Monday, August 14, 2017

NAJIB SERTAI 10,000 UMAT ISLAM DOA UNTUK MALAYSIA

NAJIB TUN RAZAK hadir dalam Program Doa Untuk Malaysia 2017 sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putra, Presint 1, Putrajaya, malam tadi. MINGGUAN/RASHID MAHFOF 

13 OGOS 2017 @ 12.00 PM.

PUTRAJAYA 12 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini me­n­yertai lebih 10,000 umat Islam yang membanjiri Dataran Putra, Presint 1, di sini pada program Doa Untuk Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 dengan membawa tema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.

Perdana Menteri yang berbaju Melayu berwarna coklat muda serta bersongkok tiba di Masjid Putra pada pukul 8.40 malam bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama pada majlis yang memasuki tahun keempat itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Program tahunan kerjasama antara Kementerian Komunika­si dan Multimedia, Radio Tele­vi­syen Malaysia (RTM), Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) itu merupakan program pembukaan kepada semua acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017. 

Program itu dimulakan de­ngan solat maghrib berjemaah di Masjid Putra disusuli solat isyak dan kemudiannya solat hajat yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abdul Manaf Mat. Kemuncak acara adalah ba­ca­an doa yang dipimpin oleh Jamil Khir bagi memohon penyatuan rakyat Malaysia agar tidak lemah dalam menghadapi serangan adu domba pihak tertentu.

Pengisian doa itu termasuk memohon agar rakyat Malaysia dilindungi dari segi sosial, ekonomi dan politik mahupun daripada bencana alam serta huru-hara. Ia diikuti dengan alunan selawat serta qasidah yang dipimpin oleh pendakwah terkenal dari Indonesia iaitu Habib Syech Abdul Qadir Assegaf dan disertai kumpulan nasyid tempatan In-Team, Al-Mawlid serta kumpulan hadrah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Program diteruskan dengan sesi tazkirah kemerdekaan oleh penceramah terkenal, Datuk Bad­-
lishah Alauddin. Antara tujuan penganjuran program tersebut adalah bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan nilai keagamaan melalui pengisian program berteraskan Islam selain mampu menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat yang cintakan agama, bangsa dan negara.( Utusan online).Posted  by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1521 hrs on Ogos 14,2017.

No comments: