Thursday, April 4, 2013

ZAHID HAMIDI AKAN PASTIKAN ANWAR KALAH DI PERAK.

Oleh Md Izwan April 04, 2013

KUALA LUMPUR, 4 April — Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kalah sekiranya ketua pembangkang itu bertanding di negeri Perak.

Menurut Zahid (gambar) yang juga naib presiden Umno, Ketua Umum PKR itu mengumumkan untuk bertanding semalam di Perak tidak akan memberi sebarang perubahan kepada pengundi di negeri itu.

“Kita akan pastikan dia kalah,” katanya kepada media merujuk kepada Anwar selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

“Saya pasti dia akan bertanding dikerusi yang bukan dimenangi oleh Barisan Nasional di Perak. Apa-apa pun, kita akan lawan tetap lawan,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun, Zahid mengakui jentera BN perlukan melakukan kerja luar biasa untuk mempertahankan negeri yang dirampas mereka selepas berlaku Krisis Perlembagaan 2009 apabila 4 ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat (PR) telah melompat parti dan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

“Kemenangan akan memihak kepada BN Perak... tapi untuk majoriti dua pertiga kita perlukan kerja yang luar biasa,” kata beliau yang juga merupakan ahli parlimen Bagan Datoh.

Menurut beliau lagi, pengundi dikalangan masyarakat Melayu dan India menampakkan peningkatan sokongan kepada BN tetapi masalah utama yang perlu mereka perbaiki ialah dalam mendapatkan sokongan masyarakat Cina.

 “Pengundi Melayu dan India telah memberikan sokongan yang kuat kepada BN, namun kita berusaha untuk mendapatkan pengundi-pengundi Cina yang lebih lagi berbanding dahulu,” katanya.

Semalam, Anwar dalam sidang media secara terbuka menyatakan tentang hasratnya untuk bertanding di negeri Perak, langkah yang dilihat untuk menguatkan peluang PR merampas kembali negeri tersebut ekoran krisis pada 2009 lalu.

Namun, Anwar berkata perlu mendapat restu daripada pengundi di kawasan parlimennya Permatang Pauh sebelum membuat keputusan muktamad. Pada Pilihan Raya 2008, PR menang 31 kerusi Adun berbanding BN menang 28 kerusi.

Kerajaan PR hanya bertahan selama 11 bulan sahaja iaitu dari Mac 2008 hingga Februari 2009. Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak secara rasminya dibubarkan semalam selepas Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah menandatangani watikah pembubaran DUN semalam.(THE MALAYSIAN INSIDER).POSTED BY ABNMULYA AT 1.32 AM ON aPRIL 06,2013.

No comments: