ini akan diteruskan walaupun rangka kerja perjanjian damai kedua-dua pihak akan ditanda tangani esok.

Menurutnya, peranan Malaysia selepas ini akan bergantung kepada butiran rangka kerja perjanjian damai tersebut. “Kita berharap perjanjian damai ini akan dipatuhi oleh kedua-dua pihak.

Dalam hal ini kita yakin kedua-dua pihak jujur untuk mencapai misi perdamaian yang diusahakan selama ini," katanya.

Dalam pada itu, pada sebelah petang esok, Najib akan mengadakan dialog dengan ahli-ahli perniagaan tempatan di sebuah hotel di sini sebelum menghadiri Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia pada malamnya. - (UTUSAN ONLINE).Posted b y abnmulya at 1408 hrs on October 15,2012.

No comments: