KUALA LUMPUR 11 Jun - Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan menuntut tiga pemimpin tertinggi DAP meletak jawatan kerana gagal memberi penjelasan mengenai isu penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) cawangan parti itu yang didakwa diadakan tanpa notis sah.
Menurut beliau, keengganan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Penasihat parti, Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke memberi penjelasan berhubung isu itu membuktikan dakwaan tersebut adalah benar.
"Adakah mereka tidak mahu mengakui kesilapan yang telah berlaku? Jika mereka tidak mahu bertanggungjawab dan memberi penjelasan, mereka patut meletakkan jawatan kerana terbukti kenyataan saya sebelum ini adalah benar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 6 Jun lalu, Ramanan mencabar tiga pemimpin tertinggi DAP itu meletak jawatan serta-merta sekiranya benar parti itu mengadakan AGM tanpa mengeluarkan notis kepada beberapa cawangannya.
Cabaran itu dikemukakan ekoran pendedahan Utusan Malaysia mengenai kemelut dalaman DAP kerana keputusan 'tergesa-gesa' kepemimpinan tertinggi parti itu untuk mengadakan AGM di setiap cawangan sejak dua minggu lalu.
Difahamkan, beberapa cawangan tidak dimaklumkan mengenai AGM itu bagi membolehkan kepimpinan tertinggi DAP 'mencantas' cawangan yang bertindak lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember tahun lalu.
Menurut Ramanan, beliau tidak akan bersuara sekiranya tidak mempunyai bukti kukuh mengenai perkara tersebut.
"Pemimpin-pemimpin DAP sebelum ini boleh mengadakan banyak sidang akhbar sehingga mengenai isu cuaca pun mahu dimaklumkan kepada media, jadi mengapa dalam isu ini mereka tidak mahu menyahut cabaran saya, adakah mereka takut?" katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan memberitahu, beliau memperoleh maklumat sebanyak 11 ahli DAP yang dipecat baru-baru ini kerana tidak tunduk kepada Dinasti Lim yang dinaungi Kit Siang dan Guan Eng.
"Maklumat yang saya peroleh mereka dipecat kerana menyokong Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau.
"Kenapa jika tidak sokong sahaja terus dipecat, itu tidak adil, DAP mendabik dada sebagai demokratik tetapi saya rasa mereka patut buang sahaja demokratik daripada nama parti itu," katanya.
Semalam, Ketua Wanita DAP Pandan, Dorothy Chong Chye Wah mendedahkan, pemecatan beliau serta sebanyak 10 ahli parti DAP lain baru-baru ini dibuat tanpa mengikut lunas-lunas Perlembagaan parti itu.( Utusan online- politik).Posted by abnmulya at 10.36 am on June 12,2013.
No comments:
Post a Comment