Monday, May 27, 2013

Demokrasi Bukan Alasan Liberalisasi Media-Tifatul Sembiring

MEDAN (Indonesia) 27 Mei - Media tidak sepatutnya menjadikan demokrasi sebagai alasan untuk kebebasan media secara tidak bertanggungjawab yang mampu mengancam hubungan antara Indonesia dan negara serantau.

Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Tifatul Sembiring berkata, media sebaliknya perlu memainkan peranan di barisan hadapan bagi memacu Indonesia ke arah kemajuan serta mengukuhkan perpaduan antara rakyat dan menjadi pemangkin untuk menghasilkan lebih banyak kerjasama antara negara.

"Kita lihat di media begitu banyak sekali orang pintar memecah-belah bangsa ini dan mengancam hubungan baik kita dengan negara luar, tetapi begitu sikit orang yang mahu berusaha memperkukuh dan menyatukan bangsa Indonesia.

"Kebebasan ekpresi jangan disalah guna, demokrasi bukan liberalisasi cara salah. Jangan sembarang kita ucapkan kata, kita bebas berbicara tetapi ada cara dan platform yang betul," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pekan Informasi Indonesia (PIN) 2013 di sini. Seperti Hari Bertemu Pelanggan di Malaysia, PIN 2013 merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Informatika negara itu bagi merapatkan rakyat dengan pemerintah Indonesia.

Tifatul berkata, Indonesia tidak akan memperoleh kebaikan sekiranya rakyat berpecah-belah dan hubungan baik dengan negara jiran terancam akibat liberalisasi media yang tidak bertanggungjawab.

"Saya mahu bertanya juga adakah ini akan memberi kekuatan bagi pihak yang mahu kita berpecah-belah? Mulut adalah pedang, sekiranya salah kita ucapkan bisa menebas kepala anda sekalian.

"Tidak bisakah (bolehkah) kita berbicara secara baik, berdiskusi dengan baik. Isi dengan hal positif dengan tidak berpecah-belah antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan kepada parti politik serta kelompok tertentu di Indonesia supaya tidak terlalu terikat dengan kumpulan mereka sahaja dan mula membuka pintu mereka kepada orang luar.

"Parti politik atau satu kelompok sahaja tidak akan dapat memajukan Indonesia, kita perlukan hubungan dengan rakyat seluruh negara serta negara jiran tetangga bagi bersama memajukan Indonesia.


 "ICT (teknologi komunikasi maklumat) perlu digunakan sepenuhnya bagi tujuan ini selain bicara kita secara bersemuka. Dengan pembangunan pesat ICT di Indonesia, kita percaya akan maju ke hadapan seiring dengan negara jiran tetangga kita," katanya. - BERNAMA (Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 12.13 am on Mei 28,2013.


No comments: