Alvin Tan (kanan) dan Vivian Lee yang didakwa menghasut di Mahkamah Tinggi 2 Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - Ihsan Sinchew
KUALA LUMPUR 14 Nov. - Keputusan permohonan membatalkan pertuduhan yang dihadapi oleh pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan ke 21 November ini.
Penangguhan tersebut disebabkan Hakim Kamardin Hashim yang mendengar permohonan itu kini berada di luar negara.
Pada 21 Ogos lalu, Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.
Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka, dengan alasan sekiranya pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai terhadap orang Islam.
Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.
Sewaktu mengemukakan hujahan untuk membatalkan tuduhan terbabit pada prosiding terdahulu, peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan itu menyatakan, dakwaan terhadap anak-anak guamnya yang turut dikenali dengan nama 'Alvivi' adalah tidak logik dan tidak beras.
Beliau turut menyatakan, dakwaan tersebut hanya "menunjukkan dengan jelas sikap dan pemikiran prejudis terhadap kaum lain di Malaysia, tidak berpengetahuan dan tidak yakin tentang agama sendiri serta suatu reaksi emosional yang tidak berasaskan kepada fakta."
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika membalas hujah menyatakan, perbuatan pemohon yang menjemput umat Islam menikmati 'bak kut teh' ketika berbuka puasa dalam bulan Ramadan merupakan penghinaan dan menimbulkan perasaan benci, kemarahan dan perpecahan antara kaum Melayu dan Cina serta menggugat keharmonian masyarakat majmuk dan ketenteraman awam.
Selain didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) itu, pasangan terbabit menghadapi pertuduhan di bawah Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu bersama-sama menerbitkan gambar dan komen yang sama dalam laman sosial serupa dengan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/, antara 6 Julai dan 7 Julai lalu, antara pukul 9 malam dan 2 pagi, mengikut Akta Penapisan Filem 2002.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1827 hrs on Niovember 15,2013.

No comments:
Post a Comment