Friday, May 24, 2013

Jangan Politikkan Tangkapan Di Bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR 24 Mei - Penahanan beberapa pemimpin dan aktivis propembangkang di bawah Akta Hasutan 1948 oleh pihak polis tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Penganalisis undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, pihak polis mempunyai kuasa menahan sesiapa sahaja yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta tersebut. Menurut beliau, rakyat mempunyai kebebasan untuk bersuara, namun ada had atau batasan.

"Kalau ada kecenderungan menghasut, itu satu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948. "Tidak timbul isu kerajaan bersikap kuku besi kerana setiap kes di bawah akta tersebut disiasat mengikut prosedur sama seperti kes-kes jenayah lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang mengecam penahanan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan beberapa individu propembangkang iaitu Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Tamrin Abdul Ghafar serta Adam Adli Abdul Halim di bawah Akta Hasutan 1948.

Mereka mendakwa penahanan itu mempunyai motif politik walaupun pemimpin dan aktivis propembangkang terbabit secara terbuka menghasut rakyat menyertai perhimpunan jalanan bagi menggulingkan kerajaan.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, penahanan di bawah Akta Hasutan 1948 seharusnya dilihat daripada aspek perundangan.

Jelas beliau, tindakan polis di bawah akta tersebut adalah untuk memastikan negara berada dalam keadaan aman dan stabil. "Ucapan yang berbaur perkauman dan hasutan amat merbahaya serta boleh mengancam keselamatan negara," ujarnya.

Tambah Shamrahayu, semua pihak hendaklah memahami pihak polis boleh menguatkuasakan Akta Hasutan 1948 memandangkan akta tersebut masih belum dimansuhkan.

 Katanya, tindakan yang diambil oleh pihak polis di bawah akta itu adalah sah selagi mengikut prosedur yang ditetapkan oleh perundangan.(Utuasan online-).Posted by abnmulya at 11.38 am on Mei 25,2013.


No comments: