Saturday, August 31, 2013

Pembangkang tidak ikhlas berdailog

Datuk Seri Tengku Adnan,Setiausaha Agung Umno.
PUTRAJAYA 31 Ogos - Pembangkang tidak pernah ikhlas dalam setiap perbuatan dan perkataan mereka sekaligus memberi mesej jelas kepada kerajaan supaya tidak melayan cadangan berdialog yang disuarakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, permintaan Anwar itu tidak rasional kerana beliau sebelum ini menolak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dilaksana secara adil.

"Adakah terdapat sebarang perkara yang ingin dibincangkan?

"Semua perkara adalah berkisar kepada politik dan kalau beliau (Anwar) mahukan perbincangan bawalah perkara itu ke Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan 10 tahun Cruise Tasik Putrajaya (CTP), di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Anwar sempena mesej Hari Kemerdekaan supaya diadakan sebuah dialog terbuka yang akan berlangsung secara telus antara kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu kebangsaan yang perlu ditangani.

Yang hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat dan ketua Pegawai Eksekutif CTP, Zaharah Salamat.

Dalam masa sama, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut mempersoal tindakan Anwar mengajak kerajaan berdialog sekarang tetapi tidak mencadangkan kaedah sama ketika mempertikai keputusan pilihan raya umum lalu.(Utrusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal. blogspot. com.,at 10.49 am on Sept,01,2013.

Anwar tidak layak berdailog

Oleh HUSSAINI AMRAN 
pengarang@utusan.com.my 

Senator Ezam Mohd Nor
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak berdialog dengan kerajaan berhubung isu-isu kebangsaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor berkata, kenyataan terbaharu Anwar itu adalah muslihat politik beliau yang kini bankrap modal dan terdesak.

Justeru, beliau meminta Anwar agar tidak mencemari kemuliaan Hari Kemerdekaan dengan muslihat politik murahan 'sang pengkhianat'.

"Setelah menghina institusi negara, pemimpin negara di dalam dan di luar negara, Anwar 'sang pengkhianat' tidak layak untuk duduk berdialog dengan kerajaan.

"Apa yang harus beliau lakukan dahulu adalah meminta maaf kepada seluruh rakyat negara ini, raja-raja Melayu dan ulama khususnya atas keterlanjuran membiarkan nafsu serakah politik beliau untuk menjadi Perdana Menteri sehingga merosakkan banyak perkara di negara ini," katanya di sini hari ini.

Ezam mengulas cadangan Anwar supaya diadakan dialog terbuka antara kerajaan dengan pakatan pembangkang bagi membincangkan isu-isu kebangsaan yang perlu ditangani.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman meminta kerajaan tidak melayan cadangan Anwar yang disifatkan sebagai tidak ikhlas.

"Anwar cuma bermain politik dan kita tidak sepatutnya terperangkap dengan permainan politik beliau," katanya.

Beliau berkata, Anwar mungkin ada muslihat tersembunyi di sebalik cadangan itu memandangkan segala usahanya menarik simpati rakyat sebelum ini tidak berhasil.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya/ Bakar Ninggal.blogspot.com.,at10.34 am on Sept,01,2013.

PAS minta pemimpin DAP tonton Tanda Putra

YB. Datuk Takiyuddin Hassan
KOTA BHARU 31 Ogos - Pas menasihatkan pemimpin-pemimpin DAP dan semua pihak yang membuat bantahan supaya menonton filem Tanda Putera terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang komen negatif atau mengambil tindakan drastik menghalang tayangannya.

Timbalan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, filem arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba itu merupakan salah satu medium terbaik menyebarkan fakta sejarah kepada generasi pasca merdeka, sekali gus yakin semua pihak yang terlibat dalam pembikinannya melakukan kajian terperinci.

Menurutnya, pihak yang berasakan terdapat kesilapan dalam pembikinan Tanda Putera selepas menonton filem itu boleh membincangkannya secara membina untuk diperbetul bagi kepentingan generasi akan datang. 

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyiarkan filem itu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara atau lokasi khusus bagi semua pemimpin menontonnya dan membuat penilaian.

"Bagi saya filem itu berasaskan fakta sejarah, jadi semua pihak yang terlibat dalam pembikinannya mesti membuat kajian, buat satu cerapan mengenai fakta-fakta yang mahu dipertontonkan sama ada di peringkat penulis skrip, pengarah atau penerbit.

"Saya yakin kajian sudah dibuat sebab jika tidak dan fakta itu salah, maka akan dikritik, ditohmah dan macam-macam lagi kerana kita tahu sejarah tidak boleh diubah. Cuma untuk berlaku adil saya mencadangkan tontonlah dulu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Filem itu sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melarang tayangannya di negeri ini kerana mendakwa terdapat babak yang berbaur perkauman.

Walau bagaimanapun, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kemudiannya menyatakan beliau tidak pernah menghalang tayangannya sebaliknya hanya menasihatkan pengusaha panggung wayang di negeri tersebut berbuat demikian.

Mengulas mengenai arahan Guan Eng itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mengakui beliau turut keliru dengan kenyataan bercanggah Ketua Menteri berkenaan.

Sementara itu, mengulas cadangannya supaya semua Ahli Parlimen dan Senator dipertontonkan filem tersebut, menurut Takiyuddin, usaha tersebut boleh dilakukan bagi memberi peluang kepada semua pihak menyatakan pandangan dan kritikan.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya/ Bakar Ninggal blogspot.com., at 10.29 am on Sept,01.2013.

Friday, August 30, 2013

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 meriah

Kuala Lumpur 31 Ogos 2013.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak/Isteri mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 bertemakan"Malaysia Berdaulat:Tanah Tumpahnya Darahku" di Dataran Merdeka,di sini pagi ini.
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 di Dataran Merdeka hari ini diadakan dengan penuh kemeriahan, warna warni dan disemarakkan dengan semangat patriotisme tinggi dan penghargaan untuk perajurit negara.

Ribuan rakyat tempatan dan warga asing hadir membanjiri Dataran Merdeka seawal 7 pagi untuk menyaksikan perarakan sambutan tahun ini yang bertemakan 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'.

Sambutan dimulakan sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada pukul 8 pagi, yang disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Baginda kemudian membuat pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohamad Abdullah.

Ini diikuti nyanyian Negaraku dan menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan 14 das tembakan kehormat yang melambangkan 14 negeri dalam Malaysia oleh 41 bateri rejimen artileri diraja.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar oleh 56 peserta pelbagai kaum yang terdiri daripada pelajar, guru, siswazah, penjawat awam, anggota keselamatan serta orang kelainan upaya.

Bacaan ikrar diketuai oleh pelajar dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Muhammad Amal Mohd Yadzan.

Berlainan sebelum ini, acara pembarisan dan perarakan tahun ini dikaitkan dengan tema sambutan, yang memberi penghormatan kepada pengorbanan para pejuang menentang pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mempertahankan kedaulatan negara.

Berkonsepkan Patriotik, Perpaduan dan Kedaulatan Negara, perarakan tahun ini bertujuan menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyat sentiasa sedia mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan.

Seramai 15,280 peserta dari 56 kontinjen menyertai persembahan tahun ini yang melibatkan empat segmen iaitu ‘Malaysia Tanah Airku’, Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteraan Bersama dan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpah Darahku.

Segmen-segmen berkenaan melibatkan persembahan daripada 23 kontinjen kawad, 16 kumpulan pancaragam, aset dari lima badan keselamatan, lima persembahan padang termasuk Skuadron Istiadat Berkuda dan dua persembahan udara melibatkan pesawat pejuang jenis Sukhoi 30MKM, MIG 29 dan FA 18/D Hornet. - BERNAMA( Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal. blogspot. com.,at 1418 hrs on Ogos 31,2013.

Bersatu padu mempertahankan kedaulatan

ORANG ramai pelbagai kaum meraikan ambang merdeka dalam Majlis Perasmian Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Raya Merdeka 2013 di Stadium Hang Tuah Melaka, malam tadi. - UTUSAN/ GAIE UCHEL 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat untuk kekal bersatu demi mempertahan kedaulatan Malaysia yang sejak puluhan tahun menjadi negara yang merdeka serta bebas daripada cengkaman penjajahan asing.

Dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan Ke-56 yang disambut esok, Perdana Menteri menegaskan kini bukanlah masa untuk rakyat Malaysia berpecah belah.

"Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional," kata Najib ketika menyampaikan perutusan itu yang disiarkan stesen televisyen tempatan malam ini.

Beliau menarik perhatian bahawa memiliki kedaulatan bermaksud rakyat Malaysia sendiri berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara.

"Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Acara perbarisan Hari Kemerdekaan tahun ini yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini esok, dengan acara Ambang Merdeka 2013 menunggu detik 12 malam tanda tibanya 31 Ogos di Pusat Maritim, Putrajaya malam ini.

Najib seterusnya mengambil kesempatan untuk mengingatkan rakyat bahawa kedaulatan sebagai faktor yang menunjang Malaysia sebagai sebuah negara, tidak datang secara bergolek.

"Telah banyak keringat mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, dan bersinambung sampai sekarang," katanya.

Justeru, Najib berkata, sambutan kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat kerana lebih daripada itu, ia perlu disulami dengan penghayatan mendalam.

"Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti kita telah melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya" kata Perdana Menteri.

Kata Najib, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan ialah sejauh mana kejayaan yang dicapai sehingga kini dalam mempersiap dan mempersembahkan sebuah Malaysia progresif untuk ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

Menurutnya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan supaya generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya menjadi celik sejarah. Anak-anak muda, kata Perdana Menteri, perlu terus dibimbing, dipersiap dengan jati diri dan diperteguh semangat patriotisme mereka.

"Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar," katanya. - BERNAMA(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya/ Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 1406 hrs on Ogos 31,2013.

1 Juta pengguna air Lembah Kelang terjejas

Oleh AZIAN AZIZ pengarang@utusan.com.my
Beginilah keadaan sungai yang dicemari tumpahan minyak diesel di Rawang, Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 30 Ogos - Empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) di negeri ini terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang dekat sini pagi ini.

Penutupan sementara operasi di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang itu dijangka menjejaskan bekalan air kepada 240,000 akaun atau hampir sejuta orang pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Sehubungan itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah bagi tujuh wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula pukul 4 petang ini dan meletakkan kakitangannya dalam keadaan bersedia untuk mengurus gangguan dan bantuan bekalan air kepada pengguna terlibat.

Tiga kawasan yang tidak terjejas ialah Sabak Bernam, Hulu Langat dan Sepang. Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, operasi empat loji terlibat terpaksa dihentikan bermula pukul 8 pagi ini kerana tumpahan diesel yang dipercayai berpunca daripada sebuah bengkel menyebabkan pencemaran sumber air kepada empat loji berkenaan. 

Untuk makluman ujar beliau, keempat-empat LRA itu mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 2,670 juta liter sehari (JLH) iaitu 57 peratus daripada jumlah permintaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Jika penutupan operasi loji rawatan air ini berlarutan untuk tempoh yang lebih lama, sebahagian pengguna terlibat dijangka mengalami tekanan air rendah dan gangguan bekalan air terutamanya yang berada di penghujung sistem agihan bekalan air dan di tempat tinggi atau dengan simpanan kecil.

"Sehubungan itu, pengguna pada masa kini hanya bergantung kepada simpanan air terawat yang ada di kolam-kolam imbangan keempat-empat loji rawatan dan kolam-kolam perkhidmatan Syabas yang berada setiap kawasan pengguna.

"Operator loji-loji berkenaan kini sedang memantau keadaan bagi memastikan air yang tercemar tidak mengalir masuk ke loji rawatan air supaya setiap LRA dapat beroperasi semula dengan kadar segera apabila pencemaran diatasi," kata beliau kepada pemberita di LRA Muka Sauk Fasa II Bukit Badong, Bestari Jaya di sini petang ini.

Menurut Abdul Halem lagi, dengan rezab kapasiti bekalan air terawat yang kecil iaitu sekitar satu peratus sahaja tetapi terpaksa menampung permintaan tinggi, penutupan operasi sementara LRA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang kali ini akan menyebabkan pemulihan mengambil masa agak lama walaupun setelah kesemua LRA beroperasi seperti sedia kala.

Kata beliau, tempoh masa yang diambil untuk keadaan bekalan air pulih sepenuhnya di semua kawasan terlibat adalah secara berperingkat dan Syabas menjangkakan kawasan tinggi dan jauh dari kolam air terutamanya adalah kawasan terakhir akan pulih sepenuhnya.

"Memandangkan kemungkinan gangguan bekalan air berlarutan dan melibatkan kawasan besar, Syabas akan menyediakan sebanyak 42 lori tangki air dan 525 tangki statik untuk tujuan ini.

"Bagaimanapun Syabas tidak dapat menyediakan sumber yang mencukupi bagi memenuhi keperluan semua pengguna terlibat kerana jumlahnya sangat ramai dan pengguna terlibat dinasihatkan agar bersabar dan menggunakan air untuk tujuan penting sahaja," nasihat beliau..(Utusan online--Dalam negeri).Posted b y abnmulya / Bakar NInggal.blogspot.com., at1309 hrs on Ogos 31,2013.

Thursday, August 29, 2013

TPPA boleh sebabakan negara alami krisis ekonomi-Dr.Mahathir

Bekas Perdana Menteri Malaysia,Tun Dr.Mahathir Mohamad

SHAH ALAM 29 Ogos - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) boleh menyebabkan negara sekali lagi terjerumus dalam krisis ekonomi Asia seperti yang berlaku pada 1997 dan 1998.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika kerajaan bersetuju menandatangani TPPA, negara mungkin akan hilang kawalan mata wang dan secara tidak langsung membuka ruang kepada perdagangan mata wang.

"Bila berlaku perdagangan mata wang, akan menekan mata wang kita dan kita akan jadi miskin. "Ini adalah salah satu sebab saya membantah TPPA kerana akan menyebabkan krisis mata wang sekali lagi.

Jadi, saya harap kerajaan tidak setuju dengan TPPA,''katanya kepada pemberita selepas melawat Red Carpet@i-City bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di sini petang ini.

Beliau mengulas kemungkinan negara-negara di rantau Asia sekali lagi berdepan krisis ekonomi pada 1997 dan 1998 jika TPPA dilaksanakan. Dr. Mahathir berharap kerajaan tidak perlu membuat pinjaman seperti yang berlaku di Greece.

"Saya dengar kerajaan sedang cuba mengurangkan defisit dan kerajaan perlu kaji kenapa ini berlaku?

"Saya harap kerajaan tidak membelanjakan terlampau banyak duit yang kita tidak ada sehingga menyebabkan kita perlu meminjam wang seperti yang berlaku di Greece.

Di Greece, mereka terus membelanjakan wang dan pada masa sama terus meminjam wang,'' katanya. (Utusan online-Dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com., at 11.42 am on Ogos 30,2013.

Kementerian rujuk Peguam Negara,Tanda Putera haram di Pulau Pinang-Bernama

AUGUST 29, 2013 LATEST UPDATE: 
AUGUST 30, 2013 02:54 AM

Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut berhubung keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang mengharamkan penayangan filem 'Tanda Putera'. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata pertemuan akan diadakan antara pihak kementerian dan Pejabat Peguam Negara bagi melihat mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan dengannya.

"Bidang kuasa memberi lesen kepada pawagam terletak pada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), (manakala) bidang kuasa sama ada sesuatu pawagam itu boleh dibuka, dibina dan sebagainya terletak pada kerajaan tempatan.

"Jadi, jika berlaku konflik seperti ini, kita akan lihat apakah perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dari perspektif undang-undang. Kita menghormati undang-undang, (dan) bagi kita, ini perkara baharu," katanya ketika mengulas pengharaman tayangan filem patriotik 'Tanda Putra' di Pulau Pinang.

Ditemui pemberita selepas menghadiri raptai sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini hari ini, beliau berkata Tanda Putera ialah filem berstatus wajib tayang di pawagam di seluruh negara tetapi apabila berhadapan dengan arahan daripada kerajaan tempatan, kementerian perlu melakukan sesuatu. 

Menyifatkan tindakan kerajaan Pulau Pinang itu tidak rasional, Ahmad Shabery percaya pihak berkenaan berfikiran sempit dan autoritarian kerana membuat keputusan drastik tanpa menonton dahulu filem itu.

"Filem ini akan ditayangkan nanti di televisyen kerajaan, cakera padat digital, Astro First dan lain-lain lagi. 

"Saya nak tahu juga adakah kerajaan Pulau Pinang akan haramkan orang menonton Astro dan televisyen supaya filem itu tidak masuk sempadan negeri tersebut," beliau berseloroh.

Ditanya kontroversi ini membantu melariskan sambutan terhadap filem itu, Ahmad Shabery percaya orang ramai akan mencari dan menonton filem itu dalam usaha ingin mengetahui apa cerita sebenarnya sehingga diharamkan di Pulau Pinang.

Filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Suhaimi Baba berkisar mengenai peristiwa 13 Mei 1969 dan menemui penonton di seluruh negara mulai hari ini. – Bernama, 29 Ogos, 2013.(The Malaysian Insider).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 11.36 am on Ogos 30,2013.


Iran pasang 1,000 lagi emparan nuklear

VIENNA 29 Ogos - Iran memasang kira-kira 1,000 emparan pengayaan uranium dan dijangka melakukan ujian pemasangan tersebut dalam tempoh terdekat, menurut laporan nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) turut melaporkan bahawa negara itu mula mengumpul bahan api untuk reaktor nuklear, sekali gus menimbulkan kebimbangan Barat jika Iran menghasilkan senjata nuklear. Iran, bagaimanapun menafikan laporan tersebut. - REUTERS(Utusan opnline-Luar negera).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 11.04 am on Ogos 30,2013.

OBAMA BELUM BUAT KEPUTUSAN

Penduduk Britain mengadakan tunjuk perasaan membantah cadangan tentera Barat untuk menyerang Syria di tengah London, kelmarin. - REUTERS 

WASHINGTON 29 Ogos - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama masih belum membuat keputusan, sama ada akan mengambil tindakan ketenteraan ke atas Syria atau tidak, namun Washington berkata, tindakan itu dijangka akan diteruskan jika usaha mendapatkan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung konflik di Syria menemui kegagalan.

Obama berkata, Washington telah menyimpulkan bahawa kerajaan Presiden Syria, Bashar al-Assad bertanggungjawab terhadap serangan senjata kimia dekat Damsyik pada minggu lepas.

Washington dijangka mendedahkan kepada umum laporan tentang serangan itu, yang mengorbankan lebih 1,300 rakyat Syria.

Apabila ditanya tentang keputusan sama ada AS akan mengambil tindakan ketenteraan akan melibatkan pelancaran peluru berpandu, Obama berkata:

''Saya masih belum membuat keputusan.'' Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa tindakan ketenteraan AS akan dibuat untuk memberi amaran keras supaya Syria tidak lagi mengulangi penggunaan senjata kimia. 

Obama mengaku serangan terhad yang dirancang oleh White House tidak akan menghentikan pembunuhan orang awam di Syria tetapi penglibatan negara ini dalam perang saudara di negara itu yang menyaksikan lebih 100,000 orang maut tidak akan membantu keadaan.

Pemimpin AS itu yang mahu legasi diingati sebagai menamatkan perang dan tidak memulakan perang melibatkan negara-negara asing, menegaskan bahawa adalah penting untuk menghantar mesej jelas bukan sahaja kepada Syria tetapi kepada seluruh dunia.

Terdahulu, Washington secara jelas menyatakan bahawa resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung pemberian asas undang-undang untuk mengambil tindakan ketenteraan cadangan Britain, tidak akan berjaya ekoran penentangan Rusia.

''Kami tidak melihat kejayaan usaha ini ekoran penentangan Rusia terhadap sebarang tindakan bermakna Majlis Keselamatan PBB terhadap Syria,'' kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara AS, Marie Harf. - AFP( Utusan online-Luar negara).Posted by abnmulya/Bakar Ninggal.blogspot.com., at 10.59 am on Ogos 30,2013.

Rusia hantar 2 kapal perang ke Laut Mediterranean

Gambar fail merakamkan kapal pelancar peluru berpandu Rusia, Moskva. Rusia dilapor akan menghantar dua kapal perangnya ke timur Laut Mediterranean. - AGENSI 

MOSCOW 29 Ogos - Rusia dilaporkan akan menghantar dua kapal perang ke timur Laut Mediterranean ketika kuasa Barat bersedia melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria ekoran dakwaan negara itu menggunakan senjata kimia dalam perang saudara di negara itu pada minggu lepas.

Agensi berita Interfax yang memetik sumber melaporkan kapal pelancar peluru berpandu dan kapal antikapal selam Rusia itu akan tiba di perairan tersebut tidak lama lagi kerana situasi 'yang sudah diketahui'. 

Bagaimanapun, tentera laut Rusia menafikan arahan tersebut mempunyai kaitan dengan konflik di Syria, sebaliknya menyatakan ia merupakan sebahagian daripada rutin bagi menyusun kapal-kapal di sana.

Tentera laut Rusia tidak pula memberikan maklumat lanjut mengenai jenis dan jumlah kapal yang terlibat dalam arahan tersebut.

Laporan awal Interfax menyatakan bahawa tujuan penghantaran kapal-kapal tersebut adalah untuk mengukuhkan kedudukan tentera laut Rusia di rantau tersebut dan bukan bagi menggantikan kapal yang sedia ada. - REUTERS (Utusan online-Luar Negara).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 10.49 am on Ogos 30,2013.

Irfan letak jawatan jurulatih Selangor

Oleh DHIYA'ZULHILMI DAUD 
sukan@utusan.com.my 
Irfan Bakti
KUALA LUMPUR - Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim membuat keputusan meletakkan jawatan ketua jurulatih Red Giants ekoran kegagalan gergasi bola sepak itu merangkul sebarang kejayaan dalam musim ini di samping menghuni tangga tercorot Kumpulan A kempen Piala Malaysia.

Jurulatih itu mengesahkannya sendiri kepada Utusan Malaysia yang dibuat dalam satu pertemuan khas sejurus beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada pengurus bola sepak Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pukul 5 petang, semalam.

Irfan pernah membimbing beberapa pasukan ternama antaranya Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Telekom Melaka, Perlis serta Terengganu.

Beliau berhijrah ke Selangor pada 2012 selepas berhasrat membantu juara Piala Malaysia 32 kali itu melunaskan 'Misi 33' mereka untuk mendakap Piala Malaysia selain kontraknya sebagai jurulatih skuad Sang Penyu itu telah tamat.

Beliau yang pernah membimbing kelab Indonesia, Persipura Jayapura pada 2006, menyifatkan keputusan yang dibuat bukanlah berpunca daripada desakan sesiapa, tetapi ia adalah rasa tanggungjawabnya terhadap kegagalan membawa Red Giants meraih sebarang gelaran selama dua tahun membimbing pasukan itu.

''Saya sedar tanggungjawab membimbing pasukan yang memiliki kejayaan hebat seperti Selangor bukanlah sekadar memberikan mereka gelaran naib juara Liga Super sahaja pada musim ini tetapi sekurang-kurangnya memiliki satu trofi untuk dibanggakan," katanya.

Irfan juga berharap tiada pihak membuat spekulasi berhubung tindakannya ini kerana beliau telah berfikir panjang selain mendapatkan restu bersama keluarga yang turut memberikan pandangan serta keizinan dalam mencapai keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Irfan turut berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terutama bekas setiausahanya, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad yang banyak memberi sokongan kepadanya sepanjang beliau berada bersama pasukan Red Giants dan juga kepada peminat bola sepak negeri itu.

"Kepada penyokong-penyokong Red Giants, teruskan sokongan padu anda kepada pasukan ini tanpa mengira kalah ataupun menang.

''Bagaimanapun, saya percaya dengan P. Maniam selaku pembantu jurulatih untuk mengharungi saingan Piala Malaysia di mana Selangor perlu menang kesemua baki perlawanan untuk mengintai peluang mara ke peringkat suku akhir.

"Sama juga kepada pemain-pemain Selangor, teruskan usaha anda dan saya yakin dengan keupayaan anda untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang perlawanan ini.

"Selain itu, saya juga akan berhubung dengan kapten pasukan, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan naib kapten, Mohd. Amri Yahyah untuk menjelaskan sebaik mungkin kepada rakan-rakan yang lain selain mengekalkan moral sedia ada kerana mereka berdua merupakan pemain yang cukup matang," ujarnya.(Utusan online-Sukan tempatan).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 2259 hrs on Ogos 29,2013.

Wednesday, August 28, 2013

Shuhaimi Baba kecewa,NGO anggap tidak patriotik

Oleh ABD. AZIZ ITAR dan 
ROSALINDA MD. SAID pengarang@utusan.com.my 

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau lebih dikenali sebagai Shumi kecewa apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membenarkan tayangan filem tersebut di negeri itu hari ini.

Pulau Pinang satu-satunya negeri yang menghalang tayangan filem berunsur patriotik dan kenegaraan itu yang dijadualkan memulakan tayangannya di pawagam-pawagam mulai esok.

Shumi dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia berkata, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sesuatu yang tidak matang kerana dia belum menonton filem ini.

''Sikap prejudis meracun rasionalnya. Saya malu ada seorang yang berjawatan tinggi yang menyalahgunakan kuasanya sesuka hati dan menjadikan kami mangsanya.

''Dia sepatutnya boleh membezakan antara politik sempitnya dan industri kreatif negara serta kami sebagai karyawan dan filem ekspresi kami. Tentu dia sedar tindakan sengkek ini memang salah secara moral kan? 

''Siapalah kami ini, kami hanya pembikin filem nak berhadapan dengan Ketua Menteri yang berkuasa kuku besi dan bongkak,'' katanya.

Jelas Shumi, beliau difahamkan surat arahan bagi menghalang tayangan itu telah dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Perlesenan Pulau Pinang, Azman Sirun hari ini yang mana ia berlawanan dengan kelulusan yang diberikan oleh Finas dan Jawatankuasa Skim Wajib Tayang di bawah agensi kerajaan tersebut.

"Mereka telah memaklumkan kepada saya. Saya kata keputusan saya tetap sama iaitu mahu Tanda Putera ditayangkan juga di Pulau Pinang. Kalau pawagam ingkar dengan arahan itu lesen mereka boleh ditarik balik," jelasnya lagi. 

Zizan Nin yang melakonkan watak Tun Dr. Ismail dalam Tanda Putera turut kesal. "Kalau orang Pulau Pinang susah sangat hendak menonton filem ini pergi sahaja ke negeri-negeri lain seperti di Kedah ataupun Perak atau datang sahaja di panggung-panggung wayang di KL (Kuala Lumpur) ini nanti biar saya dan para pelakon lain menunggu anda," komennya sewaktu dihubungi di sini.

Sementara itu Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, pendirian Guang Eng itu sama sekali tidak profesional dan patriotik apabila jelas menunjukkan helahnya untuk menutup fakta-fakta yang diyakini mampu menggagalkan usaha bagi menghapuskan sejarah yang tidak berpihak kepada mereka.

"Persoalannya, siapa dia untuk menghalang tayangan Tanda Putera? Filem itu adalah hak milik rakyat dan adalah tidak munasabah bagi individu yang tidak pernah menonton tetapi terlalu banyak melontarkan tuduhan.

"Sekiranya Guan Eng berterusan tidak boleh menerima sejarah adalah lebih baik dia sahaja yang keluar dari negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, arahan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip keterbukaan sebenar yang diuar-uarkan pakatan rakyat.

"Saya beranggapan arahan ini adalah supaya rakyat Pulau Pinang tidak terdedah dengan cerita sebenar penyokong pembangkang pada tahun 1969 lebih-lebih lagi penyokong Melayu dalam parti itu," katanya. 

Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim pula mempersoalkan tindakan berat sebelah Guan Eng yang menjadikan filem Tanda Putera sebagai mangsa politik.

"Apakah adil Guan Eng hanya mempertikaikan Tanda Putera? Di mana suara dia semasa negara digemparkan dengan isu filem The New Village. Ini jelas membuktikan golongan parasit bangsa dan negara telah wujud pada ketika era sebelum kemerdekaan dan saya yakin saki-bakinya masih wujud," katanya.-Utusan online-politik.(Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 11.13 am on Ogos 29,2013.

P.Pinang haramkan Tanda Putra

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 28 Ogos - Filem patriotik perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein yang dijadual memasuki pawagam di seluruh negara esok selepas beberapa kali tertangguh, diharamkan penayangannya di negeri ini atas arahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk dimaklumkan kepada pemilik panggung di negeri ini tentang perkara berkenaan.

"Kita kesal kerana filem tersebut dibenarkan tayangannya oleh kerajaan tanpa mengeluarkan babak fitnah yang dipaparkan iaitu adegan pemuda Cina kencing dalam kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

"Kenapa (adegan) dibiarkan kerana pengarah filem tersebut mengatakan perkara itu tidak pernah berlaku, namun beliau memasukkan adegan berkenaan dalam filemnya," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan, pihaknya berharap permintaan mereka akan mendapat kerjasama daripada pemilik panggung di negeri ini.

"Kerajaan negeri berharap mereka tidak menayangkan kerana tidak boleh diterima dan mengandungi perkara sensitif dan amat berbahaya.

"Mereka harus mempertimbangkannya kerana pemberian lesen perniagaan untuk pawagam di negeri ini tertakluk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT)," ujarnya.

Menurut Guan Eng, surat berkenaan akan dihantar pada hari ini juga kerana filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu dijangka mula ditayangkan serentak di seluruh negara esok.

Filem patriotik berkenaan antara lain mengisahkan tentang perjuangan Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam mentadbir negara serta cabaran yang dihadapi mereka selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sebelum ini, tayangan filem lakonan Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim yang menelan belanja kira-kira RM4.7 juta itu ditangguhkan beberapa kali ekoran bantahan pembangkang.(Utusan online-Politik).Posted by abnmulya / Bakar NInggal.blogspot.com., at  10.59 am on Ogos 29,2013.

Tanda Putra : Guan Eng berfikiran sempit,kata Ahmad Shabery

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK 
AUGUST 28, 2013 LATEST UPDATE: 

AUGUST 28, 2013 06:48 PM.

"Kerajaan Pulau Pinang mengamalkan budaya tapisan yang melampau dan dikhuatiri usaha sebegini akan bertambah tenat apabila mungkin suatu hari nanti lagu Negaraku juga akan diharamkan di Pulau Pinang.
Ahmad Shabery

"Perkara ini tidak mustahil kerana kerajaan pembangkang Selangor satu masa dahulu pernah bercadang unryk memboikot produk 1Malaysia di negeri berkenaan," katanya.

Ahmad Shabery berkata pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu sejauh mana kuasa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan mempunysi kuasa bagi menghalang tayangan sesebuah filem di tempat mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia Datuk Yusof Haslam berkata beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang menghalang tayangan Tanda Putera.

Beliau berkata industri perfileman negara seharusnya tidak dibabitkan dengan permainan politik kerana Tanda Putera sebuah filem sejarah dan tindakan kerajaan negeri itu adalah satu perbuatan yang melampau. 
"Harus kita ingat peristiwa 13 Mei sememangnya berlaku dan filem berkenaan tidak menyebelahi mana-mana kaum.
Tanda Putra di salah satu pawagam di Pulau Pinang di lekatkan tanda

Katanya, pihak pembangkang seharusnya tidak bersifat kebudak-budakan kerana Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah meluluskan penayangan filem berkenaan maka seharusnya sudah tidak berlaku lagi sebarang kontroversi
"Malah filem berkenaan menyampaikan mesej perpaduan maka saya minta Kerajaan Pulau Pinang tidak melakukan perkara sedemikian.

"DAP seharusnya menerima peristiwa 13 Mei adalah sejarah dan sememangnya berlaku. Jika Tanda Putera ditayangkan sekalipun tidak bermakna peristiwa berdarah 13 Mei akan berulang," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menasihatkan semua panggung wayang di negeri itu tidak menayangkan filem kontroversi Tanda Putera, berikutan filem itu bernada perkauman.

Exco negeri, Chow Kon Yeow, berkata beliau akan menulis surat kepada pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang dan Seberang Prai untuk mengeluarkan notis kepada panggung wayang menasihatkan supaya tidak menayangkan filem yang dijadualkan berada di pawagam seluruh negara esok.

Chow berkata, beliau bertindak atas arahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Kita hanya boleh menasihatkan pengurusan pawagam.

Ia terserah kepada mereka. Kita tidak ada kawalan terhadap isu kandungan filem,” kata exco yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan itu.- 28 Ogos, 2013.(Dari The Malaysian Insider).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 2126 hrs on Ogos 28,2013.

DAP 'panas punggung',sudah mula kempen CEC

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Sesetengah pemimpin DAP yang bakal bertanding pada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mula 'panas punggung' kerana kempen sudah bermula.

Kelmarin, satu sesi dialog antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan ahli CEC lain serta perwakilan di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan diadakan di Hotel One World.

Walaupun pada asalnya kehadiran dijangka lebih 500 perwakilan, apa yang mengejutkan hanya kurang 100 orang hadir. Seorang pemimpin parti yang enggan dikenali berkata, sesi dialog itu sebenarnya platform untuk pemimpin 'tertentu' meraih undi dan sokongan.

"DAP mengambil serius terhadap pemilihan semula CEC. Ramai penyokong dan ahli keliru dengan apa yang berlaku ketika ini. "Sesi dialog ini dijangka diadakan di seluruh negara bagi menjelaskan kedudukan DAP, selain memberi gambaran bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah bertindak tidak adil terhadap parti ini," katanya di sini.

DAP pada 15 Ogos lalu akhirnya akur untuk mengadakan pemilihan semula CEC selepas pemilihan tahun lalu itu didakwa wujud penyelewengan kerana parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang merupakan ahli sah untuk mengundi.

Keputusan mengadakan pemilihan semula itu dibuat tujuh bulan selepas pemilihan CEC 15 Disember lepas, yang diikuti siasatan ROS kemudiannya membuat ketetapan tidak memberi pengiktirafan kepada para pemegang jawatan CEC parti itu melalui notis yang dikeluarkan pada 17 April lalu.

Sabtu lepas, Pengerusi DAP, Karpal Singh menyatakan pemilihan semula CEC parti itu pada November depan akan mengekalkan senarai calon CEC serta perwakilan yang sama seperti Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, DAP yang menganjurkan sesi dialog bersama Guan Eng itu didakwa bertindak 'pilih kasih' dengan memilih golongan tertentu sahaja untuk hadir ke program tersebut yang turut dihadiri oleh kesemua barisan CEC.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee mendakwa, sebanyak sembilan cawangan di bawah kelolaan beliau tidak dijemput.

"Saya sendiri hanya tahu tentang sesi dialog ini selepas diberitahu orang, kami tidak tahu-menahu tentang perkara ini. Mengapa sembilan cawangan kami tidak dijemput? Tidak perlulah bersikap pilih kasih seperti ini.
"Sembilan cawangan sekitar Teratai ini masih aktif, mengapa kami tidak dijemput? Adakah kerana kami tidak menyokong kumpulan 'tertentu'," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 2044 hrs on Ogos 28,2013.

MITI kaji kos faedah TPPA

Oleh Fauzi Jaafar ekonomi@utusan.com.my

Mustapa Mohamed (dua kanan) mempelawa Menteri Perdagangan dan Industri Afrika Selatan, Rob Haydn Davies (tengah) mencuba keenakan sate pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memulakan dua lagi kajian kos faedah sebagai input yang menilai kepentingan negara dan rakyat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian kos faedah itu adalah analisis kepentingan negara dan kepentingan bumiputera serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang akan disiapkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Beliau menegaskan, walaupun dikritik oleh pelbagai pihak berhubung dengan TPPA, tetapi kerajaan bersikap terbuka dan bersedia mempertimbangkan segala input yang diberikan.

"Dua kajian itu akan disiapkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi dan hasilnya akan didedahkan kepada umum. Kita bersifat telus dalam perkara (TPPA) ini,'' katanya pada sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka MITI di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.

Mengulas mengenai kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, Mustapa menegaskan bahawa pendirian kerajaan adalah selari dengan kepentingan negara.

"Buat masa ini kita (kerajaan) akan meneruskan perbincangan terhadap TPPA dan kita akan mengambil kira pandangan Tun (Dr. Mahathir) dan juga pihak-pihak lain,'' jelas beliau.

Semalam, Dr. Mahathir dalam satu Persidangan Meja Bulat TPPA anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) telah meminta kerajaan mempertimbangkan untuk tidak menandatangani TPPA.

Ini kerana, beliau menyifatkan perjanjian itu akan membawa kepada penjajahan baharu oleh negara kuasa besar kerana terma yang dikenakan memberi lebih banyak kerugian kepada Malaysia berbanding keuntungan.( Utusan online-ekonomi).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 2031 hrs on Ogos 28,2013.

Kerajaan perlu akur resolusi MPM-Ali Rustam

MELAKA 28 Ogos - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyokong penuh keputusan Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang meminta kerajaan agar tidak tunduk dengan tuntutan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong).
Datuk Seri Mohd Ali Rustam,bekas Ketua Menteri Melaka

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, keputusan yang dicapai pada kongres tersebut di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam wajar dipuji. Beliau menegaskan kerajaan perlu menerima resolusi yang diputuskan MPM.

"Mengapa mesti kita tunduk dan mengikut kehendak Dong Zong? Apa yang mereka tuntut itu tidak munasabah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Selama ini kerajaan telah menyediakan segala kemudahan kepada sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan secara realistiknya tidak perlu mewujudkan sekolah itu di peringkat menengah," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Resolusi MPM yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Pendidikan supaya bersikap tegas dengan mewujudkan sistem pendidikan tunggal di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, kerajaan harus menerima resolusi tersebut kerana jika tuntutan Dong Zong ditunaikan, hubungan antara kaum di negara ini akan terus menjadi renggang.

Menurutnya, di beberapa negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina, sekolah satu aliran dapat menyatupadukan rakyat negara masing-masing.

"Pada masa ini, sekolah jenis kebangsaan yang diwujudkan sejak tadika hingga peringkat menengah sudah menampakkan hubungan antara kaum di negara ini semakin longgar," ujarnya.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 1945 hrs on Ogos 28,2013.

Pelaksana lemah 'penyakit' jejaskan dasar pendidikan negara

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kelemahan dari segi pelaksanaan dikenal pasti sebagai 'penyakit' yang menjejaskan keberkesanan dasar pendidikan negara yang digubal kerajaan sejak merdeka hingga sekarang. 

Tan Sri Abd.Aziz Abd.Rahman
Bekas Pengerusi Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, dasar pendidikan negara berupaya mencapai matlamat yang disasarkan sekiranya dilaksanakan dengan baik. 

Menurut beliau, pelaksanaan dasar pendidikan negara memerlukan ketegasan bagi memastikan ia diterima oleh semua pihak di negara ini.

"Apa yang berlaku dalam sistem pendidikan negara sejak 56 tahun lalu bukan masalah dasar. Dasar kita memang cukup baik.

"Penyakit kita ialah tidak melaksanakan apa yang ditulis. Kita tidak tegas dan perkara ini kita akan ketengahkan kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merumuskan Sidang Selari 5 pada Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang bertema Memartabatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abd. Aziz merupakan moderator sidang selari bertajuk Perlembagaan Persekutuan Lindungi Hak Pendidikan Saksama yang turut disertai pakar perundangan, Prof. Datuk Abdul Halim Sidek dan pengamal undang-undang, Noorhajran Mohd. Noor.

Terdahulu, beberapa peserta mencadangkan agar kerajaan bersikap tegas dalam pelaksanaan dasar pendidikan negara khususnya berhubung pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan pemupukan integrasi nasional di sekolah.

Dalam pada itu, Abd. Aziz turut menggesa kerajaan menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah seperti yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

"Undang-undang menyatakan bahasa yang sepatutnya digunakan di mahkamah ialah bahasa Melayu tetapi hakim diberi kuasa untuk membenarkan penggunaan bahasa Inggeris," ujarnya.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1938 hrs on Ogos 28,2013.

Jangan jadi mangsa peras ugut

Oleh HUSSAINI AMRAN dan 
SOFIAN BAHAROM pengarang@utusan.com.my 
DR. MAHATHIR Mohamad bersalaman dengan Dr. Hasan Mad (dua dari kiri) selepas merasmikan Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan Memartabatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Dr. Kamarudin Kachar (tiga, kanan), Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (dua, kanan) dan Abd. Aziz Abd. Rahman (kanan). - UTUSAN/SAFIYANA SALIM

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini dalam resolusinya memberi peringatan kepada kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu. 

Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar ketika membentangkan resolusi itu menegaskan, kerajaan juga perlu berhenti melayan tuntutan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta perundangan berkaitan.

Menurut beliau, kongres turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Pendidikan supaya bersikap tegas dengan mewujudkan sistem pendidikan tunggal di negara ini.

"Kerajaan tidak seharusnya meluluskan penubuhan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina dan mengiktiraf sekolah swasta Cina yang tidak mengikut Kurikulum Pendidikan Kebangsaan serta menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam usaha mewujudkan jati diri dan perpaduan kebangsaan.

"Tiada negara lain, contohnya Singapura, Indonesia dan Thailand yang mempunyai sekolah vernakular," katanya yang juga Pengarah Pra-Kongres dan Resolusi program berkenaan.

Tambah Abdul Latiff, kerajaan tidak boleh membiarkan golongan tertentu bermain dengan 'bom jangka bersiri' yang memporak-perandakan perpaduan nasional dan keutuhan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, segala ketidakpatuhan yang berlaku sejak sekian lama itu hendaklah diperbetulkan agar tiada kekeliruan dalam pelaksanaan peruntukan perundangan dan dasar negara.

"Kita perlu tegas dan akur dalam mempertahankan perundangan serta Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Latiff memberitahu, kongres berkenaan menyokong usaha kerajaan membina negara bangsa yang bersatu padu dengan memperkasa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang menggunakan satu kurikulum serta menganjurkan peperiksaan dalam bahasa Melayu di samping memberi pelajar-pelajar peluang mempelajari bahasa-bahasa asing.

"Kongres turut mendesak Kementerian Pendidikan menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar utama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta manakala pemberian dana penyelidikan serta syarat-syarat kenaikan pangkat perlu mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah dalam bahasa Melayu," jelasnya. 

Resolusi yang mengandungi 10 perkara itu merupakan rumusan daripada usul-usul yang dibentangkan berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dalam lima sidang selari yang dianjurkan sempena kongres tersebut pada 21 Ogos lalu dan hari ini.

Selain Abdul Latiff, tokoh-tokoh yang menjadi moderator sidang selari itu ialah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah; bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob; Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan bekas Pengerusi Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman.

Sidang selari tersebut yang membincangkan lima topik berbeza tentang dasar pendidikan negara dianggotai 77 pakar pelbagai bidang termasuk Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah; bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar; Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Napsiah Omar; veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid; bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (Bersara) Tan Sri Ghazali Mohd. Seth dan dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Kongres bertemakan Memartabatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad; Pengerusi kongres, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar serta Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Sementara itu, Hasan dalam sidang akhbar selepas kongres tersebut berkata, resolusi tersebut akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos ini.

"Kami berharap kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan mempertimbangkan resolusi itu dan melihatnya sebagai suara rakyat yang tidak mahu kerajaan berkompromi dalam melaksanakan dasar pendidikan negara," ujarnya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan tidak perlu melayan sebarang tuntutan daripada Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) yang dipercayai lebih menjaga kepentingan individu-individu tertentu di dalam pertubuhan berkenaan.

"Dong Zong bersikap anti-nasional dengan mempersoal niat baik kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam semua sistem pendidikan Malaysia. 

"Sepatutnya Dong Zong wajib mendidik anak-anak Cina agar cinta dan taat setia kepada negara dengan menyokong satu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memantapkan perpaduan dengan memperkukuhkan jati diri kebangsaan yang berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun Negara, sejarah dan peradaban Malaysia," ujarnya.(Utusan on line- Dalam Negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1837 hrs on Ogos 28,2013.

Tuesday, August 27, 2013

Lelaki ditahan ugut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pristana

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mengugut Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana di Sungai Buloh berhubung isu penyebaran gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan pada Ramadan lalu.

Difahamkan suspek berusia 33 tahun merupakan bapa kepada seorang murid di sekolah berkenaan dan isterinya disyaki bertanggungjawab merakamkan video kontroversi tersebut untuk dimuat naik ke laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, suspek yang bekerja sendiri dan menjadi pemandu lori sambilan pernah datang ke SK Seri Pristana untuk mencari guru besar terbabit kerana berang dengan tindakan menjadikan bilik persalinan sebagai tempat makan bagi murid bukan Islam termasuk anaknya.

Beliau berkata, semasa kedatangannya kebetulan guru besar terbabit tiada di sekolah tetapi suspek sempat mengugut dan melemparkan kata-kata cacian terhadapnya di hadapan guru lain.


"Suspek memberi amaran supaya guru besar terbabit berhati-hati selepas ini dan dia mungkin akan mati. 

"Suspek juga dipercayai membuat beberapa panggilan ke sekolah dan menghubungi guru besar terbabit membuat ugutan sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebuah blog sebelum ini melaporkan murid-murid bukan beragama Islam di sekolah berkenaan telah ditempatkan di tandas sewaktu rehat pada Ramadan sehingga menimbulkan kemarahan segelintir pihak. Guru Besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd. Noor menafikan tindakan menempatkan murid di bilik persalinan itu sebagai tidak bertamadun.

Ini kerana, kata beliau, bilik persalinan berkenaan telah dibersihkan dan mempunyai sinki untuk digunakan bagi mencuci tangan sebelum makan. 

Pada masa yang sama beliau telah meletakkan notis melarang murid-murid membuang air di bilik berkenaan dan paip air di bilik berkenaan telah dikunci.

Junaidi berkata, bimbang terhadap keselamatannya, guru besar sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh pada 25 Julai lalu.

Beliau berkata, suspek ditahan pada pukul 10.15 pagi ini di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh oleh sepasukan anggota polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

\Katanya, kawad cam terhadap suspek telah dibuat oleh dua guru SK Seri Pristana yang mengesahkan lelaki itu adalah individu yang datang ke sekolah mereka membuat ugutan sebelum ini.

"Suspek telah diberi jaminan sehingga 6 September ini manakala kertas siasatan kesnya akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut," katanya.(Utusan online-Jenayah).Posted b y abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1637 hrs on Ogos 27,2013.

Kalimah Allah : Harun Taib bersuara

Ustz Harun Taib
KUALA TERENGGANU 26 Ogos - Ketika kalangan pemimpin Pas terus membisu, Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Harun Taib (gambar) menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik membatalkan rayuan kerajaan Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Beliau menyokong keputusan mahkamah itu sambil mengulangi ketegasan pendiriannya dan dewan tersebut bahawa agama lain selain Islam tidak berhak menggunakan kalimah Allah.

"Pendirian kita sama dengan apa yang pernah saya nyatakan sebelum ini dan tidak pernah berubah. Penggunaan kalimah Allah hanya khusus untuk agama Islam dan umatnya.

"Agama lain dan juga penganut lain tidak berhak sama sekali menggunakan kalimah suci ini (kalimah Allah)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Harun mengulas desakan pelbagai pihak supaya Pas termasuk kepimpinan Dewan Ulama parti itu menyatakan pendirian berhubung isu penyalahgunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian di negara ini.

Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan Malaysia berhubung isu kontroversi melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.(Utusan online-dalam negeri).Posted b y abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1613 hrs on Ogos 27,2013.

NGO GESA KHAIRY TARIK BALIK KENYATAAN

Azwandin,Adiwijaya,Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin digesa menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memperakui laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu’.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah berkata, kenyataan Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan itu seolah-olah menunjukkan UMNO parti yang lemah.

“Beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO seharusnya memahami dan menyokong kuat kenyataan yang ditegaskan Najib sebelum ini.

“Apa yang Khairy nafikan ini mungkin hanya untuk mengambil hati orang Cina, sedangkan apa yang beliau katakan itu tidak betul sama sekali," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khairy dalam laporan portal berita propembangkang, Malaysiakini semalam yang mendakwa Najib tidak memperakui laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu’ selepas pilihan raya umum lalu.

Azwandin berkata, kenyataan Khairy berhubung isu itu seharusnya dibuat dari sudut menyeluruh, bukannya dilihat seperti berat sebelah.

“Jika Khairy berniat untuk menegur, beliau sepatutnya melakukan perkara sama terhadap akhbar Cina, bukannya Utusan Malaysia sahaja," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, Khairy tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian apatah lagi memperlihat seolah-olah beliau mewakili Najib.

Beliau menegaskan, laporan yang ditulis Utusan Malaysia itu langsung tidak bercanggah memandangkan sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 amat mengecewakan.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1600 hrs on Ogos 27,2013.

Tun Rahman mahu kerajaan DAP Pulau Pinang tunai janji PRU-13

PULAU PINANG 26 Ogos - Kerajaan DAP Pulau Pinang diingatkan menunaikan janji-janji yang dibuat semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri melaksana segala perancangan dan janji itu demi memenuhi keperluan rakyat.

"Saya juga menyeru kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Mereka juga hendaklah sentiasa bekerjasama serta saling mempercayai pegawai-pegawai dan kakitangan yang ada di negeri ini," katanya.

Abdul Rahman berucap semasa istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri sempena ulang tahun kelahiran ke-75 beliau di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri bertanggungjawab mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan negeri.

\"Di samping itu, saya juga berharap pegawai-pegawai kerajaan negeri menjalankan tugas dengan penuh azam, profesional, komited, adil, telus dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

"Jangan cuba mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan tanggungjawab demi kepentingan sendiri yang akan merosakkan pentadbiran dan menyusahkan rakyat," ujarnya.

Terdahulu, Abdul Rahman memeriksa kawalan kehormat Tentera Darat Malaysia diikuti persembahan nyanyian lagu Negaraku serta Untuk Negeri Kita dan tembakan meriam 17 das.

Dalam majlis itu, sebanyak 1,085 orang dianugerahkan darjah kebesaran dan pingat didahului Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Empat individu menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri. Mereka ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Muhamad Zabidi Zainal; Pengarah Urusan IGB Berhad, Robert Tan Chun Meng; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Dr. Md Salleh Yaapar serta ahli perniagaan, Datuk Seri H'ng Bok San.(UTUSAN ONLINE-POLITIK).POSTED BY ABNMULYA / BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM.,AT 1549 ON  OGOS 27,2013.

Monday, August 26, 2013

Dr MAHATHIR CURIGA TPPA,DESAK KERAJAAN JANGAN SEMBUNYI BUTIR PERJANJIAN

OLEH MD IZWAN AUGUST 26, 2013 
LATEST UPDATE: AUGUST 26, 2013 01:30 

PM Tun Dr Mahathir Mohamad berucap di Persidangan Meja Bulat TPPA bersama Tun Mahathir di Auditorium INTAN. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 26 Ogos, 2013.

Tun Dr Mahathir Mohamad mencurigai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingi oleh Putrajaya ketika ini, mendesak kerajaan supaya didedahkan semua butiran mengenai perbincangan itu.

Bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu mengulangi pendirian perjanjian itu lebih merugikan daripada memberikan keuntungan.

"Perbincangan pun tidak diberitahu dan dibuat secara tersorok daripada orang ramai, dirahsiakan. "Ini mesti ada perkara yang tidak diingini diketahui umum. Tetapi apa yang saya lihat, ia lebih rugi daripada untung," kata Dr Mahathir dalam ucapannya pagi ini pada persidangan meja bulat TPPA anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir menegaskan TPPA adalah bertujuan menindas negara yang terbabit dalam perjanjian, dengan matlamatnya adalah untuk mengawal.

"Negara dalam TPPA masing-masing dikehendaki tidak cakap pasal perjanjian ini untuk empat tahun. "Ini bermakna tidak ada perjanjian bebas, ini adalah perjanjian mengawal," katanya.

Beliau turut mengingatkan Putrajaya untuk tidap terperangkap dengan bentuk penjajahan baru menerusi TPPA yang disifatkannya sebagai 'penjajahan ekonomi'. "Kuasa ekonomi pun boleh diguna untuk menguasai, pelbagai usaha barat cuba lakukan.

"Pada mulanya mereka perkenalkan pelbagai jenis perjanjian, membuka pasaran dalam negara yang telah capai kemerdekaan," kata Dr Mahathir mengenai usaha barat terutama Amerika Syarikat dalam usaha menjajah atas nama globalisasi.

 Sementara itu, Dr Mahathir menggesa kerajaan supaya membentangkan analisis kos untung rugi mengenai TPPA kepada umum supaya penilaian mengenai kelebihan dan keburukan perjanjian itu.

"Kerajaan mesti dedahkan kos analisis untung rugi ini secara terbuka supaya dapat dinilai. "Selain itu, perbincangan penuh secara terbuka perlu dilakukan dengan pihak berkaitan," katanya.

Malah, Dr Mahathir mengulangi secara tegas supaya kerajaan serta-merta menghentikan daripada terus menandatangani perjanjian TPPA. "Secara tidak langsung apa yang saya katakan tadi, saya menggesa kerajaan supaya menghentikan daripada menandatangani perjanjian TPPA ini," katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) awal bulan ini mengadakan satu rumah terbuka bagi membincangkan mengenai TPPA dengan kumpulan perniagaan dan pihak berkaitan, bagaimanapun enggan mendedahkan butirannya atas alasan 'kerahsiaan'.

TPPA adalah inisiatif untuk membentuk satu kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei Darulssalam pada Oktober 2010 lalu, serta terbaru adalah di semasa pusingan ke-18 baru-baru ini di Kota Kinabalu. 

Kontroversi TPPA mendapat perhatian banyak pihak antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga parti Pakatan Rakyat (PR), hingga menyaksikan Putrajaya terpaksa membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) melibatkan keanggotan dwi partisan bagi membolehkan pembangkang mendapat penjelasan berhubung perjanjian berkenaan.

PR turut membangkitkan persoalan terhadap beberapa isu dalam TPPA yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia memandangkan perjanjian itu tidak boleh diumumkan kepada orang ramai.- 26 Ogos, 2013.( The Malaysian Insider).Posted  by abnmulya / Bakar Ninggal. blogspot. com.,at 1836 hrs ob Ogos 26,2013.

TPPA akan burukkan ekonomi negara,kata Dr.Mahathir

OLEH MD IZWAN
Peserta tekun m en dengar ucapan Persidangan Meja Bulat TPPA .Bersama Tun di Auditorium INTAN .Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim. 26 Ogos,2013.
AUGUST 26, 2013 Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya diteruskan bakal memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, terutama daripada segi eksport dan import negara yang boleh menyebabkan negara mengalami defisit lebih teruk.

Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, malah agensi penilaian global Fitch Ratings baru-baru ini meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif kerana hutang kerajaan meningkat kepada 53.3 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) penghujung 2012 daripada 51.6 peratus pada hujung 2011 dan 39.8 peratus pada hujung 2008.

"Sekiranya perjanjian TPPA ini diteruskan, kita lihat eksport akan berkurang dan import meningkat. Ini tidak baik untuk ekonomi negara.

"Bila berlaku ini, negara akan alami defisit. Ia suatu yang merugikan," kata bekas Perdana Menteri dalam sidang media pada persidangan meja bulat TPPA di INTAN, pagi ini. Menurutnya, keupayaan Malaysia masih jauh lagi ketinggalan berbanding dengan Amerika Syarikat yang mempunyai kelebihan daripada segi teknologi dan kepakaran.

"Malaysia tidak mempunyai banyak barangan untuk eksport. "Amerika Syarikat ada banyak lagi barangan, kita belum jadi negara maju," tegas Dr Mahathir lagi semasa memberi ucap tamanya.

Dr Mahathir juga berkata perjanjian tersebut hanya merugikan kerana tidak mempunyai kuasa untuk mengawal sebaliknya akan terikat dengan kekangan yang sudah ditetapkan oleh pelobi.

"Malaysia akan dikuasai oleh mahkamah yang bukan di Malaysia. "Malah, kita tidak ada kebenaran untuk membuat rayuan, tidak banyak kelebihan didapati dengan menandatangani perjanjian TPPA ini," katanya. 

Beliau turut memberi amaran supaya tidak terjebak dengan krisis ekonomi yang melanda di Amerika Syarikat hasil kesan ketidakseimbangan pendapatan, mendakwa negara kuasa dunia tersebut cuba menguasai kekayaan sesebuah negara.

"AS (Amerika Syarikat) menjadi negara miskin sebab sebab hutang melebihi pendapatan. "Kalau mereka dapat kuasai sumber negara-negara yang baru merdeka ini, mereka dapatlah kekayaan yang amat banyak," ujarnya lagi.

Dr Mahathir juga meluahkan rasa kebimbangan kerana tidak menolak krisis kewangan pada tahun 1997 mungkin berulang kerana kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pertukaran mata wang. "Mungkin akan jual mata wang kita sekali lagi, seperti 1997.

"Sebab kita tidak ada penguasaan dalam pertukaran mata wang," terang beliau. Minggu lalu, Bank Negara Malaysian (BNM) telah mengumumkan pertumbuhan KDNK pada 4.3 peratus, kadar yang dianggap perlahan menurut penganalisis ekonomi berbanding unjuran awal yang diramalkan pada 4.9 peratus.

BNM juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 ini kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus sebelum ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga gagal mencapai sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 4.8 peratus pada tahun 2012, sebaliknya mencapai defisit fiskal kepada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) awal bulan ini mengadakan satu rumah terbuka bagi membincangkan mengenai TPPA dengan kumpulan perniagaan dan pihak berkaitan, bagaimanapun enggan mendedahkan butirannya atas alasan 'kerahsiaan'.

TPPA adalah inisiatif untuk membentuk satu kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei Darulssalam pada Oktober 2010 lalu, serta terbaru adalah di semasa pusingan ke-18 baru-baru ini di Kota Kinabalu.

Kontroversi TPPA mendapat perhatian banyak pihak antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga parti Pakatan Rakyat (PR), hingga menyaksikan Putrajaya terpaksa membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) melibatkan keanggotan dwi partisan bagi membolehkan pembangkang mendapat penjelasan berhubung perjanjian berkenaan.

PR turut membangkitkan persoalan terhadap beberapa isu dalam TPPA yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia memandangkan perjanjian itu tidak boleh diumumkan kepada orang ramai.- 26 Ogos, 2013. -Bernama.(The Malaysian Insider).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal. blogspot.com.,at 1821 hrs on Ogos 26,2013.

Sunday, August 25, 2013

Keazaman tinggi Noh untuk Selangor

Datuk Seri Noh Omar
KALAU bersembang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, akan timbullah idea-idea di luar kotak yang akan dikongsinya dengan rakan-rakan media.

Sejak tiga bulan selepas pakatan pembangkang terus memerintah Selangor, seakan tampak suatu keazaman dan kekuatan dalam dirinya untuk memastikan UMNO negeri terus bangkit.

Fokus seterusnya untuk kembali dalam denyut hati rakyat dan pengundi di negeri itu.

Baru-baru ini, pertemuan wartawan AZMAN ANUAR dan ZULKIFLI JALIL dengan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor itu berlanjutan hampir tiga jam di kediamannya di Shah Alam. 

Dalam nada serius, Noh memulakan tirai perbualan: "Saya mahu susun balik Selangor ikut falsafah bahawa kejayaan tidak akan dicapai tanpa ada kekuatan.

Kekuatan tidak akan dapat diwujudkan tanpa ada perpaduan. UMNO dan BN Selangor mesti bersatu, dari situ akan ada kekuatan dan boleh menggapai kejayaan."

"Kerana itu apabila saya mengambil alih (UMNO Selangor), saya cukup yakin bahawa kekuatan UMNO terletak pada cawangannya.

"UMNO ibarat pokok rendang yang terletak pada kekuatan akar (cawangan). Kalau akar tidak dijaga, dimakan anai-anai pula, lama-kelamaan pokok rendang ini akan jatuh dengan sendirinya."

Ikuti suara hati 10 perkara Noh apabila diajukan soalan daripada kami:

1. Cabaran cukup besar kalah kali kedua

"SAYA rasa insaf bahawa pelantikan ini (sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor) bukanlah jawatan glamor.

Tetapi penuh cabaran untuk menghadapi pembangkang. Tanggungjawab ini cukup berat namun saya yakin dalam politik tidak ada perkara yang mustahil untuk bangkit kembali.

Bagi saya UMNO terletak pada kekuatan akarnya iaitu cawangan. Ketika ini terdapat 2,400 cawangan di Selangor. Maka, mesyuarat cawangan mesti dilihat menampilkan suatu perubahan parti di akar umbi. Syaratnya mesyuarat cawangan ini mesti diuar-uarkan dan berada dalam ingatan rakyat.

2. Elak jadi 'cawangan bunian'

"UNTUK memperkuatkan cawangan, kita kena akui untuk tidak boleh tipu diri sendiri. Misalnya kalau sesuatu cawangan itu 'cawangan bunian', kita akan tahu bahawa ahli-ahlinya ada tetapi tidak duduk setempat dan bersepah.

Risikonya jika itu 'cawangan bunian', ia tidak akan dapat bantu parti dalam pilihan raya sebab jenteranya (ahli) memang tidak ada. Contohnya di Keramat. Katakan lorong Keramat di situ ada tiga cawangan dan sebuah surau.

Masalahnya, apabila timbul soal peruntukan, ketiga-tiga ketua cawangan tadi akan serentak berkehendakkannya. Apabila datang suatu kumpulan ke cawangan asal, kita dapati bilik gerakan pun tiada sebab ahli-ahli parti bersepah-sepah.

Dengan syarat tubuhkan cawangan mesti 50 ahli, maka apabila datang mesyuarat, 30 daripada 50 ahli tadi mestilah memang tinggal di situ.

Masalahnya, ketua cawangan pun tidak duduk di situ. Kalau benar-benar cawangan itu tidak wujud, tak mengapa kali ini tetapi setelah persidangan perwakilan bahagian, kena susun balik. 

Bagi saya, cawangan-cawangan ini dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya - mesti diperbanyakkan. Setiap taman dan blok-blok perumahan perlu ada sekurang-kurangnya satu cawangan dianggotai 50 orang. 

Setakat ini, ini ada 30,000 ahli UMNO di Selangor. Tapi di mana mereka? Kalau satu cawangan ada 500 ahli tapi bila nak bermesyuarat nak cari 200 ahli pun susah, buat apa?."

3. Sistem keahlian mesti diperbetulkan 

"BAGI ahli-ahli yang tidak aktif, ini bermakna sistem keahlian mesti diperbetulkan. Cuma masalahnya, ramai yang datang jumpa saya kata sudah buat pemutihan.

Tetapi yang telah meninggal dunia pun masih ada dalam senarai. Sebab itu kita lihat nama saudara Zulkifli Noordin (ketika itu bertanding tiket PKR pada PRU-12) dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) masih ada lagi dalam senarai ahli cawangan UMNO.

Maka dalam hal ini pendaftaran ahli mestilah diperbetulkan dan dikemaskini. Dan semasa dulu kawasan Pandan, Ampang, Sungai Penchala, Kampung Lindungan di Sungei Way serta Kampung Medan, Kampung Jaya dan Kampung Sentosa di Jalan Klang Lama merupakan penempatan setinggan.

Ketika itu ahli-ahli cawangan UMNO di situ boleh mencapai 200 hingga 300 orang. Tetapi sejak berpindah ke rumah-rumah flat, cawangan-cawangan tadi hampir lupus. Jadi, keahlian cawangan mesti diperkemaskan. Kita kena berpijak di bumi nyata."


4. Segerakan kempen tambah ahli.

"KEMPEN penambahan ahli UMNO mesti dijadikan KPI. Kalau cawangan okey, ahli okey, barulah tidak ada masalah. Untuk capai perpaduan, kita kena bergerak dalam satu kapal (berpasukan). Ini masa bukan untuk berbalah.

Musuh kita bukan ahli UMNO tetapi pembangkang. Cuma yang peliknya dalam sesama kita, kita bantai. Tetapi di sana tak pandai nak tepis (isu). Kita kena ke depan sebagai pembela dan penegak kebenaran parti. Pada masa sama menyerang parti-parti (pembangkang). Jangan defensif tetapi ofensif."

5. Hanya satu nakhoda

"DI atas bahtera, masing-masing ada peranannya. Ada yang tugasnya naikkan layar, turunkan sauh dan macam-macam lagi. Jangan pula rela buat semua kerana ini sebabkan kita tak fokus, kacau kerja orang. Kalau asyik kacau kerja orang, maka dalam kapal itu akan adalah 'skil-skil' yang berbeza." 

6. UMNO++?

"AMAT penting untuk kita fikirkan bagaimana nak tarik belia dan berpersatuan. Kalau boleh mereka ini (di luar UMNO) akan menjadikan rangkaian parti bertambah.

Tapi jika dia pemimpin belia dan dialah juga pemimpin UMNO, maka kita akan cuma berada dalam skala kita sahaja. Di mana katanya UMNO++?

Jadi, kalau UMNO nak menang kenalah capai UMNO++. Lagipun rata-rata individu yang dikatakan sokong pembangkang bukannya ahli parti pembangkang pun."

7. Pantas perbetulkan persepsi

"KITA kena perbetulkan persepsi yang apabila sebut UMNO, dikaitkan dengan rasuah. Selain perbetulkan persepsi ini, kita mesti beritahu rakyat Selangor bahawa pembangkang ini 'berselindung di sebalik wajah'. 

Cuma, kadang-kala kita gagal untuk terangkan kepada rakyat isu-isu semasa. Kita gagal 'spin' dengan sesuatu isu tidak sampai ke bawah...sekerat sahaja."

8. Terus 'menyerang' 

"SEKARANG kerajaan negeri Selangor seolah-olah berjaya beri gambaran mereka berjaya tambah wang rakyat. Kerajaan negeri dipuji. Tetapi soalnya daripada mana mereka dapat duit dan macam mana dibelanjakan?

Contohnya tiga padang golf di Serendah, Templer dan Hulu Langat telah dijual oleh kerajaan negeri dengan harga mencecah ratusan juta ringgit. Apabila dia (pembangkang) jual, pasti dapat duit. Dan selepas jual, akan buat pula projek-projek mewah."

9. Dekati pengundi baharu dan anak muda 

 "DALAM pilihan raya umum ke-14 nanti, akan ada dua juta pengundi muda di Selangor.Jadi, cara pendekatan mestilah mendekati pengundi baharu. Ketika ini Selangor dilihat macam kekurangan pemimpin. Sebab itu visi saya dalam tempoh lima tahun ini nak beri peluang kepada orang muda yang berkelulusan naik.

Antaranya, Datuk Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Budiman Mohd. Zuhdi boleh diketengahkan sebagai pemimpin pelapis negeri."

10. 'Gagal' penamat karier politik saya...

"SAYA ambil ini sebagai cabaran yang akan menentukan masa depan politik saya. Kalau saya gagal dengan cuma meraih keputusan yang lebih teruk lagi pada PRU-14, maka ini menjadi titik penamat karier politik saya.

Ini macam 'meletakkan pisau di leher'. Cuma, saya ingin tekankan bahawa pendekatan politik di Selangor ini agak berbeza. Ia melibatkan sejauh mana UMNO mampu sesuaikan pendekatan berurusan dengan rakyat dalam bandar, semi bandar dan luar bandar.

Di luar bandar, isu pembangunan masih menarik perhatian. Keahlian anggota masih di peringkat kampung. Senario Tanjong Karang tidak sama politiknya di bandar.

Contohnya, kalau saya rasmi mesyuarat PIBG, saya yakin 95 peratus adalah pengundi saya dan mudah berinteraksi.

Tetapi program yang sama di Shah Alam atau Lembah Klang, mereka yang hadir tidak semestinya pengundi di situ. Dan cabaran untuk meraih sokongan pengundi cukup sengit.

Di Selangor, hakikatnya kumpulan pengundinya sama banyak iaitu 49 peratus pengundi Melayu dan 51 peratus bukan Melayu."(Utusa Online-Rencana).posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 6.06 am on Ogos 26,2013.

Kalimah Allah: Sikap ulama Pas mendukacitaka

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Sikap pemimpin Pas khususnya golongan ulama yang sehingga kini tidak mahu bertegas dalam isu penyalahgunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini amat mendukacitakan.

Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, sikap tersebut sekali gus akan mengelirukan banyak pihak dan bakal menjerumuskan umat Islam ke lembah syirik serta murtad.

''Biarlah pemimpin Pas bersikap seperti 'anai-anai' menyokong pihak gereja tetapi pemimpin dalam kalangan ulama mesti membuat penjelasan.

''Mereka hendaklah membuat satu kenyataan yang tegas, dalam masa sama memanggil semua ketua dewan ulama negeri-negeri untuk diberikan penjelasan agar mereka boleh bertindak menerangkannya kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamed Hafiz yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang berkata, merujuk kepada kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sebelum ini, perkara itu boleh membawa kepada syirik. 

''Ertinya ini perkara besar dan urusan fiqhul akbar. Oleh itu, segala kekeliruan dalam kalangan umat Islam mesti dirungkai segera oleh pemimpin ulama di dalam Pas,'' katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Hafiz meminta pemimpin Pas, khususnya golongan ulama segera membuat pencerahan terhadap isu kalimah Allah supaya tidak timbul kekeliruan.


''Asasnya hendaklah merujuk kepada keputusan Majlis Syura Ulama sebelum ini. Mudah-mudahan Allah memudahkan segala urusan,'' katanya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal. blogspot.com.,at 5.20 am on Ogos 26,2013.

Saturday, August 24, 2013

Kediaman Isa Samad dipecah masuk,lima ahli keluarga dikat

Dua orang pegawai polis berada di pekarangan rumah Isa Samad untuk menyiasat kes samun bersenjatakan parang ke atas rumah ahli politik berkenaan di Nilai Springs Villa, Port Dickson, semalam.

SEREMBAN 23 Ogos - Lima ahli keluarga Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berdepan detik-detik mencemaskan selepas diikat sebelum disamun empat lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk rumah ahli politik berkenaan di Nilai Springs Villa di sini awal pagi ini.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi itu, dua anak perempuan, seorang menantu lelaki, seorang cucu dan seorang anak saudara perempuan Mohd. Isa serta seorang pembantu rumah sedang tidur di banglo dua tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, ketika kejadian Mohd. Isa dan isteri tiada rumah berkenaan kerana berada di sebuah lagi kediaman beliau di Seremban.

Katanya, ketika semua mangsa sedang nyenyak tidur dalam bilik masing-masing tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai warga asing.

"Kesemua ahli keluarga Mohd. Isa dan seorang pembantu rumah yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an kemudian dikumpulkan di dalam sebuah bilik sebelum diikat.

"Kumpulan suspek mengambil masa hampir 40 minit untuk menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan empat buah telefon bimbit dan dua peti besi yang mengandungi barang kemas serta jam berjenama milik ahli politik itu yang bernilai ribuan ringgit," katanya di sini hari ini.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati empat penjenayah itu masuk melalui pagar belakang kediaman tersebut yang terletak bersebelahan padang golf dan sempat mengikat seorang anggota polis bantuan Felda yang bertugas di sebuah pondok pengawal di situ setelah diacu parang.

"Salah seorang suspek itu mengawal anggota polis bantuan tersebut manakala tiga lagi suspek terus masuk ke rumah mangsa selepas mengumpil tingkap rumah di bahagian belakang," jelasnya.

Menurut beliau, kesemua mangsa kemudian berjaya melepaskan diri dengan bantuan seorang anggota polis bantuan yang tiba selepas semua suspek beredar sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut. 

"Mangsa-mangsa dalam kejadian itu tidak dicederakan dan jumlah kerugian sedang ditafsir. Polis memburu semua suspek terlibat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Mohd. Isa dan ahli keluarganya enggan ditemui pemberita kerana masih trauma dengan kejadian itu dan difahamkan program Majlis Hari Raya Felda Global Ventures (FGV) di Jempol hari ini yang sepatutnya dihadiri beliau terpaksa dibatalkan.(Utusan online-Jenayah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 2340 hrs on Ogos 24,2013.