KUALA LUMPUR 4 Okt. - Perbuatan rasuah dan tidak berakhlak menjangkau lebih jauh daripada penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang berkhidmat dengan kerajaan dan perkhidmatan awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar kiri).
Beliau berkata jika rasuah dianggap sebagai perbuatan yang benar-benar tidak beretika dan bermoral, ia tidak dapat dihentikan dengan hanya menumpukan kepada penjawat awam dan ahli politik yang menyalahgunakan kuasa mereka, tetapi perlu dilihat lebih jauh daripada itu.
"Sering kali apabila orang bercakap mengenai "rasuah" perkara pertama yang terlints di fikiran mereka ialah berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang berkhidmat dalam kerajaan dan perkhidmatan awam.
"Apa yang sering diabaikan ialah hakikat bahawa rasuah menjangkau ke luar daripada lingkungan itu. Apa sepatutnya kurang menyenangkan kita ialah bagaimana perbuatan rasuah dan tidak berakhlak ini telah meresap jauh ke dalam struktur moral semua lapisan masyarakat," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Persatuan Pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) ke-6, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden IAACA Profesor Cao Jianming, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.
Najib berkata memahami norma-norma dan nilai-nilai sosial yang menjadi pegangan sesebuah masyarakat itu memainkan peranan penting dalam menangani masalah rasuah.
Beliau memetik kata-kata hikmah ahli falsafah Yunani Plato iaitu perasaan tanggungjawab akan dapat membantu mencegah rasuah dan untuk memupuk nilai-nilai itu bukannya tugas yang mudah.
"Pentingnya memupuk norma-norma dan nilai-nilai sosial yang sesuai adalah amat kritikal dalam usaha memerangi rasuah. Bagaimana orang berkelakuan - dan keputusan-keputusan yang menjurus kepada kelakuan ini - sering bergantung kepada persepsi mereka terhadap orang lain dalam persekitaran sosial mereka," kata Najib.
Oleh yang demikian, beliau berkata adalah amat penting bagi individu yang mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk mempamerkan nilai-nilai yang mereka harap akan diteladani oleh pengundi mereka.
"Ini menjadikan tingkah laku mereka yang memegang jawatan sebagai pemimpin, sama ada dalam politik, kerajaan, perniagaan, masyarakat, pendidikan dan mungkin paling kritikal, di rumah, amat penting dalam menanamkan nilai-nilai yang betul dan asas-asas tingkah laku beretika," kata Perdana Menteri. -
BERNAMA(Utusan online-dalam neger).Postyed by abnmulya at23.40 p-m on Octyober 04,2012.
No comments:
Post a Comment