Thursday, August 31, 2017

Kuasa raja-raja bantu survival politik Melayu-Wan Juaidi

30 hb.Ogos 217 @ 3.00am.

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Kuasa raja-raja Melayu perlu dihormati dan dipertahankan kerana pihak istana mampu menentukan survival politik orang Melayu.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Pengamal dan penyelidik undang-undang negara, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peristiwa pelantikan menteri besar di tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 jelas menunjukkan bahawa kuasa sultan dan raja bukan sahaja untuk mempertahankan ketuanan Melayu.

“Tetapi dengan kuasa yang ada pada kesemua sultan dan raja (di tiga negeri terbabit), baginda dapat menyelesaikan kemelut politik pada masa itu.

“Kuasa dan budi bicara Sultan Perak misalnya, baginda mempertahankan jawatan menteri besar mestilah seorang Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian semasa menyampaikan syarahan bertajuk Kepimpinan Tradisional Malaysia Dalam Sistem Kerajaan Monarki Berparlimen sempena Majlis Syarahan Za’ba Siri Keenam anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Profesor Dr. Zakri Abdul Hamid; Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM, Profesor Dr. Puteri Roslina Wahid serta Timbalan Ketua Setiausaha Pe­ngurusan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Azimuddin Bahari.

Menurut Wan Junaidi lagi, kini terserah kepada orang Melayu bagi menentukan kuasa mereka dapat dipertahankan di negara ini dengan mempertahankan kuasa sultan dan raja-raja.

“Kita bukan mahukan sultan itu atau istananya tetapi kedaulat­an sultan-sultan dan raja-raja yang telah dipisahkan daripada memiliki kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman. 

“Tetapi menurut mana-mana perjanjian yang termeterai dengan pihak British sebelum ini, kedaulatan dan keistimewaan sultan-sultan dan raja-raja tidak pernah dilucutkan, jadi ini yang kita patut pertahankan.

“Malah undang-undang di Britain sekalipun tidak boleh melepasi Istana Buckingham tanpa perkenan diraja,” katanya.

Beliau turut menafikan kuasa monarki menyebabkan sesebuah negara menjadi tidak membangun dan maju.

“Kalau dikembalikan kuasa ke­pada raja terutama dalam institusi Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, kita ma­sih boleh maju. Kerajaan boleh memajukan negara, monarki ti­dak akan menghalang,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis sama, Wan Junaidi menyampaikan sumbangan peribadi seba­nyak RM50,000 untuk Tabung Syarahan Za’ba.( Uusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ningal.blogspot.com.at 2303 hrs on Ogos31,2017.

Wednesday, August 30, 2017

Malaysia tutup tirai dengn 145 emas


SOFIAN HADI SOJAK
30 Hb.Ogos 2017 @ 12.20 pm.


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Empire City menjadi saksi kepada pelengkap ke-145 pingat emas negara dalam Sukan SEA 2017 setelah pasukan 3000 meter speed skating berganti-ganti lelaki menjadi penyumbang terakhir pada hari penutup temasya itu di sini, hari ini.

Pasukan negara melibatkan De-Vin Wong, Mohamad Ariff Rasydan, Hazim Shahrum dan Khairil Ridhwan Khalil menaiki podium pertama selepas mencatat masa terpantas 4 minit 31.438 saat, diikuti Singapura (4:37.113s) perak, manakala gangsa sedang ditentukan. ( Utusan online).Posted by abnmulya.blogspot.com at 1909 hrs on Ogos 3o,2017.

Rayuan Dr Mahathir,dua lagi ditolak


Mahathir Mohanad.

AMIRUDDFIN HARUN
30 hb.Ogos 2017 @ 12.20pm.

PUTRAJAYA 30 Ogos - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dua lagi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman mereka terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa melakukan salah laku dalam pentadbirannya berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Idrus Harun sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi setelah bersetuju dengan hujahan peguam, Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili Perdana Menteri bahawa Najib tidak boleh disaman dengan alasan beliau adalah seorang anggota pentadbiran Persekutuan dan bukannya penjawat awam.
Ketiga-tiga perayu mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 April lalu yang menolak saman tersebut yang difailkan pada 23 Mac lalu dengan menamakan Najib sebagai defendan.

Mereka memohon perisytiharan bahawa Najib melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam selaku Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO dengan mengganggu siasatan dakwaan salah laku kewangan berhubung 1MDB dan syarikat berkaitan serta siasatan aliran masuk RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun peribadinya. - UTUSAN ONLINE.( PAosted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1841 hrs on Ogos,30,2017.

Monday, August 28, 2017

Kecermerlangan Sukan SEA ubah "mood" Malaysia.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berswafoto bersama atlet selepas negara mencapai sasaran meraih 111 pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 malam tadi. - UTUSAN ONLINE/fotoBERNAMA. 



SUFIAN HADI SOJAK
29 Ogos,2017 @  12.34 m.

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kecemerlangan kontinjen kebangsaan pada Sukan SEA 2017 telah mengubah 'mood' negara ini.
Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat kini sangat teruja dengan kejayaan kontinjen negara di temasya dwi tahunan itu.

"Saya berjumpa ramai juga orang sepanjang Sukan SEA ini, tak ada seorang pun yang tak menyatakan sesuatu yang positif dan memuji peranan serta kejayaan kontinjen Malaysia. Jadi, saudara saudari sekalian telah mengubah 'mood' negara kita.

"Boleh dikatakan tanpa mengira latar belakang, keturunan, agama, budaya warna kulit, semua rakyat Malaysia begitu teruja dengan kejayaan kontinjen Sukan SEA kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya kepada warga sukan berhubung kejayaan kontinjen negara mencapai sasaran 111 pingat emas di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara, malam tadi.(Utusan online). Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com. at 2.28 am on Ogos 29,2017.

Friday, August 25, 2017

MEMALI: ABDUL HADI AKAN BERI KERJASAMA PENH

WAN ZULKIFLI WAN YAACOB 
25 Ogos 2017 4:08 PM

MARANG 25 Ogos -Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, peristiwa Memali lebih tiga dekad lalu berlaku kesan daripada tindak-tanduk pemimpin politik ketika itu yang menyeret pihak polis memerangi penduduk kampung sehingga ada anggota yang turut terbunuh.

Abdul Hadi Awanag
Abdul Hadi Katanya, insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana sekiranya berkait dengan ajaran salah boleh ditangani oleh pihak berkuasa agama dan bukannya oleh pihak polis yang dikatakan telah dipaksa mengikut kehendak kalangan politik.

Justeru tegas Abdul Hadi, Pas dalam mesyuaratnya telah bersetuju dengan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk mencari keadilan dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya. 

"Kita sanggup bekerjasama bila-bila masa sahaja kerana banyak yang tersirat dan tersembunyi dalam peristiwa Memali. Banyak rakyat tak tahu.. mereka yang hidup masa itu pun banyak tak tahu, apatah lagi generasi muda yang lahir kemudian, dan ramai jadi mangsa bukan saja Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya, malah anggota polis.

"Dua-dua menjadi mangsa kerana penyelesaian tidak mengikut cara yang betul. Sebab itu perlu ditubuhkan RCI yang bebas daripada kalangan politik yang bertanggungjawab," ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan menyatakan kesediaan kerajaan menubuhkan RCI sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak bagi mencari keadilan dan orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu mesti dipertanggungjawabkan.-UTUSAN ONLINE ( POSTED BY ABNMULYA// HAJI ABU BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM.AT 1809 HRS ON oGOS 25,2017 .

Wednesday, August 23, 2017

Setuju saranan Kit Siang supaya Dr.M dipanggil

24 hb.Ogos 2017 @ 3.00 am.

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pas meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad dipanggil oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bakal ditubuhkan bagi menyiasat tragedi Memali sebagaimana yang pernah disarankan oleh Lim Kit Siang.

Datuk Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, selain bekas Perdana Menteri itu, parti itu bersetuju dengan saranan Penasihat DAP itu yang mendesak beberapa tokoh lain dipanggil memberi ke­terangan.

Antaranya, kata Takiyuddin, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar; bekas pemangku Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Amin Osman dan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Dr. Rais Yatim serta Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid.

Beliau berkata, nama-nama terbabit pernah disenaraikan sebagai pi­hak yang perlu di­panggil dalam RCI itu oleh Kit Siang dalam satu kenyataan pada 2 April 2014 yang mendesak RCI untuk menyiasat peristiwa berdarah pada 19 November 1985 itu ditubuhkan dengan mengemukakan sebab-sebab kenapa Suruhanjaya terbabit perlu ditubuhkan.

Katanya, Kit Siang turut menamakan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad dan bekas Ketua Polis Daerah Baling, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim serta bekas Senator, Datuk Muhamad Yusof Husin untuk dipanggil memberi kete­rangan.( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ningal.blogspot.com at 1301 hrs on  Ogos 24,2017.

Najib akan adakan lawatan kerja ke AS atas jemputan Trump

24 hb.Ogos 017 @ 11.52 am.



Presiden AS, Donald Trump
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Washington D.C., Amerika Syarikat (AS) pada 12 September ini di atas jemputan Presiden AS, Donald Trump.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Malaysia dan AS menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun ini dan hubungan ini telah dipertingkatkan ke perkongsian yang komprehensif di bawah kepimpinan Perdana Menteri.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hal-hal berkepentingan bersama termasuk keselamatan negara, usaha menentang aktiviti keganasan dan ekstremisme serta perdagangan dan pelaburan yang dapat dinikmati oleh rakyat kedua-dua negara,” kata kenyataan itu hari ini.

( Utusan online). Posted by abnmulya  // haji abu bakar ninggal.blogspot.com. at 12.26 tengah hari on Ogos 24,2017 2017.

Tuesday, August 22, 2017

SIASAT INDIVIDU ARAH SEMBUNYI KERUGIAN--MOHD SIDEK

22 hb.Ogos 2017 @ 3.00 am.

PUTRAJAYA 21 Ogos – Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk Men­yi­asat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an bertegas untuk mendapat kebenaran mengenai individu yang mengarahkan kerugian berkenaan disembunyikan. 

Pengerusi suruhanjaya berke­naan, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, berdasarkan pendengaran pada prosiding hari ini, fakta yang diperoleh pihaknya adalah berlakunya pengolahan akaun di BNM yang menyembunyikan kerugian besar itu.

“Kerugian (BNM) pada tahun 1992, 1993 dan 1994 adalah berjumlah RM31.5 bilion, faktanya, telah berlaku pengolahan akaun BNM untuk menyembunyikannya,” katanya ketika mempengerusikan prosiding suruhanjaya itu di Istana Kehakiman hari ini.

Menurut Mohd. Sidek, beliau juga tidak berpuas hati kerana tiada tindakan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap kerugian BNM berkenaan. “Saya adalah bekas Ketua Setiausaha Negara dan saya tidak boleh terima perkara se­perti ini.

“Oleh sebab itu, saya mahu tahu kebenaran perkara ini dan sebab itu juga tidak boleh disembunyikan di sebalik OSA (Akta Rahsia Rasmi),” kata beliau.
Tegasnya lagi, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kepada BNM yang memiliki reputasi tinggi. 

"Panel prosiding hari ini turut disertai empat ahli suruhanjaya yang lain iaitu :-

*  Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said;
*  Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad;
*  Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan,   * * Tan Sri Saw Choo Boon; dan Ahli Institut Akauntan Malaysia,
*  K. Pushpanathan. Setiausaha Bahagian Pelabu­ran Strategik Kementerian Kewangan,
*  Datuk Dr. Yusof Ismail merupakan Setiausaha suruhanjaya siasatan itu. 

(Prosiding bersambung Kha­mis ini). (Utusan online) Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1734 hrs on Ogos 22, 2017.

Wednesday, August 16, 2017

Jawapan tidak memuaskan punca kecoh

16 OGOS 2017 @ 3.00 am. 

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pas mendakwa jawapan tidak memuaskan hati yang diberikan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung peristiwa Memali menjadi punca berlakunya kekecohan di dalam program Nothing To Hide 2.0, kelmarin.

Abdul Hadi Awanag
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas merupakan antara mangsa peristiwa berdarah itu apabila mengorbankan salah seorang pemimpinnya iaitu Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

“Semua pihak menuding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetus­nya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan ber­kenaan peristiwa Memali.

“Kepada yang tidak mampu menjawab sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan. Anak-anak mu­da sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi menambah, berikutan kejadian di Memali itu, para ulama Pas mengisytiharkan syahid kepada mang­sa yang dibunuh de­ngan zalim demi mempertahankan Islam.

Selain itu, katanya, Pas turut mengamalkan pendekatan berdakwah berkaitan peristi­wa tersebut dengan tidak semudah-mudahnya menja­tuhkan hukum kafir kepada pihak-pihak lain. Namun, tegas beliau, malangnya ada pihak yang berang dengan pendekatan yang diambil oleh Pas itu.

“Ketika itu Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukum­nya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan.

Akhirnya Pas berjaya memben­dungnya secara ilmu dan mereka yang paling kuat mengkafirkan UMNO pula akhirnya ramai yang masuk UMNO atau diam sahaja.

“Ramai kakitangan kerajaan, polis dan UMNO tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa dan Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya yang diserang.
Kita mengharapkan yang dipaksa juga mendapat syahid, inilah hukum Islam,” katanya.

Beliau juga berharap agar pihak-pihak terbabit yang berasa dirinya bersalah dalam peristiwa tersebut supaya segera bertaubat dan memohon maaf serta memperbetulkan semula keadaan. ( UTUSAN ONLINE). Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 12.41 1m on Ogos 17,2017.

Dr.Mahathir sendiri pilih dilayan buruk

SHAH ALAM 15 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu menerima layanan buruk yang terimanya dalam Forum Nothing To Hide 2.0 kerana beliau sendiri yang memilih untuk diperlakukan seperti itu.

MOHD NAZRI ABDUL AZIZ
Mohamed Nazri Abdul Aziz Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata, Dr. Mahathir yang memilih untuk menjadi pejuang jalanan dan berkelakuan seperti samseng.

Katanya, rakyat tidak lagi memandang bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang negarawan kerana Dr. Mahathir sendiri yang tidak mahu menunjukkan sikap sebagai negarawan.

“Dia memintanya. Dia mahu menjadi pejuang jalanan dan dia mahu berkelakuan seperti gengster. 

“Dia tidak mahu berkelakuan seperti seorang negarawan dan itulah yang dia dapat,” katanya kepada pemberita selepas meras­mikan muzium lilin interaktif i-City, Red Carpet 2 di sini hari ini.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan memberitahu, beliau tidak terkejut dengan tuduhan pembangkang kononnya kekecohan dalam forum yang dianjurkan oleh Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dicetuskan oleh UMNO. 

“Ya, semuanya ada kaitan de­ngan UMNO. Besok, jika seseorang mati, ini juga ada kaitan dengan UMNO,” katanya.

“Kenapa tidak, jika mereka (pembangkang) boleh buat, kenapa Jamal tidak boleh buat. Apa istimewanya pembangkang,” soalnya.( Utusan online).Posted by abnmulya  //haji abu bakar ninggal.blogspot.com. at 1554 hrs on Ogos 16,2017.

Monday, August 14, 2017

JAWAPAN DR.MAHATHR PUNCA KEKECOHAN


Tindakan peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Armada PPBM membakar suar ketika Forum Nothing To Hide 2.0 mencetuskan keadaan huru-hara di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, semalam. – utusan / Mohd. Shaha rani Saibi 

MOHD.ASRON MUSTAPH1
14 ogos 2017 m@ 3.00 am. 

SHAH ALAM 13 Ogos - Kerusi berterbangan, suar dibakar, kasut dibaling dan pergaduhan tercetus. "Jawapan Dr. Mahathir punca kekecohan".

Beliau yang sebelum itu ber­ucap mengecam kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tergamam apabila peserta membaling suar, kerusi, kasut dan botol minuman ke arahnya.

Bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada bekas Perdana Menteri itu apabila beliau dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali diberi perlindungan oleh pe­ngawal peribadinya dan segera dibawa keluar dari dewan. 

Kekecohan itu turut mengejutkan pemimpin-pemimpin Pa­­­ka­tan Harapan yang hadir, antaranya Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng. 

Suasana dalam dewan terus tegang apabila beberapa lelaki bertindak menyalakan lebih ba­nyak suar sehingga orang ramai bertempiaran lari. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, susulan kejadian tersebut, tiga remaja berusia 17 hingga 19 tahun ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Katanya, dua daripada remaja terbabit merupakan pelajar kolej swasta di daerah ini manakala seorang lagi tidak lagi bersekolah.

“Semasa ditahan, dua daripada mereka memakai baju T berwarna merah dengan lambang Armada PPBM dan seorang lagi memakai baju T berwarna hitam.

“Kita akan menjalankan siasatan dari semua sudut termasuk kemungkinan berlaku kecuaian dalam program ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Shafien, pihaknya ada menerima permohonan daripada penganjur berhubung program itu sebelum ini.

Katanya, serentak itu, pihak­nya telah memanggil penganjur untuk berjumpa polis dengan memberikan beberapa syarat bagi memastikan keselamatan semua yang hadir terjamin.

“Seramai 42 anggota polis ter­masuk pegawai ditugaskan dalam program ini dan kita akan memanggil pihak penganjur untuk siasatan lanjut. Buat masa ini, beri ruang pihak polis menjalankan siasatan,” katanya. ( Utuysan online).Posted by abnmulya blogspot.com at 1600 hrs on Ogos 14,2017.

NAJIB SERTAI 10,000 UMAT ISLAM DOA UNTUK MALAYSIA

NAJIB TUN RAZAK hadir dalam Program Doa Untuk Malaysia 2017 sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putra, Presint 1, Putrajaya, malam tadi. MINGGUAN/RASHID MAHFOF 

13 OGOS 2017 @ 12.00 PM.

PUTRAJAYA 12 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini me­n­yertai lebih 10,000 umat Islam yang membanjiri Dataran Putra, Presint 1, di sini pada program Doa Untuk Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 dengan membawa tema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.

Perdana Menteri yang berbaju Melayu berwarna coklat muda serta bersongkok tiba di Masjid Putra pada pukul 8.40 malam bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama pada majlis yang memasuki tahun keempat itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Program tahunan kerjasama antara Kementerian Komunika­si dan Multimedia, Radio Tele­vi­syen Malaysia (RTM), Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) itu merupakan program pembukaan kepada semua acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017. 

Program itu dimulakan de­ngan solat maghrib berjemaah di Masjid Putra disusuli solat isyak dan kemudiannya solat hajat yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abdul Manaf Mat. Kemuncak acara adalah ba­ca­an doa yang dipimpin oleh Jamil Khir bagi memohon penyatuan rakyat Malaysia agar tidak lemah dalam menghadapi serangan adu domba pihak tertentu.

Pengisian doa itu termasuk memohon agar rakyat Malaysia dilindungi dari segi sosial, ekonomi dan politik mahupun daripada bencana alam serta huru-hara. Ia diikuti dengan alunan selawat serta qasidah yang dipimpin oleh pendakwah terkenal dari Indonesia iaitu Habib Syech Abdul Qadir Assegaf dan disertai kumpulan nasyid tempatan In-Team, Al-Mawlid serta kumpulan hadrah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Program diteruskan dengan sesi tazkirah kemerdekaan oleh penceramah terkenal, Datuk Bad­-
lishah Alauddin. Antara tujuan penganjuran program tersebut adalah bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan nilai keagamaan melalui pengisian program berteraskan Islam selain mampu menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat yang cintakan agama, bangsa dan negara.( Utusan online).Posted  by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1521 hrs on Ogos 14,2017.

Sunday, August 13, 2017

MAHKAMAH ALOR STAR TOLAK PEMOHONAN PEGUAM, EXCO PULAU PINANG BATALKAN REMAN

EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh diiring oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mendapatkan perintah tahanan reman berikutan siasatan sebuah kilang memproses habuk kayu di Mahkamah Sesyen, Georgetown pada 12 Ogos lalu.-UTUSAN/Sazali Che Din 
ZULQURNAIN OTHMAN 
13 Ogos 2017 4:20 PM 

ALOR SETAR 13 Ogos - Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini menolak permohonan semakan untuk batalkan tempoh reman lima hari ke atas Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown, semalam.

Hakim Datuk Hashim Hamzah memutuskan keputusan terbabit selepas mempertimbangkan hujah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam tertuduh. "Selepas melakukan pertimbangan dan mendengar hujah.

Permohonan terbabit sepatutnya difailkan di Pulau Pinang. "Saya dapati Mahkamah Tinggi Pulau Pinang adalah forum yang lebih sesuai," katanya.

Peguam Boon Pooh berpendapat keputusan reman yang dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Georgetown, Ameera Mastura Khamis tidak teratur dan tidak sah kerana keputusan dibuat tanpa mendengar hujah peguam yang mewakili Boon Poh, pengarah dan pengurus kilang terbabit.

Jumaat lalu, Boon Poh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus kilang itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti. 

Penahanan tersebut merupakan susulan serbuan dijalankan SPRM bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas kilang memproses habuk kayu bagi kegunaan penghasilan penapis karbon, Khamis lalu.

Penahanan Boon Poh itu dikatakan dibuat berdasarkan beberapa surat arahan sama yang dikemukakan dan ditandatangani Exco berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menangguhkan sebarang tindakan dikenakan ke atas pengarah dan pengurus kilang haram terbabit, pada tahun lalu. 

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar manakala Boon Pooh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan R S N Rayer dan Dev Kumareandran.-UTUSAN ONLINE. ( Posted by abnmulua // haji abu bakar ninggal.blogspot.com  at 2155 hrs on Ogos 13,2017.

KILANG HARAM : DAP "DOUBLE STANDARAD" LAGI.

Kilang memperoses serbuk kayu.

NIBONG TEBAL 13 0GOSParti DAP terus menampilkan sikap berpihak (double standard) dengan menyalahkan pihak lain berhubung isu kilang haram yang beroperasi di Penanti di sini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh masih direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi DAP terus menuding jari kepada pihak lain.

"Sepatutnya biarkan SPRM siasat, ini belum habis, hujah berkaitan kes pun belum dikeluarkan, mereka sudah bising tuduh pihak lain," katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal di sini hari ini.

Jumaat lalu, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sungai Puyu serta dua lelaki direman untuk membantu siasatan kes sebuah kilang haram memproses serbuk kayu mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. - (UTUSAN ONLINE).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1950 hrs on Ogos 13,2017
.

Saturday, August 12, 2017

EXCO PULAU PINANG DIREMAN LIMA HARI SIASAT KES KILANG HARAM


Phee Boon Poh (baju jingga) dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sebuah kilang haram di Penanti baru - baru ini. - UTUSAN ONLINE. 

MOHD FIRDAUS ISMAIL
12 OGOS 2017 @ 1.13 PM. 

PULAU PINANG 12 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh direman lima hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan serbuan terhadap sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti. 

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis kira - kira pukul 12.25 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Ramkarpal Singh yang mewakili Boon Poh memohon perintah reman berkenaan ditangguhkan dan meminta supaya ia dikeluarkan oleh Majistret pada petang ini.

Terdahulu, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu tiba dengan dengan kereta pacuan empat roda Toyota Prado pada pukul 10.10 pagi dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga dan disambut lebih 30 orang penyokongnya.

Turut direman dua orang anak beranak iaitu serang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik kilng berkenaan serta anak lelakinya  yang berusia 37 tahun

Semalam, Boon Poh ditahan kira - kira pukul 2.45 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah. - UTUSAN ONLINE ( Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1707 on Ogos 12,2017.

Thursday, August 10, 2017

SIKAP PEMBANGKANG SEMAKIN PELIK- SHAHIR

09 Ogos 2017 3:00 AM 

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad hairan dengan sikap pembangkang yang semakin pelik sehingga sanggup mengheret Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah hanya kerana menolak soalan mereka.
SHAHRIR  ABDUL SAMAD
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, situasi itu seolah-olah menggambarkan negara ini sedang melalui zaman yang pelik di mana institusi tertinggi tidak terlepas daripada tindakan saman.

“Tiada apa yang tidak dibawa ke mahkamah tetapi apabila tidak dapat keputusan, kata mahkamah tidak adil. Kalau tidak adil macam mana boleh dibawa ke mahkamah? Turun naik mahkamah?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran buku tulisan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berjudul Dasar Buku Negara TN50: Suatu Perjuangan Yang Perlu di Bangunan Parlimen hari ini.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan dari PKR, Hee Loy Sian memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Setiausaha Dewan Rakyat berikutan keputusan menolak soalan beliau berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Shahrir menjelaskan, pembangkang sepatutnya memahami bukan semua soalan ditolak kerana ada juga yang telah dijawab, dibahaskan, dibicara dan diperhalusi menerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Bahas dibuat di merata-rata, bukan hanya di Parlimen, itu ha­nya dijadikan sebagai helah sahaja. Kalau mahu bahas, suara yang paling kuat, bilangan yang paling ramai itulah yang diputuskan dalam Parlimen.

“Banyak perkara telah dibahas dan diputuskan di Parlimen tetapi akhirnya hendak juga bawa ke luar. Jadi kenapa hipokrit sa­ngat?” katanya.

Dalam pada itu, berhubung isu reka bentuk jambatan untuk projek kereta api Sistem Transit Ra­pid (RTS) menghubungkan Woodlands, Singapura dengan Bukit Chagar, Johor Bahru, Shahrir menyokong pendapat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak bersetuju dengannya. 

“Saya memahami hasrat Sultan Johor, mungkin ada cara menyeberang dari lokasi A ke lokasi B merentasi Selat Tebrau supaya tidak perlu dilencong atau dibengkokkan. Itu semua boleh dibincangkan, teguran Sultan Johor itu ada sebabnya,” ujarnya. ( Utusan online).Posted  by abnmulya // haji abu bakar niggal.blogspot.com at 2336 hrs onOgos 10.2017.

Wednesday, August 9, 2017

SIASATAN FIC: ISA DIPANGGIL MINGGU DEPAN???

10 Ogos 2017 @ 3.00 am.


KUALA LUMPUR  09 Ogos- Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dijangka dipenggil untuk memberi kenerangan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia ( SPRM) berhubung pembelian hotel di London dan di Kuching,Sarawak oleh FELDA Inveswment Coporation (FIC),minggu depan.

Langkah SPRM untuk memanggil bekas Pengerusi Felda mula diperkatakan apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd. Azam Baki memberitahu Bernama,

“Ada orang penting yang akan dipanggil minggu depan. Siapa orang itu saya tidak mahu dedahkan lagi,” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama malam tadi.

Pada 21 Jun lalu Mohd. Isa dan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid memberi keterangan lebih empat jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemelut syarikat itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat ini seramai sembilan individu telah ditahan berhubung isu pembelian kedua-dua hotel itu.

“Untuk hotel di London, pegawai penyiasat akan mengambil keterangan saksi antaranya daripada peguam dan pihak bank,” kata Azam.

Ditanya sama ada SPRM akan menyiasat pembelian hotel lain oleh FIC, beliau berkata setakat ini pihaknya hanya menyiasat pembelian hotel di London dan Kuching.

“Kalau ada hotel lain, kita akan lihat sama ada wujud isu rasuah atau salah guna kuasa,” katanya. ( Utusan online). Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggsl.blogspot.com at 1413 hrs on Ogos 10,2017.

Tuesday, August 8, 2017

TIADA CAMPUR TANGN DALAM SIASATAN URUS NIAGA MATA WANG ASING

MOHD. SIDEK HASSAN
NORLIZA  ABAS
09 OGOS 2017 @ 3.00 AM.

PUTRAJAYA 8 Ogos – Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an memberi jaminan tidak akan membenarkan sebarang campur ta­ngan daripada pihak-pihak yang tiada kaitan dengan prosiding itu sepanjang pendengarannya di Mahkamah Rayuan.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, suruhanjaya itu hanya akan memberi tumpuan kepada terma-terma rujukan yang telah ditentukan bagi membolehkannya menyempurnakan siasatan dan seterus­nya menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober ini.

Menurut beliau, panel bersidang diberi kuasa memperoleh dan menerima segala keterangan serta menyoal saksi-saksi sepanjang tempoh 10 hari pendengarannya di mahkamah terbuka bermula 21 Ogos ini.

“Oleh kerana kekangan masa tiga bulan yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, suruhanjaya akan memfokus kepada terma-terma rujukan dan tidak akan membenarkan campur tangan daripada pihak yang tiada kaitan dengan prosiding,’’ ujarnya ketika membacakan ucapan pembukaan pada prosiding pertama siasatan itu yang berlangsung di Istana Kehakiman hari ini.

Sebelum itu, Mohd. Sidek menolak permohonan dua pe­mimpin pembangkang untuk menggugurkan beliau dan seorang lagi ahli panel, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon daripada menganggotai suruhanjaya tersebut.

Beliau berpendapat, suruhanjaya siasatan itu ditubuhkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan pihaknya berpuas hati agar pro­sidingnya diteruskan.

Mohd. Sidek turut berpendirian, penglibatan aktif peguam-peguam pemerhati kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pendengaran prosiding adalah tertakluk kepada kebenaran panel bersidang dan persoalan yang dikemukakan harus relevan dan berada dalam ruang lingkup terma-terma rujukan.

Sebelum prosiding bermula kira-kira pukul 9.34 pagi, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr. Mahathir memaklumkan, pihaknya berhasrat mengemukakan permohonan bertulis bagi mencabar komposisi keanggotaan panel suruhanjaya itu dalam usaha menggugurkan Mohd. Sidek dan Choo Boon.

Beliau berkata, Mohd. Sidek dan Choo Boon pernah terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian BNM dan tidak sewajarnya menganggotai panel tersebut kerana kedua-duanya telah memberikan pandangan awal sebelum suruhanjaya itu dibentuk.

Selain itu, Mohamed Haniff Khatri memohon secara bersama agar beliau dan R. Sivarasa yang mewakili Anwar dibenarkan terlibat secara aktif dalam pendengaran prosiding.

Bagaimanapun, pegawai pengendali, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim memaklumkan, tiada peraturan berhubung komposisi keanggotaan yang melarang ahli yang pernah terlibat dalam pasukan petugas khas, menganggotai panel suruhanjaya.

Menurut Suhaimi, permohonan itu tidak berasas kerana peguam-peguam pemerhati gagal membuktikan dakwaan berlaku ketidakadilan jika kedua-duanya menganggotai panel tersebut.

Beliau selanjutnya menjelaskan, isu pelanggaran keadilan tidak timbul kerana ahli-ahli suruhanjaya tidak bertindak sebagai hakim yang membuat sesuatu keputusan, sebaliknya bertindak sebagai sebuah badan untuk mengumpul fakta.

Sehubungan itu, beliau berpendirian, tiada alasan bagi panel itu membenarkan permohonan peguam-peguam pemerhati untuk menangguhkan sidang dan pihaknya selaku pengendali bersedia membantu suruhanjaya tersebut menyoal saksi-saksi yang akan memberi keterangan.( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1323 hrs on Ogos 09,2017.

KEKAYAAN ANAK DR. M WAJAR DISIASAT

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN menerima cenderamata daripada Azlan Man dalam majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di Dewan 2020, Kangar, Perlis, semalam. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI.

SHARIFUDDIN   SAARI
07 Ogos 2017 @ 3.00 am.


KANGAR 6 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ahli keluarganya harus disiasat pihak berkuasa di atas kekayaan yang dimiliki oleh bekas Perdana Menteri itu selama 22 tahun memerintah negara. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, adalah tidak wajar hanya sebelah pihak yang didakwa sahaja disiasat manakala pihak membuat dakwaan iaitu Dr. Mahathir tidak perlu berbuat apa-apa.

Beliau mengingatkan bahawa bekas Perdana Menteri itu juga tidak sempurna selama meme­rintah negara kerana Dr. Mahathir sendiri bukanlah merupakan malaikat.

“Jangan kita sahaja menari mengikut rentak mereka. Dr. Mahathir juga perlu disiasat (atas kekayaan dimilikinya dan ahli keluarga),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri; Setiausaha UMNO Bahagian Kangar, Datuk Abdul Jamil Saad dan para pemimpin daripada ketiga-tiga bahagian di negeri ini.

Hishammuddin diminta mengulas kesediaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan memiliki simpanan di dalam akaun bank sebanyak RM230 juta oleh Dr. Mahathir.

Beliau berpendapat tuduhan terhadap Ahmad Zahid itu tidak lain adalah merupakan satu bentuk serangan individu menje­lang Pilihan Raya Umum Ke-14 
(PRU-14).

 “Tidak mustahil selepas ini, saya juga akan diserang dan begitu juga menteri-menteri lain. Oleh itu, saya nasihatkan jawab (tuduhan) dan pada masa sama teruskan bekerja,” ujarnya.

Ahmad Zahid kelmarin menegaskan beliau bersedia untuk disiasat SPRM berhubung tuduhan Dr. Mahathir itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri ,beliau rela diiasat demi memperbetulkan apa yang diusifatkannya sebagai satu pembohongan besar tretapi pada masa yang sama kekayaan yang dimiliki bekas Perdana Menteri itu termasuk anak-anaknya juga perlu disiasat SPRM. ( Utusan online) Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 2313 hrs on Ogos 08,2017.


SURUHANJAYA SIASATAN TOLAK PERMOHONAN DR.MAHATHIR,ANWAR


NORLIZA ABAS
08 Ogos 2017 @ 11.48am.


PUTRAJAYA 8 Ogos - Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an hari ini menolak permohonan dua pemimpin pembangkang untuk mencabar komposisi keanggotaan ahli panel bersidang. 

Pengerusinya,Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berpendapat suruhanjaya itu dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berpuas hati agar panel itu memulakan prosiding siasatan selama 10 hari bermula pada 21 Ogos ini.

Sebelum itu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertindak sebagai peguam pemerhati Tun Dr. Mahathir Mohamad dan R. Sivarasa yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar mereka diberi peluang mengemukakan permohonan secara bertulis untuk mencabar komposisi ahli panel atas isu berat sebelah.

Peguam itu menyatakan, Mohd. Sidek yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon sebelum ini terlibat dalam pasukan petugas khas yang mencadangkan pembentukan suruhanjaya itu. 

Mohamed Haniff Khatri menyatakan, penglibatan kedua-duanya dikhuatiri menimbulkan persepsi awam bahawa suruhanjaya itu tidak berlaku adil ketika mengendalikan siasatan.

Sementara itu, Sivarasa turut mengemukakan permohonan secara bersama agar kedua-dua peguam pemerhati diberi peluang menyoal balas saksi-saksi secara aktif sepanjang prosiding berlangsung. 

Mohd. Sidek mempengerusikan suruhanjaya itu manakala Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail bertindak selaku setiausaha.

Anggota-anggota lain terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan;  dan Ahli Institut Akauntan Malaysia,  K. Pushpanathan.

Antara bidang kuasa suruhanjaya itu adalah:

* Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

* Menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

* Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberikan kenyataan yang mengelirukan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

* Mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan

* Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. - UTUSAN ONLINE ( Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1748 hrs on Ogos 08,2017.

TUN M DIPNGGIL BANTU SIASATAN


NURAINI HARIS ABD.HALIM
H Ogos 2017 @ 12.02pm.

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membantu siasatan berhubung dakwaan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri,Daytuk Seri Najib TUn Razak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya kini telah membuka dua kertas siasatan dan sedang meneliti kes tersebut secara terperinci.

“Kita akan memanggil semua individu terbabit untuk diambil keterangan dan siasatan dijalankan mengikut di Seksyen 500 Kanun Ke­seksaan kerana kesalahan memfitnah.

“Hasil kertas siasatan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hari Hijau Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Rashid memaklumkan, pihaknya bakal melakukan tangkapan baharu susulan penahanan enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disyaki bersekongkol dengan kumpulan kongsi gelap untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

“Pada peringkat awal kes ini, kita telah menahan anggota kong­si gelap yang terbabit sehingga membawa kepada penglibatan enam pegawai kastam yang disyaki membantu sindiket terbabit mem­bawa masuk dadah ke negara ini.

“Saya tidak nafikan, mungkin ada tangkapan lain dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya. Kesemua mereka ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam operasi bermula Ahad hingga Isnin lalu di sekitar ibu negara dan Selangor. ( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.om at 1651 hrs.on Ogos 08,2016.

Wednesday, August 2, 2017

SULTAN KECEWA ( PKNS) DIISI ORANG POLITIK

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH dan Tengjku Permaisuri Norasikin melihat replika  bangunan baharu Ibu pejabat (PKNS) yang baharu selepas merasmikan bangunan itu di Seksyen 14,Shah Alam,Selangor semalam. Turut berangkat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.Hadir sama Mohamed Azmin Ali dan Noraida Mohd Yusof ( kiri).BERNAMA.
02 Ogos 2017 11:33 AM

SHAH ALAM 1 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak bersetuju dengan komposisi ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dilantik dalam kalangan ahli politik. 

Titah baginda, komposisi ahli lembaga pengarah PKNS perlu seimbang dengan kerajaan nege­ri seharusnya membawa masuk golongan profesional agar mereka dapat memberi pandangan serta tunjuk ajar dalam aspek pemba­ngunan.
]
Pada masa yang sama, Sultan Selangor juga mengingatkan PKNS agar jangan beroperasi di luar bidang kuasa atau me­nyim­pang daripada objektif asal penubuhannya iaitu membantu rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

“Beta tidak berkenan ahli lembaga pengarah (PKNS) hanya diisi dengan ahli-ahli politik sahaja,” kata Sultan Sharafuddin ketika merasmikan Ibu pejabat PKNS yang baharu di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd. Yusof.
Allahyarham Datuk Harun Idris pejuang
Melayu yang terbilng yang sayangkan
bangsanya iaitu bangsa Melayu.

PKNS diasaskan oleh bekas Menteri Besar Selangor kelapan, Allahyarham Datuk Harun Idris pada 1 Ogos 1964 bertujuan membantu orang Melayu berpendapatan rendah yang tinggal di Selangor untuk mendapatkan kediaman selesa pada harga mampu milik.

Berdasarkan rekod, daripada 10 ahli lembaga pengarah, empat daripadanya adalah ahli politik iaitu Mohamed Azmin (Pengerusi); Shamsul Iskandar Mohd. Akim (PKR-Bukit Katil); Datuk Iskandar Abdul Samad (Pas-Cempaka) dan Datuk Teng Chang Kim (DAP-Sungai Pinang).

Memperincikan lebih lanjut tegurannya itu, Sultan Sharafuddin berkata, PKNS perlu terus memainkan peranannya bukan sahaja sebagai sebuah badan korporat yang bersaing di peringkat global tetapi mesti kekal membantu orang Melayu di Selangor.

Tegas baginda, peranan tersebut perlu terus dimainkan PKNS dengan sokongan kerajaan nege­ri kerana orang Melayu di negeri ini kekal ketinggalan berbanding kaum lain khususnya dalam bidang ekonomi.

“Perkara ini amat penting bagi memastikan keharmonian dan perpaduan antara kaum yang ada sekarang ini terus dapat dipertahankan,” titahnya.( Utusan online). Posted  by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1702 on Ogos 02,2017.

Tuesday, August 1, 2017

DR. MAHATHIR-- UMNO IBARAT CERAI TALAK TIGA.

Tulisan  Safina Ramli
01 Ogos 2017 @ 3.30am.

Sejarah bekas Perdana Mente­ri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) bersama parti terbesar orang Me­layu, UMNO cukup panjang, berwarna-warni dan penuh kontroversi.

Dr..Mahathir Mohamad.
Jika diimbas kembali, Dr. Ma­hathir pernah dipecat keanggo­taannya dalam UMNO pada 26 September 1969 atas sebab-se­bab disiplin semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan kembali ke pangkuan UMNO pada 7 Mac 1972 di era pen­tadbiran Tun Abdul Razak Hussein.

Selepas itu, Dr. Ma­ha­­thir juga pernah keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 kera­na dilaporkan tidak ya­kin dengan kepemimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kemudian, Dr. Maha­thir kem­bali menyertai UMNO pada 4 April 2009 apabila Datuk Seri Najib Razak menerajui kepe­mimpinan negara dan parti.

Episod ‘cerai-rujuk’ an­tara Dr. Mahathir bersama UMNO itu tidak berakhir apabila Dr. Mahathir sekali lagi mengumumkan keluar daripada UMNO pada 29 Februari 2016.

Kali ini alasan yang diberikan oleh bekas Ahli Parlimen Ku­­bang Pasu ialah kepemimpinan Najib tidak lagi sama dengan UMNO yang terdahulu atau le­bih mudah difahami tidak lagi mengikut telunjuk beliau.

Buruk UMNO yang menjadi asbab untuk beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dijaja sepanjang masa malah seteru politik dijulang tinggi diampu sebagai rakan.

Kini heboh pula per­soalan mengenai adakah Dr. Mahathir yang kini diposisikan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan akan kembali kepada UMNO andai sesuatu berlaku?

Walaupun Dr. Mahathir sen­diri mengulangi pendirian bahawa dia tidak akan kembali kepada UMNO namun berda­sarkan rekod sebelum ini serta pusingan U yang pernah dilakukan, ia membuatkan pe­mimpin Pakatan Harapan sedikit gusar.

Bagi Setiausaha Kluster Politik,, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek, Dr. Mahathir sendiri tidak akan diterima oleh ahli UMNO walaupun dia mahu merujuk semula dengan UMNO.

“Politik merupakan art of impossible, segalanya tidak mustahil untuk dilakukan.

“Jika kita lihat dengan hukum akal maka sukar untuk Dr. Mahathir kembali tetapi ia tidak mustahil akan berlaku tetapi persoalannya adakah lebih tiga juta ahli UMNO akan menerima beliau, saya rasa berdasarkan apa yang telah dilakukan tiada ahli UMNO yang akan memaafkan beliau,” katanya.

Oleh itu, secara logik jika hubungan Dr. Mahathir-UMNO ini boleh diibaratkan sebagai suami dan isteri, selayaknya perceraian yang berlaku umpama talak tiga yang sukar untuk dicantumkan semula. 

Oleh SAFINA RAMLI ( Utusan onlie).Posted by abnbmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com .at  01 Ogos , 2017 @  6.00pm.