Friday, February 22, 2013

Lim Guan Eng bagi RM100 pada binatang ke Tok Guru???...PM dan TPM kata Nik Aziz hina rakyat

JUMAAT, 22 FEBRUARI 2013 17:56  
Ini yang orang kata kes main cakap dan rembat tanpa tengok kiri kanan ikut suka hati dia. Sepatutnya sebelum lepas cakap,Datuk Nik Aziz Nik Mat buat lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang.

Di negeri Lim Guan Eng itu pasti beliau akan dapat lihat di beberapa jalan utama di terpampang billboard besar program kerajaan negeri bagi duit RM100 setahun kepada wargaemas.

Itu baru Pulau Pinang.Selepas itu elok pergi jumpa Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor. Jangan lupa manifesto pakatan pembangkang di Selangor sebelum pilihanraya umum Mac 2008 janji nak bagi elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma dan sebagainya.

Apa yang riuh di Selangor kebelakangan ini cuma janji-janji itu tidak ditunaikan. Dalam bab ini Tok Guru kena bagi kuliah pada Khalid apakah hukum hakam Islam keatas mereka yang tidak tunai janji.

Jumaat...Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengulas 'fatwa' Nik Aziz yang cetuskan kemarahan ramai menyamakan penerima bantuan BR1M seperti haiwan.

Rabu Menteri Besar Kelantan itu kata di Kota Bharu usaha kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.

 Najib berkata "apa beza dengan janji dia di Selangor. Elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma...itu kan pemberian kewangan juga?

Apa beza dengan BR1M? Jadi takkanlah Nik Aziz nak kutuk bila kita buat dan bila pakatan buat dia tak kata apa-apa?. "Itu pendirian tidak konsisten kalau itu (BR1M) dikira amalan tidak baik dan disama dengan haiwan...kenapa dia tak kata apa-apa bila pakatan janji...janji itu pula tidak ditunaikan," .

Perdana Menteri kata demikian kepada wartawan selepas menghadiri perjumpaan khas dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Majlis Tertinggi komponen parti BN negeri di Kuching. Bagi beliau kenyataan Musyridul Am PAS itu menghina rakyat dan amat keterlaluan.

Mengulas lanjut, Najib berkata amalan memberi bantuan kepada rakyat sudah lama dilaksanakan kerajaan secara subsidi tidak langsung, manakala BR1M bersifat lebih fokus kepada kumpulan sasaran.

"Setiap tahun kerajaan belanja lebih kurang RM30 bilion untuk subsidi, kita beri dalam bentuk subsidi secara tidak langsung ...orang tak layak seperti orang kaya pun terima dan berlakunya ketirisan seperti penyeludupan serta penjualan diesel di luar sempadan dan sebagainya.

"Jadi kita pilih beri subsidi diesel secara lebih fokus lagi, dan cara lebih fokus ini termasuk BR1M dimana kita tentukan mereka betul-betul layak mengikut tafsiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya mereka akan terima bantuan kewangan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan melihat BR1M bukan sahaja bantuan kepada rakyat, tetapi turut akan mempergiatkan kegiatan ekonomi di sesebuah kawasan.

"Bantuan kewangan ini akan cetus kegiatan ekonomi di kawasan tempatan, ia beri pekedai serta peruncit manfaat dan rakyat (penerima) sendiri punya kuasa untuk tentukan cara untuk belanjakan duit itu.

"Jadi ini tidak ada bezanya dengan amalan di sesetengah negara lain seperti Singapura dimana mereka kreditkan kepada akaun CPF untuk bantu rakyat, di Indonesia pun ada juga pemberian secara langsung kepada rakyat," katanya.

Sementara itu Muhyiddn ketika bercakap dengan wartawan selepas mendengar taklimat pilihan raya umum (PRU) ke-13 oleh pengerusi-pengerusi penyelaras BN Sabah di Kota Kinabalu anggap tindak tanduk Nik Aziz tidak bersifat seorang pemimpin Islam.

 “Saya hairan dan takjub bagaimana seorang menteri besar dan pemimpin Pas yang sepatutnya berpegang kepada prinsip agama Islam boleh membuat satu kenyataan yang begitu menghina penerima bantuan, yang saya tahu jumlahnya amat ramai,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri kata penerima bantuan tersebut merupakan kumpulan yang dikenal pasti kerajaan benar-benar memerlukan bantuan dan pemberian BR1M dapat membantu mengubah kehidupan penerima ke arah masa depan lebih selesa.

Sementara itu Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUITM) dalam satu kenyataan menyifatkan kenyataan Nik Aziz itu sebagai satu permainan politik yang amat keterlaluan.

Katanya kenyataan politik Musyridul Am PAS itu mengguris hati dan menghina rakyat dari golongan berpendapatan rendah yang menerima bantuan tersebut.

"PAUITM turut rasa terhina dengan kenyataan Nik Aziz seolah-olah penerima sebagai lembu dan ayam. Kebanyakan kami dahulu adalah dari keluarga miskin dari kampung terpencil di luar bandar," katanya.

"Kami amat bersyukur, hasil dari dasar kerajaan membantu rakyat miskin, ITM/UITM ditubuhkan. Tanpa UITM ke mana kah kami semua hari ini," katanya.

Zaini berkata PAUITM tidak berhasrat untuk campur tangan dalam budaya politik yang hendak diamalkan oleh mana-mana pemimpin politik termasuk Nik Aziz.

"Tetapi janganlah apa jua usaha murni untuk membantu rakyat golongan miskin yang dituntut oleh Islam juga hendak dijadikan modal politik kerana golongan rakyat tersebut memang sepatutnya dibantu," katanya.

"Daripada tujuh juta rakyat penerima BR1M yang diperhina oleh Nik Aziz, tidak sedikit dalam kalangan mereka terdiri daripada ahli PAS dan parti pembangkang lain yang tidak didiskriminasi oleh pemberi," katanya.


Katanya tiada mana-mana pihak yang berhemah mahu mempertikai pemberian BR1M kepada rakyat dari berlainan parti politik sekalipun atas kesedaran bahawa ia adalah suatu usaha murni memfokus pemberian subsidi kepada golongan yang lebih berhak menerimanya.

 Zaini berkata sepatutnya semua pihak harus menyokong apa jua usaha murni bagi mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung rakyat miskin lebih-lebih usaha jangka panjang untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat.-22/2/2013(Agenda daily).Posted by abnmulya a2225 hrs on February 22,2013.

No comments: