Sunday, June 9, 2013

PENGGUBALAN AKTA DERHAKA PERLU DISERTAI USAHA BERI PEMAHAMNA,KATA RAZALI

JUNE 09, 2013 MUAR, 9 Jun — Cadangan penggubalan Akta Derhaka perlu disertai dengan usaha memberi pemahaman tentang pembinaan negara di kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim (gambar kanan) berpendapat, menghukum mereka yang melanggar peraturan hanya langkah jangka pendek untuk menyelesaikan budaya menghina, mengkritik serta mencemuh institusi Raja yang berlaku sekarang ini.

"Pada saya, kita mesti ada satu badan yang melihat tentang asas pembinaan negara kepada generasi muda di peringkat lebih awal lagi.

 "Kalau tidak, kita akhirnya akan melahirkan generasi muda yang membesar tanpa ada pengetahuan atau tidak menganggap pemahaman mengenai pembentukan asal negara sebagai sesuatu yang serius," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini. Razali diminta mengulas saranan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohd Noor Abdullah yang berpendapat Akta Derhaka perlu digubal untuk membendung perbuatan menghina Institusi Raja-Raja Melayu yang berleluasa di kalangan anak-anak muda kebekangan ini.

Dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan agar kejayaan pendaki anak peneroka Felda menawan puncak Everest baru-baru ini, didokumenkan agar pengalaman mereka dapat dikongsi generasi muda di negara ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Muar berkata, pertemuan dengan pegawai Felda akan diadakan bagi merangka pendekatan ke arah usaha mendokumentasi pengalaman kumpulan pendaki muda Felda itu. 

"Kejayaan mereka bukan kejayaan Felda, tetapi ia adalah kejayaan negara dan ia adalah permulaan kepada satu kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang," katanya. Menurut beliau, kejayaan kumpulan pendaki anak Felda itu lebih menarik apabila menjalani latihan persediaan hanya untuk tempoh tujuh bulan. — Bernama ( Dari The Malaysian Insider.(Posted by abnmulya atr 1.30 am on June 10, 2013).

No comments: