Monday, May 27, 2013

Semua Petisyen Selesai Dalam Tempoh asetahun-Ketua Hakim

KUANTAN 27 Mei - Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yakin semua petisyen yang dikemukakan parti politik akan dapat diselesaikan dalam tempoh setahun termasuklah kes-kes rayuan yang bakal dibuat di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan pengalaman pihaknya sebelum ini iaitu semua petisyen dapat diselesaikan sebelum tempoh tersebut.

"Setakat ini semua petisyen yang dibuat kita dapat selesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan, insya-Allah untuk pilihan raya kali ini mungkin sama juga," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kuantan di Indera Mahkota di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Menurut Arifin, mengikut undang-undang dalam Akta Pilihan Raya, setiap petisyen yang dibuat oleh parti politik perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

"Walau bagaimanapun, selepas hakim membuat keputusan kes-kes petisyen itu, pihak yang terlibat akan membuat rayuan pula ke Mahkamah Persekutuan.

"Namun jika semua berjalan lancar, dalam tempoh satu tahun kita boleh selesaikan segala petisyen pilihan raya ini," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mahu setiap hakim yang bakal mengendalikan kes petisyen tersebut menyediakan diri bagi memastikan kes-kes berkenaan dapat diselesaikan mengikut tempoh yang diperuntukkan undang-undang.

"Jika petisyen tidak diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan, proses membuat keputusan setiap petisyen akan lewat sekali gus tidak mengikut undang-undang," katanya.

Namun jelas beliau, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang petisyen daripada mana-mana pihak parti politik.(Utusan online-polirik).Posted by abnmula at 1306 hrs on Mei 28,2013.


No comments: