Wednesday, January 22, 2014

Khalid -Azmin: Yang tersurat telah didedah.....Mari baca yang tersirat

RABU, 22 JANUARI 2014 21:58
Oleh: ROSLI ISMAIL 
(Dari Agenda Daily). 
Khalid dan Azmin

Meneliti satu per satu surat-surat rasmi serta minit mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diedar oleh pejabat Menteri Besar Selangor Rabu mengenai isu jawatan Azmin Ali di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) jelas Tan Sri Khalid Ibrahim boleh 'cuci tangan'.

Rasanya masuk mahkamah mana pun beliau boleh lenggang kangkong. Kalau ikut surat-surat itu yang memberi kronoloji dari awal hingga terkini isu itu...diatas kertas nampaknya semua ikut peraturan.

Memang betul tidak ada sepatah pun ayat dalam semua surat sulit itu yang sebut beliau arah Azmin 'dipecat' atau lebih tepat khidmatnya tidak disambung.

Pejabat Khalid mengedarkan semua surat itu yang diubah status rahsia, sebagai menepati janjinya baru-baru ini.

Namun dalam arina politik orang biasanya lebih gemar teropong apa yang tersirat berbanding apa yang tersurat.

Ini kita bercakap dalam konteks hubungan Khalid dan Azmin yang semua orang tahu tidak begitu ngam. 

Mengunakan lojik akal sebenarnya jika soal lantikan Ahli Lembaga Pengarah PKNS ini ditangani secara 'baik-baik' antara mereka berdua...isu ini pasti tidak berbangkit.

Kenapa dan mengapa ia jadi begitu? Untuk pendekkan cerita agar tidak berbelit-belit cuba fikir Khalid ialah Menteri Besar PKR Selangor manakala Azmin ialah Pengerusi Perhubungan PKR negeri.

Memang masalah besar kalau bos pentabiran negeri dengan bos politik negeri tidak sehaluan.

Bayangkan jika hubungan mereka berdua cantik ,mesra dan erat dan saling boleh ' helo-helo' pagi petang siang malam.

Ini merujuk kepada salah surat minit mesyuarat Exco dibawah tajuk ulasan Pejabat Menteri Besar memberitahu : Azmin telah mengembalikan kemudahan-kemudahanya yang diterima...maka sesuai untuk dikaji semula kedudukannya (sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS).

(Difahamkan kemudahan yang dimaksudkan ialah Azmin telah memulangkan kereta rasmi PKNS sebelum PRU13.

Al-kisahnya beliau dikatakan pulangkan kerana tidak mahu pegang kemudahan itu atas status 'caretaker goverment' menjelang pilihanraya.

ni dijadikan alasan untuk buat andaian beliau sudah tidak berminat...maka perlu kaji semula kedudukannya) 

Ketika itu mesyuarat Exco berkenaan sedang timbang samada hendak melantik semula ADUN PAS Iskandar Samad,ADUN DAP Teresa Kok dan ADUN PKR Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah. 

Dalam minit itu di bawah tajuk syor Pejabat Menteri Besar bertulis : Mereka bertiga dikekalkan jawatan ATAU diganti dengan calon lain yang sesuai.

Pada mesyuarat Exco seterusnya keputusan dibuat.Dalam minit yang tertera Iskandar (PAS) dilantik semula,Teng Chan Kim (DAP) ganti Teresa Kok manakala bagi wakil PKR yang sebelum ini dipegang Azmin...bertulis 'akan ditentukan kemudian'.

Lanjutan dari mesyuarat Exco itu cabutan dari minitnya telah dipanjangkan kepada Pengurus Besar PKNS Othman Omar.

Membaca ayat ' akan ditentukan kemudian' inilah yang dikatakan membuatkan beliau mengandaikan Azmin tidak dilantik semula.

Ini mendorong Othman menulis surat rasmi kepada Azmin pada 8 Januari 2014 memberitahu perkhidmatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS ditamatkan mulai 4 Disember 2013.

Surat Othman itu yang mencetuskan kontroversi ini. Seperti semua orang sudah tahu ini yang akhirnya buat beliau kena ' tendang' ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Setiausaha Kerja PKNS Norita Mohd Sidek sementara siasatan isu ini dibuat.

Norita kena tindakan kerana 'pandai-pandai' keluar kenyataan media esoknya menjelaskan keputusan berhentikan Azmin dibuat oleh mesyuarat Exco dan bukan oleh PKNS (yakni Othman).

Ini lanjutan dari kenyataan Khalid sehari sebelum itu yang dakwa Azmin diberhentikan kerana Othman tidak mahu beliau.

Siapa yang tidak terkejut dan melompat mendengar kenyataan Menteri Besar begitu. Soalnya bolehkah Othman dipersalahkan kerana membuat andaian mesyuarat Exco putuskan Azmin diberhentikan?

Dari segi teknikal kesilapan beliau ialah menulis surat rasmi kepada Azmin hanya bersandarankan cabutan minit mesyuarat Exco dan tidak rujuk kepada Menteri Besar dulu.

Hakikat di depan mata sudah terang lagi bersuluh kedudukan Azmin ketika itu memang kabur. Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri tidak langsung sebut namanya sebagai orang yang akan ditentukan kemudian itu. 

Kalau mengikut ayat itu siapa saja orang lain boleh dilantik Ahli Lembaga Pengarah PKNS sebagai wakil PKR.

Tentunya semua bertanya kenapa kedudukan Azmin dibiar 'ding dong' begitu oleh Khalid. Dari segi teknikal Khalid boleh cuci tangan kerana tiada ayat spesifik sebut beliau atau mesyuarat Exco putuskan Azmin diberhentikan.

Sebaliknya cuba letak diri anda dalam kedudukan Azmin. Apa perasaan diperlakukan bagai gantung tak bertali begitu...lebih-lebih lagi ia melibatkan imej dan maruah beliau ialah ketua parti PKR negeri Selangor dan Timbalan Presiden PKR. 

Ini yang dikatakan ada benda ' tak kena' yang tersirat disebalik semua surat-surat rasmi itu. Pelik bukan...kenapa Khalid yang sering bertemu Azmin dalam pelbagai mesyuarat rasmi dan parti tidak terbuka mulut bertanya secara peribadi misalnya " Azmin...betul ke you tidak berminat lagi jadi Ahli Lembaga Pengarah PKNS...I nak adakan mesyuarat Exco nak bincang lantikan semula".

Bayangkan jika perbualan itu berlaku...mungkin Azmin jawab, " Ya Tan Sri saya masih berminat'. Maka tidak timbul soal andaian dan sebagainya bila Azmin memulangkan kemudahan PKNS dulu. Dan lojiknya...jika Azmin tidak berminat hendak dilantik semula...tentu surat Pengurus Besar PKNS yang beritahu beliau diberhentikan tidak jadi isu.

Semua ini berbalik mencerminkan tahap hubungan yang jelas tak OK antara kedua mereka hingga tak boleh duduk sembang santai hal sekecil itu pun.

Dalam sepak terajang politik semua orang ada 'game'. Siapa lebih bijak dalam silat kuntau itu...Khalid atau Azmin?

Ada pemerhati yang menilai pada pusingan ini Khalid boleh senyum manakala Azmin kena terus memendam rasa.

Apapun Azmin bukan kecik anak....dan Khalid tidak boleh fikir beliau dapat tidur nyenyak dibuai mimpi indah.

Dari segala yang tersirat ini...siapa saja boleh buat andaian tersendiri mengenai gelora dalaman antara kedua mereka sekalipun isu ini mungkin selesai dan Azmin ' terpaksa' dilantik semula.-22/1/2014(Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.59 am on Jan,23,2014.

No comments: