Thursday, January 30, 2014

Dilarang guna GST dalam resit

Oleh NABILA YASMIN MOHD. RAZIB
ekonomi@utusan.com.my

Ahmad Maslan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor membaca risalah mengenai GST pada Seminar Memperkasa Ekonomi Nasional Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH 

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kementerian Kewangan mengarahkan semua hotel atau restoran yang mengenakan Cukai Perkhidmatan Kerajaan (Goverment Services Tax) di dalam resit supaya menghentikan perbuatan berkenaan kerana mengelirukan pengguna.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, tiada istilah Cukai perkhidmatan Kerajaan dan istilah GST yang sebenar ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan yang masih belum dilaksanakan.

Tindakan pihak tertentu yang meletakkan GST di dalam resit merupakan satu kesalahan.

Beliau berkata, penggunaan istilah GST hanya boleh dilakukan setelah pelaksanaan sistem GST yang sebenar dikuatkuasakan pada 1 April 2015.

"Ada sesetengah tempat menggunakan istilah GST, apabila ditanya, mereka mengatakan itu adalah Government Sevices Tax, ini tidak betul.


"Ini merupakan satu kesalahan, jadi saya minta mereka menghentikan penggunaan istilah GST di dalam resit kerana GST yang mereka guna itu bukan Cukai Barang dan Perkhidmatan,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada masa ini restoran atau hotel hanya mengenakan Cukai Perkhidmatan (Services Tax) dan Cukai Jualan (Sales Tax) kepada pelanggannnya.

Sementara itu Ahmad Maslan berkata, kerajaan akan mengeluarkan panduan pengguna dalam masa tiga bulan sebelum pelaksanaan GST bagi memudahkan mereka membuat perbandingan.

"Panduan tersebut akan mengandungi senarai barangan serta harga sama ada mengalami kenaikan atau penurunan harga. Senarai yang dijangka dikeluarkan pada Januari 2015 itu akan dapat diakses melalui laman web, akhbar dan media elektronik".

Langkah itu katanya, bertujuan supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan setelah GST dilaksanakan.(Utusan online-ekonomi).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.58 am on January 31,2014.

DUN boleh dibubar jika MB letak jawatan

Prof.Dr.Nik Kamal Nik Mahmod
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor jika Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.

Pada masa yang sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) juga harus meletak jawatan sekiranya Abdul Khalid berbuat demikian.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Kamal Nik Mahmod (gambar) berkata, Perkara 70 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor menyatakan Sultan mempunyai kuasa membubarkan DUN namun tidak disebut keadaan-keadaan yang membolehkan baginda berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, tafsiran keseluruhan Perlembagaan Negeri Selangor pada pandangannya adalah baginda boleh membubarkan DUN dalam tiga keadaan iaitu apabila hampir sampai hayat DUN, maka Menteri Besar akan menasihatkan Sultan.

Kedua, kata beliau, ialah dalam keadaan lain apabila Menteri Besar telah hilang keyakinan daripada majoriti Ahli DUN dan meletak jawatan, Sultan akan membubarkan DUN.

"Satu lagi keadaan apabila tiada satu parti pun yang mendapat majoriti dalam DUN, maka Sultan akan membubarkan DUN untuk mencari mandat baharu bagi parti politik yang bertanding dalam pilihan raya. 

"Pada pandangan saya kalau Menteri Besar Selangor sekarang meletakkan jawatan, tidak semestinya Sultan akan membubarkan DUN kerana tiada krisis keyakinan dalam kerajaan atau DUN.

"Baginda boleh melantik Menteri Besar baharu kerana pakatan pembangkang masih mempunyai kerusi majoriti. Namun perlu diingat bahawa kuasa membubarkan DUN itu memang terletak di tangan Sultan. Jadi, kalau baginda membubarkan DUN maka itu dalam kuasa baginda," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Kamal berkata, sekiranya Abdul Khalid meletakkan jawatan, barisan Exco yang dilantik oleh Sultan atas nasihat Menteri Besar seharusnya turut meletakkan jawatan.

Katanya, terdapat peruntukan dalam Perlembagaan negeri bahawa Exco 'collectively responsible' terhadap DUN.

"Oleh itu, jika Menteri Besar sudah meletakkan jawatan, maka secara kolektif barisan Exco juga harus meletakkan jawatan.

"Perlu diingat bahawa Sultan boleh memecat Exco pada bila-bila masa seperti dalam Perlembagaan negeri," katanya.( Utusna online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.43 am on January 31,2014.

4 anak dijaga keluarga Islam

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK 
pengarang@utusan.com.my 

SHEIKH Nafiq Alfirdaous (tengah) bersama Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat (dua dari kanan) berbual dengan empat anak pasangan rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalluddin dan Shalwati Nurshal sebelum kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga angkat baharu beragama Islam di Rumah Pematuhan Syariah di Stockholm, Sweden, semalam. Bagaimanapun, identiti keluarga angkat baharu itu tidak didedahkan kepada media. - Gambar ihsan sukaguam. 

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kebimbangan terhadap nasib dan akidah empat anak pasangan Malaysia di Sweden yang dijaga oleh keluarga angkat bukan Islam sejak bulan lalu selepas ibu bapa mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara itu, berakhir apabila mereka diserahkan kepada keluarga Islam hari ini. 

Keempat-empat anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal berusia tujuh hingga 14 tahun itu diserahkan kepada keluarga Islam berketurunan Melayu di negara tersebut, kira-kira pukul 3.30 petang ini (10.30 malam tadi waktu Malaysia).

Penyerahan hak penjagaan mereka kepada keluarga angkat baharu beragama Islam itu berlangsung di sebuah rumah pematuhan syariah (syariah compliance home) di Stockholm yang tidak didedahkan kepada media.

Bagaimanapun, hasrat pasangan itu dibebaskan dan kembali bersama anak-anak mereka tidak kesampaian apabila Mahkamah Daerah Solna melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap Azizul Raheem selama 11 hari manakala nasib Shalwati ditentukan esok (Jumaat).

Selama 44 hari ini, iaitu sejak penahanan pasangan tersebut pada 18 Disember lalu kerana didakwa memukul anak yang enggan bersolat, keempat-empat anak mereka diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam oleh pihak berkuasa Sweden.

Proses memindahkan hak penjagaan mereka kepada keluarga angkat Islam itu dilakukan hasil usaha diplomasi kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra dengan pihak berkuasa Sweden.

Majlis penyerahan anak-anak Azizul Raheem dan Shalwati itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin yang mengetuai misi rundingan memindahkan hak penjagaan kanak-kanak tersebut kepada keluarga angkat baharu beragama Islam.

Sebelum majlis tersebut, Hamzah turut melawat Azizul Raheem dan Shalwati di pusat tahanan mereka. Ketika itu, pasangan tersebut menyatakan persetujuan untuk menyerahkan keempat-empat anak mereka kepada keluarga angkat baharu tersebut. 

Ketika di bawah penjagaan keluarga angkat sebelum ini, keempat-empat kanak-kanak itu dikatakan tidak gembira dan kurang selesa, sehinggakan anak sulung pasangan tersebut, Aisyah, 14, merayu supaya mereka dijaga oleh keluarga Islam.

Misi menyelamatkan empat kanak-kanak tersebut turut digerakkan oleh Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) yang berlepas ke Sweden pada 24 Januari lalu.

Pengerusi Biro Pengaduan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, pertemuan tiga penjuru di Kedutaan Besar Malaysia di Sweden sebelum ini ternyata membuahkan hasil. 

Menurut beliau, empat anak pasangan itu diserahkan kepada keluarga Islam yang dipilih mengikut kriteria tertentu.

"Kriteria ini tertakluk kepada undang-undang dan syarat-syarat daripada Jabatan Sosial Masyarakat sendiri. Pemilihan dibuat secara konsensus antara pihak berkuasa Sweden, ibu bapa kanak-kanak dan kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra.

Bagaimanapun, maklumat keluarga baharu itu dirahsiakan. "Kegembiraan kanak-kanak ini jelas dapat dilihat dan kejayaan ini satu usaha kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra yang terbukti tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Stockholm, malam ini.

Azizul Raheem merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isterinya, Shalwati, seorang guru yang mengambil cuti tanpa gaji.

Berikutan penahanan mereka, empat anak pasangan itu dipisahkan daripada ibu bapa mereka dan pihak berkuasa Sweden melantik satu keluarga bukan Islam untuk menjaga empat beradik terbabit.

Sementara itu Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat ketika dihubungi berkata, susulan penahanan pasangan terbabit, barisan peguam mereka akan tetap mempertahankan hujah bagi pembelaan suami isteri itu.

Menurut beliau, terdapat perbezaan jelas antara dakwaan penderaan kanak-kanak dengan kaedah mendidik akhlak anak bagi seorang Muslim.

"Kita yakin bahawa mahkamah Sweden akan mempertimbangkan elemen perbezaan agama dan budaya sebagai alasan kukuh untuk membebaskan pasangan ini.

"Kita percaya kes ini merupakan satu jihad besar untuk membuka mata masyarakat dunia supaya dapat mengiktiraf perbezaan agama dan budaya," katanya.(Utusan on line-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.34 am on January 31,2014.

Tuesday, January 28, 2014

PAS Selangor belum tentu terima Anwar sebagai MB

JANUARY 28, 2014 PAS Selangor tidak semestinya menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar (MB) malahan akan meletakkan wakilnya sekiranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan tersebut, kata Mohd Khairudin Othman.

Menurut setiausaha PAS Selangor itu, selagi tidak timbul isu penggantian menteri besar, parti Islam itu hanya menjadi pemerhati sahaja.

"Namun sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan MB, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima oleh rakyat dan PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon MB yang dirasakan layak dan sesuai.

"Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad sebagai calon utama kita," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan dikeluarkan selepas sidang media PKR pagi tadi yang turut disertai wakil PAS dan DAP yang memaklumkan Anwar akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas dikosongkan.

Semalam bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan kerana dikatakan mahu memberi laluan kepada Anwar yang mahu menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Menurut Mohd Khairudin, pihaknya mengikuti perkembangan politik di Selangor secara langsung dan berhati-hati.

"Kita akan menghantar nama ini untuk pertimbangan PAS Pusat dan terserah kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya kemudian. Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam DUN," katanya.

"Apa pun keputusan kita dalam Pakatan Rakyat (PR) kita yakin ia mestilah membawa kepada kestabilan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PR," katanya.

PKR hari ini mengesahkan akan meletakkan Anwar sebagai calon bagi kerusi DUN Kajang yang dikosongkan oleh Lee semalam.

Keputusan itu diumumkan oleh Abdul Khalid di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini. "Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Kajang," kata Abdul Khalid. – 28 Januari, 2014.( The Malaysian Insider0.Posted by abnmulya /BakarNinggal.blogspot.com./at 1801 hrs on January 28,2014.

"Saya hanya lelaki kecik..." kata Azmin

SELASA, 28 JANUARI 2014 13:28
OLEH HELME HANAFI dan QURNISHA HAMKA
(Dari Agenda Daily).

"Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba terbuang lalu".

"Hanya tuhan yang tahu apa yang berbuku di hati kecik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali".

Pagi Selasa di ibu pejabat PKR, Azmin yang juga bos PKR Selangor tidak kelihatan di dalam sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai calon PKR DUN Kajang.

Bagi wartawan politik, ketidakhadiran Azmin adalah perkara serius, ini kerana TIDAK pernah ada satu peristiwa besar menimpa Anwar, Azmin yang merupakan bekas setiausaha sulit Anwar dalam kerajaan dulu, tidak ada di sisinya.

PC Anwar dipecat, Azmin ada, PC Anwar dibebaskan dari penjara, Azmin ada, PC kes liwat kedua Anwar, Azmin ada, PC Anwar umum Wan Azizah letak jawatan dan dia akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh, Azmin ada, PC Anwar nafi isu Chinadoll, Azmin ada... pendek kata Azmin akan ada di barisan depan setiap peristiwa penting yang berlaku pada Anwar.


Itulah hakikat setianya Azmin, yang berkhidmat dan menyerahkan jiwa dan raganya demi Anwar serta 'perjuangan'.

Tapi pagi ini, Azmin tidak ada dalam sidang akhbar di barisan depan, beliau 'menyorok' di belakang bilik sidang media tersebut, memerhati dari jauh.

Orang yang faham simpang siur politik PKR tahu, hatinya sedih, di satu sudut dia gembira saingannya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan disingkirkan juga.

Di satu sudut lain, sekali lagi Azmin terpaksa berkorban demi bos... Azmin yang ditemui media selepas selesai sidang media Anwar mula-mula tidak mahu komen.

Di sebalik pagar pejabat PKR, azmin dengan gaya sopannya, kata tiada komen. Dia dikejar lagi, tak mahu komen, kali ketiga, selepas dipujuk-pujuk beliau bercakap juga.

Katanya, beliau akan bincang keputusan hari ini dengan PKR Selangor dan akan keluar kenyataan kemudian.

Ketika ditanya apakah beliau menyokong keputusan hari ini, ini jawapan Azmin

"Saya hanya lelaki kecil, Azmin, saya kena pertahan keputusan yang diputuskan parti dan Pakatan Rakyat,". 

Mengulas mengenai isu Anwar nak ganti Khalid, Azmin kata jangan buat spekulasi. Menurutnya, beliau akan bertemu dengan pimpinan PKR Selangor sebelum membuat kenyataan media.

"Ini sidang media Pakatan Rakyat dan Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor ialah Tan Sri Khalid. "Ini bukan sidang media PKR..."katanya mengulas isu dia tak ada di depan Anwar.

Namun begitu, Agendadaily difahamkan, Azmin sendiri terperanjat dengan gerakan Gang of Four. 

Difahamkam yang dimaksudkan dengan Gang of Four ini adalah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Naib Presiden Tian Chua, Pengarah Strategi Rafizi Ramli dan penggerak belakang tabir PKR, Dr Rahim Ghouse.

Kumpulan ini masuk campur selepas kumpulan Azmin dan Khalid bergaduh tak habis-habis di Selangor. Gerakan mereka cepat dan berkesan dengan restu Anwar, dan itu yang menyebabkan kumpulan Azmin 'terduduk'. 

Apapun menurut sumber, Azmin kecewa dengan 'pemusatan kuasa di Bukit Segambut'. Maknanya semua hal dalam parti berbalik kepada Anwar dan keluarganya.

Namun beliau terpaksa akur dengan keputusan tersebut, kerana Khalid dapat ditukar. Prinsipnya pada Azmin dan kumpulan beliau, 'Asal bukan Khalid'.

Manakala bagi Khalid dan Pakatan Rakyat Selangor 'Asal bukan Azmin'. Gang of Four ini telah masuk campur dan mencatur padang politik di Selangor.

Azmin kecewa tapi macam dia kata, apa dia boleh buat "Saya hanya lelaki kecil". Kiranya pengorbanan beliau 'terbuang layu'. Azmin sejak puluhan tahun bersama Anwar... di penjara oleh janji-janji bosnya itu...-28/1/2014(pOSTED BY ABNMULYA /bAKAR nINGGAL.BLOGSPOT.COM.AT1622 HRS ON jANUARY 28,2014.

Pengguna twitter kecam Anwar bertanding di DUN Kajang

OLEH SYAHIRAH RASHID JANUARY 28, 2014

Duduk dari kiri) Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 28 Januari, 2014. 

Pengguna laman sosial Twitter mengecam keputusan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Lee Chin Cheh, semalam.

Spekulasi mengatakan pencalonan Anwar di kerusi DUN Kajang adalah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor akibat persengketaan Abdul Khalid dan Pengerusi PKR Selangor Mohamed Azmin Ali yang menyukarkan pentadbiran negeri dikuasai Pakatan Rakyat (PR) untuk penggal kedua itu .

Bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim, berkata Anwar yang pernah menjadi timbalan perdana menteri itu akan turun pangkat sekiranya dilantik menjadi menteri besar Selangor.

"Ini turun pangkat. Tidak sepatutnya," tulis Zaid di akaun Twitter @zaidibrahim.

Sebaliknya beliau berkata, Anwar harus menyertai Umno dan Barisan Nasional (BN) serta bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menangani serangan ekstremis.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula menganggap isu Anwar bertanding DUN Kajang sebagai kelakar.

"Kelakar betul. Sementara itu, mengapa tidak lantik sahaja diri sendiri sebagai Sultan Melaka?" kata Khairy Jamaluddin dalam akaun Twitter @khairykj. Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata dalam akaun Twitter @tankengliang, PKR adalah semuanya tentang Anwar.

"Pada 2008, isterinya meletak jawatan untuk membenarkannya bertanding bagi kerusi Permatang Pauh. Tahun ini, seorang lagi ahli PKR meletakkan jawatan untuk membenarkan beliau bertanding bagi kerusi Kajang. Adakah PKR hanya tentang Anwar?" kata Tan.

Sementara itu, seorang pengguna Twitter, @WaniIbrahim berkata:"Sesetengah orang harus tahu bila untuk berhenti, termasuklah Anwar Ibrahim."

Manakala @mutaibuthman berkata:”Anwar melanggar janji untuk berhenti sekiranya PR kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

” @mozas_my29 pula bertanya:”Bolehkah seorang bekas penjenayah menjadi MB? Apa akan jadi sekiranya Sultan Selangor tidak setuju? Pernahkan anda fikir tentang itu?"

Bagaimanapun, Abdul Khalid pada sidang media pagi tadi berkata, pencalonan Anwar tidak ada kena mengena dengan status beliau sebagai menteri besar.

Semalam, beliau berkata, pemecatannya sebagai menteri besar harus dipersetujui Sultan Selangor serta ketiga-tiga parti dalam PR.

Anwar sebelum PRU13 pernah mengeluarkan kenyataan akan berhanti sekiranya PR gagal mengalahkan BN.

Katanya, beliau mahu kembali kepada profesion mengajar. Hari ini, Abdul Khalid mengumumkan Anwar akan bertanding DUN Kajang yang dikosongkan Lee. - 28 Januari, 2014.(DARI THE MALAYSIAN INSIDER). Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com at 1601 hrs on January 28,2014.



Monday, January 27, 2014

Anwar mahu jadi MB Selangor kerana gagal jadi PM,kata Kadir Jasin

JANUARY 28, 2014 Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di DUN Kajang adalah pengakuan kalah, kata Datuk A Kadir Jasin. Gambar fail.

Datuk A Kadir Jasin berkata tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan semalam akan dilihat sebagai satu pengakuan kalah kerana gagal menjadi perdana menteri Malaysia.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu mengulas spekulasi mengatakan Anwar bakal menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor jika menang di kerusi DUN Kajang dalam pilihan raya kecil yang perlu diadakan selepas Lee Chin Cheh meletakkan jawatan semalam.

"Beliau pasti dituduh oleh musuhnya sebagai mengaku kalah dan tidak yakin lagi boleh menjadi PM," tulis Kadir dalam blognya hari ini.

"Anwar membuat pengorbanan besar kerana matlamat beliau selama ini, bermula dengan penyertaannya dalam Umno pada 1982 adalah menjadi perdana menteri,” katanya.

Abdul Khalid pada satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini mengumumkan Anwar sebagai calon PKR bagi kerusi DUN Kajang.

Menurut wartawan veteran itu lagi, tindakan Anwar memulakan langkah untuk mengambil alih jawatan Abdul Khalid itu sudah pasti akan mencetuskan reaksi negatif.

"Antaranya ialah beliau bukan kelahiran Selangor dan usianya (66 tahun) adalah agak lanjut bagi seorang MB.

"Akhirnya Anwar terpaksa mengaku bahawa krisis kepimpinan kerajaan Selangor yang berpunca daripada perebutan kuasa antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, sudah sampai ke peringkat hidup mati." - 28 Januari, 2014.(Dari The Malaysian Insider).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal. blogspot.com.at 1356 hrs on January 28,2014.

Pelawaaan Anwar perlu ditolak-Ezam

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Kerajaan perlu menolak dengan tegas pelawaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang soal permuafakatan nasional.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor (gambar) berkata, Anwar sendiri sebenarnya sudah bankrap idea dalam berpolitik dan atas sebab itu beliau secara tiba-tiba membangkitkan soal permuafakatan nasional bagi meraih perhatian.

"Anwar memang sudah bankrap moral dan politik tetapi dia masih hidup kerana kita sendiri lemah dan lembab dalam bertindak," kata Ezam menerusi laman Twitternya hari ini.

Pada Ahad lalu, Anwar menawarkan 'pelan damai' kepada BN untuk bersama-sama membincangkan mengenai isu nasional dan perpaduan kononnya demi kepentingan rakyat.(Utusna online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1326 hrs on January 28,2014.

Sunday, January 26, 2014

Penyatuan orang Melayu hanya angan-angan,kata Unku Aziz

OLEH MD IZWAN JANUARY 26, 2014 

Tokoh akademik, Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid (gambar) tidak yakin kaum Melayu akan bersatu kerana faktor sejarah dan penjajahan yang dialami sejak berabad lamanya.

Dalam wawancara disiarkan Berita Minggu hari ini, Ungku Aziz berkata kaum Melayu mempunyai ciri sama dengan masyarakat Arab yang juga sukar untuk bersatu. 

"Pada saya orang Melayu tidak mungkin bersatu. "Orang Melayu seperti orang Arab kerana payah bersatu, tak boleh bercampur. Itu bezanya orang kita dengan orang Jepun," katanya.

Ungku Aziz menegaskan perbezaan yang memisahkan antara orang Jepun dengan bangsa Melayu adalah kerana penduduk negara matahari terbit tersebut berkongsi banyak persamaan, tidak seperti kaum Melayu. 

"Mereka (orang Jepun) bersatu dalam satu negara, bangsa dan sejarah yang sama.

"Orang Melayu pula dikacau oleh penjajah Portugis, Belanda dan itu antara faktor yang merosakkan orang Melayu," kata Ungku Aziz merujuk kepada sejarah pembentukan Malaysia yang pernah dijajah oleh beberapa kuasa besar dunia suatu ketika dahulu.

Zaman penjajahan Eropah ke Tanah Melayu bermula pada tahun 1511, apabila Melaka ditakluki oleh Portugis untuk dijadikan tanah jajahan, disusuli pula pengambilalihan Belanda terhadap Melaka pada tahun 1641.

Empayar British kemudian menjejakkan kaki di Semenanjung Melayu pada tahun 1786. Selain itu, Ungku Aziz juga menyifatkan faktor kepelbagaian etnik dalam kaum Melayu juga dianggap sebagai punca perpecahan.

"Selain itu, orang Melayu ada yang datang dari Jawa dan bercampur-campur.

"Kita suka bergaduh sesama sendiri dan ada saja agenda," katanya. Ungku Aziz kemudiaan menegaskan penyatuan kaum Melayu adalah suatu angan-angan yang tidak tercapai sehinggalah tahap pemikiran kaum tersebut mula meningkat pandai.

"Pada saya, penyatuan Melayu hanya angan-angan.

"Itu kita mesti terima. Tetapi kalau orang Melayu pandai, dia akan lebih bersatu," katanya.

Ungku Aziz juga menyifatkan orang Melayu sebagai suka mengamalkan sikap dengki dan menjatuhkan sesama sendiri.

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, dimana majoriti 50.4% merupakan orang Melayu dan 11% adalah kaum Bumiputera lain. 23.7% penduduk Malaysia berketurunan Cina, manakala 7.1% lagi berketurunan India.

Walaupun kaum Melayu membentuk majoriti penduduk di Malaysia, kumpulan tersebut masih ketinggalan daripada segi ekonomi walaupun pelbagai dasar diperkenalkan untuk meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup kaum Melayu.


Pegangan ekuiti korporat masih belum mencapai 30% dan golongan tersebut kini masih dalam tempoh transformasi sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Perpecahan Melayu kembali hangat diperkatakan selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sejak merdeka hilang majoriti dua pertiga dalam dua pilihan raya lalu, pada tahun 2008 dan 2013 lalu.
Undi kaum Melayu dikatakan terpecah kepada tiga, iaitu Umno, PAS dan PKR dalam dua pilihan raya lalu. 

Umno selaku parti dominan masyarakat Melayu menyalahkan dan menunding jari kepada dua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) iaitu PAS dan PKR sebagai punca undi tersebut pecah.

Bekas presiden Umno paling lama, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan PAS dan PKR sebagai parti yang menjadi penyebab kepada berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini. – 26 Januari, 2014.(The Malaysian Insider).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.bnlogspot.com at 8.28 am on January 27,2014.

Guru paksa murid makan rumput ditukar

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Guru lelaki Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, Sungkai yang bertindak melampau dengan menggantung loceng dan memaksa dua murid memakan rumput telah ditukarkan ke sekolah lain.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti hasil siasatan Jabatan Pendidikan Perak yang mendapati adalah tidak wajar guru berkenaan mendenda murid sedemikian rupa yang boleh dianggap keterlaluan.

"Tindakan guru berkenaan juga didapati telah memberikan imej yang kurang baik kepada Kementerian Pendidikan dan sehubungan itu kementerian telah bersetuju untuk mengenakan tindakan menukarkan guru tersebut ke sekolah lain.

"Pengarah Pelajaran Perak mengeluarkan surat amaran tegas kepada guru berkenaan kerana bertindak secara keterlaluan mendenda murid yang tidak menyempurnakan kerja sekolah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam insiden Khamis lalu, guru lelaki berusia 26 tahun itu menggantung loceng dan memaksa dua murid Tahun Empat iaitu Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith memakan rumput kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

Guru berkenaan hanya menghukum dua murid tersebut sedangkan terdapat dua lagi murid berbangsa Cina yang turut gagal menyiapkan kerja sekolah namun dikecualikan atas alasan kesihatan.

Dalam pada itu, Dr. Khair berkata, dua murid berkenaan masih di peringkat sekolah rendah dan kaedah bimbingan adalah paling wajar dan sesuai.

"Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa isu murid tidak buat kerja sekolah bukan merupakan kesalahan disiplin. "Perkara itu adalah sebahagian daripada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan harus ditangani menerusi bimbingan secara berterusan," ujarnya.(Utrusan online-Dalam Negeri).Posted b y abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 8.10 am on January 27,2014.

Kemelut Azmin satu maian politik-Abdul Khalid

SHAH ALAM 26 Jan. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyifatikan kemelut berhubung penyingkiran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali daripada ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sebagai satu permainan politik.

Menteri Besar Selangor
Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid bagaimanapun menegaskan beliau tidak tertekan dengan situasi ketika ini, meskipun ada pihak tertentu terutamanya PKR Selangor sendiri mahu beliau berundur.

"Saya tidak tertekan, anda mesti faham bahawa arena politik adalah satu permainan dan disebabkan itu orang yang tidak biasa dengan politik seperti saya sendiri adakalanya turut tidak mengerti apa yang berlaku. 

"Politik adalah satu proses yang mana seseorang itu akan cuba membuatkan diri mereka dikenali dan disebabkan perkara itu juga perkara ini berlaku (kemelut penyingkiran Azmin)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2014 peringkat negeri Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, ini adalah sandiwara politik yang sering digalakkan di Malaysia dan wartawan politik mungkin seronok dengan keadaan ini.

Namun beliau mengingatkan jika perkara seperti ini berlarutan, negara akan kucar-kacir. Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kakitangan awam tidak boleh berpolitik.

Penamatan perkhidmatan Azmin sebagai ahli Lembaga Pengarah PKNS mencetuskan rasa tidak puas hati termasuk daripada pemimpin PKR sendiri, selain menyebabkan Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Ketua Setiausaha Kerjanya, Norita Mohd. Sidek ditukarkan ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Abdul Khalid berhubung perkara itu. 

Terbaharu, seorang pemimpin PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga Ahli Parlimen PKR Kuala Langat mengesahkan bahawa kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sememangnya dibincangkan dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan PKR yang dipengerusikan oleh Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali pada Isnin lalu.

Malah, dalam mesyuarat itu katanya, kesemua pimpinan PKR menyatakan pendirian sebulat suara bersetuju supaya Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar dan perlu digantikan dengan pemimpin lain.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar NInggal.blogspot.com.at 8.01 am on January 27,2014.

Disaman : Hadi masih belum beri maklumat balas

KUALA TERENGGANU 26 Jan. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk memfailkan draf pembelaan berhubung saman malu sebanyak RM2 juta yang dikemukakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin.

Perintah yang ditetapkan pada 23 Februari depan itu dikeluarkan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa dalam prosiding yang berlangsung kira-kira 15 minit di mahkamah itu di sini hari ini.

Mohd. Shamsul melalui firma guaman Tetuan Vasudevan A & Co., pada 5 Disember lalu telah memfailkan saman ke atas Abdul Hadi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini selepas beliau mendakwa difitnah oleh pemimpin Pas itu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), April lalu. 

Plaintif ketika ditemui selepas sebutan pertama kes itu di Mahkamah Tinggi di sini berkata, pihaknya kecewa kerana tidak menerima sebarang maklum balas daripada defendan sebaik sahaja memfailkan saman berkenaan.

"Sehingga ke hari ini, saya tidak mendapat apa-apa maklum balas berhubung kes ini sama ada beliau (Abdul Hadi) mahu lawan atau sebaliknya. Hari ini pun mereka (Abdul Hadi dan peguam) juga tidak hadir ke mahkamah.

"Saya tidak tahu atas alasan apa beliau dan peguamnya masih membisu sehingga kini.

"Jadi, disebabkan perkara itu, tidak ada apa yang kami boleh buat ketika ini. Kami terpaksa menunggu sehingga 23 Februari ini sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Dungun mendakwa, ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. 

Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat. 

Dalam pada itu, Mohd. Shamsul sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dengan kegiatan jenayah membabitkan penjualan pil kuda seperti yang didakwa oleh Abdul Hadi dalam ceramah berkenaan walaupun Presiden Pas itu tidak menyebut secara langsung siapa yang terlibat.

"Memang beliau tidak sebut nama tapi di antara ketiga-tiga calon PKR yang bertindih pencalonan itu (Mohd. Shamsul bersama calon DUN Seberang Takir, Ahmad Nazri Mohd. Yusof serta calon DUN Kota Putera, Mohamed Abdul Ghani Ibrahim), ramai yang memandang serong apatah lagi saya kurang berpengalaman dan paling muda.

"Justeru, saya sebelum apa-apa terjadi, saya terpaksa mengambil tindakan ini (menyaman) bagi membersihkan nama saya dan apa yang saya lakukan ini atas sifat peribadi dan tiada kaitan dengan parti yang sebelum ini meminta saya agar tidak meneruskan hasrat tersebut," katanya.(Utusan online-Mahkamah).Posted b y abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 7.50 am on January 27,2014

UMNO PULAU PINANG SELAR KAIN RENTANG PROVOKASI

KEPALA BATAS 26 Jan. - Badan Perhubungan UMNO negeri menyelar tindakan melampau pihak tidak bertanggungjawab yang menggantung kain rentang berunsur provokasi agama di tiga tempat di negeri ini. 

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya melihat perbuatan tersebut sebagai tindakan provokasi tahap tertinggi yang bertujuan untuk mewujudkan suasana tegang dalam kalangan penganut pelbagai agama di negeri ini.

"Kita mengutuk perbuatan tersebut dan Pemuda UMNO negeri telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani dan berharap satu siasatan terperinci dijalankan.

"Saya tidak faham kenapa tindakan biadab ini dibawa ke negeri ini dan seolah-olah mahu menyaksikan orang Islam dan Kristian bergaduh. Sudah pasti kita berasa sedih apabila perkara begini berlaku," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang menggantung kain rentang bertulis Allah is great (Allah itu hebat) dan Jesus is the son of Allah (Jesus adalah anak lelaki Allah) di tiga buah gereja di negeri ini dalam kejadian awal pagi tadi.

Kain rentang berkenaan masing-masing digantung di perhentian bas berhadapan Gereja St. John Britto di Jalan Sungai Pinang, di pagar Gereja Assumption di Lebuh Farquhar dan satu lagi di pagar Gereja The Immaculate Conception di Pulau Tikus, dekat sini.

Zainal Abidin menasihatkan umat Islam dan penganut Kristian di negeri ini supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru dan mengawal emosi ketika berhadap dengan isu berkenaan yang dianggap sensitif.

"Kita serahkan kepada pihak polis untuk siasat dan ambil tindakan mengikut saluran undang-undang.(Utusna online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 7.36 am on January 27,2014.

Polis tolak penglibatan gereja

Oleh AZHARI ZAINOODDIN 
pengarang@utusan.com.my 

SALAH satu kain rentang memaparkan kalimah Allah yang dipasang berhampiran sebuah gereja di Pulau Pinang, semalam. 

BATU KAWAN 26 Jan. - Polis Pulau Pinang hari ini menyifatkan tindakan pihak tertentu memasang kain rentang yang tertera kalimah Allah sebagai provokasi melampau bagi membangkitkan kemarahan umat Islam.

Sambil menafikan penglibatan pihak gereja dalam perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya percaya pemasangan kain rentang itu bertujuan mewujudkan provokasi pihak-pihak tertentu terhadap isu berkenaan.

Katanya, polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan rondaan akan dipergiatkan di kawasan-kawasan terlibat khususnya di bandar raya Georgetown yang mempunyai kira-kira 40 buah gereja.

"Setakat ini tiga laporan polis telah diterima berhubung penggantungan kain rentang berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 

"Kita percaya kejadian ini tiada kaitan dengan pihak gereja tetapi didalangi pihak-pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha mewujudkan provokasi melampau," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Op Selamat peringkat negeri sempena cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Jumaat depan.

Awal pagi ini, penduduk di beberapa kawasan di negeri ini digemparkan dengan kain rentang yang digantung pihak tidak bertanggungjawab yang tertera perkataan Allah is great (Allah itu hebat) dan Jesus is the son of Allah (Jesus adalah anak lelaki Allah).

Penggantungan kain rentang berkenaan dilihat sengaja untuk menaikkan kemarahan umat Islam di negeri ini berhubung isu kalimah Allah yang sudah diputuskan mahkamah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam di negara ini.


Tiga kain rentang berkenaan digantung masing-masing di perhentian bas berhadapan Gereja St. John Britto di Jalan Sungai Pinang, di bahagian luar pagar Gereje Assumption di Lebuh Farquhar dan di pagar Gereja The Immaculate Conception, Pulau Tikus, dekat sini.

Abdul Rahim berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (A) Akta Hasutan.

"Kita minta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan," ujarnya.

Terdahulu, selepas merasmikan Op Selamat peringkat negeri, beliau memberitahu statistik kemalangan di negeri ini meningkat empat peratus sepanjang tahun lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

"Peningkatan itu melibatkan jumlah kemalangan sebanyak 1,506 kes dan diharap dengan adanya Op Selamat ini jumlah kemalangan dapat dikurangkan terutamanya di musim-musim perayaan.

"Selain itu melalui Op ini kita sasar keselamatan di dua kawsan iaitu di jalan raya dan di kawasan perumahan. Kita mahu rakyat selamat ketika berada di jalan raya sehingga ke destinasi yang ditujui begitu juga selamat ketika berada di rumah dalam merayakan Tahun Baharu Cina," ujarnya.(UTUSAN ONLINE-JENAYAH). POSTED BY ABNMULYA /BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM AT 7.26 AM ON JANUARY 27,2014.

Saturday, January 25, 2014

Penduduk rogol wanita beramai-ramai melarikan diri

Penduduk rogol wanita beramai-ramai melarikan diri Ketua jawatankuasa kampung, Balai Mandi (tengah) ditahan polis berhubung kes rogol seorang wanita secara bergilir-gilir di daerah Labphur, India, semalam. - 

AGENSI SUBALPUR, India 24 Jan. - Penduduk lelaki sebuah kampung yang menyaksikan seorang wanita berusia 20 tahun dirogol secara bergilir-gilir atas arahan anggota jawatankuasa kampung didapati menghilangkan diri dari kampung itu, hari ini.

Sewaktu tinjauan AFP ke kampung itu yang mengambil masa lima jam perjalanan dari Kolkata mendapati kebanyakan penduduk lelaki di kampung itu sudah tiada di situ.

Hanya kanak-kanak dan wanita berada di kampung itu, namun mereka enggan bercakap tentang kejadian yang menimpa wanita itu pada malam Selasa lalu.

Sekurang-kurangnya 12 anggota polis mengawal sebuah struktur binaan yang diperbuat daripada buluh dan beratapkan jerami padi, lokasi jenayah itu dipercayai berlaku.

Menurut penduduk, tempat itu digunakan ketua kampung sebagai dapur, manakala wanita berkenaan merupakan seorang gadis yang menawan dan mangsa dijangka berkahwin dengan teman lelakinya yang merupakan seorang penduduk Islam dari kampung bersebelahan.

Pegawai kanan polis dari sebuah balai polis di daerah Labphur, Kazi Mohammad Hossain berkata, wanita berkenaan diancam dengan tindakan lebih ganas oleh ahli jawatankuasa kampung sekiranya mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis.

''Mereka mengelilingi rumah mangsa pada petang Rabu, namun dia berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis.

''Dia berjalan terhincut-hincut dan dalam keadaan berlumuran darah sewaktu tiba di balai polis,'' kata Kazi. 

Sekurang-kurangnya 13 lelaki dari kampung itu ditahan polis semalam selepas disyaki merogol gadis itu atas alasan mangsa 'tidak menghormati' penduduk kampung.

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa dibawa ke struktur diperbuat daripada buluh itu dan dirogol kerana menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki beragama Islam, insiden yang mencetus kemarahan di India berikutan layanan ke atas wanita negara ini. - AFP( Utusna online-Luar Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.18 am on January 26,2014.

Pergaduhan di Parlimen Turki

Timbalan ketua pembangkang, Bulent Tezcan (kiri) bergelut ketika berlaku pergaduhan di Parlimen Turki di Ankara, kelmarin. - REUTERS

ANKARA 24 Jan. - Satu pergaduhan tercetus di Parlimen Turki, semalam selepas perbahasan berhubung pembaharuan sistem kehakiman yang menjadi kontroversi bertukar menjadi kekecohan.

Timbalan ketua pembangkang daripada Parti Parti Rakyat Republikan (CHP), Bulent Tezcan, cedera dalam insiden tumbuk menumbuk itu dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menurut laporan media, kekecohan itu bermula selepas seorang anggota Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu mendakwa anak Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan kes rasuah utama yang menggegarkan kerajaan, baru-baru ini.

Parlimen Turki dijangka mengundi lewat malam ini untuk meluluskan satu rang undang-undang yang bertujuan membolehkan kerajaan mempunyai kuasa yang lebih luas ke atas badan kehakiman, satu tindakan yang menimbulkan kebimbangan sama ada daripada dalam mahupun luar Turki yang dijangka melemahkan sistem demokrasi di bawah kepimpinan Erdogan. - AFP(Utusna online-Luar Negara).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.10 am on January 26,2014.

Guru paksa murid makan rumput

Oleh ASLIZA MUSA pengarang@utusan.com.my


MUHAMMAD Nasvinder Muhammad Amit (kanan) dan Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith yang dihukum secara melampau oleh guru Bahasa Inggeris di SJKC Khai Meng, Sungkai, Perak, baru-baru ini.

SUNGKAI 25 Jan. - Hanya kerana gagal menyiapkan tugasan sekolah yang diberi, dua murid tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng dekat sini dilayan seperti seekor lembu apabila digantung loceng di leher dan dipaksa memakan rumput oleh seorang guru sekolah itu, Khamis lalu.

Guru lelaki berusia 26 tahun yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris itu bukan sahaja menggelarkan Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith masing-masing 10 tahun sebagai ‘lembu’ malah turut mengugut akan memuat naik gambar mereka yang diambil menggunakan telefon bimbit di laman sosial Facebook.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, empat orang murid gagal menyiapkan tugasan yang diberi namun guru terbabit hanya memberikan hukuman kepada kedua-dua mangsa.

Difahamkan, dua lagi murid lain tidak dikenakan denda kerana berpenyakit dan mempunyai surat sakit daripada doktor.

Bapa saudara kepada Muhammad Nasvinder, Muktasim Hashim, 28, berkata, pada mulanya kedua-dua murid berkenaan dirotan sebanyak dua kali di bahagian tapak tangan sebelum diarahkan memakai loceng di leher dari pukul 9 pagi sehingga tamat waktu persekolahan pada pukul 1.30 petang.

Katanya, jika murid itu ingkar arahan berkenaan, mereka akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda rotan sebanyak 10 kali lagi.

“Kedua-dua murid ini akur dengan arahan guru tersebut kerana bimbang akan dirotan lagi. Bagaimanapun, tindakan guru terbabit membuatkan mereka malu untuk ke kantin sekolah," katanya dalam sidang akhbar di Balai Islam Taman Permai di sini hari ini.

Muktasim berkata, kejadian kedua pula berlaku pada pukul 10.10 pagi iaitu pada waktu rehat yang guru tersebut datang semula ke kelas mangsa sebelum mengambil rumput di hadapan kelas lalu memaksa mangsa makan.

Tindakan keterlaluan guru itu, katanya, memaksa Muhammad Nasvinder mengeluarkan kata-kata ‘Lembu puasa hari ini jadi saya tidak boleh makan’ kepada gurunya kerana tidak tahan dipaksa makan rumput tersebut.

“Empat murid tidak siapkan kerja sekolah iaitu dua daripada kaum Cina dan dua lagi murid beragama Islam yang diambil tindakan hanya dua pelajar Islam sahaja dua lagi tiada apa-apa tindakan.

“Alasan yang diberikan guru itu kerana dua lagi (murid Cina) berpenyakit dan mempunyai surat sakit daripada doktor.

Ini tidak masuk akal kerana anak saudara saya juga mempunyai masalah kesihatan kerana menghidap asma," katanya.

Sementara itu, ibu Muhammad Nasvinder, Siti Aisha Hashim, 32, memberitahu, anaknya trauma dan malu dengan kejadian tersebut apabila terdapat rakan-rakannya mengejek dengan panggilan ‘lembu’.

Katanya, guru terbabit mengakui anaknya seorang murid yang pandai, namun akibat perbuatannya, anak kedua daripada enam beradik itu kini fobia untuk ke sekolah. “

Saya rasa cukup terkilan kerana kita hantar mereka pergi sekolah untuk belajar tetapi guru pula tunjuk contoh tidak baik, apa akan jadi pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Yarni Kasuma Dewi Zainal Aripin, 33, ibu kepada Mohd. Izat Iqbal berkata, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sungkai berhubung perbuatan melampau guru berkenaan, semalam. 

Katanya, guru itu ada menemui mereka dan membuat permohonan maaf, namun permohonan maaf itu dilihat dibuat dalam keadaan tidak ikhlas. “

Guru besar yang ditemui juga memberitahu kejadian itu (gantung loceng) bukan kali pertama dilakukan oleh guru terbabit tetapi memaksa makan rumput dengan gelaran ‘lembu’ adalah kali pertama," katanya.

Justeru katanya, mereka sebulat suara mahukan guru tersebut diambil tindakan keras agar kejadian sama tidak berul(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 9.41 am on January 26,2014.

Thursday, January 23, 2014

Fitnah : Khai Loon berdepan tindakan penjara,denda

Abdul Rahim , Lee Khai Loon
PULAU PINANG 23 Jan. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon berdepan tindakan penjara dan denda sekiranya disabitkan kesalahan kerana memfitnah berhubung isu kangkung yang membangkitkan kemarahan banyak pihak baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya telah mengambil keterangan wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hari ini.

"“Kenyataan daripada beberapa pihak lain juga telah diambil dan kertas siasatan telah dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya di sini hari ini.

Difahamkan, Khai Loon disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Khai Loon dan beberapa penyokong pembangkang sebelum ini bertindak biadab menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mempersenda kenyataan Najib berhubung penurunan harga sayuran berkenaan.

Tindakan tidak bertanggungjawab Khai Loon itu menyebabkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mengadakan demonstrasi aman bagi mendesak wakil rakyat berkenaan memohon maaf.( Utusan online-Jenayah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.18 am on Januarya 24,2014.

Kabinet putuskan tidak campur tangan isu rampasan Bible

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kabinet semalam memutuskan tidak akan campur tangan dalam isu rampasan Bible versi bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah di Selangor kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun Kabinet tetap berpegang kepada penyelesaian 10 perkara yang ditandatangani pada April 2011 berhubung penggunaan kalimah Allah, isu tersebut perlu diselesaikan di peringkat negeri.

"Lebih kurang kita ulas isu ini lebih baik. Kerajaan Persekutuan tetap komited kepada penyelesaian 10 perkara dan itu adalah jelas.

"Namun, apabila melibatkan undang-undang negeri, terserah sepenuhnya kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan majlis agama Islam negeri," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pandangan Strategik Malaysia Ke-16 2014 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini hari ini.

Menurut Khairy, Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak konsisten mahu meredakan pertikaian berhubung kalimah Allah supaya tidak merebak.

"Kita perlu faham dalam kes Persatuan Bible Malaysia, kes diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Sudah tentu, penyelesaian 10 perkara tidak boleh menggantikan enakmen atau undang-undang negeri," katanya.

Menurut Khairy, walaupun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merujuk kepada perjanjian pada 2011 itu, pihak berkuasa agama itu tidak dapat berbuat demikian kerana terikat dengan enakmen negeri.

"Dalam hal ini, kerajaan Selangor perlu berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)," ujarnya. 

Menjawab soalan kenapa negara ini tidak boleh mempunyai undang-undang yang seragam di peringkat Persekutuan dan negeri, Khairy berkata, Malaysia merupakan sebuah negara Persekutuan dan bukannya negara bersatu.

"Ini bermakna, lain negeri, lain undang-undangnya. Kita perlu menghormati bahawa sesetengah negeri mempunyai undang-undang sendiri.

"Sebagai contoh, apabila kita pergi ke Sabah dan Sarawak, kita perlu bawa MyKad dan apabila hendak bekerja di sana, kita perlu dapatkan permit kerja," katanya.

Sementara itu, beliau enggan mengulas mengenai desakan 11 Ketua Pemuda UMNO bahagian di Pahang supaya Ketua Pemuda UMNO negeri itu, Shahruddin Ahmad digantikan dengan orang lain.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted  by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at11.05am on Januarty 24,2014.

Wednesday, January 22, 2014

Wujud desakan singkier Khalid,kata Saifuddin

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK 
JANUARY 23, 2014 Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di sidang media di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 
23 Januari, 2014. PKR hari ini mengesahkan wujud desakan di kalangan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu untuk menggugurkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dalam mesyuarat minggu lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata MPP tidak pernah membuat keputusan menggugurkan Khalid, maka tidak timbul isu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

"Ahli MPP jumlahnya hampir 55 orang. Mesyuarat pada 15 Januari itu dipengerusikan oleh Azmin dan saya duduk di sebelahnya.

Daripada 55 orang, ada yang mengambil pendirian keras mencadangkan Khalid dilucutkan. "Tiga atau empat orang daripada 55 orang.

Tetapi pandangan mereka tidak menjadi usul MPP. Azmin mempengerusikan mesyuarat. Tidak mungkin dia mempengerusikan mesyuarat untuk singkirkan Khalid dan dia sebagai pengganti," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Saifuddin berkata, PKR tidak mungkin mampu mengambil keputusan untuk menyingkirkan Khalid selagi tidak mendapat persetujuan PAS dan PKR kerana parti itu hanya memiliki 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. – 23 Januari, 20(Dari The Malaysian Insider).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal. blogspot.com.at 1339 hrs on January 23,2014.

Khalid -Azmin: Yang tersurat telah didedah.....Mari baca yang tersirat

RABU, 22 JANUARI 2014 21:58
Oleh: ROSLI ISMAIL 
(Dari Agenda Daily). 
Khalid dan Azmin

Meneliti satu per satu surat-surat rasmi serta minit mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diedar oleh pejabat Menteri Besar Selangor Rabu mengenai isu jawatan Azmin Ali di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) jelas Tan Sri Khalid Ibrahim boleh 'cuci tangan'.

Rasanya masuk mahkamah mana pun beliau boleh lenggang kangkong. Kalau ikut surat-surat itu yang memberi kronoloji dari awal hingga terkini isu itu...diatas kertas nampaknya semua ikut peraturan.

Memang betul tidak ada sepatah pun ayat dalam semua surat sulit itu yang sebut beliau arah Azmin 'dipecat' atau lebih tepat khidmatnya tidak disambung.

Pejabat Khalid mengedarkan semua surat itu yang diubah status rahsia, sebagai menepati janjinya baru-baru ini.

Namun dalam arina politik orang biasanya lebih gemar teropong apa yang tersirat berbanding apa yang tersurat.

Ini kita bercakap dalam konteks hubungan Khalid dan Azmin yang semua orang tahu tidak begitu ngam. 

Mengunakan lojik akal sebenarnya jika soal lantikan Ahli Lembaga Pengarah PKNS ini ditangani secara 'baik-baik' antara mereka berdua...isu ini pasti tidak berbangkit.

Kenapa dan mengapa ia jadi begitu? Untuk pendekkan cerita agar tidak berbelit-belit cuba fikir Khalid ialah Menteri Besar PKR Selangor manakala Azmin ialah Pengerusi Perhubungan PKR negeri.

Memang masalah besar kalau bos pentabiran negeri dengan bos politik negeri tidak sehaluan.

Bayangkan jika hubungan mereka berdua cantik ,mesra dan erat dan saling boleh ' helo-helo' pagi petang siang malam.

Ini merujuk kepada salah surat minit mesyuarat Exco dibawah tajuk ulasan Pejabat Menteri Besar memberitahu : Azmin telah mengembalikan kemudahan-kemudahanya yang diterima...maka sesuai untuk dikaji semula kedudukannya (sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS).

(Difahamkan kemudahan yang dimaksudkan ialah Azmin telah memulangkan kereta rasmi PKNS sebelum PRU13.

Al-kisahnya beliau dikatakan pulangkan kerana tidak mahu pegang kemudahan itu atas status 'caretaker goverment' menjelang pilihanraya.

ni dijadikan alasan untuk buat andaian beliau sudah tidak berminat...maka perlu kaji semula kedudukannya) 

Ketika itu mesyuarat Exco berkenaan sedang timbang samada hendak melantik semula ADUN PAS Iskandar Samad,ADUN DAP Teresa Kok dan ADUN PKR Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah. 

Dalam minit itu di bawah tajuk syor Pejabat Menteri Besar bertulis : Mereka bertiga dikekalkan jawatan ATAU diganti dengan calon lain yang sesuai.

Pada mesyuarat Exco seterusnya keputusan dibuat.Dalam minit yang tertera Iskandar (PAS) dilantik semula,Teng Chan Kim (DAP) ganti Teresa Kok manakala bagi wakil PKR yang sebelum ini dipegang Azmin...bertulis 'akan ditentukan kemudian'.

Lanjutan dari mesyuarat Exco itu cabutan dari minitnya telah dipanjangkan kepada Pengurus Besar PKNS Othman Omar.

Membaca ayat ' akan ditentukan kemudian' inilah yang dikatakan membuatkan beliau mengandaikan Azmin tidak dilantik semula.

Ini mendorong Othman menulis surat rasmi kepada Azmin pada 8 Januari 2014 memberitahu perkhidmatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS ditamatkan mulai 4 Disember 2013.

Surat Othman itu yang mencetuskan kontroversi ini. Seperti semua orang sudah tahu ini yang akhirnya buat beliau kena ' tendang' ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Setiausaha Kerja PKNS Norita Mohd Sidek sementara siasatan isu ini dibuat.

Norita kena tindakan kerana 'pandai-pandai' keluar kenyataan media esoknya menjelaskan keputusan berhentikan Azmin dibuat oleh mesyuarat Exco dan bukan oleh PKNS (yakni Othman).

Ini lanjutan dari kenyataan Khalid sehari sebelum itu yang dakwa Azmin diberhentikan kerana Othman tidak mahu beliau.

Siapa yang tidak terkejut dan melompat mendengar kenyataan Menteri Besar begitu. Soalnya bolehkah Othman dipersalahkan kerana membuat andaian mesyuarat Exco putuskan Azmin diberhentikan?

Dari segi teknikal kesilapan beliau ialah menulis surat rasmi kepada Azmin hanya bersandarankan cabutan minit mesyuarat Exco dan tidak rujuk kepada Menteri Besar dulu.

Hakikat di depan mata sudah terang lagi bersuluh kedudukan Azmin ketika itu memang kabur. Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri tidak langsung sebut namanya sebagai orang yang akan ditentukan kemudian itu. 

Kalau mengikut ayat itu siapa saja orang lain boleh dilantik Ahli Lembaga Pengarah PKNS sebagai wakil PKR.

Tentunya semua bertanya kenapa kedudukan Azmin dibiar 'ding dong' begitu oleh Khalid. Dari segi teknikal Khalid boleh cuci tangan kerana tiada ayat spesifik sebut beliau atau mesyuarat Exco putuskan Azmin diberhentikan.

Sebaliknya cuba letak diri anda dalam kedudukan Azmin. Apa perasaan diperlakukan bagai gantung tak bertali begitu...lebih-lebih lagi ia melibatkan imej dan maruah beliau ialah ketua parti PKR negeri Selangor dan Timbalan Presiden PKR. 

Ini yang dikatakan ada benda ' tak kena' yang tersirat disebalik semua surat-surat rasmi itu. Pelik bukan...kenapa Khalid yang sering bertemu Azmin dalam pelbagai mesyuarat rasmi dan parti tidak terbuka mulut bertanya secara peribadi misalnya " Azmin...betul ke you tidak berminat lagi jadi Ahli Lembaga Pengarah PKNS...I nak adakan mesyuarat Exco nak bincang lantikan semula".

Bayangkan jika perbualan itu berlaku...mungkin Azmin jawab, " Ya Tan Sri saya masih berminat'. Maka tidak timbul soal andaian dan sebagainya bila Azmin memulangkan kemudahan PKNS dulu. Dan lojiknya...jika Azmin tidak berminat hendak dilantik semula...tentu surat Pengurus Besar PKNS yang beritahu beliau diberhentikan tidak jadi isu.

Semua ini berbalik mencerminkan tahap hubungan yang jelas tak OK antara kedua mereka hingga tak boleh duduk sembang santai hal sekecil itu pun.

Dalam sepak terajang politik semua orang ada 'game'. Siapa lebih bijak dalam silat kuntau itu...Khalid atau Azmin?

Ada pemerhati yang menilai pada pusingan ini Khalid boleh senyum manakala Azmin kena terus memendam rasa.

Apapun Azmin bukan kecik anak....dan Khalid tidak boleh fikir beliau dapat tidur nyenyak dibuai mimpi indah.

Dari segala yang tersirat ini...siapa saja boleh buat andaian tersendiri mengenai gelora dalaman antara kedua mereka sekalipun isu ini mungkin selesai dan Azmin ' terpaksa' dilantik semula.-22/1/2014(Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.59 am on Jan,23,2014.

Perbalahan Azmin -Khalid : RAKYAT PERLU BUKA MATA

KUALA LUMUR 22 Jan. - P'Perbalahan' antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berhubung isu jawatan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunjukkan pemimpin pembangkang sebenarnya hanya berjuang untuk mengejar kuasa dan kedudukan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, rakyat perlu membuka mata dan menilai situasi tersebut iaitu pemimpin PKR sudah berbalah kerana isu jawatan walaupun mereka belum mendapat kuasa pemerintahan Kerajaan Pusat.

Katanya, perebutan kuasa sesama sendiri di dalam PKR serta antara Pas dan DAP pasti lebih hebat jika pembangkang menguasai Kerajaan Pusat.

"Ini baru jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS. Pas tidak dapat jawatan Exco di Pulau Pinang dan di Selangor pun Exco Pas tidak diberi fungsi portfolio Islam, jadi siapa hendak jadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pendidikan dan sebagainya pasti menjadi perebutan. 

"Ini belum masuk lagi hal-hal dasar dan ideologi masing-masing. Kemelut seumpama ini tidak akan dapat menjamin kestabilan politik dan keamanan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perbalahan politik antara Azmin dan Abdul Khalid semakin ketara selepas pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS baru-baru ini. Difahamkan pengguguran Azmin menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli PKR yang menyokong beliau sehingga mereka mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Menurut Ibrahim, punca sebenar perbalahan itu ialah kerana Abdul Khalid curiga dengan Azmin yang bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar Selangor. 

"Azmin ialah Timbalan Presiden PKR. Besar cita-citanya, bukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS kerana jawatan itu untuk pemimpin PKR peringkat bawah sahaja tetapi itu pun mereka berebut," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 12.36 am on Jan,23,2014.

Tian Chua dipenjara satu bulan,denda RM1,OOO-00

Oleh UMAVATHI RAMAYAH 

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua hari ini dijatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM1,000 selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan melanggar arahan mengikut Perintah Kawasan Larangan, dua tahun lalu. - UTUSAN ONLINE-MAHKAMAH). Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.31 am on Jan,23,2014.

PKR Selangor nafi putuskan Azmin ganti Khalid sebagai MB

SHAH ALAM 22 Jan. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menafikan membuat keputusan sebulat suara supaya Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar negeri ini.

Menurut Setiausaha Majlis Pimpinan PKR negeri, Amirudin Sahri, pihaknya tidak pernah membangkit dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dalam mesyuarat parti itu yang diadakan hari ini. 

“Perkara itu (lantik Azmin sebagai Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid) tidak timbul dan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor.

“Cuma yang kita bincangkan ialah mengenai hal-hal berkaitan pentadbiran antaranya mengenai industri air di Selangor dan juga pengurusan anak-anak syarikat berkaitan dengan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus kononnya Majlis Pimpinan PKR Selangor membuat keputusan untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dan digantikan dengan Azmin.

Sebelum ini, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid sebagai Menteri Besar melibatkan beberapa isu tertentu.

Kali terakhir Azmin mengkritik pentadbiran Abdul Khalid ialah pada 28 November lalu apabila beliau menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari 2014, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.

Selain itu, Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor sebelum ini juga dilaporkan bertindak melalui kelab itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu. 

Malah, difahamkan pergeseran antara Azmin dan Abdul Khalid telah bermula sejak 2010 lagi apabila Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Pengerusi PKR Selangor daripada Abdul Khalid. 

Namun, isu membabitkan Azmin dan Abdul Khalid itu dikatakan semakin memuncak apabila Timbalan Presiden PKR itu disingkirkan daripada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sehingga menyebabkan Pengurus Besar dan Setiausaha syarikat milik kerajaan negeri itu ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkuatkuasa serta-merta pada 20 Januari lalu.

Tindakan itu dibuat ekoran pertikaian arahan membabitkan penyingkiran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS yang Abdul Khalid sebelum ini menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan arahan penyingkiran tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan PKNS menerusi Setiausaha syarikat itu, Norita Mohd. Sidek yang memaklumkan penamatan Azmin dibuat oleh kerajaan negeri selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November lalu yang disahkan pada 4 Disember.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.23am on Jan,23,2014.

Isu PKNS: MB DEDAH DOKUMEN SULIT

Amirudin Shari (tengah) menyerahkan bunga dan nota sokongan penjawat awam menyokong tindakan kerajaan negeri Selangor kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim (kanan), sambil diperhatikan Abdullah Sani Abdul Hamid (kiri) di Bangunan PKNS di Shah Alam, semalam. 

SHAH ALAM 22 Jan. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan beberapa dokumen sulit berhubung isu penyingkiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pendedahan tersebut bagi menafikan penglibatan pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dalam mengeluarkan arahan supaya jawatan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dalam PKNS ditamatkan.

Dokumen-dokumen yang didedahkan itu termasuk surat-menyurat rasmi dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengenai arahan Abdul Khalid kepada Ketua Setiausaha Sulitnya, Mohd. Yasit Bidin.

"Dokumen-dokumen sulit seperti keputusan MMKN dan surat-menyurat antara Pejabat Menteri Besar, PKNS dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ini didedahkan menggunakan kuasa Menteri Besar yang diperuntukkan mengikut Seksyen 2 (C) Akta Rahsia Rasmi.

"Dokumen-dokumen ini dikeluarkan untuk membolehkan orang ramai meningkatkan kefahaman dan berhenti membuat spekulasi kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan dalaman yang sedang dijalankan oleh kerajaan negeri," jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar di sini hari ini. 

Antara dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri ialah surat rasmi yang dikemukakan Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar kepada Azmin bertarikh 8 Januari 2014 yang menyatakan penghargaan kepada Timbalan Presiden PKR itu di atas sumbangan yang telah diberikan sepanjang menjadi Ahli Lembaga Pengarah.

Penghargaan itu dinyatakan oleh Othman selaras dengan keputusan kerajaan negeri menerusi cabutan kertas MMKN bertarikh 13 November 2013 yang mana beliau menyatakan perkhidmatan Azmin sebagai ahli perbadanan itu ditamatkan mulai 4 Disember 2013.

Bagaimanapun, penamatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS tidak disebut secara jelas dalam MMKN pada 13 November 2013.

Berdasarkan keputusan MMKN, kerajaan negeri telah menimbang dan meluluskan pelantikan dua anggota Exco iaitu Datuk Teng Chang Khim dan Iskandar Abdul Samad sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS manakala seorang lagi calon untuk mengisi jawatan berkenaan akan ditentukan kemudian.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar NInggal.blogspot.com at 12.14 am on Jan,23,2014.

ROONEY.RONALDO KEMBALI BERGANUNG?


WAYNE Rooney (kanan) mungkin berganding semula dengan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Cristiano Ronaldo selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. 

LONDON - Wayne Rooney mungkin kembali bergabung dengan bekas gandingannya di Manchester United, Cristiano Ronaldo selepas bintang penyerang England itu berada dalam senarai antara pemain paling dikehendaki oleh gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid.

Pada ketika Rooney sedang mengharungi 18 bulan terakhir di Old Trafford dan tidak berhasrat untuk menyambung kontraknya, pemain berusia 28 tahun itu sedar United tidak akan menjualnya kepada pesaing dalam Liga Perdana Inggeris.

Justeru, beraksi dalam liga luar antara pilihan terbaik yang dimiliki penyerang England itu dan desas-desus dia bakal ke Santiago Bernabeu bertiup kencang selepas namanya berada dalam senarai salah seorang daripada tiga penyerang paling dikehendaki Real pada musim panas ini bersama bintang Manchester City, Sergio Aguero serta penyerang Monaco, Radamel Falcao.

City tidak mungkin akan menjual ayam tambatan mereka, Aguero dan Falcao pula terikat dengan kontrak jangka panjang bersama kelab selatan Perancis, Monaco, menjadikan Rooney pilihan yang paling murah dan praktikal buat Real.

Jurulatih Real, Carlo Ancelotti sangat mengenali Rooney sepanjang menjadi pengurus Chelsea, namun yang lebih penting lagi pemilik Los Blancos, Florentino Perez sudah lama mengikuti perkembangan serta mengagumi bintang penyerang England itu.

United seboleh-bolehnya tidak mahu melepaskan Rooney dan berharap pemain itu kekal di Old Trafford hingga kontraknya berakhir pada 2015.

Hujung minggu lalu, ketika pengurus Chelsea, Jose Mourinho meramalkan Rooney akan dijual pada musim panas ini, pengendali United, David Moyes berkata: "Saya tidak setuju."

Moyes bagaimanapun harus berasa bimbang kerana baik Rooney mahu pun rakannya di bahagian serangan, Robin van Persie tidak dapat beraksi seperti yang diharapkan musim ini kerana masalah kecederaan.

Akhbar Britain, Daily Mail melaporkan, Van Persie mungkin perlu menunggu lebih lama untuk kembali beraksi, manakala keadaan kecederaan pangkal paha yang dialami Rooney belum pulih sepenuhnya dan peluang pemain itu untuk beraksi menentang Cardiff City dalam saingan Piala Liga pada Selasa depan adalah 50-50.

Kelmarin, United juga dilaporkan bersedia melepaskan Rooney seandainya pasukan itu gagal melayakkan diri ke dalam Liga Juara-juara musim depan. - AGENSI( Utusan online- Sukan luar negeri0.Posted by abnmulya /Bakar NInggal.blogspot.com.at 11.54 am on January 23,2014.

Tuesday, January 21, 2014

Isu PKNS : Himpunan penyokong yang suram dan boleh kasi malu Azmin....

RABU, 22 JANUARI 2014 13:22
Oleh :NOOR HASILAH ISMA
( Agenda Daily).

Gambar: Wartawan-wartawan lepak kerana lama menunggu
Melihat senario di depan pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam pagi Rabu pasti ada yang menilai keadaan 'agak berat' bagi Azmin Ali dalam kemelutnya dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ini mengukur pada suramnya perhimpuan aman yang dirancang di situ oleh penyokong Timbalan Presiden PKR itu atas nama 'Solidariti pada PKNS dan penjawat awam Selangor'.

Siapa tahu mungkin kalangan penyokong Khalid gelak sakan. Mengikut SMS yang disebar sejak Selasa mengajak orang berkumpul situ mulai jam 10 pagi. Ramai wartawan yang tunggu punya tunggu.

Namun hingga jam 11.30 pagi hanya 25 orang yang muncul. Ia diketuai Amiruddin Saari,ADUN Batu Caves yang diketahui umum orang kanan Azmin di Selangor.

Hadir sama Ahli Parlimen PKR Kuala Langat Abdullah Sani,juga penyokong Azmin.Turut sama ialah bekas Ahli Parlimen Kapar S Manickavasagam yang dikatakan tidak sebulu dengan Khalid.

Lain-lain cuma ahli biasa kebanyakan kaum India yang entah dari mana datang. Amiruddin menyerahkan memorandum kepada Pengurus Perhubungan PKNS Ishak Hashim di situ.

Abdullah kemudiannya beritahu mereka mahu jawatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS dikekalkan.

Mereka juga mahu Pengurus Besar PKNS Othman Omar dan Setiausaha Kerja PKNS Norita Mohd Sidek yang diarah tukar sementara ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam dikembalikan ke jawatan asal.

Mereka dikenakan tindakan tukar ke SUK sementara tunggu siasatan keatas isu Azmin dibuat. Beliau menilai tindakan keatas mereka satu penganiyaan.

Dakwanya perlucutan jawatan Othman dan Norita menyalahi etika kerja dan tidak mengikut prosedur sepatutnya.

"Othman dan Norita jelas teraniaya. Mengikut etika kerja, sebelum tindakan diambil ke atas seseorang, pekerja itu harus diarahkan memberi surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh dibuat ke atasnya. 

"Selepas itu baharulah dakwaan dilakukan menerusi domestic inquiry. Tindakan menukarkan Norita ke jabatan lain menunjukkan hukuman telah dijatuhkan. Apabila hukuman telah dijatuhkan sebelum pendakwaan dilakukan, ia adalah satu penganiayaan," kata Abdullah.

Norita ialah pegawai yang keluarkan kenyataan kata pemecatan Azmin bukan keputusan PKNS tapi dibuat oleh mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum itu Khalid memberitahu wartawan Azmin dipecat atas kehendak Othman. Penjelasan yang bercanggah ini dan rentetan seterusnya isu ini cukup membingungkan ramai pihak.

Siapa sebenarnya berbohong dalam isu ini. Datuk Seri Anwar pula mahu jawatan Azmin di PKNS dikembalikan malah anggap beliau masih Ahli Lembaga Pengarah PKNS kerana pemecatannya tidak sah. 

Mengulas mengenai campurtangan Anwar dalam isu perlucutan jawatan Azmin dari PKNS, Abdullah berkata sesiapun boleh memberi pandangan terutama Ketua Umum.

"Ketua Umum melihat ini sebagai satu perkara remeh yang perlu diselesaikan segera kerana benda ini kecil dan tidak mendatangkan persoalan mengangkat martabat yang lebih besar isunya. Tetapi kalau dibiarkan begini ia akan menjadi parah," katanya.

Namun Abdullah berkata beliau bersetuju dengan pendapat Anwar bahawa mana mungkin seorang pengurus besar boleh melucutkan jawatan seorang ahli lembaga pengarah.

"Luar biasa dan tak masuk akal. Jadi penganiayaan terhadap Azmin satu contoh yang kita tak boleh kompromi. Jawatan Azmin perlu diberikan semula kerana kontraknya habis pada 2015.

"Saya tak nampak perlucutan jawatan Azmin sebagai satu peralihan atau mengemaskinikan pentadbiran kerana dia ahli lembaga pengarah.

"Saya tak mahu cakap panjang. Yang penting, kembalikan jawatan Azmin, Othman dan Norita."

Dalam pada itu tidak kurang menarik dan menjadi tandatanya ramai ialah apa game yang Azmin dan penyokongnya sedang main untuk adakan himpunan itu dan tunjuk solidariti pada PKNS.

Pelik bukan...ini mengenangkan kenyataan asal Khalid kata Othman yang tidak mahu Azmin lagi. Kalau betul begitu sepatutnya Azmin dan penyokongnya patut marah pada PKNS bukan Khalid..(Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1539 hrs on January 22,2014.

'Berkas banduan perlu mohon visa'

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN 
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memasuki negara Jepun kerana beliau tidak mematuhi prosedur dan peraturan imigresen iaitu mengemukakan visa perjalanan berikutan statusnya sebagai bekas banduan.

Pejabat Kedutaan Jepun di Malaysia hari ini memaklumkan, walaupun Jepun telah mengambil keputusan memansuhkan permohonan visa sejak tahun lalu, namun peraturan itu masih ditetapkan ke atas mana-mana bekas banduan.

Setiausaha Kedua pejabat Kedutaan Jepun, Takaharu Suegami berkata, Anwar gagal mengemukakan visa perjalanan seperti yang diperuntukkan oleh negara itu di bawah Perkara 5 (iv), Akta Pengiktirafan Pelarian dan Kawalan Imigresen.

Berdasarkan akta itu, larangan berkenaan mengambil kira sesiapa yang disabitkan atas suatu pelanggaran mana-mana undang-undang atau peraturan Jepun, atau mana-mana negara lain, dan telah dijatuhi hukuman penjara selama setahun atau lebih, atau suatu penalti yang setara.

"Hanya orang biasa tidak perlu menggunakan visa, pesalah masih memerlukan visa. Sekiranya Anwar telah menulis surat kepada kita sebelum ke sana, berkemungkinan besar pihak kedutaan dapat membantu beliau memasuki Jepun.

"Beliau telah melanggar undang-undang yang telah diperuntukkan, masalah ini timbul kerana beliau tidak mengikut prosedur yang betul. Ini bukan konspirasi atau campur tangan mana-mana tangan ghaib," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun melarang Anwar daripada memasuki negara itu selain meminta beliau pulang semula ke Malaysia.

Anwar seperti biasa menuding jari kepada kerajaan dengan mendakwa larangan itu dikuatkuasakan kononnya selepas pihak berkuasa Jepun mendapat aduan terbaharu mengenai beliau daripada Wisma Putra. 

Bagaimanapun Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan yang mengaitkan Wisma Putra terlibat dalam larangan itu atau pihaknya memiliki 'kuasa' untuk mempengaruhi negara luar adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Tambah Takaharu, Anwar pernah datang ke Jepun pada 2011 dan 2012 namun ketika itu beliau mematuhi arahan yang ditetapkan (Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.59 am on January 22,2014..

Monday, January 20, 2014

Khusrin sahkan Azmin kekal gugur lembaga pengarah PKNS

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Timbalan Presiden PKR,
Mohamed Azmin Ali kekal
 digugurkan daripada jawatan
 Ahli Lembaga Pengarah 
PKNS.Gambar fail.
JANUARY 21, 2014 Kerajaan negeri Selangor hari ini menegaskan bahawa Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali kekal digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan tidak pernah dilantik kembali, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Beliau berkata, surat Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar pada 16 Januari lalu yang mengatakan PKNS menarik balik pengguguran tersebut juga adalah tidak benar. 

"Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan pengurus besar PKNS dalam surat yang bertarikh 16 Januari 2014 itu adalah tidak benar.

"Kerajaan negeri Selangor tidak pernah mengarahkan PKNS supaya menarik semula surat penamatan perkhidmatan Mohamed Azmin yang bertarikh 8 Januari 2014 tersebut," kata Khusrin dalam satu kenyataan hari ini, di Shah Alam.

Media semalam melaporkan Azmin menerima surat mengatakan surat pengguguran beliau yang diterima pada 8 Januari adalah "tidak mengikut prosedur."

Mohammed Khusrin berkata, kerajaan negeri itu juga sedang menyiasat perkara berkenaan bagi merungkai dan mengelakkan kekeliruan.

"Isu ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang akan diadakan pada hari Rabu, 22 Januari 2014 ini.

"Pengurusan PKNS juga sudah diminta untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," katanya.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam memindahkan Othman dan Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek serta-merta ke SUK meskipun kontrak Othman hanya akan tamat pada 31 Januari ini.

"Saya meminta kepada semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak sahih berkenaan isu ini sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan membuat keputusan," kata Khusrin. - 21 Januari, 2014.(The Malaysian Insider).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 12.56 am opn January 21,2014.

Polis buru lelaki menyamar polis untuk menyamun

HULU LANGAT 20 Jan. - Polis sedang memburu seorang lelaki yang bertindak menyamun pengguna motosikal selepas menyamar sebagai anggota polis di Bandar Baru Bangi di sini baru-baru ini.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun itu sedang diburu polis kerana telah banyak melakukan kes samun setelah memperdayakan mangsa dengan meniru tindakan anggota polis memeriksa orang awam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, sekurang-kurangnya terdapat dua kes serupa yang dilaporkan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Katanya, dalam kejadian terbaharu kelmarin, seorang lelaki kerugian RM1,300 selepas disamun ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sini.

"Mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan telah disamun selepas suspek menahan motosikal yang dinaikinya. Selepas memeriksa kad pengenalan mangsa, suspek menuduh lelaki itu dipengaruhi dadah.

"Walaupun mangsa tidak mengaku bersalah namun lelaki yang menyamar polis itu menggertak mahu menahan suspek dan membawanya ke balai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ab. Rashid memberitahu, mangsa yang bimbang ditahan bersetuju untuk mengikutinya dan mereka berdua beriringan menuju ke satu lokasi yang didakwa suspek menuju ke balai polis.

"Namun sampai ke suatu destinasi, suspek mengarahkan mangsa memberhentikan motosikal dan merampas wang tunai, telefon bimbit serta kunci motosikalnya.

"Mangsa diarahkan untuk menunda motosikalnya ke balai polis namun suspek akhirnya memecut laju meninggalkan mangsa," katanya.

Jelas beliau, polis kini sedang mengerakkan usaha untuk mencarinya dan meminta orang ramai tidak terpedaya dengan modus operandi suspek yang masih lagi bebas.( Utusna online-Jenayah).Posted by abnmulya /Bakar Ningal.blogspot.com at 12.29 am on January 21,2014.