Friday, April 26, 2013

PRU-13: MAICCI TERANGKAN JASA NAJIB KEPADA KAUM INDIA.


T.mohan ( tiga dari kana) bersama K.K.Eswaran ( dua dari kanan) melancarkan VCD Najib Hrapan Kaum India yang akan diearkan kepada kaum India seluruh  Malaysia dalam majlis di Klang malam ini-Utusan/Saharuddin Abdullah.


KLANG 27 April - Bagi menunjukkan sokongan padu kepada Barisan Nasional dan Datuk Seri Najib Tun Razak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) mengedarkan 1.5 juta keping cakera padat video (VCD) rakaman bertajuk Najib Harapan Kaum India di seluruh negara bermula semalam.

Pengerusi MAICCI, Datuk K.K Eswaran berkata, VCD dalam bahasa Tamil berdurasi 3.9 minit itu merupakan usaha MAICCI untuk menerangkan kepada masyarakat India tentang apa yang telah dilakukan BN dan Perdana Menteri untuk mereka.

Beliau berkata, VCD itu turut menyelitkan lagu yang antara lainnya menceritakan sejarah kedatangan kaum India ke Tanah Melayu sehingga selepas mencapai kemerdekaan serta siri pembohongan yang telah dilakukan pakatan pembangkang dan pemimpin mereka kepada rakyat di negara ini.

"Kita berharap VCD yang mula diedarkan di Selangor ini dapat menerangkan kepada rakyat Malaysia tentang jasa dan bantuan yang telah dilakukan BN dan Najib kepada masyarakat India.

"Kita juga harap mereka (rakyat) sedar telah ditipu oleh pakatan pembangkang selama ini dan berharap mereka tidak tertipu kali kedua," katanya selepas melancarkan VCD tersebut bersama calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas, T. Mohan malam tadi.

Majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Batu 4, Kampung Jawa itu diserikan dengan persembahan konsert yang dihadiri hampir 300 orang.

Sementara itu, Mohan ketika ditemui berkata, pihaknya akan membantu MAICCI mengedarkan VCD tersebut kepada seluruh penduduk berketurunan India di DUN Seri Andalas.

"Kita amat menghargai usaha MAICCI ini dan yakin ia dapat membantu meningkatkan kepercayaan masyarakat India terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan BN," ujarnya. - UTUSAN ONLINE(Posted by abnmulya at 4.10 am on April 27,2013.

No comments: