Thursday, May 9, 2013

Siasat gerakan didalangi pihak asing-Hasan Ali

Datuk Dr.Hasan Ali,Presiden Jati
KUALA LUMPUR 9 Mei - Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) melahirkan kebimbangan dengan dakwaan terdapat unsur-unsur asing yang menjadi dalang kepada gerakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini bertujuan untuk menghancurkan negara.

Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, klip video yang dipertontonkan dari Baitulmaqdis beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) membuatkan beliau dan Jati bertambah yakin wujudnya dalang-dalang asing tersebut.

"Oleh itu saya meminta pihak berkuasa menyiasat secara mendalam mengenai dakwaan ini termasuk kenyataan-kenyataan dan gambaran-gambaran negatif mengenai Malaysia yang sentiasa diberikan oleh Anwar kepada pihak luar termasuk media-media mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Hasan berkata, tindakan pihak yang tidak mahu mengiktiraf keputusan PRU-13 daripada satu sudut yang lain boleh dikaitkan dengan penderhakaan kepada institusi raja-raja.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu telah pun memperkenankan pelantikan ketua-ketua eksekutif dan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

"Oleh itu tindakan untuk tidak mengiktiraf perkenan ke bawah duli-duli tuanku itu dikhuatiri boleh ditafsirkan sebagai menderhaka kepada institusi raja," katanya.

Menurutnya, tindakan yang telah dan sedang diambil oleh Anwar bersama konco-konconya dengan mengadakan siri perhimpunan untuk membantah keputusan PRU-13 memang sudah dijangka sejak awal lagi.

"Tindakan sedemikian pada analisis saya akhirnya tidak menguntungkan sesiapa. Bahkan ini merupakan tindakan sia-sia dilakukan semata-mata untuk memuaskan kehendak ego dan keinginan melampau untuk menduduki kerusi Perdana Menteri dan seterusnya mentadbir negara ini.

"Lebih malang lagi aktiviti kempen sejak awal-awal lagi jelas menunjukkan berlaku tanda-tanda perpecahan dalam kalangan rakyat khususnya masyarakat Melayu Islam," ujarnya.

Menyentuh isu sama, beliau berkata, terdapat sebahagian kecil rakyat yang bekerja siang dan malam bukan untuk melonjakkan usaha membangunkan negara sebaliknya gembira melihat negara berada di lembah kehancuran.

"Untuk itu saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cinta dan pentingkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup, usah dilayan kerenah dan perancangan jahat Anwar bersama konco-konconya yang sekadar ingin menggunakan rakyat memuaskan nafsu peribadi mereka semata-mata.

"Sebaliknya, bersama-samalah kita saling lengkap melengkapi antara satu sama lain untuk melihat negara ini benar-benar menjadi negara maju dan mendapat keredaan Allah SWT (Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghaffur)," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 9.53 am on Mei 10,2013.

No comments: