Monday, January 20, 2014

Curi berliaan : 'Orang dalam' jadi dalang

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Siasatan polis percaya kes curi sebentuk cincin berlian bernilai RM5.2 juta di pusat jualan eksklusif di Bukit Bintang, Khamis lalu, didalangi oleh 'orang dalam'.

Sumber berkata, ini berikutan lokasi pameran itu eksklusif dan dikawal ketat. Katanya, hasil pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jualan itu mendapati cincin berlian tersebut begitu mudah dicuri suspek.

"Pencuri dewasa dilihat hanya berperanan menarik perhatian pekerja pusat jualan itu sahaja manakala kanak-kanak ditugaskan mencuri pula dikesan mengambil kunci di dalam laci, seterusnya membuka tempat simpanan berlian itu.

"Apabila diperhatikan, kunci itu sebenarnya disimpan di dalam laci yang tidak berkunci dan kanak-kanak itu tahu kunci mana yang diperlukan untuk membuka tempat simpanan berlian.

"Mereka dilihat tidak berusaha langsung. Berdasarkan itu, polis juga tidak menolak kemungkinan 'orang dalam' terlibat dalam kes itu terbabit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, sebentuk cincin Yellow Diamond bernilai RM5.2 juta dilaporkan dicuri sekumpulan warga asing. oleh sekumpulan warga asing termasuk seorang kanak-kanak perempuan di sebuah galeri jualan barang kemas eksklusif di Bukit Bintang di sini.

Kumpulan yang terdiri daripada seorang lelaki, tiga wanita termasuk seorang yang sedang sarat mengandung serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 12 tahun dipercayai merupakan pencuri profesional dan mahir dalam aktiviti jenayah berkenaan.

Galeri yang berpangkalan di London itu baru dibuka November lalu dan berdasarkan rekod, barangan kemas dipamerkan bernilai tinggi serta menjadi pilihan golongan orang kenamaan termasuk mendiang Puteri Diana dan isteri Putera William, Kate Middleton.

Sumber seterusnya berkata, pihak polis sehingga kini masih belum menemukan sebarang petunjuk positif yang mampu membawa kepada penahanan kumpulan terbabit.

Katanya, pihak polis telah menghantar wajah suspek kepada polis antarabangsa (Interpol) untuk dibandingkan dengan kes-kes kecurian seumpama itu di luar negara.

"Kita belum mendapat sebarang maklumat tentang suspek namun polis telah menghantar setiap butiran suspek termasuk rakaman CCTV kepada Interpol untuk dibuat perbandingan (kes jenayah sama di negara lain).

"Jika ada, mungkin jenayah itu dilakukan oleh kumpulan yang sama kerana polis percaya mereka merupakan pencuri profesional yang datang ke sini untuk mencuri," katanya.(.Utusan online-Jenayah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.12 am on January 21,2014.

No comments: