Saturday, November 29, 2014

Tiada lagi amaran-PM

NAJIB Tun Razak dan Muhyiddin Yassin berbincang sesuatu semasa sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Kerajaan tidak akan memberi amaran lagi kepada mereka yang menjadi penghasut antara kaum dan agama selepas Akta Hasutan 1948 dipinda pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, akta tersebut akan diperkukuhkan dan ditokok tambah bagi memastikan setiap kaum saling menghormati antara satu sama lain.
Menurut beliau, langkah memperkukuhkan akta itu juga adalah isyarat jelas bahawa tidak ada sesiapa yang harus takut dan bimbang jika dia tidak melanggar undang-undang negara.
“Selepas ini dah tak ada amaran. Jangan bagi amaran lagi, Kita tak nak amaran lagi. Kita nak pastikan keamanan dalam negara kita.
“Tak ada siapa yang harus takut kalau dia tidak mengapi-apikan, menghasut orang. Kalau kita ini bukan penghasut, tak ada apa yang kita harus bimbang,’’ tegasnya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini.
Penegasan Najib itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh para perwakilan di dalam Dewan Merdeka dan orang ramai di luar dewan yang mengikut ucapan beliau.
Najib berkata, beliau telah meminta pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia membuat siasatan rapi dan menguatkuasakan akta tersebut bagi memboleh­kan mereka yang terlibat didakwa.
Katanya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri sudah memberi jaminan dan Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pendakwaan.
“Saya tak boleh arahkan Peguam Negara kerana dalam Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak, jadi saya minta ketegasan Peguam Negara untuk jalankan pendakwaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, jaminan tersebut akan membolehkan semua orang berhenti berbalah mengenai perkara tersebut dan memberi fokus untuk memajukan negara.
Beliau menyifatkan perhimpunan kali ini agak lain daripada biasa dan hampir menjadi perhimpunan yang memberi fokus kepada satu isu sahaja iaitu Akta Hasutan.
Sebagai seorang pemimpin yang mendengar denyut nadi rakyat, Perdana Menteri menegaskan, beliau mengikuti perkembangan isu itu, mendengar pendapat dan memilih untuk mengumumkannya dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Menurut Najib, beliau boleh memilih untuk mengumumkan keputusan kerajaan di Parlimen, tetapi menyedari ada satu lagi platform iaitu Perhimpunan Agung UMNO kerana mahu semua ahli UMNO tahu bahawa sebagai Presiden parti, beliau bertanggungjawab kepada semua ahli.
“Kalau suara UMNO hendakkan supaya Akta Hasutan ini dikekalkan, maka saya memilih untuk menerima hasrat ahli-ahli UMNO seluruhnya. Tambahan lagi bila saya bincang dengan Timbalan Presiden, dengan pemimpin-pemimpin UMNO, semua kata bahawa itulah pendirian yang sebaik-baiknya. Ini bukan bererti tak berlaku adil kepada orang lain,’’tegasnya.( Utusan online-berita utama/PAU 2014).Posted by abnmulya / Abu Bakar NInggal.blogspot.om at 11.04 am on Nov-30,2014.

Penghasut akan diburu habis-habisan

Reaksi perwakilan ketika mendengar ucapan penangguhan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan memburu sesiapa sahaja yang menghasut dengan tujuan mencetuskan pergolakan dalam negara sebaik sahaja Akta Hasutan 1948 diperkasakan dengan dua elemen baharu.
Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak kisah jika tindakan tersebut dilabelkan sebagai hardcore mahu pun fundamentalis agama kerana baginya, empat perkara asas Perlembagaan iaitu Perkara 3, 181, 152 dan 153 tidak wajar dipersoal oleh sesiapa.
Walau bagaimanapun, dalam memerangi perbuatan menghasut tersebut, beliau menuntut kerjasama daripada seluruh agensi terlibat, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Peguam Negara, bukan hanya dibebankan di bahu polis.
"Saya berjanji apabila Akta Hasutan 1948 ini diperkasakan, saya akan mengambil tindakan segera kepada pesalah-pesalah ini tetapi kita perlu kerjasama. SKMM kerjasamalah dengan kita, Jabatan Peguam Negara kerjasamalah dengan kita, jangan hanya bebankan polis.
"Adakah saya dianggap hardcore dan fundamentalis? Saya berada di sini dan diletakkan (ke jawatan) Menteri Dalam Negeri kerana sokongan semua," katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Menyentuh isu sama, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Akta Hasutan bukan hanya diperkasakan tetapi perlu dilaksanakan terutama mereka yang cuba membawa keluar Sabah dan Sarawak dari negara ini.
"Saya berharap akta ini bukan hanya diperkasakan malah tindakan perlu diambil kepada mana-mana pihak terutama usaha dari setengah pihak yang cuba hendak membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula menjelaskan, unit Bona Fide Friends of UMNO akan digerakkan bagi membantu kerajaan memperkemaskan usaha menambah baik Akta Hasutan.
Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Biro Perundangan UMNO memberitahu, gerakan yang bakal dilancarkan bersifat inklusif dengan melibatkan semua segmen di dalam masyarakat.
"Kita tidak ada masa lagi untuk berdiam diri kerana musuh-musuh kita di luar sana sedang menunggu," tegasnya.( Utusan online-PAU-Umno).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.37 am on Nov-30,2014.

Tidak pernah terlintas untuk kami lompat parti pembangkang-Raime Unggi

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Anggota Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi hari ini menafikan di mahkamah yang beliau, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan seorang lagi membuat pertimbangan untuk menerima tawaran melompat parti, menyertai pembangkang.

Ketika diasak beberapa kali oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pemeriksaan balas, Raime berkata, tidak pernah terlintas langsung untuknya, Anifah dan anggota Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee untuk menerima tawaran itu.
Malah, katanya, Anifah juga telah menunjukkan reaksi marah dan tidak suka ketika beliau (Anifah) ditawarkan oleh seseorang supaya melompat parti semasa perjumpaan di Hilton Kuala Lumpur.
Razlan : Adakah anda, Anifah dan Kiandee ada membuat kenyataan media mengenai tawaran lompat parti itu?
Raime : Tidak ada
Razlan : Adakah anda, Anifah, Kiandee bercadang untuk membuat laporan polis mengenai ada cubaan menyogok untuk melompat parti?
Raime : Tidak ada.
Razlan : Saya cadangkan kepada kamu, disebabkan kamu tidak membuat kenyataan media dan laporan polis, ini bermakna kamu ada mempertimbangkan tawaran melompat parti?
Raime : Tidak pernah terlintas langsung untuk kami pertimbangkan tawaran melompat parti.
Raime berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar terhadap Anifah berhubung kenyataan menteri itu mengenai Anwar pada satu sidang media di Washington bersama bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada Mei 2009.
Ditanya Razlan lagi, sekiranya mereka (Raime, Anifah dan Kiandee) sudah membuat ketetapan untuk tidak menerima tawaran itu mengapa perbincangan mengenai perkara itu masih berlanjutan sehingga ke Macau, China, Raime berkata, itu kerana pada ketika itu ada usaha untuk mempengaruhi mereka melompat parti Barisan Nasional kepada pembangkang.
Razlan : Kenapa perlu ada perjumpaan kali kedua di Macau, jika ada ketetapan hati. Perjumpaan rahsia di Macau ini bagi pertimbangkan untuk lompat parti, setuju?
Raime : Tidak setuju.
Raime, 44, memberitahu bahawa perbincangan mengenai tawaran lompat parti itu pertama kali berlaku di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, kemudian di Macau dan akhir sekali di Hilton, Kuala Lumpur.
Ketika ditanya Razlan, apa tujuan beliau pergi ke Macau pada 2008, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 saksi itu menjawab Anifah mengajaknya pergi ke sana dan dalam fikirannya untuk bermain golf, tetapi setiba di sana mereka tidak bermain golf tetapi berbincang mengenai tawaran melompat parti.
Saksi ketiga defendan itu bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Razlan bahawa sekiranya Anifah membuat keputusan untuk melompat parti beliau akan mengikut tindakan Anifah.
"Anifah adalah ketua saya, saya akan ikut ketua saya," kata Raime.
Raime berkata ketika di Hotel Le Meridien, Anifah ada memberitahunya bahawa tawaran melompat parti itu bukan sahaja kepadanya (Anifah) tetapi kepada semua anggota Parlimen BN di Sabah.
Beliau berkata, semasa di Hotel Le Meridien, Kiandee juga ada memberitahunya beliau mendapat tawaran RM5 juta untuk melompat parti.
Semasa disoal Razlan, ada atau tidak Anwar menyebut Anggota Parlimen Kimanis (Anifah) akan menukar parti, Raime berkata, beliau ada mendengar mengenai perkara itu melalui khabar angin dan daripada 'orang' Anwar.
Terdahulu semasa pemeriksaan utama oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Anifah, Raime berkata, semasa beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang, dari Macau, Anifah menerima panggilan telefon daripada seseorang, dan melihat reaksi Anifah, panggilan itu merupakan panggilan penting.
"Dalam hati saya cakap, ini mesti perkara sama (tawaran lompat parti). Bila Anifah beritahu saya itu panggilan daripada orang sebelah sana (pembangkang). Saya tidak tanya lagi, Anifah hanya beri signal kepada saya," katanya.
Raime berkata, Anifah juga tidak memberitahunya siapa yang membuat panggilan itu dan mengenai perkara apa, tetapi daripada isyarat yang diberikan Anifah, beliau boleh mengagak ia mengenai isu lompat parti.
Saksi itu berkata, selepas itu beliau bersama Anifah dan Kiandee berjumpa di Hotel Hilton dan di sana ada 'seseorang' telah berbual dengan Anifah dan ketika ditanya, Anifah memberitahunya bahawa itu 'orang Anwar'.
"Saya boleh dengar mereka bercakap. Saya dengar ada sesuatu tawaran telah diberikan. Kalau tidak silap saya mengenai wang RM100 juta. Saya percaya tawaran itu untuk kami berpihak ke sebelah sana (pembangkang)," katanya.
Muhammad Shafee : Apa reaksi Anifah pada masa itu?
Raime : Saya nampak dia macam marah dan tidak suka dibuat begitu.
Muhammad Shafee : Kenal siapa orang itu?
Raime : Anifah kata itu orang Anwar. Saya memang tidak kenal orang itu.
Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, memfailkan saman pada 27 Mei 2009 dengan mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang media di Washington pada 16 Mei 2009 semasa lawatan kerja ke negara itu.
Beliau juga mendakwa Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung 15 Dis. - BERNAMA( Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal. blogspot. com.at 1o.11 am on Nov-30,2014.

Friday, November 28, 2014

Anifah pernah ditawar RM100 JUTA

Kiri:Datuk Seri Anifah Aman
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau pernah ditawarkan wang sebanyak RM100 juta sebagai dorongan untuk dirinya agar membawa masuk beberapa ahli Parlimen dari Sabah menyertai pakatan pembangkang.
Menurut Anifah, tawaran tersebut diterima daripada seorang tokoh korporat yang dikenali dengan nama Ishak Ismail di sebuah hotel terkemuka di ibu negara sekitar tahun 2008.
Walau bagaimanapun beliau tidak dapat mengingati sama ada tawaran berupa wang itu dibuat sebelum atau selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya melalui telefon sekiranya bersetuju untuk ‘lompat parti’.
Menjawab mengenai perbualan telefonnya dengan Anwar sekitar Mei dan Jun 2008, Anifah telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak berminat untuk berpaling tadah daripada Barisan Nasional (BN).
Menteri itu turut menyatakan, beliau berkemungkinan ditawarkan kedudukan (jawatan Timbalan Perdana Menteri) ekoran ucapannya mengkritik kerajaan kerana kurang memberikan jawatan menteri kepada ahli-ahli Parlimen dari Sabah atau Sarawak selepas pilihan raya umum pada 2008.
“Anwar mengenali saya dan selepas apa yang saya nyatakan di Parlimen ketika itu, saya menjadi sasaran oleh Anwar untuk merealisasikan kerajaan 16 September beliau. Tambahan pula, terdapat beberapa orang ahli Parlimen dari Sabah yang akan mengikut saya sekiranya berbuat demikian,” katanya yang enggan mendedahkan nama ahli Parlimen yang rapat dengannya.
Anifah memberitahu, sebelum Anwar membuat panggilan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya, sudah terdapat beberapa usaha untuk menarik beberapa ahli Parlimen terutama dari Sabah dan Sarawak namun beliau dan beberapa lagi telah membuat ketetapan untuk tidak berpaling tadah.
Anifah atau nama sebenarnya, Anifa Aman @ Haniff Amman, 61, berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Razlan Hadri Zulkifli pada perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar selaku plaintif terhadapnya.
Ahli Parlimen Kimanis itu sepatutnya memberi keterangannya pada Selasa lalu namun ditangguhkan ke hari ini ekoran beliau tidak sihat akibat keracunan makanan dan konjunktivitis.
Anwar memfailkan saman pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Hillary Clinton semasa lawatan kerja ke negara tersebut.
Dalam saman tersebut, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, Anifah dalam sidang akhbar itu menyatakan beliau pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya sebagai ‘umpan’ melompat parti selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, menteri terbabit memberitahu, beliau tidak menyimpan nombor telefon ahli perniagaan bernama Tony Vun mahupun Anwar.
Katanya, kali terakhir beliau bercakap dengan Anwar adalah sewaktu plaintif masih bersama UMNO dan BN serta memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun, ketika menerima panggilan daripada Vun, beliau mengenali individu yang bercakap dengannya adalah Anwar.
“Saya sudah lama tidak berhubung dengan Vun dan tidak menyimpan nombor telefon bimbitnya. Namun, ketika sedang berjalan keluar dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), saya menerima panggilan telefon daripadanya (Vun). Saya cam suaranya dan ketika itu dia memberitahu saya ada seseorang hendak bercakap dengan saya.
“Selepas menunggu beberapa saat, terdengar suara orang memberi salam dan saya tahu itu adalah Anwar kerana itu merupakan caranya. Beliau kemudian memberitahu saya yang beliau mencari saya di Macau, China namun saya beritahu saya berada di ibu negara.
“Kami berbual kira-kira 10 minit dan dalam tempoh itu beliau berulang kali menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada saya. Namun sepanjang perbualan itu jugalah, saya menolak tawarannya dan memberitahu sangat tidak berminat dengan tawaran yang dibuat.
“Anwar turut meminta saya membawa beberapa lagi ahli Parlimen untuk bersama dengannya membentuk kerajaan 16 September dan mengatakan akan menjaga mereka yang setuju berbuat demikian,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid bersambung esok.( Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.36 am on N ovember-29,2014.

Thursday, November 20, 2014

Akta Hasutan 1948 perlu kekal

ROKIAH ABDULLAH ; 20 November 2014 3:45 AM

Tan Sri Musa Hasasan
IPOH 19 Nov. – Akta Hasutan 1948 bukan sahaja perlu dikekalkan malahan ditambah baik untuk memantapkan lagi peranannya sebagai benteng terakhir menentang pihak yang semakin berani membuat kenyataan berbaur hasutan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan termasuklah perkara-perkara yang menyentuh berkaitan Islam, kedudukan raja-raja Melayu serta mengenai usaha mengeluarkan mana-mana negeri dalam Persekutuan.
Musa berpendapat, hukuman sedia ada iaitu penjara lima tahun juga perlu ditambah bagi mewujudkan rasa gerun kepada individu yang terlibat melakukan kesalahan berkenaan.
“Seperti sekarang, ramai orang bercakap tentang Sabah dan Sarawak mahu keluar (Malaysia), itu hasutan tapi perkara itu terus diperkatakan.
“Begitu juga pasal warga-negara, kita tidak boleh per-tikaikan warganegara mereka (bukan Melayu) kerana mereka telah menjadi warganegara.
“Jadi, pada saya, kita memerlukan satu akta yang berkesan untuk mengekang perkara itu dari terus berlaku dan amat jelas akta ini masih relevan kerana ia menjaga keharmonian semua pihak dan perkara ini amat penting dalam menjadikan negara terus sejahtera dan aman,” katanya demikian selepas menghadiri program pemahaman mengenai akta tersebut anjuran Pergerakan Wanita UMNO Perak, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Sekretariat Perundangan UMNO Malaysia, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Presiden Penaja Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.
Sementara itu, Musa dalam ucapannya ketika menjadi panel dalam program itu berkata, kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan pihak tertentu sehingga sanggup mengubah undang-undang dengan sewenang-wenangnya.
Dalam konteks tersebut katanya, semua pihak boleh menjadikan pengalaman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang diganti akta baharu iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selain Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) sebagai contoh pada masa depan.
“Pada saya ia (Sosma) tidak cukup kuat kerana meskipun pihak berkuasa boleh menahan individu terlibat, namun mereka perlu memohon di mahkamah dan membuktikan perkara tersebut terlebih dahulu,” katanya.( Urtusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya  / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at10.21 am on Nov-21,2014.

Saturday, November 15, 2014

BN perlu letak calon UMNO di kawasan majoriti Melayu

Datuk Abd.Aziz Kaprawi
KUALA LUMPUR 15 Nov. – Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon UMNO di kawasan majoriti orang Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, demi menjamin kelangsungan sebagai parti pemerintah.

Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Abd. Aziz Kaprawi berkata, langkah itu wajar memandangkan formula tersebut turut digunapakai oleh pembangkang pada PRU-13.
“Sebagai contoh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dalam Parlimen Sri Gading, majoritinya orang Melayu, BN telah meletakkan calon MCA dan ditewaskan oleh pembangkang yang meletakkan calon Pas.
“Memandangkan landskap politik kini telah berubah, maka sewajarnya jika kawasan itu majoriti Melayu, maka BN meletakkan calon UMNO,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Abd. Aziz, terdapat sebilangan pengundi Melayu akan mengundi atas faktor calon jika majoriti kawasan itu adalah orang Melayu dan cenderung untuk tidak memilih calon BN daripada kaum lain.
Tambahnya, suasana itu tidak berlaku sebelum PRU-13 tetapi landskap politik kini berubah dengan perkembangan teknologi media baharu yang merebak begitu cepat sehingga berjaya mempengaruhi para pengundi secara langsung.
“Saya yakin formula tersebut jika diguna pakai pada PRU-14, mampu merampas semula kerusi di mana BN tewas,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Abd. Hamid Abd. Rahman berkata, cadangan untuk membuat satu ketetapan kepada MCA dan Gerakan hanya bertanding di kawasan majoriti Cina merupakan langkah terbaik bagi kedua-dua parti berkenaan memulihkan imej dan kekuatan.
Katanya, parti-parti berkenaan perlu lebih serius mendekati kaum Cina bagi memberi sokongan kepada BN.
“Dalam konsep berkongsi kuasa, hanya apabila kita menang baharu kita dapat kuasa, hanya kita menang baharu BN dapat membentuk kerajaan.
“MCA dan Gerakan perlu berusaha memulihkan diri sendiri, kalau MCA sebelum ini cukup serius untuk menolak jawatan berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya, mereka juga perlu berani mengambil cabaran itu,” katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.spopt.com .at 11.39 am on Nov-16,2014.

'Tauke besar' dalang teroka tanah

Didakwa mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik

SAYED HESHAM IDRIS.
15 November 2014 5:00 PM 


(Gambar hiasan aje oleh abnmulya)
CAMERON HIGHLANDS 14 Nov. - Seorang lelaki yang pernah dikenakan hukuman buang daerah didakwa antara dalang utama yang rakus merosakkan alam sekitar di sini melalui tindakan meneroka tanah secara haram bagi aktiviti pertanian.

Sumber mendakwa, walaupun sudah meneroka beratus-ratus hektar dan perbuatannya diketahui umum namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa ke atas individu yang dianggap ‘tauke besar’ itu berikutan hubungan rapat dengan beberapa pemimpin politik.
“Malah, lelaki tersebut juga dikatakan turut memberi habuan kepada segelintir anggota agensi pengu­at kuasa bagi memastikan kegiatan haramnya tidak diganggu,” dakwanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Baru-baru ini pada 9 November lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan segelintir pegawai kerajaan negeri bagi melindungi kegiatan penerokaan tanah secara haram dan mereka didakwa dibayar RM10,000 untuk setiap 0.4 hektar tanah yang diteroka.
Sumber itu mendakwa, aktiviti pertanian yang dijalankan oleh lelaki berkenaan ialah di salah satu kawasan penanaman sayur terbesar di daerah ini.
“Individu berkenaan bukanlah ahli politik namun bijak menutup kegiatannya menerusi hubungan rapat dengan pemimpin politik sehingga di peringkat negeri berikutan itu tanah-tanah yang dice­robohnya mudah ‘dihalalkan’ walaupun menyalahi peraturan dan undang-undang,” dakwanya.
Sumber tersebut turut mendedahkan bagaimana modus operandi penerokaan tanah secara haram di sini sama seperti mana sesebuah kumpulan kongsi gelap menguasai sesuatu kawasan.
“Mereka sudah ‘membahagi-bahagikan’ had ka­wasan yang dikuasai. Sebagai contoh, ‘tauke besar’ di Brinchang tidak boleh meneroka tanah ke kawasan lain seperti di Bukit Raja atau Tanah Rata yang dikuasai oleh individu lain,” dakwanya.
Ujar sumber itu, peraturan itu dipatuhi sebagai menghormati persefahaman sesama mereka.
“Kegiatan tauke besar ini menambahkan lagi jumlah tanah haram yang diteroka selain orang perseorangan yang turut berbuat demikian,” katanya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.04 am on NOv -16,2014.

3 Pendekatan UTAMA Umno-BN

MOHAMAD FIKRI ROSLY 

DAN NURUL HUDA HASSAN.


NAJIB Tun Razak bersama Hishammuddin Tun Hussein, Mohamed Khaled Nordin, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Maslan dan para pemimpin UMNO negeri semasa majlis Perasmian Konvensyen UMNO Johor 2014 di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru, semalam. – BERNAMA


JOHOR BAHRU 14 Nov. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan tiga pendekatan utama untuk memperkasakan parti dalam usaha memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah negara ini.

Beliau berkata, tiga pendekatan itu ialah mengutamakan ahli yang mampu melahirkan idea yang unggul, mereka yang berjaya dalam menguasai komunikasi selain perlu membuka UMNO secara inklusif serta tidak tertutup kepada bakat baharu.
Menurutnya, golongan muda yang mempunyai bakat perlu di-didik, diberi laluan serta peluang kepada dan tidak dicantas, dihalang atau disepak sehingga menyebabkan mereka tidak mahu mendekati UMNO.
“Dalam keadaan dunia yang sudah berubah, apa yang penting jika (seseorang) ada idea, dia yang akan menang, mereka yang ada komunikasi akan lebih berjaya.
“Namun, jika ada idea tetapi komunikasi lemah dan tiada engagement (interaksi), tidak mungkin boleh berjaya. Sebab itu, UMNO perlu dibuka secara inklusif dengan memberi peluang kepada golongan muda.
“Kita boleh panjat tangga kondominium yang eksklusif tapi kalau kita sendiri perangai tidak berubah, adakah orang muda nak masuk UMNO,” katanya semasa merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2014 di Hotel Berjaya Waterfront, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Perdana Menteri berkata, apa gunanya seseorang pemimpin itu memenangi jawatan ketua UMNO bahagian sedangkan kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasannya kalah dalam pilihan raya.
“Saya tahu ada ketua bahagian hanya jaga 70 peratus pemimpin dan ahli dalam bahagiannya untuk menang, yang selebihnya tidak dijaga,” katanya sambil meminta pemimpin UMNO di semua bahagian melakukan perubahan.
Sehubungan itu, Najib berkata, perubahan dalam UMNO perlu bermula daripada kepemimpinan ter-tinggi parti (core group) kerana pada asasnya kepemimpinan dan ahli UMNO merupakan cerminan parti, sekali gus jika kumpulan itu dise-nangi maka ia mampu meningkatkan keyakinan kepada parti.
“Justeru, kita perlu ingat jangan hanya kaya dengan material sahaja tetapi miskin dari segi semangat, daya juang dan kasih kepada parti. Kita sedar bahawa isyarat sudah diberikan dan untuk itu kita mesti lakukan reality check,” tegasnya.
Bagi tujuan itu, katanya, UMNO Johor sudah pun melihat tentang perkara tersebut dan menerima realiti berkenaan menerusi proses muhasabah diri dan menerimanya sebagai satu isyarat dalam usaha menghadapi cabaran akan datang.
Najib berkata, untuk kelangsungan UMNO memerlukan pertambahan dalam jumlah kerusi yang dimenangi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)..Utusna online-politik (Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1712 hrs on Nove-15,2014.

Friday, November 14, 2014

Aktiviti Gabungan Ngo-Ngo Gombak mendekati masyarakat Selayang


Datuk Dr.Rahman Ismail
Prersiden Gabungan Ngo-Ngo Gombak,Datuk Dr.Rahman Ismail, mantan Ahli Parlimen Umno Gombak,pada tengah hari tadi telah memaklumkan kepada (abnmulya) / Abu Bakar Ninggal. blogspot.com.

Bahawa pada esok pagi,bersamaan pada tanggal 15 hb. November 2014, "Gabungan Ngo-Ngo Gombak"pimpinan beliau akan bersama dengan rakyat di dalam satu progrem di Selayang.

Progrem tersebut merupakan satu progrem Karnival Amal anjuran bersama murid-murid,Guru-guru dan Ibu/Bapa,Sekolah Rendah Selayang  II.

Majlis tersebut akan bermula pada esok pagi, jam 8.30 bertempat di Sekolah Rendah,Taman Selayang II.

Dijangka berbagai-bagai acara akan dipersembahkan di karnival amal tersebut khusus akan dijayakan oleh  guru-guru dan murid-murid dan Ibu/Bapa di sekolah itu sendiri.

Datuk Dr.Rahman Ismail berserta Guru-guru,murid-murid serta Ibu/Bapa sekolah tersebut amat mengalu-alukan semua sahabat-sahabat dan pada pimpinan badan-badan Ngo Gombak yang bergabung di dalam Gabungan Ngo-Ngo Gombak,agar akan dapat bersama-sama murid-murid,Guru-guru dan Ibu/Bapa di Sekolah Rendah Selayang II bagi memeriahkan majlis Karnival Amal yang akan berlangsung itu.(Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 2012 hrs on November 14,2014).


Tuesday, November 11, 2014

MELAYU DISARAN SUPAYA BERSATU ELAK ANCAMAN GUGAT KEDUDUKAN BANGSA

Prof.Datuk Dr.Kamarudin Kachar
KUALA LUMPUR 11 Nov. –Orang Melayu disarankan supaya bersatu-padu dan menanamkan sifat sentiasa ingin bekerjasama yang menjadi jati diri mereka sebagai persediaan awal menghadapi pelbagai ancaman yang boleh menggugat kedudukan bangsa.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, salah satu cara untuk mengekang ancaman-ancaman tersebut adalah orang Melayu harus sentiasa berani, tegas, bijak merancang dan berfikiran jauh.
“Orang Melayu harus berjuang habis-habisan dan bangkit memperjuangkan hak bangsa kita di bumi Malaysia ini. Ini bukan soal rasis, tetapi tentang membela agama, bangsa, dan budaya kita. Jangan pernah kata Melayu lemah.
“Yang sudah mengecapi ke­senangan pula jangan terus leka dan berpeluk tubuh sebaliknya bantulah yang memerlukan dan jangan sesekali mengabaikan yang lain,” tambahnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang menyatakan bahawa orang Melayu perlu bersedia menghadapi ancaman yang semakin menggugat kedudukan bangsa Melayu di negara ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali mendakwa, masalah dihadapi orang Melayu kini kebanyakannya berpunca daripada sikap sambil lewa yang ditonjolkan oleh pihak atasan, khususnya dalam menguruskan isu hak dan kepentingan.
Katanya, setiap masalah serta cabaran dihadapi masyarakat sebenarnya sudah lama berlaku, namun apa yang menghairankan adalah tiadanya tindakan serta langkah pengawalan diambil oleh pihak berkaitan.
“Kita tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun ini hakikatnya cabaran yang terpaksa ditempuh. Isu tanah rizab Melayu, isu kebanjiran warga asing, pemerkasaan bahasa Melayu serta beberapa masalah ekonomi.
“Jika tiada tindakan drastik diambil dalam tempoh terdekat, saya yakin generasi akan datang adalah golongan yang bakal menerima impak yang besar,” katanya.( Utjusan online-politik).Posted by abnmulya /Abu Bakar NInggal.blogspot.com.at 10.09 am on Nov-12,2014.

PUTIN SEDIA BANTU MALAYSIA

Harapan baharu pasukan penyiasat antarabangsa masuk lokasi nahas MH17 

Presiden Rusia- Vladimir Putin

BEIJING 11 Nov. - Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan persetujuan membantu Malaysia dalam usaha membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan nahas
pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, perkara itu dinyatakan oleh Putin dalam pertemuan dan perbincangan dua hala mereka yang diatur atas permintaan Presiden Rusia itu di sini petang semalam.
Menurutnya, beliau telah menegaskan kepada Putin bahawa tragedi MH17 bukan kemalangan tetapi suatu perbuatan dengan sengaja menjatuhkan pesawat tersebut, oleh itu Malaysia perlu meneruskan usaha penyiasatan untuk mengetahui punca-punca nahas.
“Saya telah meminta beliau membantu Malaysia supaya kita dapat akses ke kawasan nahas. Putin memberitahu, beliau sanggup berbuat demikian dan beliau juga mahu supaya dikenal pasti dan diketahui siapa yang melakukan perkara tersebut.
“Saya juga tegaskan, selagi kita belum dapat jawapan, Malaysia akan teruskan usaha ini demi mendapatkan satu kesimpulan dan memberi kepuasan kepada keluarga yang terlibat dalam nahas atau tragedi MH17 ini,” katanya.
Pada September lalu, Kiev tidak dapat memberi jaminan keselamatan untuk pasukan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan nahas pesawat MH17. Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk dalam pertemuan dengan Najib di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York.
Yatsenyuk memaklumkan, tembakan dan letupan masih berterusan di timur Ukraine walaupun perjanjian gencatan senjata dengan pasukan pemisah dilaksanakan.
Sebelum ini, Perdana Menteri menyatakan kebimbangan mengenai mayat-mayat penumpang dan anak kapal MH17 yang masih belum dituntut di lokasi nahas serta bukti-bukti forensik.
Penerbangan MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.
Sementara itu, Najib berkata, dalam pertemuan itu, Putin mengharapkan kerjasama Petronas di Rusia dalam bidang cari gali minyak dan gas manakala beliau pula men­yatakan permintaan kepada Presiden Rusia itu untuk membantu meningkatkan jumlah pelancong negara itu ke Malaysia.
“Saya beritahu bahawa ramai pelancong dari Rusia melawat Dubai dan Phuket tetapi tidak ramai ke Malaysia. Jadi saya memberitau beliau bahawa kita perlu melakukan sesuatu agar ia boleh ditingkatan, saya yakin bilangannya boleh ditambah dengan jumlah lebih besar.
“Selain itu, kami juga membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang farmaseutikal penggunaan tenaga nuklear. Beliau juga berharap kita terus membeli peralatan pertahanan dari Rusia,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, apa yang menarik dalam hubungan dua hala Malaysia-Rusia ialah nilai perdagangan kedua-dua negara yang melambung 66.6 peratus untuk 2012-2013 manakala dari Januari hingga Julai tahun ini meningkat kira-kira 70 peratus.
“Ini menunjukkan bahawa prospek mengembangkan perdagangan antara Rusia-Malaysia amat besar,” katanya. – UTUSAN( Utusan online-lUar Negara).Posted by abnmulya  /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.52 am on Nov-12,2014.

Monday, November 10, 2014

DAFTAR PENGUNDI BAHARU

KPI semua sayap UMNO.

OLEH SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
(PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) 
Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal
PUTRAJAYA 10 Nov. - UMNO akan menjadikan tumpuan mendaftar pengundi baharu sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai oleh semua sayap parti tersebut bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan lebih banyak pengundi baharu menyertai parti tersebut sekali gus memastikan UMNO terus kekal menjadi parti pemerintah di masa hadapan.
Katanya, pada masa sama usaha lebih giat juga sedang dilakukan bagi mendaftar sebanyak enam juta ahli UMNO sebagai pemilih dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kita hendak permudahkan proses pendaftaran ini di mana ada pemohon yang hendak menjadi ahli kita galakkan, pada masa sama sayap-sayap parti seperti Wanita, Puteri dan Pemuda akan diletakkan KPI di peringkat negeri dan bahagian bagi mendaftar ahli baharu.
“Kita serahkan kepada sayap parti di peringkat bahagian dan negeri untuk membantu mendaftarkan ahli baharu kerana mereka lebih kenal penduduk di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan hari inovasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setia­usaha kementeriannya, Datuk Seri Ibrahim Muhamad.
Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, parti menerima mana-mana individu untuk me­nyertai parti tersebut dan tidak pernah menghalang mereka menyertai UMNO.
Kata beliau, pihaknya mengalu-alukan penyertaan semua pihak termasuk golongan profesional ke dalam parti itu dan akan memastikan kerenah birokrasi dapat dikurangkan.
Mengulas mengenai terdapat ahli UMNO yang tidak mendaftar sebagai pemilih, katanya, situasi itu agak membimbangkan dan memerlukan penyelarasan oleh ibu pejabat parti untuk mengumpul data serta maklumat ahli yang masih belum berbuat demikian.
Dalam pada itu, kata beliau, pihak­nya juga akan menggunakan pendekatan baharu bagi mengga­lakkan lebih banyak orang muda menyertai parti tersebut termasuk dengan mengadakan program jelajah di seluruh negara untuk memberi penerangan secara terperinci.
Pada masa sama, beliau turut memuji beberapa negeri antaranya UMNO Johor yang sangat agresif dan telah berjaya menambah banyak ahli baharu menyertai parti tersebut.
Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, UMNO sentiasa terbuka dalam menerima pandangan pelbagai pihak bagi memantapkan lagi parti tersebut.
Malah, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menggalakkan orang ramai memberi pandangan dengan menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 11.15 am on  Nov.,11.2014.

SIS:Kenapa dahulu bantah,sekarang pertahan

OLEH ABDUL YAZID ALIAS 
( pengarang @ UTUSAN .COM.My.)
Noh Omar

SHAH ALAM,NOV 11: Ahli Parlimen Sepang daripada Pas, Moha­med Hanipa Maidin di­minta menjelaskan pendirian sebenar beliau terhadap Sister in Islam (Sis) yang dilihat berubah-ubah dalam tempoh kurang 10 tahun.

Pengerusi Badan Per­hubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ber­dasarkan laporan sebuah portal berita pada 15 April 2005, Mohamed Hanipa selaku Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Pusat telah mengetuai perhimpunan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi mendesak Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan pendaftaran Sis.
Bagaimanapun baru-baru ini, katanya, Mohamed Hanipa membuat kenyataan bersama dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap pertubuhan kontroversi itu.
“Jika dahulu beliau mengetuai perhimpunan aman menggesa kerajaan mengharamkan Sis, mengapa pula sekarang beliau mempertikaikan fatwa Selangor yang telah mengharamkan pergerakan itu.
“Kita tidak berniat mahu mencampuri urusan mahkamah (susul­an tindakan Sis menfailkan semakan kehakiman terhadap fatwa tersebut). Cuma kita mempersoalkan pendirian sebenar Ahli Parlimen Sepang dalam isu fatwa Selangor terhadap Sis. Apakah tindakan beliau itu dibuat atas kepentingan politik,” katanya di sini hari ini.
Majlis Agama Islam Sela­ngor (MAIS) pada Julai lalu mengisytihar­kan Sis dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Bagaimanapun pada 4 Oktober lalu, Mohamed Hanipa serta Khalid dan Mujahid dalam satu sidang akhbar menyifatkan fatwa MAIS terhadap liberalisme dan plura­lis­me sebagai usaha terburu-buru dan drastik kerana dua perkataan itu tidak ditakrifkan dengan betul.
Sementara itu di Dewan Rakyat, Noh berkata, saranan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali agar Sis bersemuka dengan Mufti Se­langor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid tentang fatwa berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu disifatkan sebagai kurang wajar.(Utusan online-politik). Posted bya abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com. at Nov:11,2014.

Sunday, November 9, 2014

30 syarikat di Selangor rugi besar akibat krisis air

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sebanyak 30 syarikat di Selangor mengalami kerugian besar akibat krisis bekalan air awal tahun ini, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, maklumat daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan syarikat yang terlibat termasuk Nestle yang mengalami kerugian RM15 juta sehari dan Monin Asia (RM112 juta sebulan) manakala Panasonic terpaksa melepaskan tempahan bernilai RM40 juta.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu impak krisis air di Selangor terhadap kewangan serta ekonomi negara.
Mahdzir berkata kerugian besar juga dialami beberapa industri seperti industri memproses makanan dan minuman, getah, kimia/oleokimia, elektrik dan elektronik, pelancongan serta industri kecil dan sederhana.
"Ada kilang terpaksa membatalkan tempahan malah ada yang terpaksa mengalih operasi buat sementara waktu ke kawasan lain termasuk di luar negara," katanya.
Mahdzir berkata krisis bekalan air telah menyebabkan pengagihan air berjadual dilaksanakan selama kira-kira tiga bulan bermula Mac lepas.
Beliau berkata berkata krisis bekalan air di Lembah Klang sejak 2012 juga mengakibatkan kelulusan bagi 855 permohonan kebenaran merancang terpaksa ditangguhkan.
"Banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan mengikut rancangan pelabur di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.
Beliau bagaimanapun menjangkakan keadaan akan pulih menjelang 2017 apabila siap projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.
Projek Langat 2 yang tertangguh sejak 2008 diteruskan hujung April lepas selepas Kerajaan Selangor bersetuju mengeluarkan kebenaran selepas perjanjian persefahaman ditandatangani antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada 26 Februari lepas.BERNAMA ( Utusan online-) Posted by abnmulya /Abu Bakar NInggal.blogspot.com.at 1551 hrs on Nov.,10,2014.

Keputusan Mahkamah Rayuan mengejutkan,luar biasa

10 November 2014 2:41
Tan Sri Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA 9 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes lelaki Islam yang berpakaian wanita di tempat awam, adalah mengejutkan dan luar biasa.

Menurut beliau, keputusan tersebut bagaimanapun perlu dihormati dan terserah kepada Peguam Negara, majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya termasuk mengemukakan rayuan.
“Ini satu keputusan yang mengejutkan dan luar biasa dan saya ada membaca pendapat pihak pimpinan agama Islam seperti mufti dan peguam muslim yang melahirkan rasa hairan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan kelmarin memutuskan bahawa Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.( Utusan online-).Posted  by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.b logvspot.com.at 12.25 noon at Nov.,10,2014.

Jangan cabar hukum Allah

(Usah timbulkan kekeliruan kepada umat Islam) 

 09 November 2014 2:39 AM 
Harussani Zakaria,Mufti Perak.
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan perlembagaan sebagai tindakan mencabar hukum Allah SWT.

Beliau berkata, lelaki berpakai­an seperti perempuan atau sebaliknya adalah salah satu perkara yang amat bertentangan dengan ajaran Islam justeru perlu disekat.
“Hadis Nabi SAW mengatakan lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki dilaknat oleh Allah SWT.
“Tindakan Mahkamah Rayuan itu boleh diibaratkan sebagai menghalalkan perkara yang haram dan akan menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan peruntukan enak­men agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh Hakim Datuk Mohd. Hishamuddin Mohd. Yunus yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan.
Tegas Harussani, perkara tersebut merupakan kehendak dan hukum agama Islam bukannya adat untuk mana-mana pihak sesuka hati membuat keputusan sama ada halal atau haram.
“Saya amat sedih, undang-undang diwujudkan bagi menjaga akhlak orang Islam untuk tidak melanggar hukum syarak yang ditetapkan agama malangnya sekarang seperti dihalalkan.
“Dengan keputusan yang dibuat, masyarakat khususnya orang Islam akan bebas melakukan dosa dan melanggar syarak Islam tanpa rasa takut. Jangan kita mengundang bala,” katanya.
Harussani turut menasihatkan orang ramai untuk memahami ilmu agama dengan lebih mendalam supaya setiap perbuatan tidak akan bercanggah de­ngan fahaman agama Islam.
“Saya harap orang ramai faham kehendak agama, belajar dan kenal Allah SWT serta hukum-hukumnya.
“Memang kita digalak menjadi liberal, tetapi liberal dalam soal pembangunan, jangan sampai kita mencabar tuhan dan mengubah hukum-Nya,” ujar beliau.
Sementara itu di Tanah Merah, Kelantan, Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yakob berkata, apabila ada individu mencabar undang-undang syariah dan berjaya mengetepikan keputusannya, tidak mustahil pesalah bagi kes seumpama itu di negeri lain akan turut melakukan perkara sama.
Sehubungan itu tegas beliau, sebelum membuat keputusan bagi kes tersebut, mana-mana pihak sepatutnya merujuk dan mendapatkan panda­ngan Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu bagi memastikan hukum Allah SWT dan kesucian agama Islam tidak diperlekehkan oleh sesiapa pun.
“Saya rasa pihak yang hendak membatalkan (Perkara 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan) perlu mendapatkan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan sebab perkara berkaitan hukum Islam ini tidak boleh guna akal sangat, kena rujuk,” katanya.( Utujsan online-).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.59 am on Nov.,10,2014.

Sunday, November 2, 2014

SPR jangka warta notis kajian semula persempadanan Disember

ROHANI MOHD IBRAHIM dan 
NUR SYUHADA SHAMSUDIN 
Pengerusi (SPR)
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) penghujung tahun ini, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata sebelum mewartakan notis tersebut, SPR perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Bila notis itu diumumkan, maka bermulalah tempoh persempadanan semula dan notis itu akan dipamer selama sebulan (untuk menerima bantahan dan cadangan) daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan pengundi berdaftar, sekurang-kurangnya 100 orang dalam bahagian pilihan raya terbabit," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata laporan akhir mengenai syor kajian semua persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh tidak lebih dua tahun daripada tarikh notis diumumkan, untuk dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat untuk kelulusan selaras dengan Seksyen 8, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan yang diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk ditandatangan sebelum diwartakan dan diguna pakai.

Abdul Aziz berkata persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang.

"Kawasan mengundi yang luas perlu dikecilkan supaya jumlah pengundi yang terdapat di satu-satu kawasan pilihan raya adalah munasabah," jelasnya.

Katanya, sebagai contoh di Kuala Lumpur, keluasan kawasan Parlimen adalah kecil sahaja seperti kawasan Batu dan Segambut namun jumlah pengundinya besar, dan tanpa persempadanan semula, rakyat sukar untuk mendapat perkhidmatan yang baik daripada wakil rakyat.

" Persempadanan semula bukan untuk menentukan satu-satu parti memenangi pilihan raya," tegasnya dan menambah, prinsip yang digunakan SPR dalam membuat persempadanan semula ialah untuk menyenangkan pengundi.

Abdul Aziz berkata kajian semula Persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003, dan mengikut peraturan, persempadanan semula sepatutnya dilaksanakan pada 2011.

"Pada masa itu, SPR takut ia bertembung dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Jadi persempadanan semula ditangguhkan, dan hasil persempadanan semula kali ini hanya boleh digunakan untuk pilihan raya umum akan datang yang selewat-lewatnya diadakan pada 2018," katanya.

Abdul Aziz berkata setelah lebih lapan tahun sudah pasti bilangan pengundi bertambah berikutan pembangunan pesat seperti pembinaan bangunan baharu oleh kerajaan yang boleh dijadikan pusat mengundi selain lebih banyak jalan raya yang dibina, yang akan memudahkan usaha SPR untuk mengecilkan bilangan pengundi.

"Sekarang ada kawasan Parlimen yang mempunyai dua pejabat daerah dan dua pihak berkuasa tempatan (PBT), dan keadaan ini menyusahkan wakil rakyat selain menyusahkan penyelarasan semasa hari mengundi dan pendaftaran pengundi," katanya.

Beliau berkata apa yang dilalukan oleh SPR dalam persempadan semula adalah untuk mendekatkan tempat mengundi untuk para pengundi demi kemudahan mereka.

Yang kedua dalam setiap kawasan mengundi itu mesti ada kemudahan pentadbiran seperti pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, majlis daerah, majlis bandaran dan bandar raya.

"Seberapa daya yang boleh, jumlah pengundi itu mesti lebih kurang sama banyak. Tapi sama banyak pun, SPR tidak boleh samakan jumlah pengundi di bandar dengan luar bandar. Kawasan bandar kepadatan penduduknya tinggi, di kawasan luar bandar kepadatan penduduknya rendah," jelasnya.(Bernama).Dipetik dari Harakah Daily.(Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com. at   1214 noon at Nov:03,2014.