Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak bersama-sama Muhyiddin Yassin dan Shahrizat Abdul Jalil menyanyikan lagi Barisan Nasional pada majlis pelancaran Gelombang Biru Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan harapan tinggi terhadap jentera Wanita BN yang disifatkannya sebagai golongan yang tidak pernah putus asa dalam menentukan kemenangan parti.
Perdana Menteri turut yakin kemampuan jentera Wanita BN yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan gerak kerja sewaktu pilihan raya, sekali gus telah 'membirukan' landskap politik tanah air.
Najib yang kelihatan bersemangat dan berada dalam mood gembira ketika berucap turut mengusik Wanita BN dengan memberikan isyarat istimewa.
"Saya tahu kita semua sedang menunggu (pilihan raya umum) isyarat, isyarat saya petang ini, teruskan usaha kita. Wanita akan jadi jentera yang boleh mempengaruhi rakyat agar yakin dengan masa depan kita. Ini kerana kita (BN) menepati janji.
"Kita dah jelas dah, tak perlu tunggu lagi, sudah dekat dah, nak pecah dah. Oleh itu, BN meletakkan harapan yang tinggi kepada Wanita BN, saya amat hargai jasa baik wanita dalam menentukan kemenangan kepada BN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Gelombang Biru Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas.
Najib berkata, BN telah melakukan transformasi yang jauh lebih baik berbanding pembangkang yang hanya pandai melakukan reformasi dan demonstrasi.
Sehubungan itu, kata beliau, Wanita BN perlu menyedarkan rakyat mengenai apa yang dilakukan mereka dan perancangan kerajaan BN yang tersusun rapi demi kemakmuran masa depan negara.
"Agenda transformasi kita dikagumi dunia. Saya beritahu ini kerana saya baru balik dari Davos, Switzerland sempena Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF). Di sana Malaysia menjadi negara yang bersinar dengan kisah transformasi. Saya tidak dengar pula tentang Buku Jingga.
"Tak boleh pakai buku itu, semuanya karut-marut belaka. Bila saya turun padang saya tanya rakyat adakah mereka mahu Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) menjadi Perdana Menteri?
Adakah mereka mahu Kit Siang (Penasihat DAP, Lim Kit Siang) jadi Perdana Menteri? Adakah mereka mahu Guan Eng (Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng) jadi Perdana Menteri? Adakah mereka mahu Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jadi Perdana Menteri?
"Wanita kata tidak mahu, mereka jawab tidak mahu, saya juga dengar khabar, Majlis Syura Ulama Pas pun tidak mahu (Anwar). Bila mereka sudah tak mahu, mereka lari kepada DAP," katanya.
Sementara itu, Shahrizat dalam ucapannya memberitahu, Wanita BN bersedia menjadi benteng dan tulang belakang kepada parti dalam usaha membawa kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO bertekad akan 'membirukan' semua rumah di Malaysia menerusi gerakan Gelombang Biru yang dilancarkan hari ini.
"Wanita BN yang merupakan ibu kepada rakyat negara ini mempunyai detik hati bahawa perjuangan parti ini akan mendapat keberkatan.
"Wanita BN bersyukur kerana Perdana Menteri tidak pernah lupa kepada wanita, begitu juga kepada anak-anak muda. Kita semua hidup aman, negara stabil dan bersatu meskipun berbilang kaum," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 12.23 am on February 09,201.
No comments:
Post a Comment