Sunday, June 23, 2013

Adidas taja Chelsea RM1.48b

(Dari kiri) David Luiz, Gary Cahill, Fernando Torres dan Oscar memperagakan jersi musim depan Chelsea. - Agensi

LONDON - Jose Mourinho diberikan lampu hijau untuk berbelanja besar membeli pemain selepas Chelsea menandatangani kontrak penajaan dengan Adidas yang bernilai 300 juta pound (RM1.48 bilion).

Tajaan selama 10 tahun itu merupakan rekod dunia yang dimeterai di antara kelab bola sepak dan pengeluar barangan sukan.

Perjanjian tersebut memecahkan rekod tajaan termahal sebelum ini yang bernilai 287 juta pound (RM1.41 bilion) yang ditandatangani oleh Manchester United dan Nike untuk tajaan selama 15 tahun pada tahun 2000.

Ini bermakna, Chelsea tidak lagi terlalu bergantung kepada pembiayaan pemilik kelab, Roman Abramovich untuk perbelanjaan kelab.

Perjanjian sebelum ini di antara Chelsea dengan Adidas ditandatangani pada 2006 dan perbincangan semula pada 2010 dengan nilai tajaan sekitar 20 juta pound (RM99 juta) setahun.

Namun kejayaan dalam Liga Juara-Juara dan Liga Europa serta kepulangan semula Mourinho sebagai pengurus, meningkatkan populariti kelab itu di seluruh dunia. Ketua Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay berkata:

"Perjanjian baru ini mengukuhkan semula keyakinan Adidas terhadap status Chelsea dalam dunia bola sepak."

Ia merupakan perjanjian ketiga minggu ini yang melibatkan kontrak tajaan oleh pengeluar produk sukan selepas Arsenal menandatangani perjanjian 30 juta pound (RM148.2 juta) dengan Puma dan Liverpool dengan kontrak 25 juta pound (RM123.5 juta) dengan Warrior. - Agensi (UTUSAN ONLINE-SUKAN LUAR NEGARA).POSTED BY ABNMULYA AT 2151 HRS ON JUNE 23,2013.

No comments: