Friday, November 29, 2013

Akta Hasutan : Tian Chua gagal rayuan batal pertuduhan

PUTRAJAYA 29 Nov. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.
Tian Chua
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Lim Yee Lan memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu. 

Para peguamnya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas keputusan itu memberitahu, mereka akan berbincang sama ada untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan atau meneruskan perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 September lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan tersebut. 

Terdahulu, Amer Hamzah berhujah agar pertuduhan terhadap Tian Chua dibatalkan atas alasan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap anak guamnya merupakan pendakwaan terpilih.

Peguam bela menghujahkan, pihaknya bukan mempertikaikan budi bicara Peguam Negara untuk mendakwa tetapi terdapat beberapa individu lain yang melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan tetapi tidak dituduh di mahkamah.

Ketika menjelaskannya dengan lebih lanjut di luar mahkamah, Amer Hamzah menyatakan, perkara ini bukan secara kebetulan kerana terbukti mereka yang didakwa di mahkamah terdiri daripada pemimpin-pemimpin pembangkang dan penyokong-penyokongnya termasuk peguam dan golongan penuntut universiti. 

Sehubungan itu ujarnya, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menghentikan pendakwaan terpilih kerana tindakan sedemikian jelas merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya,

Yusaini Amer Abdul Karim berhujah agar rayuan itu ditolak atas alasan kuasa menentukan pendakwaan adalah di tangan Peguam Negara dan hujah yang menyatakan beliau menjalankan pendakwaan terpilih merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Pada 14 Mac lalu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di ibu negara. Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemimpin parti pembangkang itu dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan yang antaranya menyatakan serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.( Utusan online-Mahkamah ).Posted  by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.50 am on November 30,2013.

No comments: