Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
ENTRI terbaru Perdana Menteri bertajuk Empat Tahun Membina Masa Depan Yang Lebih Cerah dalam blog beliau.
KUALA LUMPUR 5 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya terus bersama-sama Barisan Nasional (BN) bergerak ke hadapan dan menikmati tempoh sepenggal lagi dengan penuh kemajuan dan kemakmuran.
Menurut beliau, meskipun pelbagai kejayaan telah berjaya dicapai sepanjang tempoh BN mentadbir negara sejak Pilihan Raya Umum 2008, namun masih banyak lagi yang perlu diusahakan bersama rakyat dan kerajaan.
"Oleh itu, saya memerlukan sokongan anda. Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan, ahli keluarga, atau rakan sekerja yang anda rasa ingin mengetahui kemajuan kita setakat ini, saya harap anda memberitahu mereka tentang blog dan laman web www.1malaysia.com.my," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaharu di blognya di www.1malaysia.com.my bertajuk Empat Tahun Membina Masa Depan Yang Lebih Cerah.
Dalam entri kali ini, Perdana Menteri menggariskan lima kejayaan utama BN selepas empat tahun beliau mengambil alih pentadbiran negara semalam, melalui pelbagai inisiatif yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bebas dan makmur.
Katanya, kejayaan pertama adalah melalui langkah kerajaan melaksanakan konsep 1Malaysia yang tidak mengetepikan mana-mana kaum atau kumpulan masyarakat melalui inisiatif seperti perumahan, penjagaan kesihatan, makanan dan pendidikan berkualiti pada harga berpatutan.
\Selain itu kata beliau, Malaysia berjaya mara ke hadapan ketika negara lain bergelut dengan masalah ekonomi global.
"Sebagai bukti, ekonomi negara berkembang pada kadar purata 5.6 peratus tahun lalu dan membawa banyak peluang pekerjaan yang memakmurkan rakyat," katanya.
Menurutnya, kerajaan juga telah melakukan transformasi politik seperti memberikan kelonggaran terhadap penyertaan pelajar dalam politik, memerdekakan undang-undang berkenaan media dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang selari dengan perkembangan zaman.
Dasar kerajaan dalam Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang mempromosikan keamanan sejagat pula kata beliau telah mendapat pujian daripada ramai pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Perdana Menteri Britain, David Cameron.
"Akhir sekali, izinkan saya menyentuh tentang penglibatan kerajaan dengan rakyat.
Kami telah membuka pelbagai saluran dalam talian yang baharu untuk memudahkan komunikasi antara rakyat dengan kerajaan.
"Melalui Facebook dan Twitter, saya bukan sahaja telah berpeluang untuk berkongsi maklumat, malah dapat juga mendengar suara hati rakyat. Apa yang nyata, era 'kerajaan tahu segalanya' kini telah berakhir," katanya. - UTUSAN ONLINE-pilihanraya(POSTED BY ABNMULYA AT 3.48 AM ON APRIL 06,2013
No comments:
Post a Comment