Wednesday, January 22, 2014

PKR Selangor nafi putuskan Azmin ganti Khalid sebagai MB

SHAH ALAM 22 Jan. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menafikan membuat keputusan sebulat suara supaya Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar negeri ini.

Menurut Setiausaha Majlis Pimpinan PKR negeri, Amirudin Sahri, pihaknya tidak pernah membangkit dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dalam mesyuarat parti itu yang diadakan hari ini. 

“Perkara itu (lantik Azmin sebagai Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid) tidak timbul dan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor.

“Cuma yang kita bincangkan ialah mengenai hal-hal berkaitan pentadbiran antaranya mengenai industri air di Selangor dan juga pengurusan anak-anak syarikat berkaitan dengan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus kononnya Majlis Pimpinan PKR Selangor membuat keputusan untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dan digantikan dengan Azmin.

Sebelum ini, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid sebagai Menteri Besar melibatkan beberapa isu tertentu.

Kali terakhir Azmin mengkritik pentadbiran Abdul Khalid ialah pada 28 November lalu apabila beliau menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari 2014, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.

Selain itu, Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor sebelum ini juga dilaporkan bertindak melalui kelab itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu. 

Malah, difahamkan pergeseran antara Azmin dan Abdul Khalid telah bermula sejak 2010 lagi apabila Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Pengerusi PKR Selangor daripada Abdul Khalid. 

Namun, isu membabitkan Azmin dan Abdul Khalid itu dikatakan semakin memuncak apabila Timbalan Presiden PKR itu disingkirkan daripada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sehingga menyebabkan Pengurus Besar dan Setiausaha syarikat milik kerajaan negeri itu ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkuatkuasa serta-merta pada 20 Januari lalu.

Tindakan itu dibuat ekoran pertikaian arahan membabitkan penyingkiran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS yang Abdul Khalid sebelum ini menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan arahan penyingkiran tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan PKNS menerusi Setiausaha syarikat itu, Norita Mohd. Sidek yang memaklumkan penamatan Azmin dibuat oleh kerajaan negeri selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November lalu yang disahkan pada 4 Disember.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.23am on Jan,23,2014.

No comments: