Tuesday, August 8, 2017

TIADA CAMPUR TANGN DALAM SIASATAN URUS NIAGA MATA WANG ASING

MOHD. SIDEK HASSAN
NORLIZA  ABAS
09 OGOS 2017 @ 3.00 AM.

PUTRAJAYA 8 Ogos – Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an memberi jaminan tidak akan membenarkan sebarang campur ta­ngan daripada pihak-pihak yang tiada kaitan dengan prosiding itu sepanjang pendengarannya di Mahkamah Rayuan.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, suruhanjaya itu hanya akan memberi tumpuan kepada terma-terma rujukan yang telah ditentukan bagi membolehkannya menyempurnakan siasatan dan seterus­nya menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober ini.

Menurut beliau, panel bersidang diberi kuasa memperoleh dan menerima segala keterangan serta menyoal saksi-saksi sepanjang tempoh 10 hari pendengarannya di mahkamah terbuka bermula 21 Ogos ini.

“Oleh kerana kekangan masa tiga bulan yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, suruhanjaya akan memfokus kepada terma-terma rujukan dan tidak akan membenarkan campur tangan daripada pihak yang tiada kaitan dengan prosiding,’’ ujarnya ketika membacakan ucapan pembukaan pada prosiding pertama siasatan itu yang berlangsung di Istana Kehakiman hari ini.

Sebelum itu, Mohd. Sidek menolak permohonan dua pe­mimpin pembangkang untuk menggugurkan beliau dan seorang lagi ahli panel, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon daripada menganggotai suruhanjaya tersebut.

Beliau berpendapat, suruhanjaya siasatan itu ditubuhkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan pihaknya berpuas hati agar pro­sidingnya diteruskan.

Mohd. Sidek turut berpendirian, penglibatan aktif peguam-peguam pemerhati kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pendengaran prosiding adalah tertakluk kepada kebenaran panel bersidang dan persoalan yang dikemukakan harus relevan dan berada dalam ruang lingkup terma-terma rujukan.

Sebelum prosiding bermula kira-kira pukul 9.34 pagi, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr. Mahathir memaklumkan, pihaknya berhasrat mengemukakan permohonan bertulis bagi mencabar komposisi keanggotaan panel suruhanjaya itu dalam usaha menggugurkan Mohd. Sidek dan Choo Boon.

Beliau berkata, Mohd. Sidek dan Choo Boon pernah terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian BNM dan tidak sewajarnya menganggotai panel tersebut kerana kedua-duanya telah memberikan pandangan awal sebelum suruhanjaya itu dibentuk.

Selain itu, Mohamed Haniff Khatri memohon secara bersama agar beliau dan R. Sivarasa yang mewakili Anwar dibenarkan terlibat secara aktif dalam pendengaran prosiding.

Bagaimanapun, pegawai pengendali, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim memaklumkan, tiada peraturan berhubung komposisi keanggotaan yang melarang ahli yang pernah terlibat dalam pasukan petugas khas, menganggotai panel suruhanjaya.

Menurut Suhaimi, permohonan itu tidak berasas kerana peguam-peguam pemerhati gagal membuktikan dakwaan berlaku ketidakadilan jika kedua-duanya menganggotai panel tersebut.

Beliau selanjutnya menjelaskan, isu pelanggaran keadilan tidak timbul kerana ahli-ahli suruhanjaya tidak bertindak sebagai hakim yang membuat sesuatu keputusan, sebaliknya bertindak sebagai sebuah badan untuk mengumpul fakta.

Sehubungan itu, beliau berpendirian, tiada alasan bagi panel itu membenarkan permohonan peguam-peguam pemerhati untuk menangguhkan sidang dan pihaknya selaku pengendali bersedia membantu suruhanjaya tersebut menyoal saksi-saksi yang akan memberi keterangan.( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1323 hrs on Ogos 09,2017.

No comments: