Wednesday, June 5, 2013

Dua lagi didakwa penyokong pembangkang hina Agong

KUALA LUMPUR 5 Jun - Pengendali blog Kedah Ke KL (http://kedahkekl.blogspot.com) hari ini meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dua lagi yang didakwa penyokong pakatan pembangkang yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.

Menurut pengendali blog tersebut, dua individu terbabit dikesan menggunakan nama Syed Baniamin dan Wan Azizan. Syed Baniamin dikatakan menulis komen:

 "Text yang dibaca tu siapa tulis? 27 juta rakyat pun akan muntah bila dengar text tu." Wan Azizan seterusnya menulis komen yang bunyinya amat biadab terhadap Seri Paduka:

"Aku pun menyampah tengok Agong berucap.. so what??? teks ditulis orang lain yang bodonya Agong tu baca je.. macam lembu kena cucuk hidung."

Bagaimanapun, semakan terhadap akaun Facebook milik Syed Baniamin hari ini mendapati dua komen tersebut tidak lagi dipaparkan.

Syed Baniamin cuba mengalihkan isu dengan memaparkan gambar-gambar sekumpulan individu berhimpun bagi mendesak Datuk Seri Idris Jusoh dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu pada 2008. 

Pengendali blog Kedah Ke KL juga mendakwa mengenali Syed Baniamin sebagai salah seorang petugas media siber Pas yang membantu kempen calon Pas bagi Parlimen Jerlun, Datuk Ismail Salleh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Tuanku Abdul Halim ketika menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun keputeraan rasmi baginda yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 Jun lalu mahu rakyat negara ini akur dengan keputusan PRU-13 yang telah ditentukan mereka sendiri.

 Sekumpulan pengguna Facebook bertindak biadab terhadap titah ucapan baginda menerusi komen yang dipaparkan pada laman sosial. Ekoran komen biadab itu, seorang wanita yang menggunakan nama Melissa Gooi ditahan polis semalam di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 manakala empat lagi individu lain sedang dikesan untuk membantu siasatan. (Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 11.08 am on June 06,2013.

No comments: