Monday, June 24, 2013

Koperal Hassan akarab dengan Kiram

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM dan
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

Koperal Hassan Ali Basari dikawal oleh anggota polis di pekarangan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin 

KOTA KINABALU 24 Jun - Pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh mengenai tindakan seorang anggota polis cawangan khas mengadakan beberapa siri pertemuan dengan ketua kumpulan pengganas Kiram, Datu Agbimuddin Kiram sebelum mereka menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu dekat sini pada Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan melalui ucapan pembukaannya dalam perbicaraan kes terhadap Koperal Hassan Ali Basari, 55, di Mahkamah Tinggi di sini berkata, pihaknya juga akan mengemukakan bukti-bukti lisan dan bertulis mengenai hubungan rapat antara tertuduh dan Kesultanan Sulu di selatan Filipina.

"Pihak pendakwa juga akan mengemukakan bukti-bukti menunjukkan tertuduh dengan sengaja tidak menyalur dan memberikan maklumat mengenai rancangan kumpulan pengganas itu untuk menceroboh kepada pegawai atasannya iaitu melanggar tanggungjawab dan tugas hakikinya,'' katanya.

Hakim P. Ravinthran, sedang mendengar perbicaraan kes Hassan yang didakwa dengan sengaja tidak memberikan maklumat kepada pegawai atasannya mengenai rancangan kumpulan pengganas Kiram untuk menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu dekat sini pada Februari lalu.

Hassan, 55, anggota cawangan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang berasal dari Semporna, didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari dan 3 Mac lalu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah IPD berkenaan.

Tertuduh yang diwakili oleh peguam-peguam, Kamarudin Mohd. Chinki, Ram Singh, Syaiful Sufyyan Sidin dan Lo Yun Sin, didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia dihadapkan pertama kali di Mahkamah Majistret Lahad Datu pada 29 Mac lalu, sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau pada 12 April lalu.

Pada 7 Jun lalu, pendakwaan membuat permohonan bagi memindahkan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. (Utusan online-mahkamah).Posted by abnmulya at 9.15 am on June 25,2013.

No comments: