Sunday, January 26, 2014

Guru paksa murid makan rumput ditukar

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Guru lelaki Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, Sungkai yang bertindak melampau dengan menggantung loceng dan memaksa dua murid memakan rumput telah ditukarkan ke sekolah lain.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti hasil siasatan Jabatan Pendidikan Perak yang mendapati adalah tidak wajar guru berkenaan mendenda murid sedemikian rupa yang boleh dianggap keterlaluan.

"Tindakan guru berkenaan juga didapati telah memberikan imej yang kurang baik kepada Kementerian Pendidikan dan sehubungan itu kementerian telah bersetuju untuk mengenakan tindakan menukarkan guru tersebut ke sekolah lain.

"Pengarah Pelajaran Perak mengeluarkan surat amaran tegas kepada guru berkenaan kerana bertindak secara keterlaluan mendenda murid yang tidak menyempurnakan kerja sekolah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam insiden Khamis lalu, guru lelaki berusia 26 tahun itu menggantung loceng dan memaksa dua murid Tahun Empat iaitu Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith memakan rumput kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

Guru berkenaan hanya menghukum dua murid tersebut sedangkan terdapat dua lagi murid berbangsa Cina yang turut gagal menyiapkan kerja sekolah namun dikecualikan atas alasan kesihatan.

Dalam pada itu, Dr. Khair berkata, dua murid berkenaan masih di peringkat sekolah rendah dan kaedah bimbingan adalah paling wajar dan sesuai.

"Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa isu murid tidak buat kerja sekolah bukan merupakan kesalahan disiplin. "Perkara itu adalah sebahagian daripada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan harus ditangani menerusi bimbingan secara berterusan," ujarnya.(Utrusan online-Dalam Negeri).Posted b y abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 8.10 am on January 27,2014.

No comments: