OLEH V ANBALAGAN,
PENOLONG PENGARANG BERITA
NOVEMBER 12, 2013
Gereja Katolik membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan isu kalimah Allah ke peringkat seterusnya dengan mengajukan 26 soalan menyentuh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah bagi membenarkan menteri melarang penggunaan kalimah ketuhanan.
Soalan tersebut merupakan sebahagian daripada permohonan yang dikemukakan peguam mewakili gereja bagi membolehkan keputusan Mahkamah Rayuan tempoh hari dicabar oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada 14 Oktober, tiga panel diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali membenarkan rayuan Putrajaya bagi menghalang mingguan Katolik, Herald (gambar) daripada menggunakan kalimah Allah berikutan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 melarang penerbitan bukan Islam menggunakan empat kalimah iaitu Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah.
Herald diterbitkan sejak 1994 dan kementerian mengeluarkan surat peringatan kepada penerbit supaya patuh kepada arahan itu.
Apandi dalam penghakimannya berkata, larangan itu bertujuan menjaga kesucian agama Islam dan mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.
Beliau turut berpendapat sekiranya kalimah itu digunakan oleh penganut Kristian, ia boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Selain itu, mahkamah juga mendapati larangan itu bertepatan kerana kalimah Allah bukan perkara asas dalam kepercayaan dan amalan Kristian.
Peguam mewakili gereja kini sedang menyediakan dokumen untuk ke peringkat seterusnya dengan tujuh organisasi Islam menjadi entiti yang disebutkan dalam permohonan itu.
Mahkamah Persekutuan kemudian akan menetapkan tarikh pengurusan kes supaya semua pihak bersetuju menghadirkan diri pada tarikh yang akan ditetapkan bagi mendengar permohonan rayuan.
Peguam berkata, gereja tidak mempunyai masalah dalam meneruskan rayuan kerana persoalan yang dibangkitkan merupakan isu baru melibatkan kepentingan awam untuk didrafkan.
Pada 2009, Herald memfailkan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar arahan Kementerian Dalam Negeri.
Hakim Datuk Lau Bee Lan membatalkan arahan menteri dalam negeri dengan menegaskan larangan itu mencabuli hak penerbit seperti dinyatakan dalam Perlembagaan.
Selepas Putrajaya menang dalam rayuannya tempoh hari, peguam undang-undang mendapati larangan kepada Herald menggunakan kalimah Allah turut membatalkan keputusan Kabinet membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah itu dalam Bible bahasa Melayu.
Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan turut menghalang semua penerbitan bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh terus menggunakan kalimah itu dan kerajaan masih mengiktiraf penyelesaian 10 perkara.
Dalam perjanjian 2011, satu persetujuan dimeterai dan Bible dalam semua bahasa boleh diimport ke Malaysia termasuk dalam bahasa Melayu/Indonesia yang mengandungi kalimah Allah.
Penyelesaian 10 perkara membenarkan percetakan, import dan pengedaran Al-Kitab, Bible versi bahasa Melayu.
Peguam, Fahri Aizat berkata, apabila kalimah Allah bukan perkara asas dalam kepercayaan dan amalan Kristian, kalimah itu hanya dimonopoli oleh orang Islam dan kepercayaannya di Malaysia.
Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan hanya terpakai kepada penerbitan Herald di semenanjung tetapi kesannya meliputi seluruh negara. – 12 November, 2013.( The Mlaysian Insider).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com .at 9.46 am on November 12,2013.

No comments:
Post a Comment