Thursday, February 7, 2013

Najib PM terbaik- Muhyiddin

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

KANGAR 7 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada pemimpin pembangkang mampu menandingi kehebatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang berjaya mentadbir negara menjadi lebih makmur menerusi pelbagai agenda transformasi dilakukan.
Datuk Seri Najib Tun Razak PM Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan itu bukan untuk berkempen tetapi berdasarkan penilaian beliau sebagai orang yang paling dekat bekerja dengan Najib dalam pentadbiran negara.

Katanya, Najib merupakan seorang Perdana Menteri yang hebat pada zamannya dan berupaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

"Ini soal pokok. Saya bagi kenyataan begini bukan kerana nak kempen, tetapi hendak menyatakan yang hak dan membawa risalah benar. Kalau siapa tidak bersetuju dengan saya, cabar saya. Kalau saya tidak betul cabar saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pertemuan dan dialog bersama pimpinan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, guru, imam seluruh negeri ini di Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini. Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kelulusan berjumlah RM2.75 juta bagi beberapa projek demi kemudahan masyarakat di negeri ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka terbukti berjaya membawa keamanan serta kemakmuran yang melimpah ruah kepada negara meskipun diakui banyak lagi perlu dilakukan.

Muhyiddin TPM  Malaysia.
Kata beliau, dasar dan program yang dilaksanakan di setiap peringkat serta secara menyeluruh meletakkan Malaysia pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 termasuk kejayaan mewujudkan iklim ekonomi yang baik.

"Kajian badan-badan antarabangsa meletakkan Malaysia antara 10 negara paling berdaya saing di dunia untuk membuat pelaburan dan tempat ketiga memiliki nilai-nilai hidup lebih baik serta selamat didiami bakal pesara serta pesara warga asing," kata beliau.

Berikutan itu, kata Timbalan Perdana Perdana, BN memerlukan mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk terus mentadbir membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan terbilang.

 "Apa yang kita usahakan selama ini telah berjaya tetapi ada kelemahan yang boleh kita perbaiki untuk sampai ke sana. Sebab itu kita hendak mandat lagi sekali. Bagi kita peluang, kita nak buat lebih banyak lagi.

"Transformasi telah jelas, kita hendak terus majukan negara. Biar keadaan sekarang terus kekal dan menjadi lebih baik daripada dahulu dan lebih tinggi kemakmuran negara," ujar beliau.(Utusan online-Berita Utama).
Posted by abnmulya at 1529 hrs on Fwebruary 08,2013.

No comments: