Thursday, August 31, 2017

Kuasa raja-raja bantu survival politik Melayu-Wan Juaidi

30 hb.Ogos 217 @ 3.00am.

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Kuasa raja-raja Melayu perlu dihormati dan dipertahankan kerana pihak istana mampu menentukan survival politik orang Melayu.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Pengamal dan penyelidik undang-undang negara, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peristiwa pelantikan menteri besar di tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 jelas menunjukkan bahawa kuasa sultan dan raja bukan sahaja untuk mempertahankan ketuanan Melayu.

“Tetapi dengan kuasa yang ada pada kesemua sultan dan raja (di tiga negeri terbabit), baginda dapat menyelesaikan kemelut politik pada masa itu.

“Kuasa dan budi bicara Sultan Perak misalnya, baginda mempertahankan jawatan menteri besar mestilah seorang Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian semasa menyampaikan syarahan bertajuk Kepimpinan Tradisional Malaysia Dalam Sistem Kerajaan Monarki Berparlimen sempena Majlis Syarahan Za’ba Siri Keenam anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Profesor Dr. Zakri Abdul Hamid; Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM, Profesor Dr. Puteri Roslina Wahid serta Timbalan Ketua Setiausaha Pe­ngurusan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Azimuddin Bahari.

Menurut Wan Junaidi lagi, kini terserah kepada orang Melayu bagi menentukan kuasa mereka dapat dipertahankan di negara ini dengan mempertahankan kuasa sultan dan raja-raja.

“Kita bukan mahukan sultan itu atau istananya tetapi kedaulat­an sultan-sultan dan raja-raja yang telah dipisahkan daripada memiliki kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman. 

“Tetapi menurut mana-mana perjanjian yang termeterai dengan pihak British sebelum ini, kedaulatan dan keistimewaan sultan-sultan dan raja-raja tidak pernah dilucutkan, jadi ini yang kita patut pertahankan.

“Malah undang-undang di Britain sekalipun tidak boleh melepasi Istana Buckingham tanpa perkenan diraja,” katanya.

Beliau turut menafikan kuasa monarki menyebabkan sesebuah negara menjadi tidak membangun dan maju.

“Kalau dikembalikan kuasa ke­pada raja terutama dalam institusi Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, kita ma­sih boleh maju. Kerajaan boleh memajukan negara, monarki ti­dak akan menghalang,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis sama, Wan Junaidi menyampaikan sumbangan peribadi seba­nyak RM50,000 untuk Tabung Syarahan Za’ba.( Uusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ningal.blogspot.com.at 2303 hrs on Ogos31,2017.

No comments: