Tuesday, January 21, 2014

'Berkas banduan perlu mohon visa'

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN 
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memasuki negara Jepun kerana beliau tidak mematuhi prosedur dan peraturan imigresen iaitu mengemukakan visa perjalanan berikutan statusnya sebagai bekas banduan.

Pejabat Kedutaan Jepun di Malaysia hari ini memaklumkan, walaupun Jepun telah mengambil keputusan memansuhkan permohonan visa sejak tahun lalu, namun peraturan itu masih ditetapkan ke atas mana-mana bekas banduan.

Setiausaha Kedua pejabat Kedutaan Jepun, Takaharu Suegami berkata, Anwar gagal mengemukakan visa perjalanan seperti yang diperuntukkan oleh negara itu di bawah Perkara 5 (iv), Akta Pengiktirafan Pelarian dan Kawalan Imigresen.

Berdasarkan akta itu, larangan berkenaan mengambil kira sesiapa yang disabitkan atas suatu pelanggaran mana-mana undang-undang atau peraturan Jepun, atau mana-mana negara lain, dan telah dijatuhi hukuman penjara selama setahun atau lebih, atau suatu penalti yang setara.

"Hanya orang biasa tidak perlu menggunakan visa, pesalah masih memerlukan visa. Sekiranya Anwar telah menulis surat kepada kita sebelum ke sana, berkemungkinan besar pihak kedutaan dapat membantu beliau memasuki Jepun.

"Beliau telah melanggar undang-undang yang telah diperuntukkan, masalah ini timbul kerana beliau tidak mengikut prosedur yang betul. Ini bukan konspirasi atau campur tangan mana-mana tangan ghaib," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun melarang Anwar daripada memasuki negara itu selain meminta beliau pulang semula ke Malaysia.

Anwar seperti biasa menuding jari kepada kerajaan dengan mendakwa larangan itu dikuatkuasakan kononnya selepas pihak berkuasa Jepun mendapat aduan terbaharu mengenai beliau daripada Wisma Putra. 

Bagaimanapun Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan yang mengaitkan Wisma Putra terlibat dalam larangan itu atau pihaknya memiliki 'kuasa' untuk mempengaruhi negara luar adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Tambah Takaharu, Anwar pernah datang ke Jepun pada 2011 dan 2012 namun ketika itu beliau mematuhi arahan yang ditetapkan (Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.59 am on January 22,2014..

No comments: