Friday, June 7, 2013

HINA AGONG: 3 NGO SERAH MEMORANDUM

KUALA LUMPUR 7 Jun - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara menggesa tindakan tegas diambil terhadap sekumpulan individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi laman sosial Facebook.

NGO berkenaan ialah Barisan Nambikkai Bersatu Malaysia, Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) dan Kelab Sosial dan Kebajikan Insan Cemerlang Selangor.

Memorandum itu diterima Asisten Supritendan Mohamad Jahangir Ali dari Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) kira-kira pukul 11.20 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Presiden Barisan Bersatu Nambikkai, B. Kalaivanar berkata, memorandum itu bagi menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit kerana menghina Yang di-Pertuan Agong serta mempertikai kedudukan institusi diraja.

 "Kami minta polis supaya bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat, dan bukan sekadar merakam percakapan dan membebaskan mereka dengan ikat jamin.

 "Sekiranya polis hanya merakam percakapan dan membebaskan individu terlibat, maka mereka boleh menjadi 'hero' di kalangan golongan tertentu yang anti institusi diraja," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Beliau berkata tindakan sedemikian tidak harus berlaku kerana sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong sepatutnya dihormati dan disanjungi.

Katanya, polis perlu sentiasa mengawasi dan memantau laman sosial seperti Facebook dan Twitter suspaya generasi muda tidak terpesong dengan "racun" yang disemaikan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi laman sosial.

Pada Selasa lepas, pihak berkuasa telah menahan seorang wanita berusia 32 tahun, kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di laman Facebooknya. Bagaimanapun, suspek dibebaskan selepas polis mengambil keterangan pada hari keesokannya.

Sementara itu, di JITRA, Persatuan Bekas 9Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Zon Utara hari ini membuat laporan polis terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Laporan itu dibuat Pengerusinya Zainol Ahmad di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu. Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Zainol berkata kira-kira 400 anggota persatuan itu juga mendesak kerajaan supaya melucutkan kerakyatan individu atau pertubuhan yang menghina Yang Di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

"Kerajaan sekarang tak sepatutnya hanya beri amaran sahaja. Mereka sepatutnya kenakan tindakan setegas-tegasnya," katanya. - BERNAMA(uTUSAN ONLINE-DALAM NEGERI).Posted by abnmulya at 1824 hrs on June 07,2013.

No comments: