Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my
Ahli Pas Pasir Gudang membuat bantahan secara aman berhubung isu kalimah Allah di Masjid Jamek Taman Cendana, Pasir Gudang, dekat Johor Bahru, semalam. - utusan/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 16 Feb. - Sekumpulan 20 individu mendakwa diri mereka ahli Pas Bahagian Pasir Gudang hari ini mengadakan demonstrasi aman membantah tindakan pemimpin pakatan pembangkang dari DAP dan PKR yang terus mempersoalkan keputusan Majlis Syura Ulama Pas berhubung isu kalimah Allah.
Perhimpunan aman di pekarangan Masjid Jamek Taman Cendana, Pasir Gudang dekat sini berlangsung kira-kira 10 minit dengan para peserta membawa beberapa poster mengecam kepimpinan pakatan pembangkang.
Wakil kumpulan berkenaan, Abd. Razak Mansur melahirkan kekecewaan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh; Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana masih berdegil enggan menerima keputusan melarang penggunaan kalimah terbabit oleh orang bukan Islam.
"Pemimpin Pas tidak seharusnya mengikut rentak kepimpinan pembangkang yang lain tetapi perlu menghormati keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam.
"Kami juga tidak ralat jika Pas membuat keputusan keluar daripada pakatan pembangkang ini yang jelas menunjukkan DAP dan PKR tidak hormat kita dan hanya memperkudakan kami sebagai petugas ketika pilihan raya," katanya kepada pemberita.
Pada 8 Januari lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pendirian pakatan pembangkang yang menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.
Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga pemimpin tersebut mengubah pendirian masing-masing setelah mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain.
Abd. Razak berkata, sudah lebih setengah abad Pas berdiri di atas kaki sendiri dan sehingga kini kerjasama di antara DAP dan PKR tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada parti itu
"Isu ini sangat penting dan kami begitu terasa jika terus dipermainkan. Kami mahu Pas bersikap tegas bagi menangani hal ini," katanya.(Utusan online-politik).
No comments:
Post a Comment