Wednesday, April 3, 2013

PM,MENTERI KABINET URUS KERAJAAN SEMENTARA

KUALA LUMPUR 3 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan menteri Kabinet akan meneruskan tugas serta menjalankan segala urusan pentadbiran negara sebagai kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan sementara secara amnya bertanggungjawab menjaga kebajikan, kesejahteraan dan kestabilan rakyat serta negara buat sementara waktu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat kembali bersidang selepas pilihan raya umum.

 Walau bagaimanapun katanya, kuasa kerajaan sementara adalah terhad kerana hanya melibatkan tugasan rutin harian tanpa melibatkan sebarang pembentukan dasar atau polisi baharu.

"Kerajaan sementara ini melaksanakan tugas rutin sebagaimana perjalanan harian kementerian termasuk melaksanakan apa-apa yang diputuskan Kabinet sebelum ini.

"Bukan bermaksud semua kerja terhenti setelah Parlimen dibubarkan, cuma tidak boleh membuat keputusan atau dasar besar serta apa-apa yang melibatkan perbelanjaan besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Wan Junaidi, kerajaan sementara juga tidak boleh mengikat sebarang perjanjian antarabangsa serta perundingan besar antara negara dengan negara.

Katanya, perkara tersebut telah diamalkan sejak merdeka dan ternyata berjaya memberi kesan positif kepada negara.

"Istilah kerajaan sementara tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi merupakan kelaziman yang dilakukan di negara-negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen," katanya.( Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 11.46 am on April 04,2013.

No comments: