Monday, January 20, 2014

Polis buru lelaki menyamar polis untuk menyamun

HULU LANGAT 20 Jan. - Polis sedang memburu seorang lelaki yang bertindak menyamun pengguna motosikal selepas menyamar sebagai anggota polis di Bandar Baru Bangi di sini baru-baru ini.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun itu sedang diburu polis kerana telah banyak melakukan kes samun setelah memperdayakan mangsa dengan meniru tindakan anggota polis memeriksa orang awam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, sekurang-kurangnya terdapat dua kes serupa yang dilaporkan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Katanya, dalam kejadian terbaharu kelmarin, seorang lelaki kerugian RM1,300 selepas disamun ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sini.

"Mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan telah disamun selepas suspek menahan motosikal yang dinaikinya. Selepas memeriksa kad pengenalan mangsa, suspek menuduh lelaki itu dipengaruhi dadah.

"Walaupun mangsa tidak mengaku bersalah namun lelaki yang menyamar polis itu menggertak mahu menahan suspek dan membawanya ke balai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ab. Rashid memberitahu, mangsa yang bimbang ditahan bersetuju untuk mengikutinya dan mereka berdua beriringan menuju ke satu lokasi yang didakwa suspek menuju ke balai polis.

"Namun sampai ke suatu destinasi, suspek mengarahkan mangsa memberhentikan motosikal dan merampas wang tunai, telefon bimbit serta kunci motosikalnya.

"Mangsa diarahkan untuk menunda motosikalnya ke balai polis namun suspek akhirnya memecut laju meninggalkan mangsa," katanya.

Jelas beliau, polis kini sedang mengerakkan usaha untuk mencarinya dan meminta orang ramai tidak terpedaya dengan modus operandi suspek yang masih lagi bebas.( Utusna online-Jenayah).Posted by abnmulya /Bakar Ningal.blogspot.com at 12.29 am on January 21,2014.

No comments: