Monday, July 29, 2013

Muhyiddin bimbang polarisasi kaum

IPOH 29 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddian Yassin melahirkan kebimbangannya terhadap trend mutakhir yang berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini yang semakin berani menyentuh isu-isu hubungan antara kaum sehingga menimbulkan polarisasi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin,TPM., Malaysia

Beliau berkata, masyarakat kini dilihat terlalu sensitif sehingga menjadikan usaha baik yang dirancang kerajaan seperti Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2013-2025 dimanifestasi sebagai syak wasangka yang menyentuh bab perkauman.

''Saya dimaklumkan perhimpunan konvensyen yang diadakan Dong Zhong semalam juga membuat resolusi menghalang apa yang kita buat dalam PIPP 2013-2025. Perkara selama 13 tahun itu dilihat sebagai usaha untuk menghapuskan bahasa ibunda mereka dan berbaur perkauman.

''Sedangkan hampir dua tahun telah kita gunakan untuk mengumpul input supaya selari dengan Akta Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berbuka puasa anjuran Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di kediaman rasmi di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan berupa kurma, air zam zam, kain pelikat dan jubah kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid di seluruh daerah negeri itu.

Beliau turut menghadiri majlis tahlil serta menunaikan sembahyang maghrib, isyak dan tarawih berjemaah yang dipimpin oleh guru al-Quran Masjidilharam, Sheikh Osama Mohammad Iqbal.

Muhyiddin berkata, trend yang berlaku itu tidak langsung membantu memupuk semangat perpaduan, justeru umat Islam mesti sedar dan tiada pilihan lain, selain memperkukuhkan jemaah.

Katanya, perkara itu tidak mungkin berlaku sekiranya masyarakat Islam tidak dilihat sebagai umat yang lemah sehingga memberi ruang kepada badan politik yang lantang mencabar agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan raja-raja Melayu.

''Perkara ini sepatutnya boleh membangkitkan kesedaran kita. Kalau kita tidak bersatu, kita akan menghadapi masalah lebih besar pada masa akan datang.

''Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ada tanggungjawab baharu supaya berani tampil ke depan berjuang dalam satu saf bersama kepemimpinan negara dan jangan berbalah sesama sendiri. Semua ini harus difikirkan bersama," katanya.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.23 am on July 30,2013.

No comments: