Abdul Latiff Ahmad (kanan) beramah mesra dengan warga tentera darat di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Mac - Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali menggunakan bekas jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai 'alat' untuk mempengaruhi dan menghakis keyakinan rakyat seperti yang dilakukan pembangkang.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, ini kerana BN merupakan parti yang patuh kepada etika profesionalisme ATM iaitu hanya menzahirkan rasa taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara.
"Elemen pertahanan negara tidak boleh dipolitikkan oleh mana-mana parti.
"Amatlah penting rakyat menilai dengan sewajarnya kehadiran serta agenda bekas jeneral yang memperlekeh anggota keselamatan negara di pentas politik sedangkan dalam BN tidak pernah wujud amalan seumpama itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan sesi dialog bersama warga tentera darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Latiff berkata, selagi tindak-tanduk bekas jeneral itu tidak menjurus ke arah mengganggu-gugat sistem pertahanan negara, rakyat tidak perlu bimbang dan terpengaruh dengan tuduhan mereka.
"Bagaimanapun, tidak seharusnya taktik dan strategi dalam mana-mana operasi diperlekeh, apa lagi dihina kerana situasi sewaktu kelima-lima bekas jeneral berkenaan bertugas adalah berbeza di samping musuh juga tidak sama dengan situasi sekarang," katanya.
Baru-baru ini Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein dalam satu ceramah di Taman Serai Perdana, Bagan Serai, Perak memperlekeh aset pertahanan negara termasuk mempersoal sama ada radar pertahanan negara berfungsi atau sebaliknya.
Md. Hashim dipetik sebagai berkata: "Kalau dari mula pengganas dapat masuk, kita tidak dapat kesan, tidak ke bodoh? Apa maknanya ini? Selepas itu aset dan kapal kita yang dibeli begitu mahal, mana dia?
Atau kita beli dengan mahal tetapi dapat aset murah?''
Sebelum itu, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, Laksamana Pertama (B) Imran Abd. Hamid dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad serta Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab turut memperlekeh kemampuan anggota keselamatan semasa berpidato di pentas ceramah anjuran pembangkang.(Utusan on line-politik).Posted by abnmulya at 2.22 am on March 23,2013.
No comments:
Post a Comment