Thursday, November 14, 2013

ISU KHAIRY- FAM CURI TUMPUAN PARLIMEN.

Menteri Belia dan Sukan,
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Konfrontasi antara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak terlepas daripada perhatian ahli-ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khairy mendapat sokongan bukan sahaja daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malah segelintir ahli Parlimen pembangkang yang mahukan beliau terus bersuara bagi mengangkat martabat bola sepak negara yang semakin merosot.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, teguran Khairy terhadap FAM sewajarnya diberi perhatian serius kerana mutu sukan bola sepak semakin merosot walaupun merupakan sukan paling popular di negara ini.

"Kita mahu kementerian mencari jalan terbaik untuk membangunkan bola sepak negara, soal FAM itu kita mahu Menteri terus bersuara dan lawan habis-habisan demi bola sepak negara," katanya ketika mencelah sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli-ahli Parlimen lain yang memberi sokongan kepada Khairy adalah Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin (Pas-Sepang).

Menurut Moktar, kerajaan perlu bertegas terhadap FAM kerana persatuan sukan itu tidak boleh hanya mementingkan soal menjana kewangan sehingga meminggirkan tanggungjawab melahirkan bakat muda bola sepak di peringkat akar umbi.

"Kita melihat bahawa persatuan sukan dalam negara ini ada mainan politik dalaman, ada sifat pilih kasih dan kroni, jadi saya kerajaan perlu mainkan peranan lebih tegas, kalau terpaksa tutup persatuan itu, tutuplah, untuk memberi pengajaran," katanya.

Dalam pada itu, menurut Hanipa, mutu bola sepak negara di peringkat antarabangsa telah mengalami kemerosotan yang begitu teruk sehingga menduduki ranking bawahan dan jauh ketinggalan berbanding negara Korea Selatan.

Sementara itu, menurut Khairy, biarpun kerajaan tidak boleh campur tangan dalam FAM, beliau tetap akan menegur persatuan itu bagi mewakili suara rakyat yang mahukan pembaharuan dan pembangunan bola sepak diperkasakan.

"Saya tidak akan berhenti beri pandangan, walaupun ada yang mengkritik saya seolah-olah tak perlu bagi kritikan terhadap FAM yang seolah-olah dianggap kebal, walau siapapun mentadbirnya (FAM) kita tetap tegur, kerana kita menegur institusi itu," katanya.( Utusan online-Parlimem\en).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1606 hrs on NOvember 14,2013.

No comments: