Friday, June 7, 2013

Tonggak Negara Perlu Dihormati Semua Rakyat

Tonggak negara perlu dihormati semua rakyat

KUALA LUMPUR 6 Jun - Institusi diraja merupakan tonggak negara yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua rakyat negara ini tidak kira apa pun pandangan politik, kaum dan agama.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan Dan Sosio Budaya, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Kamaruddin M. Said berkata, institusi tersebut adalah lanjutan sistem pemerintahan beraja yang wujud di Tanah Melayu sebelum zaman penjajahan lagi.

 "Institusi ini merupakan warisan peradaban Melayu yang berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan dengan cabang Parlimen, eksekutif dan kehakiman menjalankan tugas masing-masing dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

 "Namun sistem yang berjalan baik dan diterima secara hakiki oleh generasi terdahulu hingga ke hari ini, mula dikritik oleh golongan tertentu atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kepentingan institusi diraja yang selama ini menjadi payung kepada seluruh rakyat negara yang berbilang kaum dan agama di sini hari ini.

Semalam, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semasa merasmikan Seminar Institusi Raja (SIRaj) di sini, mengingatkan semua pemimpin politik agar tidak mengheret institusi diraja dalam kancah politik dengan emosi tidak terkawal. 

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah juga bertitah, Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu bukan boneka yang hanya sekadar menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembah dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat tanpa kuasa menyuarakan pendirian.

Tambahnya, kritikan yang bertujuan menghina, merendah-rendahkan martabat raja tidak boleh diterima lebih-lebih lagi orang Melayu.

"Golongan tertentu itu mula memandang serong institusi ini dan mereka perlu kesedaran agar tidak menggugat keamanan yang dikecapi hingga hari ini. Mereka telah menyalahguna kebebasan bersuara dan demokrasi yang ada. 

"Raja melindungi hak orang Melayu, bumiputera, agama Islam iaitu agama Persekutuan dan hak-hak kaum lain di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan," jelasnya.

 Kamaruddin berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh menyampaikan pandangan yang rasional, menasihati dan meminta sesuatu keputusan yang dibuat, dikaji semula mengikut Perlembagaan.(UTUSAN ONLINE-DALAM NEGERI).POSTED BY ABNMULYA AT 1808 HRS ON JUNE 07,2013.

No comments: