Tuesday, October 9, 2012

Bantah pertukaran pegawaji kerajaan bukti pembangkang ganggu pentadbiran negeri

Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR, 9 Okt — Parti pembangkang dianggap cuba mencampuri pentadbiran kerajaan Kedah dengan mendesak tindakan diambil terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rasli Basir, ekoran keputusan beliau menukar pegawai kerajaan negeri. 

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tindakan meletakkan sepanduk mendesak Rasli meletak jawatan adalah suatu tindakan biadap yang memalukan kerajaan Kedah.

“Amat biadap serta tidak menghormati pegawai tertinggi kerajaan negeri apabila mereka melakukan tindakan sedemikian. Mereka menghina beliau seolah-olah Rasli tidak ada maruah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Bashah mengulas tindakan sekumpulan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu yang berterusan membantah pertukaran Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu Ahmad Fisol Md Nor ke Sungai Petani, termasuk dengan mengadakan demonstrasi.

Terkini, mereka menaikkan sepanduk di beberapa kawasan, mendesak Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengambil tindakan terhadap Rasli serta mahu Rasli melepaskan jawatan beliau.

Sehubungan itu, Ahmad Bashah mendesak tindakan mengadakan demonstrasi dan meletakkan sepanduk itu dihentikan dan mereka perlu meminta maaf kepada Rasli.

"Isu yang saya lihat di sini adalah mereka bukan setakat menghina setiausaha kerajaan negeri, malahan seperti telah melancarkan perang terhadap pegawai tadbir kerajaan Kedah (KCS),” katanya. Ahmad Bashah berkata Rasli sebagai pegawai kerajaan, melakukan apa yang terbaik bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan, serta memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

 “Apa yang mereka hendak bisingkan sangat?, Pertukaran pegawai kerajaan adalah perkara biasa dalam pentadbiran. Siapa mereka itu hendak beritahu setiausaha kerajaan negeri, yang orang ini boleh tukar dan orang itu tidak boleh tukar?

“Tidak perlu sesiapa campur tangan urusan pegawai kerajaan negeri, biarkan pegawai kerajaan laksanakan tugas mereka dengan penuh profesional,” katanya sambil menyatakan bahawa tindakan mengadakan demonstrasi dan bantahan mengecam seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah berlaku sebelum ini di sini. — Bernama( The Malaysian Insider).,Posted by abnmulya at 1610hrs on Oktober 09,2012.

No comments: