Bekas Setiausaha Organisasi DAP bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, sebagai badan yang bertanggungjawab, ROS perlu bebas daripada tekanan dan mampu membuktikan sebarang salah laku dalam pemilihan CEC DAP itu.
Malah, katanya, tekanan Pengerusi DAP, Karpal Singh kepada ROS itu dilihat seolah-olah menunjukkan kepimpinan parti tersebut takut dengan bayang-bayang sendiri.
"Kalau tidak buat salah kenapa hendak takut. DAP yang sering melaungkan perjuangan parti berdasarkan demokrasi dan ketelusan perlu tampil berani membenarkan ROS membuat pendedahan.
"Setiap ahli parti itu layak mengetahui perkara sebenar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Karpal yang meminta ROS berhenti mendedahkan maklumat hasil siasatan yang dijalankan terhadap parti itu sehingga urusan berkenaan selesai.
Beliau turut yakin berlaku kesilapan pada pemilihan CEC DAP Disember lalu. "Cuma Setiausaha Agung, Lim Guan Eng yang bertanggungjawab atas kesilapan ini masih enggan memperbetulkannya.
"Guan Eng mempunyai ego yang tinggi dan sukar untuk mengakui kesilapan yang dilakukan," katanya. Sementara itu, bekas Setiausaha DAP Cawangan Kampung Baru Balakong, Tan Chew Wah berkata, setiap ahli berhak mengetahui apa yang berlaku pada pemilihan CEC lalu.
Katanya, tindakan kepimpinan DAP menghalang ROS mendedahkan maklumat adalah tidak berasas dan takut tembelang mereka akan terbongkar.
"Walaupun benar Guan Eng ada memberitahu kepada setiap ahli mengenai surat daripada ROS itu, saya yakin dia tidak memaklumkan sepenuhnya isi kandungan surat berkenaan," katanya.(UTUSAN ONLINE-POLITIK).POSTED BY ABNMUYA AT 1347 HRS ON JUNE 05,2013.
No comments:
Post a Comment