Thursday, June 20, 2013

Polis minta bantuan tentera

Oleh ROKIAH ABDULLAH 
rokiah.abdullah@utusan.com.my 

 IPOH 20 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya keadaan memerlukan dan berlaku situasi yang tidak dapat dikawal dalam perhimpunan haram anjuran parti pembangkang di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, setakat ini PDRM telah mengambil langkah perlu bagi menghadapi perhimpunan yang dijangka diadakan di Padang Merbok itu.

"Setakat ini polis masih mampu untuk kekalkan keamanan (negara). Kami sentiasa berhubung dengan tentera dan saya pun sudah bercakap dengan Panglima Tentera Darat semalam berhubung perkara tersebut," katanya selepas merasmikan Upacara Tamat Latihan Asas Konstabel Orang Asli PDRM di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 111 anggota menerima sijil tamat latihan selepas empat bulan mengikuti kursus asas konstabel yang tertumpu kepada aspek syarahan, demonstrasi dan praktikal. Menurut Salleh, apa sahaja tindakan diambil adalah bergantung kepada situasi berlaku pada hari berkenaan.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam perhimpunan berkenaan atau apa jua kegiatan yang menyalahi undang-undang. 

"Perkara itu tidak menguntungkan serta tidak mendatangkan apa-apa faedah selain melanggar undang-undang," tegasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penahanan seorang remaja berumur 15 tahun kerana membeli senapang angin dan pistol tiruan dari luar negara menerusi internet, Salleh berkata, PDRM mempunyai rangkaian untuk mengesan sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembelian senjata api melalui saluran berkenaan.

Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil sebaik sahaja bukti lengkap diperoleh. "Ini kerana kita memang sedia maklum bahawa memiliki senjata api tanpa lesen atau permit adalah satu kesalahan dan kita amat berharap orang awam menyalurkan maklumat jika mengetahui mengenai kegiatan itu," katanya.

Sabtu lalu, remaja terbabit ditahan di rumahnya di sini setelah dikesan membeli dua laras senapang MP5, masing-masing selaras M16 dan M4A1 serta sepucuk pistol Glock.(UTUSAN ONLINE-DALAM NEGERI).POSTED BY ABNMULYA AT 9.49 AM ON JUNE,21,2013.

No comments: