Thursday, June 20, 2013

Peserta cuba cetus provokasi

Oleh AZRAI MOHAMMAD 
pengarang@utusan.com.my 

KUALA LUMPUR 20 Jun - Peserta perhimpunan haram di Padang Merbok Sabtu ini didakwa menerima arahan daripada pemimpin pakatan pembangkang supaya menimbulkan provokasi supaya ditangkap beramai-ramai oleh pihak polis.

Menurut sumber, arahan itu adalah kehendak seorang pemimpin kanan pembangkang yang bertujuan supaya tindakan itu boleh dijadikan isu sekali gus memburukkan kerajaan.

"Selain menimbulkan huru-hara, peserta juga diarahkan untuk 'memancing' pihak polis agar ditangkap beramai-ramai sekali gus dijadikan isu," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, sumber berkata, maklumat terkini Unit Amal Pas akur dengan arahan Pas Pusat supaya unit tersebut menyertai perhimpunan itu.

"Unit Amal akan menggerakkan 500 ahlinya daripada seluruh negara dan ditugaskan mengawal pimpinan Pas Pusat. Mereka tidak terlibat dalam kawalan keselamatan peserta.

"Kawalan peserta akan dikendalikan oleh 1,500 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK)," ujarnya. Sumber berkata, Pas setiap negeri juga telah menerima arahan agar menggerakkan ahli-ahli mereka untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

"Alasan mereka adalah perhimpunan ini merupakan perhimpunan aman. Selain itu, penyertaan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam perhimpunan menyebabkan ahli-ahli terpaksa menyertainya sebagai tanda sokongan kepada pakatan pembangkang," ujarnya.

Sumber memberitahu, penyokong-penyokong DAP akan dikumpulkan di kawasan Hotel Lok Onn di Jalan Sultan dan segala hebahan akan dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau notis bertulis. 

Sementara itu, sebanyak empat flashmob akan diadakan esok di ibu negara, Selangor, Kelantan, Perak. "Lokasi flashmob yang akan dilakukan di ibu negara masih dirahsiakan," ujarnya.(Utusna online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 10.48 am on June,21,2013.

No comments: