Tuesday, September 25, 2012

Ahli perniagaana mengaku sewakan jet


Oleh KASTHURI JEEVENDRAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Seorang ahli perniagaan, Datuk Mohd. Taufik Omar mengaku menyewakan sebuah jet eksekutif milik syarikatnya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun enggan mengulas berhubung kos sewaan jet tersebut.

Beliau yang merupakan Pengerusi TJets Sdn. Bhd. juga menolak dakwaan memiliki jet tersebut.

Begitupun, beliau mengesahkan syarikatnya bertanggungjawab menguruskan jet yang digunakan oleh Anwar selama dua hari ke Labuan, Sabah.

"Kami hanya menguruskan jet ini untuk seseorang. Ia adalah sebuah jet peribadi, maka, saya rasa perkara berkaitan jet ini juga peribadi," katanya kepada The Starhari ini.

Diminta menjelaskan sama ada beliau pemilik jet eksekutif tersebut, Mohd. Taufik hanya berkata:
"Adakah saya begitu kaya? Saya hanya seorang Melayu yang cuba cari makan dalam bidang penerbangan.''

Beliau mengulas kenyataan seorang penulis blog John F. Seademon yang mendakwa Mohd. Taufik yang menyewakan jet tersebut kepada Anwar.

Naib Presiden PKR, Tian Chua pada laman Twitternya memuat turun gambar jet eksekutif yang diberi nama Dassault Falcon itu pada 15 September lalu.

Anwar sebelum itu dalam reaksinya ada menyebut seorang ahli perniagaan yang memiliki jet itu, namun tidak menyatakan identitinya.

Mohd. Taufik juga merupakan Presiden Judo Malaysia selain pengerusi LD Sports Sdn. Bhd., Kenangan Nilam Sdn. Bhd., Asiana Inspirasi Sdn. Bhd., KN Capital Sdn. Bhd, dan T Corp Labuan. Beliau juga merupakan pengarah Health Solutions (SE Asia) Sdn. Bhd., CltlTower Sdn. Bhd., Aliran Modern Sdn. Bhd, dan Vasseti Berhad.(Utusan online).Posted by abnmulya at 2138 hrs on September 25,2012.

No comments: