Monday, June 3, 2013

DAP,PKR digesa contohi PAS tolak pengganasan politik

KUALA LUMPUR 3 Jun - DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mencontohi sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, Pas yang menolak penggunaan kaedah politik ganas bagi menggulingkan kerajaan.

Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, politik ganas bukan jalan penyelesaian terbaik untuk mengubah kerajaan sebaliknya boleh memberi kesan buruk terhadap perpaduan rakyat dan berpotensi menjejaskan reputasi serta kestabilan negara.

"Seperti yang diutarakan pemimpin Pas semalam, DAP dan PKR juga perlu reda dengan keputusan rakyat dalam pilihan raya lalu dan mengelak daripada menggunakan keganasan untuk mengubah kerajaan.

"Pemimpin DAP dan PKR perlu mengambil perhatian serius terhadap pendirian Pas itu dan mencontohi kematangan pemimpin parti tersebut dalam menangani isu berkenaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed yang menyatakan Pas tidak berminat mencetuskan keadaan huru-hara dan yakin pihak berkuasa akan melakukan yang terbaik bagi menjaga ketenteraman negara.

Menurut Mahfodz, sebarang bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hendaklah dilakukan secara demokratik.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, pakatan pembangkang disaran mencapai kata sepakat menolak keganasan dalam politik sekiranya mereka serius mahukan keamanan.

Jelasnya, Pas perlu bertindak membuka minda pemimpin PKR dan DAP supaya akur dengan keputusan rakyat dan kembali menunaikan tanggungjawab masing-masing.

''Mereka digesa menerima kenyataan dan berhenti mengganggu keamanan negara serta failkan petisyen di Mahkamah Tinggi bagi menyelesaikan rasa tidak puas hati mereka," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 1326 hrs on June 04,2013.

No comments: