Sunday, June 23, 2013

Hentikan meritokrasi pendidikan

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA 
pengarang@utusan.com.my 
Dr. Ibrahim Abu Shah (kanan) dan bekas Dekan Fakulti Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Tun Abdul Razak, Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid beramah mesra dengan sebahagian pelajar yang menyertai Konvensyen Pendidikan Melayu dan Bumiputera di Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/AZMAN ASMAYATIM 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kementerian Pendidikan diminta mempertimbangkan cadangan memansuhkan amalan meritokrasi dalam sektor pendidikan bagi mengembalikan keadilan kepada pelajar Melayu.

Tokoh pendidik, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, menerusi cadangan itu, kerajaan perlu menyusun semula struktur sistem pendidikan bermula di peringkat prasekolah sehingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau yang juga Presiden Majlis Perundingan Melayu menambah, penstrukturan itu perlu mengutamakan kepentingan pelajar Melayu merangkumi aspek kaedah pembelajaran sehingga kepada peruntukan biasiswa.

"Hari ini meritokrasi telah mewujudkan ketuanan Cina. Tidak ada yang menguntungkan pelajar Melayu. Bayangkan pelajar Melayu di IPT kini hanya kira-kira 35 peratus dan selebihnya kaum Cina.

"Dalam aspek biasiswa pula, pelajar Melayu gagal menjadi dominan dalam merebut biasiswa kerana pada tahun lalu, sejumlah 80 peratus pelajar Cina menerima biasiswa kerana mendapat keputusan cemerlang berdasarkan penetapan kerajaan melalui meritokrasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Konvensyen Pendidikan Melayu dan Bumiputera anjuran Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini hari ini.

Selain Ibrahim, turut bertindak sebagai panel dalam konvensyen itu ialah Presiden Persatuan Pesara Pendidik, Datuk Raof Hussin dan Presiden GPMS, Jais Karim. Sementara itu, Raof berkata, sistem meritokrasi dalam pendidikan tidak diperincikan dengan teliti kerana tidak mengambil kira kesan dan impaknya terhadap pelajar Melayu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengkaji semula sistem meritokrasi tersebut dan mengehadkan kuota pendidikan terutama untuk bukan bumiputera.

 "Selama ini kerajaan terlalu memikirkan kaedah mengambil hati kaum Cina dan India yang kononnya untuk kepentingan negara sehingga sebenarnya telah terlalu lama menganiaya orang Melayu," katanya.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulyaat 1611 hrs on Ju ne 23,2013.

No comments: