Thursday, January 23, 2014

Kabinet putuskan tidak campur tangan isu rampasan Bible

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kabinet semalam memutuskan tidak akan campur tangan dalam isu rampasan Bible versi bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah di Selangor kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun Kabinet tetap berpegang kepada penyelesaian 10 perkara yang ditandatangani pada April 2011 berhubung penggunaan kalimah Allah, isu tersebut perlu diselesaikan di peringkat negeri.

"Lebih kurang kita ulas isu ini lebih baik. Kerajaan Persekutuan tetap komited kepada penyelesaian 10 perkara dan itu adalah jelas.

"Namun, apabila melibatkan undang-undang negeri, terserah sepenuhnya kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan majlis agama Islam negeri," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pandangan Strategik Malaysia Ke-16 2014 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini hari ini.

Menurut Khairy, Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak konsisten mahu meredakan pertikaian berhubung kalimah Allah supaya tidak merebak.

"Kita perlu faham dalam kes Persatuan Bible Malaysia, kes diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Sudah tentu, penyelesaian 10 perkara tidak boleh menggantikan enakmen atau undang-undang negeri," katanya.

Menurut Khairy, walaupun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merujuk kepada perjanjian pada 2011 itu, pihak berkuasa agama itu tidak dapat berbuat demikian kerana terikat dengan enakmen negeri.

"Dalam hal ini, kerajaan Selangor perlu berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)," ujarnya. 

Menjawab soalan kenapa negara ini tidak boleh mempunyai undang-undang yang seragam di peringkat Persekutuan dan negeri, Khairy berkata, Malaysia merupakan sebuah negara Persekutuan dan bukannya negara bersatu.

"Ini bermakna, lain negeri, lain undang-undangnya. Kita perlu menghormati bahawa sesetengah negeri mempunyai undang-undang sendiri.

"Sebagai contoh, apabila kita pergi ke Sabah dan Sarawak, kita perlu bawa MyKad dan apabila hendak bekerja di sana, kita perlu dapatkan permit kerja," katanya.

Sementara itu, beliau enggan mengulas mengenai desakan 11 Ketua Pemuda UMNO bahagian di Pahang supaya Ketua Pemuda UMNO negeri itu, Shahruddin Ahmad digantikan dengan orang lain.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted  by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at11.05am on Januarty 24,2014.

No comments: