Susan Loone
7:40PM Okt 5 2012
BN Pulau Pinang mengutuk syarat pembayaran dalam masa 30 hari untuk tanah di Taman Manggis sebagai diskriminasi kerana sebuah pemaju swasta dibenarkan menyelesaikan pembayaran mereka untuk penjualan tanah yang lain dalam tempoh lima tahun.
Ketua Pemuda Umno negeri, Shaik Hussein Mydin berkata syarat ketat yang dikenakan oleh kerajaan negeri itu menunjukkan seolah-olah Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak berniat untuk menjual tanah tersebut untuk projek perumahan awam dan masih lebih mahu ia digunakan oleh sebuah hospital swasta.
Beliau mempersoalkan apakah niat Lim untuk memberi tempoh masa yang singkat kepada pihaknya untuk membuat pembayaran bagi pembelian tanah tersebut.
Shaik Hussien berkata adalah normal dalam sebarang transaksi untuk membayar satu peratus terlebih dahulu, dan kemudiannya menjelaskan baki sembilan peratus, manakala selebihnya diselesaikan dalam masa yang diberikan.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Shaik Hussein mendakwa dalam penjualan sebidang tanah di Bayan Mutiara milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang - sebuah agensi pembangunan negeri - kepada sebuah pemaju swasta - syarikat tersebut dibenarkan untuk menyelesaikan pembayarannya dalam tempoh lima tahun.
Sebaliknya, kata Shaik Hussein, pihaknya yang mahu membina perumahan awam, telah diminta membuat pembayaran dalam masa 30 hari.
Shaik Hussein juga bertanya sama ada majlis exco negeri itu telah bersetuju untuk menjual 1.1 ekar tanah di sepanjang Jalan Zainal Abidin kepada BN Pulau Pinang.
Beliau menegaskan bahawa BN serius mengenai perkara itu dan bersedia untuk membelanjakan RM50 juta untuk keseluruhan projek perumahan awam tersebut, di mana RM25 juta adalah untuk pembinaan.(Malayasiakini).Posted by abnmulya at 1.50 am on October 06,2012.
No comments:
Post a Comment